Friday, September 4, 2009

Nabi Dan Rasul Berdakwah Kepada Tauhid



Pengenalan Ringkas Tentang Tauhid


Tauhid maknanya menyatukan sesuatu. Manakala mentauhidkan pula maknanya menjadikan sesuatu itu satu sama ada menyatukan sesuatu, memusatkan sesuatu, mengesakan sesuatu dan menumpukan hati kepada sesuatu.

Apabila ia dikaitkan dengan Allah seperti mentauhidkan Allah maka ia bermakna menjadikan ibadah kita hanya satu iaitu kepada Allah Taala sahaja, tidak menyengutukan Allah dalam ibadah itu dengan sesiapa pun.

Tidak memberikan ibadah kepada yang selain daripada Allah.

Nabi Dan Rasul Berdakwah Kepada Tauhid

Mentauhidkan Allah ialah dakwah yang dilakukan oleh semua nabi dan rasul bermula daripada zaman Nabi Adam alaihis salam hinggalah kepada zaman Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Semua dakwah nabi dan rasul adalah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِيْ كُلِّ أُمَّةٍ رَسُوْلاً أَنِ اعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوْتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلاَلَةُ فَسِيْرُوْا فِي الأَرْضِ فَانْظُرُوْا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِيْنَ. (سورة النحل أية 36).

yang bermaksud : 36. dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul dengan memerintahkannya menyeru mereka, hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut, maka di antara mereka yang menerima seruan rasul itu, ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan, oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasulNya.

Firman Allah lagi :

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُوْلٍ إِلاَّ نُوْحِيْ إِلَيْهِ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُوْنِ. (سورة الأنبياء أية 25).

yang bermaksud : 25. dan Kami tidak mengutus sebelummu wahai Muhammad seseorang rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya, bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Aku, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku.

Dakwah Tauhid Nabi Nuh

Dakwah Nabi Nuh ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

أَنِ اعْبُدُوا اللهَ وَاتَّقُوْهُ وَأَطِيْعُوْنِ. (سورة نوح أية 3).

yang bermaksud : 3. iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku.

Firman Allah lagi :

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوْحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلاَ تَتَّقُوْنَ. (سورة المؤمنون أية 23).

yang bermaksud : 23. dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah dia, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadanya, oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya.

Firman Allah lagi :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوْحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنِّيْ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيْمٍ. (سورة الأعراف أية 59).

yang bermaksud : 59. sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadanya, sesungguhnya sku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar hari kiamat.

Firman Allah lagi :

أَنْ لاَ تَعْبُدُوْا إِلاَّ اللهَ إِنِّيْ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ أَلِيْمٍ. (سورة هود أية 26).

yang bermaksud : 26. iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang jika kamu menyembah yang lainnya, kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan.

Dakwah Tauhid Nabi Hud

Dakwah Nabi Hud ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

وَاذْكُرْ أَخَا عَادٍ إِذْ أَنْذَرَ قَوْمَهُ بِالأَحْقَافِ وَقَدْ خَلَتِ النُذُرُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ أَلاَّ تَعْبُدُوْا إِلاَّ اللهَ إِنِّيْ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيْمٍ. (سورة الأحقاف أية 21).

yang bermaksud : 21. dan ingatlah peristiwa nabi Hud saudara kaum Aad, ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah Al Ahqaaf, sedang amarannya itu samalah seperti amaran-amaran yang telah diberikan oleh rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya dengan berkata, janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar huru-haranya.

Firman Allah lagi :

فَأَرْسَلْنَا فِيْهِمْ رَسُوْلاً مِنْهُمْ أَنِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلاَ تَتَّقُوْنَ. (سورة المؤمنون أية 32).

yang bermaksud : 32. lalu Kami mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka dengan berfirman melalui rasul itu, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadanya, oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya.

Firman Allah lagi :

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُوْدًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلاَ تَتَّقُوْنَ. (سورة الأعراف أية 65).

yang bermaksud : 65. dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Hud, dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadanya, oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya.

Firman Allah lagi :

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُوْدًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنْ أَنْتُمْ إِلاَّ مُفْتَرُوْنَ. (سورة هود أية 50).

yang bermaksud : 50. dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka Nabi Hud, dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain daripadanya, kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah.

Dakwah Tauhid Nabi Soleh

Dakwah Nabi Soleh ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى ثَمُوْدَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيْقَانِ يَخْتَصِمُوْنَ. (سورة النمل أية 45).

yang bermaksud : 45. dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh menyeru mereka dengan berkata, sembahlah kamu akan Allah, maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak mukmin dan kafir yang berbalah.

Firman Allah lagi :

وَإِلَى ثَمُوْدَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيْهَا فَاسْتَغْفِرُوْهُ ثُمَّ تُوْبُوْا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّيْ قَرِيْبٌ مُجِيْبٌ. (سورة هود أية 61).

yang bermaksud : 61. dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Soleh, dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain daripadanya, Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya, oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya dengan taat dan tauhid, sesungguhnya tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya.

