Friday, November 25, 2011

Ulasan Buku Dr Farish A. Noor Tentang Perjalanan Sejarah PAS


Islam Embedded—The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-003) [Islam Dipadu - Perjalanan Sejarah Parti Islam Se-Malaysia PAS (1951-2003)]

Pengulas: Yoginder Sikand

Penulis: Farish A. Noor

Penerbit: Malaysian Sociological Research Institute (MSRI), Kuala Lumpur

Tahun: 2004

ISBN: 983-99866-8-6

Dianggap oleh kebanyakan rakan Muslim yang lain sebagai ‘model’ terdekat sebuah negara Islam, Malaysia adalah negara berbilang kaum di mana penganut Muslim membentuk hampir enam puluh peratus dari populasi rakyat keseluruhan. Hampir semua etnik Melayu adalah Muslim, yang mana hasilnya Islam dan bangsa Melayu pada umumnya dilihat tidak dapat dipisahkan. Politik di Malaysia telah lama didominasi dengan wacana yang tertumpu pada isu agama dan bangsa, dan salah satu pemain utama dalam pentas politik Malaysia yang berliku adalah Parti Islam se-Malaysia (PAS); yang menjadi subjek perbahasan yang menarik dan mengujakan yang dibincangkan dalam buku ini oleh seorang penganalisis politik dan penggiat sosial di Malaysia Farish Noor.

Buku ini memuatkan sorotan dan rakaman sejarah yang mendalam tentang latar kemunculan dan perkembangan PAS di Malaysia sejak awal 1950an sehingga ke hari ini. Mengkritik wacana intelek daripada Barat dan juga wakil Islamis dalam pergerakan Islam sebagai statik dan tidak berkembang, Farish menampilkan perubahan yang signifikan dalam ideologi dan politik PAS mengikut peredaran zaman. Beliau dengan jenuh menekankan bahawa Islamisme bukan tinggalan fosil, yang tidak dapat menerima perubahan sama sekali. Bahkan, beliau mengungkapkan, diskusi Islam dan politik adalah dipengaruhi oleh rangkaian faktor luaran dan dalaman, yang wujud dalam perhubungan dialektik antara satu sama lain. Kerana hal ini berubah, teoritis dan ahli praktis Islam juga, terikut untuk merespon, Farish berhujah. Dengan mengangkat suara picisan dan akar umbi yang dipinggirkan dalam PAS, Farish juga merungkai faham harakah Islam yang dianggap sebagai monolitik dan yang seluruhnya tidak toleran kepada perbenturan dalaman.


Suara baru Islam ini bergerak dengan keupayaan mengkritik pendirian ulama’ konservatif kerana jelas tidak mengendahkan keluhan Muslimin yang ditekan di bawah arahan kolonisSuara baru Islam ini bergerak dengan keupayaan mengkritik pendirian ulama’ konservatif kerana jelas tidak mengendahkan keluhan Muslimin yang ditekan di bawah arahan kolonisPerbincangan Farish tentang asal usul dan perkembangan PAS ditempatkan dalam konteks yang lebih luas tentang kebangkitan aliran baru dalam memahami identiti Islam dan Muslim di akhir era kolonial di Malaya. Suara baru Islam ini bergerak dengan keupayaan mengkritik pendirian ulama’ konservatif kerana jelas tidak mengendahkan keluhan Muslimin yang ditekan di bawah arahan kolonis. Mereka juga menyerang ulama’ kerana permusuhan yang jelas terhadap gagasan ‘pemodenan’ atau setidaknya kurang kepedulian terhadap cabaran yang diasak oleh ‘moderniti’ terhadap bangsa Melayu Islam. Mereka cuba memberikan respon alternatif terhadap cabaran yang dihadapkan oleh ‘moderniti’ dan dalam ketika yang sama dapat diselaraskan dengan Islam. Pemikir-pemikir ‘modenis’ ini juga mendesak umat Islam untuk mengambil peranan yang aktif dalam arus perjuangan untuk merobah masyarakat mereka, menentang pemerintahan kolonis dan pada masa yang sama tidak teragak-agak untuk menyerap nilai terbaik yang diilhamkan daripada Barat dalam sektor pengetahuan dan teknologi.

Para pengasas PAS dilahirkan daripada sayap pemikir modernis Islam ini, Farish memberitahu kita. Kebanyakan mereka adalah sosok yang kental membela kepentingan etnik Melayu, yang dilihatnya telah dicabar oleh regim penjajah dan juga daripada gelombang penghijrahan kaum imigran Cina dan India. Mereka juga cukup kritikal tentang Sultan Melayu yang bekerjasama dengan British dan tidak menunjukkan keprihatinan tentang penderitaan kaum Melayu yang miskin. Sebahagian daripada mereka menanam sikap anti kolonis yang kuat, dan memainkan peranan penting dalam perjuangan Malaysia menentang penjajahan British. Sebahagiannya melangkah lebih jauh dengan menganjurkan muafakat yang melebar antara PAS, kumpulan Islam yang lain dan Parti Komunis Malaya untuk menentang British, dan setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, menentang pemerintah baru yang dilihat berperanan selaku rakan sekutu imperialime Barat.

