Sunday, November 27, 2011

REFORMASI, RERADIKALISASI DAN KEBANGKITAN ISLAMDI MALAYSIA


Oleh : Muhammad Syukri Salleh

Dr Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Madya dan Ketua, Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang. E-mail: ssyukri@usm.my

Apabila gerakan reformasi 1998 tercetus di Malaysia dan beberapa gerakan Islam terlibat di dalamnya, timbul paling kurang tiga persoalan yang menarik. Pertama, apakah kebangkitan Islam di Malaysia kembali radikal sebagaimana awal-awal kebangkitannya? Kedua, Islamkah gerakan reformasi di Malaysia itu dengan terlibatnya gerakan-gerakan Islam tersebut? Dan ketiga, telah wujudkah satu bentuk baru kebangkitan Islam di negara ini akibat dari gerakan reformasi berkenaan? Makallah ini secara ringkas cuba meneliti ketiga-tiga persoalan menarik ini.

Reformasi dan Reradikalisme Kebangkitan Islam

Pada awal kebangkitan semula Islam di Malaysia pada akhir enam-puluhan dan tahun-tahun tujuh-puluhan, sifatnya berbentuk anti-establishment, kritikal terhadap pemerintah dan sistem yang diamalkannya, dan memakai kaedah confrontational. Sikap dan kaedah begini dimanifestasikan dalam berbagai bentuk. Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Islamic Representative Council (IRC) (yang ketika itu berpusat di United Kingdom dan kini mendominasi Jamaah Islah Malaysia, JIM), melancarkan kritikan dan konfrontasi mereka terhadap
pemerintah secara langsung terutama di peringkat teoritikal, filosofikal dan ilmiah. Manakala Darul Arqam dan Jemaah
Tabligh melancarkan kritikan dan konfrontasi mereka secara praktikal dengan mengamalkan sistem dan cara hidup baru.
Darul Arqam membina dan mengamalkan sistem Islam yang bersifat menyeluruh (all-embracing) meliputi sistem sosial,
ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sebagainya terutamanya melalui sistem perkampongan[2]. Jemaah Tabligh pula menumpukan kepada perubahan cara hidup berdasarkan kepada intensifikasi pelaksanaan ibadah asas.

Bentuk-bentuk ini, tidak kira yang bersifat politikal seperti yang didokong oleh PAS, ABIM dan IRC atau bersifat apolitikal sebagaimana yang didokong oleh Darul Arqam dan Jemaah Tabligh, kesemuanya membawa manifestasi kritikal, pertentangan, anti-establishment dan oleh itu radikalisme. Cuma berbezanya radikalisme kebangkitan Islam di Malaysia dengan radikalisme kebangkitan Islam di negara-negara lain ialah dari segi sifatnya. Radikalisme kebangkitan Islam di negara-negara lain seringnya membawa kepada keganasan dan pertempuran fizikal. Tetapi di Malaysia, hal
sedemikian tidak berlaku kecuali satu dua peristiwa yang terasing (isolated), seperti serangan pendakwah-pendakwah
muda ke atas kuil-kuil Hindu, serangan sekumpulan pengamal tariqat ke atas balai polis di Batu Pahat dan serangan pihak keselamatan ke atas pengikut-pengikut PAS di Memali.

Radikalisme kebangkitan Islam ala Malaysia ini walau bagaimana pun menjadi berkurangan selepas tahun-tahun lapan-puluhan. Apabila Presiden ABIM Anwar Ibrahim meninggalkan gerakan itu dan menjadi ahli dan seterusnya pemimpin parti pemerintah UMNO (United Malay National Organisation), radikalisme kebangkitan Islam mengalami perubahan yang agak ketara. Jemaah Tabligh dan Darul Arqam tidak dapat dinafikan tidak begitu terpengaruh dengan tindakan Anwar ini. Tabligh meneruskan kaedah intensifikasi pelaksanaan ibadah asasnya manakala Darul Arqam
meneruskan pembinaan sistem Islamnya secara praktikal hingga akhirnya diharam dan pemimpin-pemimpinnya dua kali
ditangkap di bawah ISA ketika Anwar sendiri menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi bagi PAS, ABIM dan IRC, kemasukan Anwar ke dalam parti pemerintah cukup mencorak kaedah perjuangan mereka. Sedikit sebanyak pengaruh dan kemaraan Islam PAS agak terjejas hingga lahir kepimpinan ulamak yang secara
relatifnya bersikap lebih toleran dan lembut berbanding dengan sebelumnya. ABIM dan IRC pula menukar kaedah
perjuangan masing-masing kepada bentuk yang lebih akomodatif dan partisipatif, dan dalam kes-kes tertentu, bersifat agak apologetik. Malah kedua-dua IRC (yang kini bergabung dengan bekas-bekas aktivis pelajar-pelajar Melayu Islam di Amerika Syarikat dan Timur Tengah menubuhkan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan oleh yang demikian selepas ini dirujuk sebagai JIM sahaja) dan ABIM, memilih arus perdana sebagai medan perjuangan mereka dengan mempamirkan simpati dan kerjasama yang agak erat dengan pemerintah[3].

