Showing posts with label Minda TGNA. Show all posts
Showing posts with label Minda TGNA. Show all posts

Monday, November 7, 2011

Jika hak homoseksual dibenarkan, apakah hak mencuri juga dibenarkan?

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

1. Saya amat terkejut dengan penganjuran program Seksualiti Merdeka yang sedang dirancang oleh beberapa NGO dan individu sebagaimana yang sedang diiklankan melalui laman web http://seksualitimerdeka.org.

2. Jika program tersebut benar-benar bermatlamatkan untuk mengiktiraf hak sesetengah pihak yang mempunyai kecenderungan seks yang songsang termasuklah golongan gay dan lesbian, ia perlu dicegah dan ditentang. Ini merupakan penghancuran terhadap kehidupan beragama yang kesemuanya mengharamkan amalan homoseks.

3. Sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi Pencipta alam ini iaitu Allah SWT. Di antara perkara yang dijamin kemuliaanya oleh Islam ialah agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Sebarang aktiviti yang menceroboh kemuliaan lima perkara ini akan mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia. Amalan homoseks hakikatnya merupakan pencerobohan terhadap keturunan secara langsung dan juga sekaligus pencerobohan terhadap kelima-limanya secara tidak langsung. Setiap akal waras manusia pasti akan menolak budaya ini untuk diamalkan dalam masyarakat.

4. Jika hak asasi untuk melakukan homoseks dibenarkan, maka adakah akan timbul pula hak asasi untuk mencuri, hak asasi untuk merompak, membunuh dan pelbagai lagi jenayah yang disandarkan ke atas hak asasi? Justeru, ia perlu dihalang dengan segala kemampuan yang ada.

5. Sewajarnya tindakan tegas diambil bukan sahaja terhadap penganjur program ini bahkan terhadap media massa yang ghairah memaparkan perkara-perkara lucah dan fitnah sehingga menyebabkan isu sebegini menjadi biasa di telinga masyarakat. Pelbagai istilah disebut dan gambar-gambar dipaparkan secara terbuka oleh media seolah-olah tidak menjadi kesalahan dan ini mengakibatkan hakisan moral golongan anak muda semakin besar.

6.Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan dari mana-mana pihak. Saya harap tidak ada apa-apa permainan politik kerana amat biasa di dalam senario negara pada hari ini isu yang diperbesarkan akhirnya hanya menjadi mainan media semata-mata.

*Kenyataan media oleh Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (gambar kanan) selaku Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS).

http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=17488

Monday, May 23, 2011

Panduan kepimpinan menghadapi cabarang perjuangan Islam






Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).” (Surah Asy-Syams 91:8-10)

Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.

Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan.

Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.

Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.

Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.

Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.”

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.

Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.

Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.

Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).

Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.

Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––hidup dengan aman dan sejahtera.

Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.

Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.

Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.

DI sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.

Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?

Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.

Sumber : blog tok guru

Wednesday, March 9, 2011

KEMENANGAN SEBENAR IALAH DI SISI ALLAH SWT


Apa sahaja perlawanan yang berlaku pastinya ada yang kalah dan ada yang menang. Di dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau 6 Mac yang lepas, PAS telah gagal untuk merebut kedua-dua kerusi tersebut daripada UMNO. Saya akur dengan kekalahan tersebut. Di mana-mana perlawanan sekalipun, pihak yang menang berhak untuk gembira dan pihak yang kalah berhak untuk kecewa dan bersedih. Tinggal lagi, berapa lamakah kegembiraan dan kekecewaan itu akan bertahan?

Sesiapa sahaja akan gembira jika menang. Seorang pelajar akan gembira jika mendapat keputusan yang cemerlang begitu juga seorang pencuri akan gembira jika berjaya melakukan jenayah mencuri harta benda orang lain hatta jika dapat membunuh mangsanya, itu lebih menggembirakan. Bahkan Allah SWT merakamkan bagaimana gembiranya orang-orang musyrikin yang memusuhi agamaNya ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :

وَإِذَا انقَلَبُواْ إِلَى أَهْلِهِمُ انقَلَبُواْ فَكِهِينَ ﴿٣١﴾

Yang bermaksud : Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada pengikutnya, mereka kembali dengan gembira. – Surah al-Muthaffifin, ayat 31.

Demikianlah kegembiraan yang dinikmati oleh orang-orang yang berdosa ketika berada di dunia. Dan dukacita kegembiraan itu tidak sedikitpun menyelamatkan mereka apabila berada di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan itu akan ditukar menjadi kehinaan yang amat dahsyat di hadapan Allah SWT.