PAS beriltizam untuk memperjuangkan kepentingan rakyat miskin, terutama di kawasan pedalaman Melayu, menggerakkan mereka atas nama Islam. Ia mengkritik keras parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana mengkhianati kepentingan orang Melayu dan Islam dan setakat berfungsi sebagai perkakas kepada aparat elit imperialis Barat.

Ia juga menyanggah corak ‘pembangunan’ kapitalis yang dangkal yang dilancarkan oleh UMNO yang telah membawa kepada ketidakadilan sosial yang masif di dalam negara dan yang hanya lanjut memperkukuh elit pembesar yang telah lama berakar. Dalam peredaran waktu, bagaimanapun, Farish memberitahu kita, Islamisme progresif yang diwakili oleh perintis PAS terpaksa melalui perubahan yang signifikan di bawah tekanan pemilihan kerusi politik.

Hal ini berlaku seiring dengan penyingkiran golongan intelektual di dalam kepimpinan parti dan kebangkitan ulama’ konservatif, sejak akhir 1970an dan seterusnya. Farish melihat perkembangan ini sebagai sebahagian daripada tren global, dinyalakan oleh revolusi Iran 1979. Pemimpin PAS, yang pernah mengungkapkan tentang keadilan sosial dan kepentingan nasional dan malahan pernah menganjurkan kerjasama dengan komunis, sekarang mula menuntut penubuhan Negara Islam di Malaysia yang akan dipimpin oleh ulama’ yang alim berteraskan hukum syari’ah.

Tuntutan PAS membawa kepada persaingan yang sengit untuk memenangi undi orang Islam dengan UMNO di mana kedua parti berlumba menzahirkan aspirasi Islamnya mengatasi lawannya. Pergelutan yang sengit untuk meraih undi orang Islam dan keunggulan sebagai juru cakap Islam kini makin mendesak ke sudut yang ekstrim, Farish memberitahu kita, di mana pemimpin PAS dan UMNO kerap melontarkan tuduhan kafir dan murtad antara satu sama lain, melabelkan setiap golongan sebagai ‘agen’ kepada ‘musuh-musuh’ Islam.

Farish melihat komitmen yang diikrarkan UMNO terhadap Islam sebagai separuh-hati, jika tidak hipokrisi, kepelbagaian ukuran ‘Islam’nya dirangka dengan teliti agar sama ada mereka dapat lanjut mempromosi dasar imperatif kapitalis dan autoriti UMNO atau paling kurang tidak mencabarnya. Sementara PAS pula, Farish menyebut, seperti kebanyakan gerakan Islam yang lain, mengurangkan programnya dengan efektif kepada implementasi mekanikal, malah ritualistik daripada undang-undang syari’ah.

Sebagaimana ulama’ PAS hari ini melihatnya (dan, sepertimana Farish huraikan, hal ini sebenarnya jelas bercanggah dengan visi kebanyakan pejuang nasionalis dan kiri daripada kalangan perintis PAS), kebanyakan herotan di Malaysia hanya dapat diakhiri dengan efektif melalui pengenalan undang-undang syari’ah. Syari’ah telah, dengan itu, direndahkan kepada hanya simbol, disempitkan kepada tuntutan PAS terhadap institusi Hudud atau hukuman al-Qur’an bersabit dengan beberapa salah laku jenayah.

Tuntutan ini, yang hanya telah menjarakkan kelompok Melayu kelas-pertengahan dan kalangan bukan Islam daripada PAS. Hal ini juga mencerminkan ketidakupayaan pimpinan ulama’ dalam parti untuk merangka fiqh ( jurispruden) Islam dan etika sosial menurut cara yang lebih releven dalam zaman kontemporari. Farish juga mengkritik retorik tajam PAS terhadap bukan Islam, yang dilihatnya sebagai suatu perkembangan baru yang praktikal. Sementara perintis PAS tuntas membela Muslim dan Islam, mereka tidak aktif mencanangkan kebencian terhadap bukan-Islam, berbeza seperti apa yang ulama’ PAS tangani hari ini, Farish mendakwa.

Buku ini diakhiri dengan analisis yang terperinci seputar respon PAS terhadap peristiwa 11 September, 2001, dan gerakan ‘perang ke atas keganasan’ yang dilancarkan oleh Amerika. Seperti kebanyakan kumpulan Islam yang lain, PAS membidas pencerobohan Amerika ke sempadan wilayah Islam dan menuntut umat Islam di Malaysia untuk menyertai jihad anti-Amerika untuk mempertahankan maslahat umat.

Tidak ramai Muslim Melayu di Malaysia yang, bagaimanapun, menyambut panggilan ini. Sepertimana Farish terangkan juga, kerajaan pimpinan UMNO di Malaysia pantas memanfaatkan kesempatan yang dizahirkan oleh pukulan Amerika terhadap kumpulan Islam untuk memperkukuh cengkamannya terhadap parti pembangkang di Malaysia, termasuk PAS, dan meneruskan kerjasama dengan Amerika dalam menjejaki anasir Islamis yang radikal. Hal ini tentunya tambah memburukkan lagi ketegangan antara UMNO dan jemaah Islam di Malaysia.

