Dr. Murat Cizakca (atas) menyampaikan syarahan pada forum awam anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
APABILA salah seorang pendengar bertanya apa makna demokrasi, Dr. Murat Cizakca tanpa ragu menjawab: "Mudah sahaja, demokrasi bermakna peluang untuk rakyat menjatuhkan pemimpin mereka (tanpa pertumpahan darah)," katanya.
Jawapan Pengarah Penyelidikan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) itu menyebabkan seluruh hadirin di forum awam anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan Malaysia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, tersenyum dan tidak kurang tergelak besar.
Beliau menghabiskan hampir dua jam untuk menyampaikan syarahan bertajuk 'Demokrasi, Pembangunan Ekonomi dan Maqasid al-Syariah'. Kupasannya cukup menarik dan begitu mengajak kita supaya berfikir dan mengambil pelbagai pengajaran daripadanya.
Dr. Murat mempunyai kewibawaan yang cukup tinggi sebagai bukan sahaja pakar atau ahli akademik terkemuka dunia tetapi beliau juga dianggap pemikir besar dan mujtahid Islam. Ini apabila beliau mampu menunjukkan jalan keluar dalam apa juga kemelut terutama dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.
Beliau bukan sahaja tokoh memperkenalkan wang tunai yang juga boleh digunakan untuk tujuan wakaf (wakaf tunai) tetapi tidak kurang juga kini dalam bidang politik itu sendiri.
Dalam forum kali ini, beliau mencadangkan elemen sistem politik dan pentadbiran, demokrasi dan pembangunan ekonomi menjadi satu komponen baru dalam maqasid syariah.
Maqasid syariah bermaksud matlamat-matlamat syariat dan rahsia-rahsia (asrar) yang ditentukan oleh Allah untuk setiap hukum.
Ilmu maqasid pula merupakan ilmu yang mengkaji tentang asas-asas yang menjadi sasaran syarak melalui penetapan hukum yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah.
Lalu seperti yang disepakati oleh Imam Syartibi dan Al Ghazali, matlamat-matlamat syariat untuk mestilah untuk lima komponen maqasid yang berikut iaitu Hifz al Aql (akal), Hifz al-Din (agama), Hifz al-Mal (harta), Hifz al Nafs (nyawa) dan Hifz al Nasb (keturunan).
Iaitu setiap perundangan hukum itu mestilah bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan.
Dr. Murat baru-baru ini dilantik sebagai Pengarah INCEIF iaitu institusi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau berkata, sistem demokrasi wajar menjadi komponen baru dalam maqasid syariah apabila beliau mendapati sistem demokrasi itu begitu menyerlahkan rekod yang baik selama pernah diamalkan di dunia ini.
"Lalu wajar sekali agar sistem ini menjadi satu komponen baru sesuai dengan perkembangan semasa dan penyelesaian kepada banyak masalah hari ini," katanya.
Soalnya mengapa sistem demokrasi? Mengapa tidak lain-lain sistem termasuk ideologi komunis yang berjaya menjadikan China misalnya menjadi satu kuasa ekonomi dunia yang baru dan kekuatan pertahanan yang ditunjukkan oleh Rusia?
Namun kata Dr. Murat, pengertian demokrasi perlu difahami sebagaimana yang dijelaskan oleh Ray (1998), Ahlmark (1998) bahawa sebuah negara itu dikira sebagai negara demokrasi jika:
1) Pemimpin untuk kuasa eksekutif dan legislatif kerajaan adalah dipilih melalui pilihan raya yang kompetitif dan bersih,
2) Sekurang-kurangnya dua parti yang bebas bertanding dalam pilihan raya,
3) Sekurang-kurangnya separuh dari populasi yang dewasa mengundi dalam pilihan raya,
4) Parti yang berkuasa akan bertukar sekurang-kurangnya sekali dalam pilihan raya bebas.
Lanjutan dari itu, demokrasi merupakan apa yang dinamakan peraturan undang-undang adalah yang tertinggi untuk memberi kesaksamaan kepada semua penduduk dan kepatuhan kepada negara (pemimpin) terhadap undang-undang tersebut.
"Antara lain pemimpin, mesti menghormati hak rakyat untuk bebas bersuara, berfikir, beribadat, perniagaan, memiliki harta dan sebagainya dengan kuasa tentera mesti berada di bawah kerajaan sivil yang dipilih secara demokrasi itu," katanya yang terkenal sebagai pakar sejarah ekonomi dunia.
Beliau yang merupakan pensyarah di beberapa buah universiti terkenal seperti di di Bogazici, Koc, Fatih dan Bahcesehir Istanbul, Turki dan pada tahun 2006 di Universiti Ludwig Maximillian Munich, Jerman seterusnya menyenaraikan pelbagai faktor bagi memungkinkan sistem demokrasi itu menjadi salah satu dari komponen tambahan dalam Maqasid al Syariah.
"Statistik menunjukkan dari 20 negara yang kaya pada tahun 2003, 19 dari mereka merupakan negara demokrasi kapitalis. Lazimnya dengan status negara yang kaya itu, ia dijadikan kayu pengukur oleh pihak antarabangsa sebagai negara yang berjaya.
"Jadi kita perlu menerima sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi itu sebagai negara-negara yang berjaya," katanya.
Alasannya? Beliau mendapati kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi merupakan negara yang begitu menghormati hak-hak asasi yang paling asas iaitu kemanusiaan.
Menurut Dr. Murat, jika dilihat demokrasi dan kaitannya dengan peperangan, 70 peperangan telah meletus sejak tahun 1816 sehingga tahun 1991, iaitu mengambil masa selama 175 tahun setelah berakhirnya peperangan era Napoleon. Iaitu siri-siri perang yang melibatkan 353 pihak-pihak yang berperang.