ABIM memilih kaedah terbaru ini dengan alasan bahawa zaman retorikanya telah berakhir dan ia mesti berjuang atas dasar realiti semasa. Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman dalam tahun 1997 berpendapat bahawa masuknya
Anwar ke dalam UMNO adalah satu strategi dan berubahnya sifat radikalisme ABIM kepada sifat menyokong
pemerintah juga adalah satu strategi. Sebagai strategi ianya boleh diubah bila-bila masa sahaja apabila keperluan mendatang. Tetapi sekurang-kurangnya sehingga tahun 1997 itu, beliau masih berpendapat bahawa strategi itulah yang terbaik untuk mencapai cita-cita perjuangan Islam. Anwar hanya perlukan satu tangga lagi untuk menjadi Perdana Menteri dan adalah tidak salah, pada pendapat Ahmad Azam, untuk ABIM menyokong Anwar (dan oleh itu pemerintah), kecuali terbukti Anwar tidak melaksanakan Islam apabila beliau mempunyai kuasa penuh nanti[4].

JIM pula memberi alasan bahawa dalam realiti sosio-ekonomi dan politik Malaysia masakini, usaha melaksanakan Islam mestilah menggunakan pendekatan homeostatis, yakni satu konsep yang berasal dari ahli sains Perancis Claude Bernard yang membawa maksud bahawa dalam sesuatu reformasi sosial, proses transformasi hendaklah tidak merubah kekuatan asas yang sedia ada dalam sistem berkenaan. Atas sebab itu JIM tidak berhasrat merubah kekuatan asas yang sedia ada di kalangan orang-orang Islam di Malaysia. Kekuatan asas itu ialah `ketuanan Melayu’ yang bertunjang kepada kuasa politik dan pentadbiran orang-orang Melayu-Islam[5].

Ini menjadi alasan kuat JIM kenapa ia tidak lagi cenderung kepada sifat radikalisme, atau setidak-tidaknya lebih berminat menyembunyikan sifat radikalisme berkenaan, kalau pun masih ada, dan mula bergerak melalui arus perdana. Dengan pendekatan homeostatis ini, JIM berpendapat bukan sahaja pengIslamisasian ketuanan Melayu yang sedia wujud ini dapat dijalankan, malah negara Islam dapat ditegakkan secara harmoni tanpa menggugat stabiliti status quo. Dengan caraini, paling lewat pada tahun 2010, JIM menjangkakan Malaysia akan menjadi negara Islam sepenuhnya, yakni 10 tahun lebih awal dari jangkaan tercapainya cita-cita pembangunan Wawasan 2020[6].

Tetapi menariknya, apabila jatuhnya Anwar dari pemerintahan dan tertendangnya beliau dari UMNO, ABIM dan JIM menarik sokongannya terhadap pemerintah, malah kembali kepada sifat confrontational, kritikal dan anti-establishment. PAS dengan sifat organisasi politik yang tidak putus kritikalnya terhadap pemerintah, mengambil
peluang untuk mengepalai sikap terbaru ini. Ketiga-tiga gerakan Islam ini bergabung untuk menentang pemerintah
melalui gerakan reformasi, terutamanya melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK)[7]. Walaupun GERAK juga disertai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti pembangkang yang lain, namun tidak dapat dinafikan, gerakan Islamlah, terutamanya PAS, yang mendominasi gerakan ini. PAS amnya dan Presidennya Fadzil Noor khususnya, selain dari memimpin GERAK, adalah juga ahli Gagasan Demokrasi Rakyat (GAGASAN), sebuah lagi gerakan reformasi yang dipimpin oleh aktivis NGO Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Tian Chua. Manakala ABIM dan JIM pula, khususnya Presiden masing-masing, selain dari menganggotai GERAK secara aktif, juga adalah
ahli aktif Pergerakan Keadilan Rakyat (ADIL), sebuah lagi gerakan reformasi yang dipimpin oleh isteri Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail. PAS, walau pun tidak menjadi ahli ADIL, secara terbuka tetap menyatakan sokongannya terhadap ADIL
[8].