Farish mengakhiri tulisannya dengan menyeru ke arah perjuangan politik yang progresif di negara asalnya yang mana, menurutnya, merupakan satu-satunya jalan yang dapat disandarkan bagi mencabar autoritarianisme UMNO, fanatisme PAS, dan juga bagi merungkai struktur kapitalisme dan imperialisme. Dalam hal ini, beliau melihat Islam, yang ditafsirkan sebagai falsafah kebebasan dan kesamaan yang radikal, memainkan peranan pokok. Bentuk Islam yang seperti ini, beliau berhujah, semestinya membawa kepada upaya mempersoalkan dakwaan pemimpin UMNO dan PAS sebagai wakil Islam dan komuniti Muslim. Komited kepada keadilan sosial yang komprehensif untuk semua, pendukung visi baru Islam ini akan, katanya, perlu bekerjasama rapat dengan penganut agama lain untuk membina Malaysia yang baru.

Sebagai sebuah kajian yang paling terperinci tentang PAS buku ini adalah rujukan yang vital kepada sesiapa yang berminat tentang politik dan sejarah Asia Tenggara. Sebagai suatu analisis yang sensitif dan provokatif terhadap salah satu gerakan Islam yang utama dalam dunia hari ini, ia juga menjadi rujukan yang berharga kepada mereka yang berminat tentang Islam dan politik. Saiz buku yang tebal, bagaimanapun, jelas menghadkan pencapaiannya. Dua jilid ini boleh diringkaskan kepada satu, dengan menghapuskan pengulangan, perincian yang tidak perlu dan nota kaki yang panjang yang kadangkala memenuhi hampir keseluruhan muka surat.

[Di terjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front]

Monday, November 21, 2011

Nafkah

Dalam artikel yang lepas, saya menerangkan bahawa antara syarat kelayakan seseorang itu

nafkah.jpg

menjadi suami ialahkesedaran dan kemampuan untuk memberi nafkah kepada isterinya. Dalam artikel ini, insya-Allah saya akan mengupas tajuk nafkah dengan lebih mendalam, agar kita sama-sama dapat mengetahui tentangnya dan mempraktikkannya sebaik mungkin.

Nafkah bererti belanja. Secara lebih terperinci ia bererti belanja yang dikeluarkan oleh suami bagi memenuhi keperluan asas ahli keluarganya, yakni isteri dan anak-anak. Keperluan asas yang dimaksudkan ialah tempat tinggal dan kelengkapannya, makanan, minuman, pakaian, pendidikan (anak-anak) dan perubatan apabila diuji dengan penyakit.

Hikmah nafkah ini ialah sebagai penghargaan dan timbal balik suami kepada isterinya yang bekerja keras melayan keperluan suami, menguruskan rumah dan membesar serta mendidik anak-anak.

Hukum dan Kadar Nafkah.

Hukum suami memberi nafkah kepada ahli keluarganya adalah wajib. Allah berfirman: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. [al-Baqarah 2:233] Dalam ayat yang lain Allah berfirman juga: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu. [al-Thalaq 65:06] Demikian juga pada ayat seterusnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. [al-Thalaq 65:07]

Firman Allah “Tempatkanlah…” dan “Hendaklah…” adalah kata kerja perintah, bererti ialah adalah satu perintah yang membawa hukum wajib ke atas suami. Berdasarkan ayat-ayat ini, para ilmuan Islam menyatakan bahawa hukum suami memberikan nafkah kepada ahli keluarganya adalah wajib.

Apa yang menarik untuk diperhatikan di sini adalah, sekalipun Islam mewajibkan tanggungjawab nafkah ke atas suami, Islam menyerahkan kadar nafkah tersebut kepada tahap kemampuan suami tersebut. Jika disemak semula ayat-ayat di atas, akan didapati Allah menyatakan kadar nafkah sebagai “…menurut cara yang sepatutnya…” dan “…sesuai dengan kemampuan kamu”. Ini dijelaskan lagi dalam ayat berikut:

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. [al-Thalaq 65:07]

Keadaan Isteri Yang Diberikan Nafkah.

Suami tetap wajib memberi nafkah kepada isteri sekalipun isteri tersebut seorang yang kaya atau memiliki pendapatan tersendiri. Hanya sahaja, kadar nafkah tetap diukur berdasarkan kemampuan suami dan bukannya permintaan isteri. Justeru seorang isteri yang berasal dari latarbelakang keluarga yang kaya atau berpendapatan tinggi tidak boleh mengharapkan atau meminta barang-barang yang mewah daripada suaminya.