Salahkah bergembira? Jawabnya tidak salah. Sesiapa yang diberikan nikmat oleh Allah SWT berhak untuk bergembira dan begitu juga sebaliknya. Namun kegembiraan dan kesedihan di dunia bukanlah suatu yang hakiki di sisi Allah SWT. Bahkan beleklah sejarah perjuangan Rasulullah SAW, di Mekah baginda ditolak selama 13 tahun sekalipun sebelum dilantik menjadi nabi, baginda diiktiraf sebagai seorang yang jujur (al-Amin). Sedih pilu perjuangan yang dilalui oleh baginda tercermin melalui doanya sewaktu kembali dari Thaif :

اللهم انى اشكو اليك ضعف قوتى و قلة حيلتى و هوانى على الناس انت رب المستضعفين

Yang bermaksud : Ya Allah, aku mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatan aku, dan betapa kurangnya kepandaian aku berhujah, dan betapa hinanya aku pada pandangan mata manusia, Engkaulah Tuhan golongan yang ditindas.

Doa ini tidak akan diungkapkan oleh lidah suci baginda kecuali dalam keadaan baginda dirundung kesedihan dan kekecewaan. Jika sedih dan kecewa pun pernah melanda Rasulullah SAW, apatah lagi pendokong Islam pada hari ini. Sesungguhnya pada kekalahan, kesedihan dan kekecewaan inilah tersimpannya ganjaran yang besar yang disediakan oleh Allah SWT.

Apa yang penting, asas hidup ialah Islam. Menang atau kalah tidak menjadi ukuran. Lihatlah penulis buku The Satanic Verse, Salman Rushdie yang diberikan gelaran terhormat oleh Barat sebagai Sir, sedangkan penghormatan itu diberikan kerana tindakannya mengina Islam. Adakah bernilai gelaran itu di sisi Allah? Jawabnya tidak. Demikian juga kemenangan, jika diperolehi dengan cara khianat, langsung tidak bernilai di sisi Allah SWT.

Di Kerdau dan Merlimau, PAS telah kalah. Ia perlu diakui. Namun, penipuan dan fitnah serta penggunaan jentera kerajaan secara besar-besaran juga perlu diakui telah dilakukan oleh UMNO. Saya diserang bertubi-tubi tanpa diberikan peluang yang sama untuk membela diri. Kalau di dalam akhbar, serangan ke atas saya diletakkan di muka hadapan manakala jawapan saya disudutkan di hujung muka surat dalam. Pengarah pilihanraya kami di Kerdau, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dituduh membeli tanah dari peneroka Felda sedangkan tuduhan itu merupakan satu fitnah, dan ia ternafi sebelumpun tenggelamnya matahari pada hari yang sama. Adakah penafian itu disiarkan sebagaimana fitnah itu disiarkan? Jawabnya tidak. Atas nama kebebasan demokrasi pincang, itulah senjata yang ada pada UMNO pada hari ini.

Utusan Malaysia hari ini (8 Mac 2011) melalui Senyum Kambingnya melabelkan saya tidak dapat menerima kekalahan. Sebagaimana namanya, demikianlah tahap pemikirannya. Saya hanya mahu menyatakan ayat yang telah diungkapkan oleh tukang-tukang sihir Firaun yang beriman kepada Nabi Musa tatkala diancam bunuh oleh Firaun :

فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Yang bermaksud : Maka buatlah keputusan apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. – Surah Thaha, 72.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

3 Rabiul Akhir 1432H bersamaan 8 Mac 2011M

-penulis ialah Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Sunday, February 27, 2011

ISLAM SEDERHANA : AJARAN BARU UMNO





Terkejut saya apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang saya sifatkan sangat tidak manis terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika berada di Turki baru-baru ini. Menurut laman web National Review Online, beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan bernada kesal dengan keterlibatan Ikhwanul Muslimin dengan protes mendesak pengunduran Hosni Mubarak di Mesir yang disifatkan oleh beliau berunsur violence and extremism (keganasan dan melampau).

Ditambah lagi dengan kenyataan beliau yang menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong keganasan. Di antara ayat-ayat kurang manis dalam laporan tersebut ialah : “Those concerns center on Qaradawi’s support and justification for terrorism (kebimbangan ini berasaskan kepada sokongan Qaradawi dan justifikasi yang diberikan beliau terhadap keganasan).