Pendeknya, ketiga-tiga gerakan Islam ABIM, PAS and JIM, terlibat secara aktif sekurang-kurangnya di dalam dua dari tiga gerakan reformasi yang lahir berikutan isu Anwar Ibrahim pada penghujung 1998 itu. PAS terlibat di dalam GERAK dan GAGASAN, manakala ABIM dan JIM terlibat di dalam GERAK dan ADIL. Melalui ketiga-tiga gerakan reformasi ini, buat pertama kalinya di Malaysia, bukan sahaja ketiga-tiga gerakan Islam PAS, ABIM dan JIM ini berjuang atas platform yang sama, tetapi juga bergabung dengan parti-parti politik pembangkang dan NGO-NGO melalui satu gerakan yang broad-based, pelbagai bangsa, pelbagai ideologi dan pelbagai agama untuk memperjuangkan matlamat yang dikatakan sama, yakni menegakkan keadilan dan melakukan reformasi sosio-ekonomi dan politik, serta membasmi
kezaliman. Selain dari PAS, ABIM dan JIM, GERAK disertai oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Democratic Action Party (DAP), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), International Movement for a Just World (JUST), Consumer Association of Penang (CAP), PPIM, ISMA, TERAS, URUS and YATIM. GAGASAN pula, selain dari PAS, juga disertai oleh Borneo Research Institute Malaysia (BRIMAS), Centre for Orang Asli Concerns (COAC), Democratic Action Party (DAP), ERA-Consumer, Indigenous People’s Development Centre (IPDC), Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB-Johor Bharu), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Persatuan Sahabat Wanita, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Solidaritas Timor Timur Malaysia (STTM) and Tenaganita. Manakala ADIL, selain dari ABIM dan JIM, disertai oleh individu-individu profesional dan ahli-ahli akademik serta aktivis-aktivis NGO dan masyarakat umum.

Mereka ini kemudiannya, sama ada secara langsung atau tidak memberi sokongan kepada Barisan Alternatif, satu pakatan politik parti-parti pembangkang PAS, DAP, PRM dan Parti KeAdilan Negara (KeAdilan) yang dibentuk dengan tujuan mengalahkan parti pemerintah Barisan Nasional dalam pilihanraya umum 1999[9]. Pada akhir-akhir tahun 1999 ketika pilihanraya umum menjelang tiba, platform Barisan Alternatif lebih banyak digunakan untuk meneruskan gagasan reformasi mereka. Malah hingga sekarang, Barisan Alternatiflah yang nampaknya menjadi penyatu kepada segala gerakan reformasi ini. GERAK, GAGASAN dan ADIL sudah hampir tidak kedengaran lagi. Tiga gerakan reformasi awal itu sama ada secara langsung atau tidak kini nampaknya telah bergabung menjadi satu, atas nama
Barisan Alternatif. Dan dalam Barisan Alternatif ini, PASlah yang dominan, manakala ABIM dan JIM, bersama dengan organisasi-organisasi yang bergabung dalam gerakan-gerakan reformasi di atas, menjadi penyokong kuatnya.

Penglibatan ketiga-tiga gerakan Islam PAS, ABIM dan JIM dalam gerakan reformasi ini dengan nyata mempamirkan reradikalisme, atau kembalinya mereka kepada radikalisme, walau pun tanpa Darul Arqam kerana telah diharamkan dan
Tabligh kerana terus istiqamah dengan sifat
apolitikalnya[10]. Sikap terbaru ketiga-tiga gerakan Islam ini dikatakan melampaui soal memperjuangkan keadilan untuk Anwar Ibrahim secara peribadi, walaupun telah menjadi rahsia umum bahawa gerakan ini dan pemimpin-pemimpinnya mempunyai hubungan peribadi dengan Anwar Ibrahim, sama ada secara langsung atau tidak. Presiden ABIM Ahmad Azam menyatakan bahawa ABIM bersikap demikian kerana ingin menegakkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan. Presiden JIM Saari Sungib pula menjelaskan bahawa
komitmen JIM adalah atas dasar JIM tidak redha prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan yang selama ini menjadi teras kekuatan masyarakat dan negara ini diluntur dan dilemahkan. JIM, kata Saari Sungib, melihat peristiwa yang berlaku di sekitar isu cara perlucutan jawatan Anwar sebagai kemuncak kepada perlanggaran prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan. PAS pula, terutamanya melalui GERAK, menyatakan perlunya sikap terbaru ini untuk menjalankan reformasi sosio-ekonomi dan politik dan menentang kezaliman pemerintah terutamanya yang dilakukan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Persoalannya, apakah reradikalisme, atau kembalinya sifat radikalisme di kalangan gerakan Islam ini bererti kembalinya radikalisme kebangkitan Islam di Malaysia keseluruhannya? Hal ini tidak mungkin dapat dijawab kecuali dapat dipastikan apakah gerakan reformasi itu sendiri merupakan gerakan kebangkitan Islam sepenuhnya.