Atas dasar ini, penting bagi seorang wanita untuk memerhatikan kadar kewangan dirinya dan kadar kewangan calon suaminya. Jika dia (wanita) seorang yang biasa dengan kehidupan selesa, berpendapatan tinggi atau menyukai benda-bennda yang mewah, tidak disyorkan memilih calon suami yang biasa dengan kehidupan serba minimum, berpendapatan rendah atau berkecukupan dengan apa yang sedia ada.

Alternatif lain, isteri yang kaya atau berpendapatan tinggi boleh menyumbang sama di atas apa yang dibelanjakan oleh suami. Alternatif ini adalah satu pilihan kepada isteri dan apa yang dia sumbangkan atau belanja menjadi sumber pahala kepadanya. Pahala kerana meringankan beban suami, pahala kerana merupakan sedekah untuk ahli keluarganya.

Nafkah Ialah Sedekah, Sedekah Ialah Pelaburan.

Dalam suasana ekonomi yang semakin menghimpit ini, subjek nafkah mungkin merupakan sesuatu yang agar berat. Bahkan agak ramai suami yang sangat berkira apabila mengeluarkan nafkah untuk ahli keluarganya.

Sebenarnya, nafkah ialah satu bentuk sedekah. Rasulullah bersabda: Apabila seseorang (suami) memberi nafkah untuk keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu baginya adalah sedekah. [Shahih al-Bukhari, no: 53] Nafkah yang diberikan secara ikhlas, yakni semata-mata kerana mengharapkan keredhaan, pahala dan ganjaran daripada Allah, akan menjadi satu sumber pelaburan yang amat menguntungkan.

Allah menyatakan hal ini dalam firman-Nya: Bandingan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]

Jika orang yang menafkahkan harta pada jalan Allah mendapat pulangan pelaburan sebesar di atas, bagaimana pula dengan orang yang menafkahkan harta kepada keluarganya? Hadis berikut menjadi rujukan: Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada seorang budak wanita, dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. [Shahih Muslim, no: 1661]

Tiada had minima untuk modal pelaburan yang dijadikan sebagai nafkah untuk keluarga. Apa jua yang dinafkahkan merupakan modal pelaburan, sekalipun sekadar sesuap nasi. Rasulullah bersabda: Tidakkah Kamu menafkahkan suatu nafkah dengan tujuan untuk mencari redha Allah, melainkan kamu akan mendapatkan pahala karena pemberianmu itu, sehinggakan sesuap makanan yang kamu hulurkan ke mulut isterimu juga merupakan sedekah daripadamu. [Shahih Muslim, no: 3076]

Kesimpulannya, sama ada nafkah yang wajib diberikan oleh suami atau sumbangan yang ditambah oleh isteri, semuanya ada sedekah yang menjana pahala lagi menghasilkan pulangan yang tinggi. Oleh itu ayuh wahai suami dan isteri, sama-samalah mengeluarkan belanja untuk rumahtangga masing-masing, asalkan tidak ke tahap pembaziran.


http://hafizfirdaus.com/content/view/593/1/

Friday, November 18, 2011

Politik Islam Ennahda lawan model PAS






ULASAN Bagi ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model politik Islam PAS, penampilan parti berteraskan Islam di Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu begitu mengejutkan dan sangat janggal.

Pada 22 Januari lalu – 8 hari selepas Ben Ali digulingkan - pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid Ghannoushi memberikan kenyataan kepada akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya tidak berusaha melaksanakan syariat Islam jika berpeluang memerintah Tunisia.

Objektif partinya jelas, iaitu membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk.

Jika sikap dingin Ennahda terhadap perlaksanaan syariat Islam ini diteropong melalui jendela politik Islam versi PAS, ia tidak boleh diterima langsung - sebuah parti Islam mengumumkan tidak berusaha melaksanakan syariat Islam dalam negara yang dikuasainya!

Dalam persekitaran politik Islam versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam tidak menyebut sebarang sikap berhubung perlaksanaan syariat Islam masih boleh diterima, walaupun dengan berat hati.

Ennahda bukan mengumumkan tidak akan melaksanakan hudud – juzuk kecil dalam syariat Islam – sebaliknya tidak akan berusaha melaksanakan syariat Islam itu sendiri!

Andainya pengumuman serupa – disebabkan pertimbangan tertentu yang wajar – dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan meninggalkan parti.

Paling kurang pun, parti akan dituduh mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari keredaan-Nya, semata-mata kerana kuasa politik dan 'keredaan' pengundi (terutamanya bukan Islam)!

Jika pengumuman seperti itu dibuat oleh parti yang bukan dari aliran Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel menolak hukum Allah serta lebih mengutamakan sokongan pengundi.

Negara sekular

Sejajar dengan pengumuman itu, persoalan berhubung perlaksanaan syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihan raya Tunisia pada 23 Oktober lalu.

Ennahda yang diasaskan pada tahun 1981 terus membuat 'kejutan', apabila mengumumkan akan berusaha membentuk masyarakat sekular pelbagai parti yang menghormati hak-hak manusia!

Dalam iklim politik Malaysia, sikap Ennahda yang berterus terang sangat ‘melampau’ dan pasti mencetuskan perdebatan hukum yang serius.

