Wednesday, October 13, 2010

Peristiwa Tahkim



gambar hiasan



Oleh Muhammad Malullah

Prakata: Peristiwa Tahkim mengikut sejarah yang kita pelajari ialah berlaku perebutan kuasa antara Ali dan Mu`awiyah yang membawa mereka ke meja perundingan. Perundingan antara mereka berdua telah diwakili oleh Abu Musa al-`Asyari bagi pihak Ali dan `Amr bin al-`Ash bagi pihak Mua`wiyah. Kedua-dua perunding telah bersetuju untuk memecat Ali dan Mua`wiyah. Menurut sejarah lagi, `Amr bin al-`Ash dengan kelicikannya berjaya memperdayakan Abu Musa yang digambarkan sebagai seorang yang lalai dan mudah tertipu.. Akibatnya, Ali terlepas dari jawatan khalifah. Tulisan Shaikh Muhammad Malullah ini akan mendedahkan kebatilan riwayat Tahkim.

Oleh kerana peristiwa Tahkim sangat penting dalam sejarah politik negara Islam, adalah perlu untuk kita menyingkap hakikat sebenar babak-babaknya di mana peristiwa ini telah disalahtanggapi dan telah disalahtafsirkan. Akibatnya timbul kesan buruk iaitu menjatuhkan kedudukan dan martabat para sahabat. Peristiwa Tahkim yang tersebar itu telah menjadikan sebahagian sahabat sebagai penipu dan orang yang mudah terpedaya dan sebahagian yang lain dituduh sebagai perakus kuasa.

Dengan meletakkan riwayat Tahkim di atas neraca kajian dan penilaian, dua perkara dapat diamati, pertama kelemahan pada sanad dan kedua, kegoncangan pada matan atau teks. Dari sudut sanad terdapat dua perawi yang ditohmah keadilannya iaitu Abu Mikhnaf Lut bin Yahya dan Abu Janab al-Kalbi. Abu Mikhnaf seorang yang dhai`if dan tidak thiqah sementara al-Kalbi, menurut Ibn Sa`ad, dia seorang yang dha`if. Al-Bukhari dan Abu Hatim berkta: Yahya bin al-Qattan mendha`ifkannya. Uthman al-Darimi dan al-Nasa’i mengatakan dia dha`if.

Ada tiga perkara yang dikesani pada matannya. Pertama, berkaitan dengan perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah yang menjadi punca kepada peperangan antara mereka berdua. Kedua, persoalan jawatan Ali dan Mu`awiyah. Ketiga, keperibadian Abu Musa al-`Asy`ari dan `Amr bin al-`Ash.

Perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah

Adalah diakui dan disepakati oleh semua ahli sejarah bahawa sebab pertelingkahan antara Ali dan Mu`awiyah ialah tentang tindakan qisas terhadap pembunuh-pembunuh Uthman. Pada anggapan Mu`awiyah, Ali telah mencuaikan tanggungjawabnya melaksanakan hukuman qisas ke atas pembunuh-pembunuh Uthman. Dengan itu, beliau enggan untuk membai`ah Ali dan taat kepadanya kerana beliau berpendapat hukum qisas perlu ditegakkan sebelum khalifah dibai`ahkan. Pada masa yang sama beliau merupakan wali darah kerana kekeluargaannya dengan Uthman.

Sikap keengganan Mu`awiyah untuk membai`ah Ali kerana menunggu qisas dijalankan dan kegagalan beliau melaksanakan urusannya di Syam telah menjadikan Mu`awiyah dan para pengikutnya dari kalangan penduduk Syam pada pandangan Ali seperti sikap orang-orang yang menentang khalifah. Ali berpendapat bahawa bai`ahnya telahpun sah dengan persetujuan para sahabat Muhajirin dan Ansar yang telah menghadiri upacara bai`ah. Dengan itu, bai`ah tersebut mengikat orang-orang Islam yang berada di tempat yang lain. Oleh hal yang demikian, Ali menganggap Mu`awiyah dan penduduk Syam bersama beliau sebagai penderhaka yang mahu memberontak sedangkan Ali adalah imam sejak dibai`ahkan sebagai khalifah dan beliau memutuskan untuk menundukkan dan mengembalikan mereka ke dalam jamaah walaupun dengan cara kekerasan.

Memahami pertelingkahan mengikut gambaran ini, iaitu gambarannya yang sebenar akan menjelaskan sejauh mana kesilapan riwayat yang tersebar tentang peristiwa Tahkim yang menggambarkan pendapat dua orang perunding. Kedua-dua perunding itu dilantik untuk menyelesaikan perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah bukan untuk menentukan siapakah yang lebih layak untuk jawatan khalifah. Sebenarnya perbicaraan itu berkenaan dengan menjatuhkan hukuman ke atas pembunuh-pembunuh Uthman, sedikitpun tidak berkait dengan urusan khilafah. Apabila dua orang perunding itu mengabaikan dan meninggalkan persoalan asas ini iaitu maksud diadakan Tahkim dan mereka memutuskan persoalan khalifah sebagaimana yang didakwa oleh riwayat tersebut, bererti mereka berdua tidak memahami tajuk pertelingkahan dan tidak mengetahui persoalan dakwaan dan ini satu perkara yang hampir mustahil.

Jawatan Ali dan Mu`awiyah

Mu`awiyah telah ditugaskan untuk mentadbir Syam sebagai wakil bagi pihak Umar bin al-Khattab dan Syam terus berada di bawah pentadbirannya sehingga Umar meninggal dunia. Kemudian Uthman menjadi khalifah dan beliau mengekalkan jawatan Mu`awiyah. Apabila Uthman dibunuh dan Ali menjadi khalifah, beliau tidak mengekalkan jawatan Mu`awiyah di mana jawatan tersebut terlucut dengan sebab berakhirnya pemerintahan khalifah yang telah melantiknya.