KeIslaman Gerakan Reformasi

Secara kasar, kendati pun gerakan reformasi dipimpin oleh gerakan-gerakan Islam terutamanya PAS, elemen-elemen Islam yang jitu kurang terserlah. Tentangan terhadap kezaliman dan tuntutan terhadap reformasi sosio-ekonomi dan politik yang adil tidak dinafikan bersifat Islam, tetapi kerana sifat gerakan reformasi yang broad-based, majmuk-etnik dan majmuk-agama, perjuangan gerakan berkenaan terpaksa berpaksikan kepada nilai-nilai universal, bukan kepada nilai-nilai Islam secara khusus dan konkrit. Hal begini melibatkan proses neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai spesifik bangsa dan agama, khususnya dalam konteks ini nilai-nilai spesifik Islam itu sendiri. Ia menghakis sifat-sifat budaya dan kepercayaan spesifik agama Islam serta memisahkannya dengan persoalan-persoalan epistemologi dan pandangan hidupnya (worldview). Di peringkat gerakan-gerakan Islam keadaan ini mungkin tidak berlaku. Tetapi di peringkat gerakan reformasi yang menyeluruh dan yang didokongi pula oleh kumpulan-kumpulan yang bersifat kepelbagaian ideologi, bangsa dan agama itu, ianya terpaksa diterima, paling tidak atas dasar setiakawan. Tambahlagi, sebagaimana diakui Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman, di dalam gerakan reformasi itu sendiri pun terdapat persaingan kuasa (competing forces)[11]. Sikap toleransi, akomodatif dan apologetik oleh itu terpaksa menjadi paksi agar suasana harmoni dapat diwujudkan dan tujuan bersama dapat direalisasikan, walau pun ketulinan Islam terpaksa kurang dipertahankan. Selain dari itu, organisasi dan keahlian gerakan reformasi itu sendiri adalah longgar. Keahliannya terbuka, dan dalam keadaan yang sangat memerlukan tindakan segera yang mengejut terutamanya untuk membela
Anwar Ibrahim, keselarasan tarbiyyah, pemikiran dan pembentukan peribadi Islam tidak dapat dilakukan dengan sistematik dan berkesan. Tambahan pula, mereka yang menyertai gerakan reformasi itu ramainya adalah orang-orang muda, yang di samping kebanyakannya bersifat
rebellious, juga tidak pernah terdedah kepada tarbiyyah Islamiah. Mereka menyertai reformasi kerana isu Anwar adalah isu konflik generasi muda-tua (inter-generational conflict), dan Anwar mewakili generasi muda[12]. Mereka sendiri juga mempunyai assessibiliti secara terus kepada maklumat penyelewengan orang-orang atasan yang berlaku di tempat-tempat mereka bekerja. Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin pemerintah seringnya cukup menyinggung intelek mereka kerana bertentangan dengan apa yang mereka tahu sebenarnya berlaku. PAS sendiri, sebagai gerakan Islam yang mengepalai gerakan reformasi, tidak mempunyai banyak kemampuan dalam mentarbiyyah ahli-ahli gerakan reformasi. Ahli-ahlinya sendiri pun belum dapat ditarbiyyah dan diselaraskan amalan mereka dalam banyak perkara, dari perkara kecil seperti merokok hinggalah
kepada perkara-perkara besar seperti mengutamakan waktu sembahyang, menepati waktu, berakhlak dalam berceramah, bersikap objektif dan profesional serta tidak kumpulan-sentrik.

JIM pula, walaupun dari awal-awal lagi menyatakan dengan jelas bahawa penglibatannya adalah untuk mencorakkan reformasi dengan agenda Islam serta selaras dengan prinsip-prinsip Islam, juga setakat ini tidak berupaya mencapai
tujuan tersebut
[13]. Presiden JIM Saari Sungib sendiri mengakui bahawa sifat gerakan reformasi di Malaysia adalah tidak Islamik, malah gerakan reformasi itu sebenarnya bukanlah gerakan reformasi Islam. JIM, katanya, terus berjuang dalam gerakan reformasi kerana mahukan gerakan tersebut lebih berdisiplin, walaupun tidak Islamik, di samping bimbang bahana kediktatoran Perdana Menteri Mahathir Mohamad menjadi lebih berleluasa[14].

KetidakIslaman gerakan reformasi ini juga disedari oleh ramai pihak lain. Pada pandangan mereka, gerakan reformasi tidak langsung mempunyai unsur Islam kerana ia hanyalah berkisar pada peribadi Anwar Ibrahim, bukan pada Islam.
Sumber reformasi adalah isu Anwar dan pemimpin reformasi adalah mereka yang ada hubungan peribadi dengan
Anwar. Selain dari NGO yang dirasakan mungkin mempunyai keikhlasan memperjuangkan isu-isu keadilan dan kezaliman, parti-parti politik pembangkang pula mengambil peluang ini dengan agenda masing-masing, paling tidak untuk political mileage mereka[15]. PAS misalnya, dilihat oleh ramai orang terlibat dengan reformasi untuk memenangi pilihanraya. Bagi mereka, gerakan reformasi, selain dari berkisar pada peribadi Anwar Ibrahim, hanyalah gerakan memperjuangkan keadilan dalam maksud yang umum, tanpa elemen-elemen Islam[16]. Isu-isu keadilan dan hak asasi manusia yang diperjuangkan gerakan reformasi ini merupakan isu-isu yang melampaui isu-isu keperluan asasi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian yang telah pun berjaya dipenuhi pemerintah. Kini pemerintah, khususnya UMNO, menjadi mangsa kepada kejayaannya sendiri kerana walaupun telah memenuhi keperluan asasi rakyat, lupa untuk memikirkan dengan serius tentang isu penting seterusnya, yakni isu keadilan dan hak asasi manusia[17].