Saya kira Perdana Menteri Malaysia sudah lupa langit tinggi rendah sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut. Saya khuatir, pemergian ke Turki hanya untuk berguru dengan tokoh sekular Turki yang jasadnya berkubur di situ. Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam, hari ini Perdana Menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia. Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru UMNO.

Ingatlah, tiada Islam sederhana, Islam melampau atau Islam kedai kopi. Semuanya Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Setiap yang berbeza, itu bukannya Islam.

Pertama, saya ingin bertanya, atas neraca mana nama ganas itu mahu ditampal? Adakah setiap perbuatan menuntut hak setelah dinafikan itu ganas? Dalam Islam, neraca yang paling tepat ialah sunnah Rasulullah SAW dan bukan neraca Hillary Clinton. Baginda dan para sahabat telah berada di bumi tempat tumpah darah : Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun, selama tempoh itulah umat Islam di Madinah dizalimi, dinafikan hak mereka bahkan pernah dipulau selama tiga tahun di Syi’ib Ali. Mereka tidak dibenarkan berjual beli dengan sesiapa, salam mereka tidak berjawab, sapa mereka tidak berbalas. Mereka ditekan dengan pelbagai tekanan namun tidak sekalipun mereka melawan kerana belum menadapat keizinan daripada Allah SWT. Hanya di Madinah, barulah Allah SWT memerintahkan agar umat Islam berperang membela diri dan menjaga maruah.

FirmanNya :

وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَـتِلُونَكُمْ كَآفَّةً

Yang bermaksud : Dan perangilah kaum musyrikin (yang memerangi kamu) itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya – Surah al-Taubah, ayat 36.

Di Madinah, umat Islam akhirnya dibenarkan melawan dan mengangkat pedang memerangi kezaliman ke atas mereka. Tiga belas tahun mereka bersabar di Mekah, namun kesabaran manusia ada hadnya. Jika binatang sekecil kucing pun boleh melawan jika ditindas, apatah lagi makhluk yang berakal seperti manusia? Adakah Rasulullah SAW dan para sahabat itu ganas? Suka saya nyatakan, jika Rasulullah SAW itu disifatkan ganas, maka semua muslim seharusnya bersedia untuk menjadi pengganas!

Hosni Mubarak telah menzalimi rakyat Mesir selama 30 tahun, bila diadakan pilihanraya pula dia dikatakan mendapat kemenangan hampir 99.99%. Adakah menjatuhkan pemimpin seperti ini dianggap sebagai ganas? Janganlah pula membuat tuduhan bahawa Ikhawanul Muslimin yang terlibat sedangkan apa yang jelas berlaku di Mesir ialah kebangkitan rakyat. Tidakkah Perdana Menteri Malaysia mengetahui bahawa mereka yang terlibat dengan protes ini terdiri daripada segenap lapisan rakyat Mesir. Muslim, Kristian, kelas bawahan, menengah bahkan atasan sekalipun berdiri satu barisan menuntut pengunduran Mubarak. Isunya ialah penyelewengan, penindasan dan kezaliman rejim Hosni Mubarak, jangan pula getahnya dipalitkan kepada Ikhwan!

Islam tidak mengajar untuk melakukan keganasan, tetapi Islam tidak membenarkan umatnya menghina diri dan merelakan perlakuan zalim ke atas diri mereka. Peliknya, ketika Hosni Mubarak menzalimi rakyatnya sendiri, mulut-mulut ini diam seribu bahasa, apabila rakyat Mesir bertindak menuntut hak, mereka pula dilabelkan sebagai ganas. Demikianlah juga ketika Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat, mana perginya perkataan ganas itu? Begitu juga dengan tindakan PBB membelah bahagikan bumi Palestin demi kepentingan Israel, PBB dan Israel tidak dilabelkan ganas. Apabila rakyat Palestin bertindak walaupun hanya dengan melontar batu, mereka sudah dianggap ganas! Alangkah sengetnya neraca yang mereka gunakan.

Al-Qaradawi ialah ulama berjasa. Beliau pernah dipenjarakan ketika Perdana Menteri Malaysia hari ini belum lagi lahir ke dunia. Beliau telah mengarang puluhan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu, pemikirannya dijadikan kajian oleh ratusan sarjana di seluruh dunia bahkan kerajaan Malaysia sendiri menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1431H kepada beliau.