Dengan itu, Mu`awiyah telah kehilangan pusat kekuasannya dan jawatannya sebagai gabenor Syam walaupun sebenarnya beliau masih lagi mempunyai kuasa dengan sebab penduduk Syam menyokong beliau dan mereka berpuas hati dan bersetuju dengan alasan Mu`awiyah yang tidak mahu memberi bai`ah kepada Ali. Sebabnya ialah tuntutan perlaksaan hukum qisas terhadap pembunuh-pembunuh Uthman berdasarkan haknya sebagai penuntut bela kematian Uthman.

Apabila keadaan sebenarnya begitu, keputusan perunding itu menurut riwayat tersebut memberi maksud memecat Ali dan Mu`awiyah. Pemecatan Mu`awiyah itu berlaku bukan pada tempatnya kerana jika kita mengandaikan dua orang perunding itu mengendalikan pertelingkahan Ali dan Mu`awiyah kemudian memecat Ali dari jawatan khalifah. Persoalannya dari jawatan apa, mereka berdua memecat Mu`awiyah? Adakah mereka berdua boleh memecat Mu`awiyah dari hubungan kekeluargaan dengan Uthman atau menghalangnya dari menuntut bela kematian Uthman? Adakah pernah terjadi di dalam sejarah seorang pemberontak dilucutkan dari kepimpinannya dengan sebab resolusi yang diputuskan oleh dua orang hakim? Tidak diragukan lagi ini merupakan satu faktor lain yang menyokong tentang karutnya riwayat Tahkim yang tersebar umum itu.

Keperibadian Abu Musa dan `Amar bin al-`Ash

Tanggapan tentang Abu Musa menjadi mangsa tipu daya `Amr bin al-`Ash dalam peristiwa Tahkim menafikan fakta-fakta sejarah mengenai keutamaan, kepintaran, kefaqihan dan kepercayaannya, lebih-lebih lagi menafikan perlantikannya sebagai hakim dan qadhi di dalam Negara Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. Baginda telah melantik beliau sebagai gabenor Zabid dan `Adn. Umar pula melantiknya sebagai gabenor Basrah sehinggalah beliau mati syahid. Seterusnya Uthman mengekalkannya sebagai gabenor Basrah, kemudian menjadi gabenor Kufah sehinggalah beliau mati syahid dan Ali mengekalkan jawatannya itu. Adakah dapat dibayangkan Rasulullah s.a.w. dan para khalifah sesudah baginda mempercayai seorang sahabat yang mudah diperdayakan dengan tipu helah seperti yang diriwayatkan oleh cerita Tahkim itu?

Sedangkan para sahabat dan ramai dari kalangan ulama Tabi`in mengakui kemantapan beliau di dalam ilmu, kemampuan dalam kehakiman, kepintaran dan kecerdasan dalam pengadilan. Bagaimana mungkin digambarkan kecuaian dan kelalaiannya sampai ke tahap ini? Seolah-olah beliau tidak memahami hakikat sebenar pertelingkah yang beliau menjadi perundingnya lalu mengeluarkan keputusan yang tidak munasabah dengan keperibadiannya. Iaitu keputusan melucutkan jawatan khalifah tanpa alasan yang mengikut syara`dan keputusan pemecatan Mu`awiyah yang didakwa sebagai khalifah itu serta peristiwa maki hamun dan caci mencaci yang berlakukan antara Abu Musa dan `Amr bin al-`Ash. Ini adalah suatu perkara yang sama sekali bertentangan akhlak mulia dan adab bertutur para sahabat yang diketahui secara mutawatir.

Apabila ilmu dan pengalaman Abu Musa dalam kehakiman dapat menghalangnya dari tersilap membuat keputusan dalam kes yang diserahkan kepadanya begitu juga keadaan `Amar bin al-`Ash yang diakui sebagai salah seorang cerdik pandai Arab. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan beliau supaya menghakimi perbalahan dua orang lelaki di hadapan baginda. Rasulullah s.a.w. memberi berita gembira kepada beliau ketika beliau bertanya: Wahai Rasulullah adakah saya mengadili sedangkan engkau ada. Baginda bersabda: Apabila seseorang hakim itu mengadili kes dengan berijtihad maka dia akan mendapat dua pahala jika benar dan apabila dia menghukum dengan berijtihad lalu tersilap maka dia akan mendapat satu pahala.

Menerima riwayat Tahkim bererti menghukumkan `Amar bin al-`Ash sebagai seorang yang tunduk pada hawa nafsu dalam menjalankan tugas-tugasnya dan ini adalah satu serangan bukan sahaja terhadap kepintaran dan kemahirannya tetapi terhadapan kewarakan dan ketakwaannya. Sedangkan beliau merupakan sahabat yang termulia dan paling utama serta kelebihannya sangat banyak. Di dalam fatwanya, Ibn Taymiyyah menyebutkan tidak ada seorangpun dari kalangan salaf yang mengkritik `Amr bin al-`Ash dengan nifaq atau tipu helah. Dengan ini, berdasarkan kepada necara kritikan objektif terhadap teks-teks sejarah, jelaslah apa yang dikemukakan dalam tulisan ini tentang pembohongan dalam riwayat peristiwa Tahkim yang tersebar umum itu.

Terjemahan oleh Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahya untuk www.darulkautsar.net





No comments:

Post a Comment