Dengan tidak Islamnya gerakan reformasi ini, maka reradikalisme di kalangan gerakan-gerakan Islam di Malaysia bukanlah bererti kebangkitan semula radikalisme kebangkitan Islam di negara ini. Jika gerakan reformasi itu bukan gerakan reformasi Islam, radikalisme yang lahir dari reformasi itu bukanlah radikalisme kebangkitan Islam. Apa yang berlaku melalui gerakan reformasi ini hanyalah merupakan proses alignment atau adjustment kepada apa yang ada, tanpa membawa perubahan besar kepada arus perdana Malaysia[18]. Tidak seperti pejuang reformasi di Indonesia, pejuang gerakan reformasi di Malaysia bergerak di luar arus perdana hanya di peringkat minda dan fikiran, manakala di peringkat tubuh badan fizikal, masih ramai dari mereka yang bekerja dengan pemerintah, dalam arus perdana.

Pejuang-pejuang reformasi ini kebanyakannya mahu jatuhkan Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Apabila ini berlaku, minda dan fikiran mereka akan kembali ke arus perdana. Dengan sikap pemerintah yang kembali mempamirkan keinginan kepada Islam agar undi orang-orang Islam yang hilang dalam pilihanraya umum 1999 dapat ditarik kembali manakala parti pembangkang terutamanya PAS akan berusaha mempertahankan keIslamannya, Malaysia selepas ini barangkali secara relatifnya akan menjadi lebih Islamik.

Kebangkitan Islam Baru: Dari Dakwah Kepada Politik?

Walau pun gerakan reformasi di Malaysia bukanlah satu gerakan kebangkitan Islam, namun ia tetap cukup memberi kesan kepada gerakan-gerakan Islam dan oleh itu kebangkitan Islam di Malaysia keseluruhannya. Paling tidak, gerakan
reformasi telah menganjak perkaedahan gerakan-gerakan Islam di Malaysia dari berbentuk dakwah kepada lebih
berbentuk politik. Penuntutan keadilan, reformasi sosio-ekonomi dan politik serta penentangan terhadap kezaliman
dipercayai hanya dapat berlaku dengan penukaran pemerintah, dari Barisan Nasional kepada Barisan Alternatif. Atas
sebab itu, gerakan reformasi dan gerakan-gerakan Islam yang terlibat di dalamnya terpaksa berjuang dalam kerangka politik lazim negara, dan dengan itu menumpukan perjuangan kepada kaedah politik, bukan lagi kepada kaedah dakwah.Yang menjadi paling releven dalam penganjakan perkaedahan baru kebangkitan Islam ini tentulah PAS, yang sememangnya sebuah parti politik. Secara automatis, PAS menjadi kepala kepada kebangkitan Islam bentuk baru ini.
Manakala ABIM yang asalnya merupakan pertubuhan belia Islam dan JIM sebagai sebuah NGO Islam, terpaksa
menyesuaikan kaedah perjuangan masing-masing mengikut penganjakan kaedah ini.

Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman menyedari hakikat bahawa kaedah politik ini sebenarnya telah banyak menemui kegagalan, paling akhir di Malaysia dalam kes Anwar Ibrahim dan di Indonesia dalam kes B.J. Habibie. Tetapi ABIM tetap menggalakkan ahli-ahlinya terlibat secara aktif dengan politik kepartian asal saja tidak memegang jawatan kepimpinan di dalam ABIM[19]. Paling tidak, katanya, generasi muda ABIM kini berpeluang terlibat dengan kaedah radikalisme sebagaimana perkaedahan asal ABIM, di samping berdepan dengan realiti perjuangan dan tribulasi secara praktikal[20]. Generasi muda ABIM ini kebanyakannya menyertai parti KeAdilan di bawah pimpinan isteri Anwar Ibrahim Wan Azizah Wan Ismail, manakala kebanyakan generasi tua ABIM, terutamanya di Utara dan Pantai Timor Semenanjung Malaysia menyertai PAS[21]. Antara pemimpin tertinggi ABIM yang menyertai parti KeAdilan ialah bekas Presiden ABIM Muhammad Nur Manuty, Setiausaha Agong ABIM Annuar Tahir dan pemimpin tertinggi ABIM Sheikh Azmi dan Ghazali Basri. Manakala yang menyertai PAS pula ialah bekas pemimpin tertinggi ABIM Kamaruddin Jaafar yang sebelum ini menyertai UMNO.

