Thursday, October 27, 2011

Ibrah Dari Satu Kesilapan



a



Setiap manusia, tidak terlepas dari berbuat dosa. Dosa setiap hamba tentu saja tidak sama, ada yang melakukan dosa kecil, dosa besar, ada yang ALLAH bukakan aibnya, ada yang disembunyikan, ada yang hanya tersilap sekali berbuat dosa, ALLAH sudah menegurnya, bahkan ada hamba yang ALLAH biarkan dia terus bergelumang dengan lazatnya maksiat tanpa rasa takut!!

Kesan dosa, dapat mendekatkan hamba yang jauh kepada ALLAH,

Kesan dosa dapat melembutkan hati yang keras, menjadi tunduk pada ALLAH,

Kesan dosa menjadikan manusia sentiasa bermuhasabah diri.

Bahkan, semua ini akan membuahkan rasa cinta padaNya..

Daripada Anas r.a , Nabi s.a.w bersabda : "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seseorang hambanya, Dia menyegerakan baginya hukuman di dunia ( daripada ujian,mehnah sehingga dia sedar ), dan barangsiapa yang dikehendaki Allah akan keburukan, Dia menangguhkan hukuman tersebut disebabkan dosanya ( sehingga terus lalai ) dan diberi balasan pada hari kiamat."

Tetapi apa yang penting, apakah reaksi kita terhadap dosa tersebut??

Adakah menyesal biasa-biasa saja?

Atau benci untuk tidak mengulanginya semula dan berbuat baik sebagai 'galang-ganti' kepada dosa yang kita lakukan?

Saya telah berbuat dosa :

Ya, kamu memang telah melakukan dosa. Kamu telah melampui batas dan menganiayai dirimu sendiri. Betapa ramai memandang kamu hina kerana dosa ini. Betapa ramai menjauhkan diri, tatkala mengetahui kamu berbuat dosa. Tetapi sedarilah dan akuilah kasih sayang manusia tidaklah sama dengan rahmat ALLAH. Tatkala hamba yang lain memandangmu hina kerana dosa, ALLAH telah menjanjikan dan memberi harapan tentang pengampunan yang Dia sediakan untuk hambaNya :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. ( Al-Zumar : 53 )

Bukankah ALLAH telah menjanjikan rahmatNya bagi orang yang melampui batas??

Betapa pengasihnya ALLAH, walaupun kita berdosa, tetapi ALLAH tetap mengampunkan dosa hambaNya yang ikhlas bertaubat. Bertuahnya kita, walaupun kita pernah mengabaikan hak-hak ALLAH, tetapi ALLAH tetap menerima kita dengan taubat. Beruntungnya kita, walaupun pernah berbuat dosa, tetapi melalui taubat, kita menjadi bersih semula dan berpeluang memasuki syurga yang ALLAH sediakan buat hamba-hambaNya :

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (QS. At Tahrim: 8).

Maha pengasihNya ALLAH, bagi sesiapa yang berfikir...! indahnya hidup sebagai muslim, bertuhankan ALLAH dan berlandaskan Islam.

Iktibar dari dosa ini :

“Dosa, sangat mudah untuk dilakukan, nikmatnya bersifat sementara, dosanya akan diampunkan dengan sebenar-benar taubat, tapi kesannya tak mudah pudar”

Orang yang beriman, jika dia pernah berbuat dosa, sudah pasti dia benci untuk kembali kepada kemungkaran. Dia tidak akan berhenti bertaubat pada ALLAH. Baginya walaupun dosa itu kecil pada kacamata manusia, tetapi tidak baginya. Betapa dia pernah merasai kesan buruk terhadap perlakuannya, sama ada pada hatinya sendiri atau kesan terhadap saudara-saudaranya terdekatnya.

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun dirinya pernah melakukan perkara mungkar, dan dia bertaubat, tentu saja pengalamanya melakukan dosa tidak sia-sia.

Adakah sama dua orang yang bercakap tentang dosa maksiat, seorang yang pernah merasai ‘pahitnya’ dosa itu, dan seorang lagi yang tidak pernah merasakannya?? Tentu saja tidak, orang yang pernah bertaubat dengan dosanya, sudah pasti tahu tentang kesan yang telah dia rasakan pada hati dan imannya. Sedangkan seorang lagi, bercakap berpandukan teori semata-mata.

Jadi, dengan pengalaman dosamu ini, didiklah zuriat-zuriatmu nanti agar tidak melakukan kesilapan yang sama, bantulah sahabat & saudaramu lain untuk kembali kepada ALLAH. Kamu pernah berbuat silap, sudah tentu kamu lebih memahami keadaan saudaramu, sudah tentu kamu lebih expert untuk berdakwah kepada mereka. Bimbinglah mereka dengan pengalaman dan kerendahan hatimu. Mereka memerlukan orang-orang seperti kamu.