Firman Allah lagi :

وَإِلَى ثَمُوْدَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ هَذِهِ نَاقَةُ اللهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوْهَا تَأْكُلْ فِيْ أَرْضِ اللهِ وَلاَ تَمَسُّوْهَا بِسُوْءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيْمٌ. (سورة الأعراف أية 73).

yang bermaksud : 73. dan kepada kaum Thamud Kami utuskan saudara mereka, Nabi Soleh, dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain daripadanya, sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata iaitu mukjizat dari tuhan kamu, ini adalah seekor unta betina dari Allah sebagai keterangan bagi kamu membuktikan kebenaranku, oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, kalau kamu menyentuhnya maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Dakwah Tauhid Nabi Syuaib

Dakwah Nabi Syuaib ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ وَارْجُوا الْيَوْمَ الآخِرَ وَلاَ تَعْثَوْا فِي الأَرْضِ مُفْسِدِيْنَ. (سورة العنكبوت أية 36).

yang bermaksud : 36. dan Kami utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka, Nabi Syuaib, lalu dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, dan kerjakanlah amal soleh dengan mengharapkan pahala akhirat, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi.

Firman Allah lagi :

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ وَلاَ تَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيْزَانَ إِنِّيْ أَرَاكُمْ بِخَيْرٍ وَإِنِّيْ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ مُحِيْطٍ. (سورة هود أية 84).

yang bermaksud : 84. dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka, nabi Syuaib, dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain daripadanya, dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan, dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi orang-orang yang bersalah.

Firman Allah lagi :

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيْزَانَ وَلاَ تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلاَ تُفْسِدُوْا فِي الأَرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِيْنَ. (سورة الأعراف أية 85).

yang bermaksud : 85. dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Nabi Syuaib, dia berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain daripadanya, sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari tuhan kamu, oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya makmur teratur dengan sebaik-baiknya, yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Dakwah Tauhid Nabi Ibrahim

Dakwah Nabi Ibrahim mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

وَإِبْرَاهِيْمَ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ اعْبُدُوا اللهَ وَاتَّقُوْهُ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ. (سورة العنكبوت أية 16).

yang bermaksud : 16. dan sebutkanlah peristiwa Nabi Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya, sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadanya, yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu tahu membezakan yang baik dari yang buruk.

Dakwah Tauhid Nabi Yaakob

Dakwah Nabi Yaakob ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاء إِذْ حَضَرَ يَعْقُوْبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيْهِ مَا تَعْبُدُوْنَ مِنْ بَعْدِيْ قَالُوْا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيْمَ وَإِسْمَاعِيْلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُوْنَ. (سورة البقرة أية 133).

yang bermaksud : 133. demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi, kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati, mereka menjawab, kami menyembah tuhanmu dan tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri dengan penuh iman.

Dakwah Tauhid Nabi Yusof

Dakwah Nabi Yusuf ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

مَا تَعْبُدُوْنَ مِنْ دُوْنِهِ إِلاَّ أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوْهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ أَمَرَ أَلاَّ تَعْبُدُوْا إِلاَّ إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّيْنُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُوْنَ. (سورة يوسف أية 40).

yang bermaksud : 40. apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya, sebenarnya hukum yang menentukan amal ibadat hanyalah bagi Allah, Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia, yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Dakwah Tauhid Nabi Musa

Dakwah Nabi Musa ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيْثَاقَ بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ لاَ تَعْبُدُوْنَ إِلاَّ اللهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِيْنِ وَقُوْلُوْا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلاَّ قَلِيْلاً مِنْكُمْ وَأَنْتُمْ مُعْرِضُوْنَ. (سورة البقرة أية 83).

yang bermaksud : 83. dan ingatlah wahai Muhammad, ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan bani Israil dengan berfirman, janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin, dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik, dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat, kemudian kamu berpaling membelakangkan perjanjian setia kamu itu kecuali sebahagian kecil dari kamu, dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

Dakwah Tauhid Nabi Isa

Dakwah Nabi Isa ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِيْنَ قَالُوْا إِنَّ اللهَ هُوَ الْمَسِيْحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيْحُ يَا بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ اعْبُدُوا اللهَ رَبِّيْ وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِيْنَ مِنْ أَنصَارٍ. (سورة المائدة أية 72).

yang bermaksud : 72. demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata, bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam, padahal Al Masih sendiri berkata, wahai bani Israel, sembahlah Allah, tuhanku dan tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka, dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.

Firman Allah lagi :

مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلاَّ مَا أَمَرْتَنِيْ بِهِ أَنِ اعْبُدُوا اللهَ رَبِّيْ وَرَبَّكُمْ وَكُنْتُ عَلَيْهِمْ شَهِيْدًا مَا دُمْتُ فِيْهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِيْ كُنْتَ أَنْتَ الرَّقِيْبَ عَلَيْهِمْ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيْدٌ. (سورة المائدة أية 117).

yang bermaksud : 117. aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaKu mengatakannya, iaitu, sembahlah kamu akan Allah, tuhanku dan tuhan kamu dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah selama aku berada dalam kalangan mereka, kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah Yang menjadi saksi atas tiap-tiap sesuatu.

Dakwah Tauhid Nabi Muhammad

Dakwah Nabi Muhammad ialah mentauhidkan Allah sebagaimana firman Allah :

إِذْ جَاءَتْهُمُ الرُّسُلُ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ أَلاَّ تَعْبُدُوْا إِلاَّ اللهَ قَالُوْا لَوْ شَاءَ رَبُّنَا لأَنْزَلَ مَلاَئِكَةً فَإِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُوْنَ. (سورة فصلت أية 14).

yang bermaksud : 14. mereka ditimpa azab itu kerana semasa mereka didatangi rasul-rasul memberikan berbagai penjelasan mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat sambil melarang mereka, janganlah kamu menyembah melainkan Allah, mereka menjawab, jika tuhan kami hendak mengutus rasul-rasul tentulah Dia akan menurunkan malaikat, oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang kamu katakan, kamu diutus membawanya.

Oleh : Mohd Roslan Bin Abdul Ghani.

No comments:

Post a Comment