JIM pula, setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum 1999 yang lalu, bukan sahaja telah membuat pernyataan dan pendirian politik yang jelas, tetapi juga secara terbuka telah menggerakkan ahli-ahlinya terlibat aktif dalam politik kepartian. Bagi JIM, proses pilihanraya merupakan satu wahana utama dalam program pengislahan masyarakat dan satu proses penting dalam menentukan dinamika kuasa negara. Atas sebab ini, Presiden JIM Saari Sungib menyarankan agar proses pilihanraya menjadi paksi dinamisme JIM. Lonjakan pembabitan ini, sama ada di peringkat organisasi atau di peringkat individu, dipandang beliau sebagai memperkayakan JIM untuk mengorak langkah yang lebih matang pada masa hadapan. Hal ini dikatakan tetap selaras dengan kaedah homeostatisnya (Saari Sungib 1999:16, 36)[22]. Kalau dahulu homeostatis mengambil sikap mempertahankan ketuanan Melayu yang sedia ada dalam arus perdana, kini ketuanan Melayu itu hendak digantikan dengan yang baru melalui proses pilihanraya. Sedikit sebanyak ia menggugat status quo, tetapi kepercayaan terhadap pentingnya mempertahankan ketuanan Melayu tetap dipegang. Dengan kepercayaan ini beberapa pemimpin tertinggi JIM menyertai parti politik pembangkang secara rasmi. Saari Sungib sendiri menyertai parti KeAdilan dan menjadi salah seorang calon di dalam pilihanraya umum yang lalu. Ketua Wanita JIM menjadi Timbalan Ketua Wanita parti KeAdilan manakala Naib Presiden JIM menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti KeAdilan.Seorang lagi pemimpin JIM, Zulkiflie Ahmad, menyertai PAS, menjadi calon di dalam pilihanraya umum yang lepas tetapi kalah kepada calon Barisan Nasional dan kini menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat[23].

Pegangan terhadap pentingnya menganjak perkaedahan merealisasikan Islam kepada penglibatan dalam politik kepartian dan proses pilihanraya ini juga berasaskan kepada rasa perlunya usaha ini menganjak kepada satu tahap kebangkitan Islam yang lebih berkesan. Strategi perjuangan menegakkan Islam dirasakan perlu dianjak dari tahap pertama dahulunya yang berbentuk confrontational dan anti-establishment tetapi memisahkan diri dengan masyarakat, dan dari tahap kedua yang bersifat akomodatif dan partisipatif dalam arus perdana tetapi tanpa strategi, kepada tahap ketiga kini yang berbentuk polarising, dengan maksud berkomunikasi dengan rakyat dan authoriti sebagai alat melaksanakan Islam secara berstrategi. Tahap ketiga ini, yang menggunakan kaedah yang dipanggil polarising dan dikatakan merupakan kaedah Rasulallah s.a.w, dengan jelas bermaksud penglibatan dalam politik kepartian melalui
sistem demokrasi yang diperuntukkan Perundangan negara
[24].

Penganjakan kaedah gerakan Islam kepada tahap baru ini juga dipandang positif oleh bekas Presiden ABIM Siddiq Fadil. Bagi beliau, apa yang berlaku kepada gerakan-gerakan Islam di Malaysia sekarang bukanlah merupakan satu tren baru, tetapi lebih merupakan anjakan kepada satu tahap baru. Kembalinya sifat radikalisme di kalangan gerakan Islam sekarang, selepas melalui tahap radikalisme awal dan tahap pro-establishment-akomodatif[25], merupakan tahap perkaedahan gerakan Islam untuk berdepan dengan realiti fenomena sosio-ekonomi dan politik baru Malaysia. Mengikut beliau, radikalisme gerakan-gerakan Islam sekarang lahir dengan ciri-ciri baru, yakni dalam bentuk pelbagai bangsa dan agama, bekerjasama bukan sahaja sesama gerakan Islam tetapi juga dengan organisasi bukan-Islam untuk melahirkan
apa yang beliau panggil
ummah Malaysia, untuk berdepan dengan hakikat masyarakat Malaysia yang majmuk.

Gerakan-gerakan Islam di Malaysia sekarang berusaha berdepan dengan permasalahan dan realiti sebenar Malaysia dan mempamirkan kepada dunia satu model Islam untuk mengendalikan satu masyarakat majmuk seperti Malaysia. Bagi
Siddiq Fadil, gerakan reformasi bukanlah merupakan satu
reaction dan oleh itu tidak reactionary. Ia lebih berbentuk satu perjalanan ke arah kematangan tahap perkembangan kebangkitan Islam[26]. Dan kematangan ini, kalau berdasarkan kepada analisis Siddiq Fadil ini, sedang berlaku dalam keadaan gerakan-gerakan Islam menganjakkan perkaedahan masing-masing dari berbentuk dakwah kepada berbentuk politik.