Betapa ramai hamba yang pernah bergelumang dengan maksiat, bertaubat, akhirnya menjadikan pengalaman maksiatnya sebagai satu modul, untuk berdakwah?? Menarik hati-hati lain untuk kembali kepada ALLAH??

Bukankah sesuatu itu berlaku tidak sia-sia? Bagi orang yang berfikir...

Manusia yang suka menghukum.

Manusia suka mengambil alih tugas ALLAH. Mereka terlupa bahawa, hukuman terhadap orang yang berdosa adalah urusan ALLAH. Inilah kelemahan manusia, apabila hamba lain melakukan dosa, sangat cepat untuk dikritik, sehinggakan mereka terlupa bahawa mereka juga tak lepas dari dosa.

“ Seandainya kalian tidak berbuat dosa, niscaya Allah akan melenyapkan kalian, dan Dia pasti akan mendatangkan suatu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka akan memohon ampun kepada Allah, lalu Dia akan mengampuni mereka”. (HR. Muslim, no. 2749)

Siapa kita untuk meletakkan hukuman kepada mereka?? Jika kita tidak pernah melakukan dosa, maka adakah wajar kita menjadi penghukum?..Janganlah bersikap sombong ,bukankah hari esok, lusa masih ada, dan bukan satu jaminan kita bebas dari melakukan kesilapan. Adakah kamu yakin, jika ALLAH mengujimu dengan maksiat, kamu takkan sesekali melakukan..tentu tidak.

“Kamu akan diuji dengan setiap apa yang kamu katakan”

Bercakap memang mudah, menghina juga mudah...tetapi tidak mudah merealisasikan prinsip tatkala diri diuji. Maka, jadikan setiap pengalaman orang lain, sebagai iktibar. Muhasabah semula diri, perkuatkan iman agar diri tidak mengulangi kesilapan itu. Dalam kehidupan ini, kita tak berpeluang merasai semua pengalaman hidup, tetapi kita diberi peluang untuk melihat, memahami serta belajar dari pengalaman orang lain dengan akal yang telah di anugerahkan. Baik dijadikan tauladan, buruk sebagai sempadan.

Jika kita melihat orang berbuat dosa, jagalah hati dari mengeji dan mengutuk. Bukankah itu juga dosa?? Sangat menyedihkan, ramai bermegah2 mengutuk hamba yang berdosa, tanpa mereka sedar mereka juga sedang melakukan dosa(mengutuk).

'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang." (Surah al-Hujurat:11)

'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'(Surah al-Hujurat:12)

“Orang berdosa dan bertaubat, berusaha menuju keredhaanNya..sedangkan yg mengeji itu mencari kemarahanNya..."”

Orang yang menjaga hatinya, tidak akan mengeji dan membenci seseorang, kerana semua ini akan mengotori hatinya. Tetapi dia akan berhikmah dengan mereka sebagaimana yang dikatakan oleh Al Habib Naqjamudin pernah berkata:

Pandanglah seseorang itu dgn pandangan MAHABBAH, (cukuplah membenci perbuatan jahatnya, dan janganlah membenci dirinya, kerana masih ada pada dalam hati mereka kalimah mulia itu (kalimah Tauhid LAA ILAA HA ILLALLAH).

Muhasabah diri :

Sesiapapun kita, berdosa atau tidak, muhasabahlah diri, hitunglah berapa banyak nikmat hidup yang ALLAH berikan, kerana melalui muhasabah itu, akan terbuka pintu hati, akan tersingkap kelemahan diri, akan terkesan dengan kehebatanNya, maka akan terhalanglah diri dari melakukan maksiat lantaran malu padaNya...Berharaplah pada redha ALLAH semata, letakkan ALLAH di hati mengatasi sesiapapun yang kamu cintai. Sesungguhnya ALLAH itu tidak pernah menghampakan hamba-hambaNya..cinta ALLAH kebahagian yang pasti..

“Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” (Bukhari & Muslim)

“Aku melihat lubang itu dari jauh,

Lalu aku menghampirkan diri untuk melihat apa di dalamnya, dan aku akhirnya tergelincir jatuh..

Dan sungguh aku tidak lagi mahu hampir pada lubang tersebut untuk kali kedua....terimalah taubatku ya ALLAH”

Perbaiki diri tanpa henti...semoga mendapat kebahagian hakiki...

Oleh : Ahmad Syahin




No comments:

Post a Comment