Istighfarlah banyak-banyak. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum melabelkan ulama yang mulia dengan tuduhan seperti itu. Harapan saya Perdana Menteri sekarang tidak berguru dengan salah seorang bekas Perdana Menteri yang semakin mengarut kenyataannya. Saya simpati dengan bekas Perdana Menteri itu.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 24 Rabiul Awal 1432 / 27 Februari 2011


sumber : http://www.facebook.com/saari.sungib#!/note.php?note_id=205134329504142&id=358919387591


Thursday, February 24, 2011

Dilema Melayu kerana tolak Islam

Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990 adalah tercatat dalam sejarah. Hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tak kemana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecapi nikmat. Tetap sasaran pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan. Kenapaa gagal? Dr. Mahathir selaku perdana menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr. Mahathir sembunyi punca?

Kita sedang menyambut maulud Nabi Muhammad SAW maka kita sepatutnya mengambil ajaran Nabi, iaitu mengajar kita menjalin persaudaraan dan berkasih sayang. Nabi tidak ajar kita supaya mementingkan bangsa. Justeru tidak harus kita mengungkitkan soal dilema atau tidaknya bangsa kita.

Bila sebut kepentingan satu-satu bangsa, sudah tentu akan ada bangsa lain yang sensitif dan berdendam. Maknanya bila diutamakan kepentingan orang Melayu, sudah tentu orang Cina dan India akan berdendam, kerana inginkan kepentingan yang sama. Atas dasar inilah Islam mengajar kita mengutamakan persaudaraan. Lantaran atas nama bangsa akan timbul apa sahaja tindak balas berupa dendam kesumat.

Islam meletakkan asas, iaitu masing-masingnya tidak boleh dendam kesumat dan dengki mendengki. Inilah kelebihan Islam yang tidak mengajar kita menghina satu-satu bangsa. Malah Islam tidak membenarkan berlaku hina-menghina antara darjat satu-satu bangsa. Termasuklah si-kaya tidak boleh menghina si-miskin, kerana si-kaya adalah saudara dengan si-miskin.

Demikian pula, semangat persaudaraan dan tolong-menolong merupakan ajaran Islam yang menjamin kehidupan manusia, tidak kira bangsa apa sekalipun agar hidup dengan aman dan damai. Justeru semangat ini dipakai di dalam solat berjemaah. Dalam kaedah solat berjemaah, setiap orang tidak kira Melayu, Cina atau India asalkan Muslim, ia tetap layak atau boleh menjadi Imam solat jemaah. Hatta dalam masyarakat yang majoriti Melayu sekalipun, sesiapa sahaja boleh jadi Imam, tidak kira apa bangsa sama ada Cina atau India asalkan layak.

Demikian lagi di dalam ajaran Islam, sesiapa sahaja yang datang awal untuk solat berjemaah, maka dia boleh duduk (masuk) di saf depan. Ia tidak mensyaratkan semestinya bangsa Melayu sahaja boleh duduk di saf itu. Hal yang sama diajar oleh Islam, iaitu sesiapa sahaja boleh menjadi khatib (berkhutbah) tidak kira apa bangsa sekalipun. Apa yang penting seseorang itu boleh berkhutbah dengan memenuhi rukunnya seperti boleh baca al-Quran dan hadis serta berpesan-pesan dengan keimanan dan ketakwaan. Hal ini membuktikan kebaikan ajaran Islam dan cara-cara bagaimana Islam meletakkan titik persamaan antara bangsa-bangsa di dunia ini berasaskan prinsip kenal-mengenal dan bersatu padu serta ketakwaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kita semua (al-Quran surah Hujurat ayat 13):

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Justeru itu tidak timbul isu dilema Melayu atau dilema mana-mana kaum apabila persoalan bangsa dan perjuangan sesuatu kaum itu berteraskan kepada ajaran Islam. Apa yang penting diamalkan ialah kita semua menjadi hamba abdi kepada Allah SWT. Sebagaimana seruan azan memanggil solat , disebutkan “Allahu Akbar” maka yang maha besar ialah Allah bukannya Melayu atau Cina atau India. Sementara di dalam bacaan tahyat dan salam terangkum maksud memuliakan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta ucapan selamat kepada seluruh bangsa di dunia ini. Maka inilah kehebatan faedah ibadat dan muamalat yang digabung dalam solat gunanya untuk dipraktikkan di dalam kehidupan manusia.

Sekali lagi diulangi, tidak timbul langsung dilema Melayu di sisi Islam. Ini kerana Islam sudah menyediakan ramuan yang cukup untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai keamanan, kedamaian serta kemakmuran di dunai sampai ke akhirat.