Kesimpulan

Kebangkitan reformasi di Malaysia pada akhir 1998 sedikit sebanyak telah membawa gerakan-gerakan Islam kembali kepada radikalisme. Namun begitu, ini tidak bererti bahawa kebangkitan Islam secara keseluruhannya kembali kepada radikalisme kerana gerakan reformasi itu sendiri bukanlah gerakan kebangkitan Islam. Ia hanya menganjak perkaedahan gerakan-gerakan Islam, dari berbentuk dakwah kepada lebih berbentuk politikal. Hal ini berlaku kerana isu yang diperjuangkan terpaksa diperjuangkan dalam kerangka politikal, dan oleh itu perkaedahan PAS sebagai parti politik Islam menjadi sangat releven dan dominan, hingga ABIM yang selama ini menganggap organisasinya sebagai organisisasi dakwah dan JIM sebagai organisasi NGO Islam terpaksa mengikut arus politikal PAS.

Penganjakan kaedah dari dakwah kepada politik ini tidak dapat dinafikan telah mengeratkan bukan sahaja sesama gerakan Islam tetapi juga organisasi-organisasi pelbagai bangsa, agama dan ideologi[27]. Selain dari kerjasama dan hubungan rapat begini, bolehkah hasrat merealisasikan Islam tercapai di Malaysia melalui kaedah Islam politikal di tengah-tengah sejarah dan pengalaman di seluruh dunia yang telah banyak membuktikan kegagalan?[28].