Tindakan sebegitu sangat sensitif bagi umat Islam di sini, sehinggakan Umno sendiri, yang disifatkan PAS sebagai bukan parti Islam, tidak berani dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Umno sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam, dan Malaysia merupakan negara Islam.

Rentetan pendirian politik itu, pengasas Ennahda Rachid Ghannouchi mengambil sikap liberal atau sangat ‘longgar’ terhadap aktiviti penjualan dan penggunaan arak di Tunisia.

Beliau mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat penjualan arak dan tidak akan mengganggu budaya memakai bikini di pantai negara itu.

Sikap yang sama ditunjukkan dalam layanan parti Islam itu terhadap wanita. Mereka membenarkan wanita Islam tidak bertudung menjadi calonnya, disamping menjamin mempertahankan hak wanita Tunisia memakai apa jua pakaian yang dikehendaki.

‘Jenama Islam’

Pendirian politik dan sikap liberal Ennahda berhubung persoalan yang dinyatakan membentuk kesimpulan, iaitu parti Islam itu berusaha menyembunyikan ciri-ciri keislaman dalam tindak tanduk dan pendiriannya, demi maslahah yang lebih besar, iaitu menerajui negara.

Ennahda juga cuba menampilkan dirinya dalam bentuk sebuah parti yang dinamik, sederhana dan toleran.

Ini berbeza dengan PAS yang dilihat berusaha ke arah sebaliknya, iaitu menampilkan ciri-ciri keislaman dan ‘jenama Islam’.

Namun, perkembangan semasa memperlihatkan PAS semakin mendekati Ennahda apabila ‘menutup’ ciri-ciri keislamannya zahir dan ketara, iaitu penubuhan negara Islam, yang kini dengan idea negara berkebajikan.

Bezanya, Ennahda tidak mengambil masa untuk sampai kepada kedudukannya sekarang. Parti itu tampil dengan watak sebegitu sejak awal, sejak kejatuhan regim Ben Ali lagi.

Tidak seperti PAS - parti yang satu-satunya menamakan dirinya parti Islam itu mengambil masa puluhan tahun untuk sampai kepada titik itu, iaitu titik pasca pilihan raya umum 2008, yang menyaksikannya tampil dengan karakter sederhana dan dinamik.

PAS mengambil masa puluhan tahun untuk menyolek dirinya. Dipercayai, banyak pihak, termasuk profesional dalam PAS, mengimpikan agar PAS tampil seperti bentuknya sekarang, paling tidak, sejak berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990.

Tentunya ada pihak yang mengandaikan, jika parti itu bermula awal,
mungkin kedudukannya di pentas politik tanah air masa kini lebih baik dari sekarang atau sudah pun menguasai Putrajaya!

Ijtihad politik

Mengambil kira kedudukan Ghannoushi selaku seorang pemikir Islam yang banyak menghasilkan karya bermutu, menjadi pembantu setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Yusuf Qaradhawi, pendirian Ennahda perlu dinilai sebagai ijtihad politik yang perlu dialu-alukan.

Ennahda melihat dirinya berhadapan dengan kewajipan membentuk negara yang adil serta kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam berhubung arak, hudud dan penguatkuasaan etika Islam.

Pada pertimbangan Ennahda, kedua-dua kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan serentak. Pelaksanaan hukum hakam berkaitan arak, hudud dan etika Islam dijangka akan mencetuskan tentangan rakyat, seterusnya mungkin mengakibatkan mereka gagal menerajui negara.

Sehubungan itu, Ennahda memilih memberi keutamaan kepada kewajipan membentuk negara yang adil, biarpun dengan menangguhkan buat sementara kewajipan lain.

Pendirian ini diambil kerana parti itu melihat ‘menerajui negara’ maslahahnya lebih besar. Ia akan memberi peluang kepada parti itu
melaksanakan agenda yang lebih menyeluruh kesannya, iaitu keadilan sosial, kebebasan undang-undang, perlaksanaan syura, ketelusan pentadbiran dan demokrasi. Pada hakikatnya ia tuntutan Islam yang besar dan utama.

Selain berpedomankan Fekah Awlawiyyat (fekah keutamaan) dalam membuat pendirian politik, Ennahda juga berpandukan kepada konsep tadarruj (beransur-ansur) dalam perlaksanaan Islam.

Realitinya, konsep ini kekal absah, bukannya 'tamat tempoh’ sebaik sahaja hukum hakam Islam lengkap dan sempurna, sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Dalam ruangan yang terbatas ini, tindakan dan kenyataan Khalifah Umar Abdul Aziz sudah memadai untuk mengesahkan keabsahan konsep ini sehingga ke hari ini.

Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam kitab al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).

Penangguhan ini bagaimanapun dibantah anak beliau Abdul Malik. Beliau berkata kepada Umar:

“Mengapa ayahanda tidak melaksanakan perkara-perkara ini (menghapuskan saki baki penyelewengan dan kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli, sekalipun anakanda dan ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”

Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama) membantah kenyataan anaknya itu dengan berkata:

“Jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).

“Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah.” (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, jilid 2, hlm 93-94).

Fekah Awlawiyyat

Realiti di Tunisia mungkin berbeza dengan negara ini. Tulisan ini tidak bermaksud memberi saranan kepada mana-mana pihak agar mengambil sikap politik yang sama dengan Ennahda.

Objektif tulisan ini ialah melambung persoalan Fekah Awlawiyyat agar menjadi pertimbangan dan perkiraan semua pihak, terutama gerakan Islam, dalam setiap tindak tanduk dan perdirian yang diambil.

Ya, mungkin suasana di Tunisia memerlukan Ennahda mengambil sikap yang begitu liberal terhadap perlaksanaan syariat Islam disebabkan latar belakang kehidupan rakyatnya yang dicengkam ‘sekularisme melampau’ sejak berdekad-dekad lamanya.

Namun, kita perlu berfikir panjang dan berhati-hati sebelum mengutarakan bahawa pendekatan, sikap dan pendirian politik yang serupa tidak sesuai di Malaysia, disebabkan perkembangan Islam yang pesat di negara ini dan kefahaman rakyatnya yang tinggi terhadap Islam.

Ini kerana, di sini terdapat fenomena yang memerlukan pertimbangan khusus, yang lebih ‘parah’ daripada ‘sekularisme melampau’ di Tunisia, iaitu kewujudan bukan Islam yang ramai dan menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya.

Jika realiti semasa Tunisia yang dilatari ‘sekularisme melampau’ dalam tempoh yang lama memerlukan Ennahda mengambil sikap sebegitu, bagaimana pula dengan realiti berteraskan kemajmukan agama dan kepercayaan seperti di Malaysia?

Mana-mana pihak yang menyakini politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam dan percaya perjuangan menegakkan negara adalah tuntutan Islam, tidak perlulah tampil menyifatkan tindakan Ennahda sebagai mengorbankan prinsip perjuangan atau tuntutan agama demi kuasa politik.

Mereka tidak boleh berkata demikian kerana mereka juga yang melaung-laungkan bahawa perjuangan menegakkan negara dan memerintah negara adalah satu kewajipan dan tututan Islam.

Jika demikian, tindakan Ennahda itu termasuk dalam kategori mendahulukan kewajipan agama (menegakkan negara) yang dinilai lebih utama, dengan menangguhkan satu lagi kewajipan agama (perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika Islam) yang dinilai sebaliknya.

Ia adalah berkaitan Fekah Awlawiyyat. Ia bukannya menggadai prinsip perjuangan demi kuasa!

sumber: http://malaysiakini.com/news/181693

Forum Revisiting Islamic State - 1

n



m

Thursday, November 17, 2011

Pandangan Ustaz Fathi Yakan Terhadap Hizbu Tahrir


Dalam Buku: Kearah Kesatun Umat Islam

Oleh : Ustaz Fathi Yakan

iii. CARA REVOLUSI PEMIKIRAN (ATAU PENGALAM AN HIZBUL TAHRIR)

Hizbul Tahrir percaya operasi melepaskan umat dan penyakit mereka ialah dengan mengembalikan mereka percaya kepada kebenaran pemikiran dan hukum-hukum Islam. Caranya ialahdengan melalui revolusi pemikiran politik yang dapat menghancurkan pemikiran batil dan hukuman yang safah. Oleh itu parti ini telah menerbitkan buku-buku dan risalah-risalah dalam berbagai tajuk, serta sebaran-sebaran pemikiran dan politik dan masa ke semasa, samada menerangkan hukum Islam dalam satu-satu masalah atau menentukan sikap parti tersebut dalam kes-kes dan isu-isu tertentu.

Pandangan golongan Islam terhadap Hizbul Tahrir adalah berbagai ragam. Ada yang meragui tentang asas penubuhan parti tersebut, serta meragui matlamat dan tujuannya. Di mana mereka menganggap tertubuhnya parti itu bertujuan untuk mengacau fikiran orang ramai dan meragukan mereka terhadap gerakan-gerakan Islam yang mendahuluinya, atau sekurang-kurangnya menimbulkan keraguan tentang peribadi peribadi dalam gerakan-gerakan terdahulu.

Alasan golongan Islam itu terhadap Hizbul Tahrir ialah kesamaran yang melindungi gerakan tersebut dan pimpinannya, tetapi juga tentang isi pendahuluan risalah “al-Takattul al-Hizbi” yang menganggap segala perkumpulan dan harakah yang mendahuluinya merupakan perkumpulanperkumpulan yang gagal dan bertentangan antara satu sama lain dan masing-masing diasaskan atas asas yang salah belaka. Mereka juga berpegang kepada alasan bahawa Hizbul Tahrir cuba mempengaruhi golongan yang telah bekerja untuk Islam (bukannya mengambil keahlian golongan baharu). Usaha ini dibuat dengan menanamkan keraguan terhadap perjalanan jama’ah-jama’ah lain, melalui usaha melemahkan fikrah fikrahnya dan membesar-besarkan perbezaan-perbezaan fikrah ini hingga tidak ada penyatuan yang akhirnya menyebabkan kegagalan harakah-harakah Islam itu untuk menegakkan Negara Islam dalam beberapa tahun. Sebaliknya Hizbul Tahrir menarik elemen-elemen tersebut dengan kekuatan parti dan kemampuan luarbiasa mereka untuk menegakkan negara Islam dengan cepat, malah dikhayalkan kepada mereka negara Islam telah pun tertegak.

