Thursday, July 16, 2009

PUASA REJAB DALAM TIMBANGAN SYARIAT NABI

Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagianya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:

1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."

Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.

2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"

Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.

3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".

Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.

Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar di kalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.

(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).

Sayyidina Umar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab.

(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).

Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)).

(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).

Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.

Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.

Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. http://www.darulkautsar.net/

No comments:

Post a Comment