NOTA

[1] Pemikiran yang dikemukakan dalam makallah ini merupakan sebahagian dari penemuan dan analisis penyelidikan yang lebih besar
bertajuk Pengurusan Kebangkitan Islam di Malaysia. Penulis terhutang budi dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Universiti
Sains Malaysia kerana membiayai penyelidikan ini melalui Geran IRPA Jangka Pendek.
[2] Untuk perbincangan terperinci tentang sistem Islam yang dibina Darul Arqam ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1992.
[3] Untuk perbincangan lebih terperinci tentang perkara ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1999.
[4] Temubual dengan Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman di pejabat ABIM dalam tahun 1997.
[5] Untuk penghuraian konsep homeostatis secara terperinci, lihat Saari Sungib 1995.
[6] Temubual dengan Presiden-Pengasas JIM Saari Sungib di rumah beliau dalam tahun 1997.
[7] Objektif utama gerakan reformasi ini ialah untuk mencapai satu perjuangan bersama, yakni keadilan dan reformasi sosio-ekonomi
dan politik.
[8] Lihat Harakah 14 Disember 1998.
[9] Natijahnya agak berkesan. Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada 29 November 1999, PAS, di samping mengekalkan kuasanya
di Kelantan, juga berjaya merampas Terengganu. Di negeri-negeri lain seperti Kedah, Pahang dan Selangor, sokongan undi terhadap
PAS semakin meningkat, manakala sokongan undi orang-orang Melayu terhadap parti pemerintah Barisan Nasional amnya dan UMNO
khususnya semakin menurun.
[10] Antara kesan dari kemunculan kembali radikalisme ini ialah penangkapan singkat Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman dan
Presiden JIM Saari Sungib bersama dengan beberapa orang lain yang pro-reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
Akta yang cuba dihapuskan oleh gerakan reformasi sendiri.
[11] Temubual dengan Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman di Yayaysan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM),
Kuala Lumpur pada 22 Jun 1999.
[12] Pengamatan ini dinyatakan oleh ahli sains politik Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff di dalam temubual penulis dengannya di
pejabat beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 1 Jun 1999.
[13] Presiden JIM Saari Sungib (1998) berkata: “Saya juga ingin mengingatkan saudara-saudara sekalian bahawa JIM tidak beranggapan
reformasi cetusan Anwar Ibrahim mempunyai suatu percorakan tertentu. Oleh itu JIM begitu terpanggil untuk mencorakkan sebarang
reformasi, jika pun tercetus di sekitar isu Anwar Ibrahim, agar ianya dicorakkan dengan agenda Islam. Di atas itulah JIM, ABIM dan
PKPIM berganding tenaga untuk melancarkan Gerakan Reformasi Rakyat dengan hasrat untuk memandu apa sahaja usaha reformasi
agar ianya selaras dengan prinsip-prinsip Islam”.
[14] Temubual dengan Saari Sungib pada 31 Mei 1999 di Pejabat JIM di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
[15] Pandangan sebegini, antara lain, dinyatakan oleh penulis politik popular Sayuti Omar dalam temubual penulis dengan beliau di
Hotel Quality, Kuala Lumpur pada 21 Jun 1999.
[16] Pendapat ini, antara lain, dinyatakan oleh ahli sains politik Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff dalam temubual penulis
dengannya di pejabat beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi pada 1 Jun 1999.
[17] Temubual dengan pakar sejarah dan pengamat sosial Universiti Malaya Muhammad Abu Bakar di Restoran Milah, Pulau Pinang
pada 30 Julai 1999.
[18] Pendapat tentang proses alignment dan adjustment ini dikemukakan oleh wartawan dan penganalisis politik Zin Mahmud dalam
temubual penulis dengannya di pejabat Utusan Publications and Distributors, Cheras, Kuala Lumpur pada 3 Jun 1999.
[19] Presiden Ahmad Azam Abdul Rahman juga menyedari bahawa kaedah merealisasikan perjuangan Islam secara politik yang masih
bertahan setakat ini hanyalah di Sudan, khususnya dalam kes Hassan Turabi; itu pun baru-baru ini telah digugat juga oleh krisisnya
dengan Presiden Sudan. Kesedaran ini telah dinyatakan dalam temubual penulis dengan Ahmad Azam di Kuantan, Pahang, pada 28
Januari 2000.
[20] Temubual dengan Ahmad Azam Abdul Rahman di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Kuala Lumpur pada
22 Jun 1999.
[21] Ibid.
[22] Pendirian ini telah dinyatakan oleh Presiden JIM Saari Sungib, dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Perwakilan Nasional JIM
1999 pada 25 Disember 1999, sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden JIM untuk menyertai parti KeAdilan sepenuhnya. Sebelum ini, dalam pilihanraya umum 29 November 1999, beliau telah menjadi salah seorang calon parti KeAdilan tetapi kalah di tangan calon Barisan Nasional. Lihat Saari Sungib 1999:16.
[23] Selain dari berpegang kepada prinsip-prinsip di atas, pemimpin dan ahli-ahli gerakan-gerakan Islam ini menyertai parti-parti politik
pembangkang secara rasmi kerana tiga sebab utama, sama ada kerana minat peribadi, restu jemaah atau permintaan dari parti berkenaan.
[24] Pendirian ini khususnya dipegang oleh bekas pemimpin JIM Zulkiflie Ahmad, sebagaimana yang dinyatakan dalam temubual
penulis dengannya di Sheraton Subang Hotel and Towers, Subang Jaya, Kuala Lumpur pada 14 Jun 1999.
[25] Mengikut Siddiq Fadil, walaupun pada tahap pro-establishment-akomodatif ini, gerakan Islam dengan tegas membezakan antara
menyokong UMNO dengan menyokong kerajaan. Yang disokong ialah kerajaan, bukan parti politik UMNO. Hal ini dinyatakan dalam
temubual penulis dengannya di pejabat beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 1 Jun 1999.
[26] Temubual penulis dengan Siddiq Fadil di pejabat beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 1 Jun 1999.
[27] Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman misalnya menyatakan bahawa mereka sekarang berkongsi memperjuangkan nilai-nilai
universal dan menjadi makin bertambah rapat (Temubual dengan Ahmad Azam Abdul Rahman di Yayasan Pembangunan Ekonomi
Islam Malaysia (YPEIM), Kuala Lumpur pada 22 Jun 1999). Manakala Presiden JIM Saari Sungib pula mengakui bahawa pembabitan
JIM dalam sistem politik pilihanraya 1999 telah memantapkan ukhwah dan mahabbah pendukung-pendukung gerakan Islam (Saari
Sungib 1999:16).
[28] Lihat misalnya, Roy 1994.

RUJUKAN

Muhammad Syukri Salleh, 1992: An Islamic Approach to Rural Development: The Arqam Way, Asoib International
Limited, London.

Muhammad Syukri Salleh, 1999. "Recent Trends in Islamic Revivalism in Malaysia", Studia Islamika (Jakarta), Vol.6,
No.2, hal. 39-62.

Roy, Olivier, 1994. The Failure of Political Islam, London: I.B. Tauris.

Saari Sungib, 1993. JIM 1991-1993 - Membentuk Arah dan Haluan Perjuangan, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah
Islah Malaysia.

Saari Sungib, 1995. Menggerak Gagasan 1995-2000 - Bersama Menggaris AgendaUmmah, Kuala Lumpur:
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

Saari Sungib, 1996. Membina Teras-Teras Kekuatan, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

Saari Sungib 1998. “Melonjakkan Aktivitisme JIM Dalam Agenda Pengislahan Ummah”, Ucapan Perdana di
Perhimpunan Perwakilan Nasional JIM 1998.

Saari Sungib, 1999. Bersama Menggarap Erti Perjuangan - Meneruskan Tradisi Perjuangan Menegakkan
Kebenaran dan Keadilan, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

Sumber : http://www.geocities.ws/muhammadsyukri/PEMIKIRReradikal.html

No comments:

Post a Comment