Mereka menyatakan tertegaknya negara Islam tidak perlu yang lain kecuali pengisytiharan tertubuhnya negara tersebut. Kesan psikologi yang ditujui dan cara ini ialah untuk menghancurkan golongan yang telah tertarik dengan psikologi Hizbul Tahrir ini sejak lama tetapi masih ragu ragu samada Hizbul Tahrir ini mendatangkan lebih mudharat dan manfaatnya kepada Islam, atau elemen yang kacau fikiran mereka akibat realiti yang pahit menimpa mereka.

Ada pula golongan yang menganggap Hizbul Tahrir merupakan suatu pengalaman yang telah dilalui dalam amal Islam dan akan terus dilalui, iaitu pengalaman yang ada baik dan buruknya. Pengalaman yang menunjukkan kegagalan mereka untuk sampai kepada matlamat secara cepat mengikut mereka tetapkan sendiri. Malah menjadi alasan kepada perkumpulan perkumpulan yang diserangnya itu untuk berhujah.

“Tidak adanya kesan uslub Hizbul Tahrir ini kepada orang ramai dan segi fikrah Islamiyyah yang asas, bukanlah timbul dan hasil kesilapan mereka dalam cara bergerak, atau kerana kesalahan dalam praktiknya, atau kerana penyelewengan; tetapi sifat uslub itu sendiri yang menyebab kan ianya tidak mendatangkan kesan secara cepat, dan keadaan pemikiran masyarakat terutama masyarakat zaman mutakhir yang memerlukan jangka masa yang panjang dan ubat yang kuat untuk terubah pemikiranmereka.

Saya tidaklah bertujuan membentang secara terperinci segala pandangan orang lain terhadap Hizbul Tahrir. Tujuan saya ialah untuk mengambil pelajaran dan kajian ke atas Hizbul Tahrir ini sebagai suatu pengalaman dan pengalaman- pengalaman Amal Islam di zaman moden tanpa terpengaruh dengan sikap orang lain. Lebih-lebih lagi jika diperhatikan bahawa tiada satu dalil pun yang dapat disahkan terhadap khabar angin yang dilemparkan kepada Hizbul Tahrir. Di kalangan gerakan Islam sepatutnya tidaklah berlaku kata mengata, tetapi segala kritikan hendaklah secara objektif dan logik dengan matlamat untuk memperbaiki, dan inilah saja jalan yang betul supaya terbentuk sebuah harakah Islamiyyah yang layak memimpin.

Berikut sebahagian daripada kesalahan Hizbul Tahrir sebagai satu pengalaman dan pengalamanpengalaman umat Islam dan sebagai rang bagi penubuhan sebuah harakah Islam antarabangsa yang tunggal: —

1. Ia hanya menjadikan pemikiran sebagai satu satunya jalan bagi pembinaan Syaksiyyah Islamiyyah. Sedangkan Ikhwan Muslimin yang dipandang salah oleh Hizbul Tahrir, dalam waktu yang sama menggunakan cara Tarbiyyah dan takwin rohani dan akhlak dengan tidak mencuaikan aspek pemikiran. Cara uslub Rasulullah s.a.w adalah jelas ber dasarkan kepada kesedaran pemikiran, Tarbiyyah rohaniyyah, akhlak dan jihad dalam pembinaan syaksiyyah Islamiyyah.

2. Ia menggunakan konsep melompat dan peringkat “pengetahuan” keperingkat “operasi”. Di sini Hizbul Tahrir telah terjun ke peringkat operasi sebelum melalui peringkat pembmaan dan dalam. Dalam ertikata lain ia berusaha menentang pemikiran dan segala bentuk Jahiliyyah bagaikan orang yang ingin melewati ke satu perlembahan tanpa jambatan. Peringkat atau fasa “Tatqif”, parti Hizbul tidak cukup untuk menghadapi cabaran Jahiliyyah sekaligus. Ia jugà tidak memberikan kemampuan kepada anggota-anggota parti supaya dapat menghadapi cabaran yang ganas itu. Hizbul Tahrir seharusnya mempengaruhi orang ramai selangkah dan membina rakizah-rakizah serta mengadakan pengawalan-pengawalan yang sempurna terhadap mereka. Hijrah Rasulullah s.a.w boleh dijadikan contoh dalam hal ini ianya satu contoh yang kemas kalau dilihat dan sudut operasi ketenteraan.