"Daripada jumlah ini peperangan yang melibatkan negara yang bukan demokrasi dengan negara lain yang juga bukan demokrasi sebanyak 198 kes manakala peperangan yang melibatkan negara demokrasi dengan negara bukan demokrasi sebanyak 155 kes.
"Dan yang menariknya tiada peperangan yang berlaku melibatkan permusuhan antara sebuah negara demokrasi dengan sebuah negara demokrasi yang lain," jelasnya.
Perkara ini membuktikan demokrasi memberikan kesejahteraan kerana pembangunan ekonomi dapat bergerak dengan cergas tanpa dihalang oleh api-api permusuhan dan peperangan.
"Jelas sekali, terdapat hubungan yang cukup rapat antara demokrasi dan pembangunan ekonomi, justeru kita perlu melahirkan lebih banyak negara yang mengamalkan demokrasi atau menjadikan demokrasi sebagai satu sistem pentadbiran paling utama dalam politik dunia," kata Dr. Murat.
Antara fakta lain yang menarik perhatian adalah apabila Dr. Murat menceritakan mengenai kekejaman peperangan yang telah membunuh berjuta-juta umat manusia, iaitu akibat sistem demokrasi tidak menjadi amalan.
Katanya, dari tahun 1900 sehingga 1987, hampir 170 juta umat manusia terbunuh hanya berpunca dari sebab-sebab politik bukan disebabkan sebagai anggota tentera di medan atau zon-zon peperangan.
"Apabila dipecahkan angka itu, didapati negara yang mengamalkan pemerintahan secara totalitarian dan autokrasi telah membunuh seramai 166 juta umat manusia manakala pembunuhan yang berlaku di negara pengamal demokratik akibat serangan bom hanya mengakibatkan seramai dua juta penduduknya yang mati.
"Dari keseluruhan jumlah manusia yang mati terbunuh tersebut, 98 peratus darinya adalah terdiri dari rakyat sivil atau penduduk awam yang tidak berdosa yang dibunuh oleh pemimpin-pemimpin diktator mereka," kata beliau.
Dr. Murat turut menyenaraikan jumlah pembunuhan beramai-ramai di sepanjang abad ke 20 lalu, iaitu melibatkan negara bukan demokratik yang membunuh rakyatnya sendiri.
1) Empayar Uthmaniah membunuh hampir satu juta rakyatnya yang berbangsa Armenia,
2) Komunis Soviet Union membunuh seramai 62 juta rakyat,
3) Komunis China membunuh seramai 35 juta rakyat
4) Nazi Jerman membunuh seramai 21 juta rakyat
5) Rejim Polpot membunuh seramai dua juta rakyat
6) Rwanda dalam tempoh tiga bulan satu juta penduduk awam
7) Pembunuhan penduduk Bosnia oleh Serbia, seramai 200,000 mangsa, 40,000 penduduk diperkosa dan dua juta lagi terpaksa melarikan diri.
Tegas Dr. Murat, pembunuhan terhadap 170 umat manusia ini, malah dijangka angka tersebut jauh melebihi pada hari ini merupakan plak atau kekotoran yang begitu mencemari kehidupan, yang didakwa semakin bertamadun dan dalam peradaban yang tinggi.
"Bagi mencuci plak-plak kotor ini boleh dilakukan dengan pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan perundangan serta usaha perlu ditumpukan untuk memberi perubahan besar kepada kepada peraturan dan undang-undang di samping tumpuan yang sama perlu diberikan untuk menguatkan kebebasan hak-hak asasi manusia," ujarnya.
Beliau turut memberikan hujah bagaimana demokrasi mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah kebuluran. Dr. Murat memberi contoh yang berlaku di India selepas negara itu mencapai kemerdekaan dari penjajahan British dan mengamalkan sistem demokrasi (terbesar di dunia) pada tahun 1943.
Menurutnya India mampu mengatasi masalah kebuluran itu walaupun soal kemiskinan masih menghantui pada sebahagian dari penduduknya yang padat itu.
"Masalah kebuluran didapati hanya berlaku di negara-negara yang dijajah oleh kuasa asing seperti Ireland dan India atau di negara yang ditadbir oleh rejim-rejim komunis dan para diktator. Ini termasuklah seperti Sudan dan Korea Utara," katanya.
Dr. Murat menguatkan hujah mengenai pro demokrasi kerana sistem itu sama sekali tidak berlawanan atau bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
"Ini apabila Rasulullah SAW sendiri tidak pernah atau enggan menentukan sendiri pengganti baginda apabila baginda wafat.
"Baginda tidak pernah menamakan sesiapa sama ada dari kaum keluarga mahupun pengikut baginda sebagai pemimpin Islam yang baru.
"Situasi ini boleh diterjemahkan sebagai satu asas atau prinsip demokrasi dalam Islam apabila baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan terutama kalangan para sahabat bagi menentukan pilihan yang paling sesuai untuk mengetuai umat Islam ketika itu," katanya.
Beliau terus menegaskan bahawa pemerintahan oleh diktator secara hierarki adalah berlawanan dengan prinsip dan roh Islam.
"Ini kerana pemerintahan negara yang baik atau hakimiyyah adalah milik Allah dan apa sahaja yang menjadi milik kepada Allah dan sebagai manusia kita sama sekali tidak boleh bertindak mengikut hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri," katanya.
Oleh : SITI AINIZA KAMSARI
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
No comments:
Post a Comment