Namun timbulnya kegelisahan sehingga mencetuskan isu Melayu dalam dilema adalah kerana berpunca daripada ajaran Umno yang menolak perjuangan berasaskan bangsa. Akhirnya ia menyesatkan bangsa itu sendiri akibat tidak percayakan kepada kebaikan ajaran agamanya sendiri. Sedangkan di dalam surah Al-Fatihah (ayat 5-7) Islam mengajar kita agar memohon daripada Allah agar menunjuki jalan yang benar dan menjauhi jalan yang sesat:

Amatlah malang jika kita terus engkar dengan mengagung-agungkan bangsa, sedangkan ia bukan ajaran Nabi. Seharusnya kita tidak boleh melakukan suatu seruan perjuangan yang bercanggah dengan maksud surah Al-Fatihah ini. Caranya, kita tidak boleh menerima seruan perjuangan Melayu yang menolak Islam. Bila tolak Islam maknanya terima ajaran sekular. Atas sifat sekular, mereka itu akan terus berbelit-belit (mereka-reka berbagai-bagai hujah) hinggalah sanggup duduk di atas prinsip “agama lain (suku), politik lain (suku).” Lalu timbulnya ajaran yang asing dari Islam. Antara mengajar umat Islam supaya “tidak bawa politik ke masjid kerana masjid itu tempat beribadat.” Apakah ajaran seperti ini pernah diajar oleh Nabi Muhammad SAW? Sebenarnya, Nabi sendiri tidak pernah ajar supaya “perkara politik itu disebut di luar masjid.”

Memahami maksud di atas, maka di dalam azan (seruan solat) telah mengandungi makna yang jelas. Betapa ajakan beramai-ramai ke masjid untuk solat jemaah itu sendiri adalah urusan politik. Arahan Bilal ataupun Imam supaya ‘perbetulkan saf’ juga suatu nilai penyatuan bersifat politik ketika memulakan solat.

Demikian pula, khutbah Jumaat atau khutbah hari raya merupakan ceramah mingguan/musim perayaan di atas mimbar masjid juga menyentuh semua perkara yang relevan dengan kehidupan manusia. Maknanya di dalam masa berkhutbah, pihak khatib adalah penceramah yang menyampaikan seruan Islam demi kebaikan sistem hidup yang lengkap termasuk aspek sosial, ekonomi dan politik.

Maka terimalah perjuangan Islam, tinggalkan perjuangan sekular dan sudah tentu kita tidak akan berdilema dengan identiti siapa kita. Hakikatnya kita adalah hamba-Nya yang wajib patuh dan taat kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Oleh :
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS.

Wednesday, February 9, 2011

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah





Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

UMNO Lebih Teruk Dari Lee Kuan Yew - TGNA



KOTA BARU, 27 Jan — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor menyifatkan orang Melayu di Malaysia yang menolak Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme lebih teruk daripada menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau berkata ini kerana Lee hanya meminta umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam berbanding segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.

“Orang Melayu sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

“Beliau cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan, lebih teruk daripada Lee Kuan Yew,” katanya di sini semalam.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, Nik Aziz mengulas gesaan Lee supaya umat Islam di republik berkenaan tidak terlalu berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut.

Pandangan itu terkandung dalam buku terbaru tulisannya “Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going”.

Sejak awal minggu ini kenyataan Lee itu diselar oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang menyifatkannya sebagai satu pandangan primitif.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd. Roslan Mohd Noor berkata, kenyataan tersebut memperlihatkan bekas perdana menteri Singapura itu mempunyai sifat Islamofobia dan cuba mengajar orang Islam tentang agama mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasarudin Hassan pula menyifatkan pandangan Lee bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.

Dalam laporan itu, Nik Aziz juga dikatakan mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya turut mempersoalkan pemakaian serban di kalangan masyarakat Sikh dan tidak hanya mempermain-mainkan larangan bersalam antara wanita Islam dengan lelaki bukan muhrim.

Menurutnya, Islam menetapkan lima perkara yang wajib dijaga antaranya larangan bersalam antara lelaki dan wanita bukan muhrim kerana ia boleh mengundang kepada perlakuan negatif lain termasuk zina akibat daripada pergaulan bebas.

“Kenapa dia mempermainkan jabat tangan (bersalam) orang Islam.

“Cuba dia sentuh soal serban orang Sikh, tengok orang Sikh jawab macam mana. Kalau tak berani, jangan cakap benda-benda macam ini,” katanya. -TMI

http://greenboc.blogspot.com/2011/01/umno-lebih-teruk-dari-lee-kuan-yew-tgna.html