3. Ia menjadikan golongan luar atau dalam Istilah mereka “mendapatkan nasrah” sebagai cara untuk sampai kepada matlamat memerintah. Hizbul Tahrir memandang bahawa menggunakan kekuatan merupakan sebagai jalan untuk mencapai kuasa dan memulakan kehidupan secara Islam. Dalam waktu yang sama mereka memandang penting memiliki kekuatan itu.

Dalam satu sebarannya bertajuk “Soal Jawab”, Hizbul Tahrir telah meminta pertolongan di Syria untuk membolehkan ia memikul tanggungjawab dakwah seterusnya kekuasaan pemerintahan. Keadaan demikian berterusan sehingga awal tahun 1964 tanpa ada mereka yang menyahut seruannya. Menurut sebaran itu lagi, untuk memohon pertolongan dan seorang ketua negara mereka memerlukan satu rombongan atau seorang pemuda sahaja. Begitu juga untuk memohon pertolongan dan ketua kumpulan, pemimpin satu jama’ah, pemimpin Kabilah atau dan seorang duta atau Seumpamanya, memerlukan hanya beberapa orang sahaja.

Anihnya, logik “memohon pertolongan” ini bagi Hizbul Tahrir sepatutnya ditolak awal-awal lagi, kerana Ia satu permohonan yang tidak akan diterima oleh sesiapa pun. Harakah sepatutnya bergantung kepada kekuatan sendiri,. dan elemen-elemen harakah itu sepatutnya dapat menguasai tempat-tempat strategik. Ini merupakan uslub yang lebih tepat dan selamat dalam usaha mencapai matlamatnya, apa lagi dalam suasana buruk seperti sekarang di mana dunia Islam sekarang berada di bawah kawalan perisikperisik dalam dan luar negeri.

Adalah satu pandangan yang menyeleweng dan tidak masuk akal bagi menjadikan uslub mengharapkan pertolongan puak luar ini sebagai jalan untuk melaksanakan perubahan Islam dan mendapat kekuasaan. Natijahnya nanti perubahan Islam yang dicita-cita itu akan tinggal menjadi suatu laungan sahaja atau suatu hembusan dalam debu.

4. Kesalahan Hizbul Tahrir seterusnya ialah apabila ia berpegang kepada fikrah “membangunkan hukum dan pemikiran secara umum”. Fikrah ini mempercayai bahawa setiap soalan itu perlu dijawab dan setiap satu persoalan ada satu jawapan. Perkara ini pada zahirnya baik terutama kepada para pemuda yang terhad pengetahuan Islam mereka. Tetapi natijah jangka panjangnya. ia memupuskan pengetahuan dan menyempitkan pemikiran Islam. Dalam buku buku yang diterbitkan oleh Hizhul Tahrir tidak kedapatan pengetahuan dan pemikiran Islam ini dibicarakan secara meluas.

Fikrah yang mengambil satu pendapat dalam persoalan khilafiah dalam hal yang hersangkut paut dengan harakah dan politik adalah satu hal yang baik dan berfaedah, tetapi jika ianya diperluaskan bagi mencakupi semua hal perundangan, natijah yang buruk dan menakutkan akan dapat dirasai.

Sukalah saya menukilkan satu perenggan dan buku Maalim Fi-T-Tariq’ — Petunjuk sepanjang Sepanjang Jalan — di mana Syed Qutb telah menyatakan “sebahagian golongan yang ikhlas tetapi gopoh gapah, yang tidak memandang akan tabiat agama ini manhajnya yang rabbani lagi betul; yang diasaskan atas hikmat Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah mengetahui akan segala tabiat manusia dan keperluan hidup mereka”.

Ada di kalangan umat Islam yang mengkhayalkan bahawa dengan membentangkan asas-asas peraturan, sistem dan perundangan Islam akan memudahkan jalan dan menyebabkan orang mencintai agama ini Mereka menyangka Islam dapat ditegakkan dengan membentangkan Islam dalam bentuk teori atau sebagai suatu sistem perundangan, sedangkan tidak ada dimukabumi suatu masyarakat pun yang benar-benar mahu berhakimkan syari’at Allah serta menolak segala syariat yang lain semudah itu. Orang-orang yang menghendaki dan Islam segala-galanya ini sebenarnya tidak faham akan tabiat agama ini, tidak faham bagainiana cara Islam berkerja dalam kehidupan manusia, sebagaimana dikehendaki oleh Allah.”

Sesungguhnya, pada masa akhir-akhir ini telah jelas bahawa Hizbul Tahrir telah terjebak dalam kesalahan-kesalahan dan segi politik dan fekah hasil dan menyempit-nyempitkan perbincangan. Sebagai contohnya, mereka telah meragukan kewujudan jama’ah Islam di Pakistan. Kedua: mereka mengharuskan ‘kucupan’ sewaktu mengucapkan selamat tinggal atau memulakan musafir. Ini merupakan satu kesilapan besar. Ini disebarkan dalam sebaran parti itu.

Cukuplah setakat ini pembentangan kesilapan-kesilapan Hizbul Tahrir sepanjang pengalaman yang dilaluinya.