Tuesday, March 13, 2012

BENARKAH KHADHIR SUDAH MENINGGAL?





Dalam Islam terkenal dengan Wali Allah yang dipanggil dengan nama Khaidir. Sebenarnya panggilan yang tepat ialah “Khadhir”. Khadhir ialah seorang yang mempunyai kelebih tersendiri yang dikurniakan  oleh Allah swt. Dia adalah wali Allah dan sempat berjumpa dan mengajarkan ilmu kepada Nabi Musa AS. Kewujudannya adalah benar berdasarkan Al-Quran dan Hadith. Cerita ini disebut di dalam surah Al-Kahfi, di dalam Sahih Al-Bukhari, Kitabul Ilmi ,Sahih Muslim Kitabul Fadhail dan lain-lain.

Namun apa yang menjadi persoalan, adakah ia masih hidup atau sudah meninggal dunia? Disebabkan tidak ada dalil tentang dia hidup pada masa Nabi saw dan kewafatanya menjadikan ulama khilaf dalam persoalan ini. Persoalan ini dijawab oleh ulama’ dengan berbagai pentafsiran.

Bertitik tolak dari sinilah masih ramai yang menganggap Khadhir masih hidup sampai sekarang, kebanyakan mereka adalah ahli-ahli Tasauf. Banyak cerita-cerita yang menyatakan mereka berjumpa dengan Khadhir? Namun semuanya perlu diteliti dengan Nas dan hadith Nabi saw mengenai kesahihannya. Ini kerana, jika kita menyatakan Khadhir masih hidup meyebabkan dengan sedirinya kita membuka pintu untuk orang mencari Khadhir, dan boleh mengarah kepada kesesatan. Walaupun tidak disebutkan khadir masih hidup, ramai orang mendakwa ia telah berjumpa dengan Khadhir.

Sebenarnya, boleh jadi orang yang mendakwa berjumpa dengan Khadhir di dalam hutan dan lain-lain tempat, bukanlah Khadhir? boleh jadi orang lain, syaitan dan sebagainya. Hal ini disebabkan kita tidak jelas mengenai diri dan bagaimana rupa sebenar Khadir.  Ini kerana dakwaan ini perlu berbukti. Jika syaitan, ia boleh menyerupai sesiapa saja kecuali Nabi saw, itupun di dalam mimpi. Oleh demikian, ulama’ yang ingin membuktikan bahwa khadir telah meninggal ada beberapa point yang dikemukakan :

Pertama, Berdasarkan hadith Nabi saw, di dalam Sahih Muslim, dalam kitab fadhailul sahabah, bab Nabi s.a.w Bersabda: Dalam seratus tahun akan datang, manusia yang hidup sekarang Ini (di zaman Rasulullah) tidak akan ada lagi di atas muka bumi Ini:

أن عبدالله بن عمر قال:
صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات ليلة، صلاة العشاء، في آخر حياته. فلما سلم قام فقال "أرأيتكم ليلتكم هذه؟ فإن على رأس مائة سنة منها لا يبقى ممن هو على ظهر الأرض أحد".
قال ابن عمر: فوهل الناس في مقالة رسول الله صلى الله عليه وسلم تلك، فيما يتحدثون من هذه الأحاديث، عن مائة سنة. وإنما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يبقى ممن هو اليوم على ظهر الأرض أحد. يريد بذلك أن ينخرم ذلك القرن.

Hadith  Abdullah bin Umar r.a katanya: 
Suatu malam Rasulullah s.a.w bersembahyang Isyak bersama kami (di akhir hayatnya). Setelah memberi salam, baginda s.a.w berdiri dan bersabda: Tahukah kamu akan malam ini? Sesungguhnya seratus tahun akan datang tidak akan ada lagi seorang pun manusia di atas muka bumi ini. Ibnu Umar berkata: Orang ramai salah faham (atau terkejut) mengenai sabda Rasulullah s.a.w itu, mereka bercakap-cakap tentang Hadis tersebut terutamanya mengenai Kiamat seratus tahun akan datang. Sedangkan maksud Rasulullah ialah, tidak ada seorang pun manusia yang hidup sekarang ini (zaman Rasulullah) akan hidup pada seratus tahun yang akan datang, dengan kata lain kurun itu sudah berlalu. (Sahih Muslim : No.2537)

Hadith ini menceritakan bahwa dari malam yang Nabi saw kata ni, seratus tahun akan datang tidak ada lagi sahabat yang sezaman dengannya yang hidup. Tidak kiralah sahabat yang yang sudah lahir atau baru lahir. Yakni, hidup ketika Nabi saw kata, bukan selepas Nabi Saw kata.

Dari hadith inilah Imam Bukhari, Ibnu Hajar dan lain-lain kata bahwa Khadhir telah meninggal. Bagi orang sufi mereka mengatakan bahawa Khadhir hidup bukan di atas bumi, tetapi ada di laut atau atas langit. Kita jawab, jikalau begitu bagaimana jika orang menyatakan jumpa Khadhir di dalam hutan?. Sebenarnya mengenai khodir ini tidak ada satu hadith pun yang menunjukkan dia masih hidup. Tetapi hadith di atas jelas menunjukkan orang yang hidup zaman Rasulullah akan meninggal dunia seratus tahun akan datang. Hadith ini bagi ulama hadith menjadi dalil bahwa Khadhir telah meninggal dunia.

Kedua, sekiranya Khadhir masih hidup, kenapa pada zaman Nabi saw dia tidak datang bertemu dengan Nabi saw? Secara logik tentu sekali sekiranya dia masih hidup, dia akan datang disebabkan kelebihan Nabi saw, seperti solat di belakang Nabi saw?. Kenapakah Nabi saw tidak pernah sebut “itu Khadhir” dan lain-lain lafaz,  sedangkan pada malaikat pun Nabi saw pernah sebut demikian.

Soalan lain yang perlu dijawab juga bagi mereka yang mempertahankan Khadhir masih hidup, kenapakah Khadhir tidak pernah berjihad dengan Rasulullah?, sedangkan pahala berjihad bersama Rasulullah adalah besar?. Di dalam Al-Quran ada menyebutkan tentang malaikat pernah berjihad bersama Rasulullah saw. Oleh demikian semua ulama hadith mengatakan tidak ada hadith tentang kehidupan Khadhir dan tentang kematinya secara soreh dan sahih, namun hadith yang sahih ini boleh menjadi hujah bahawa ia telah meninggal.

Akhirnya jika kita masih mendakwa bahawa Khadhir masih hidup, kita perlukan hujjah Al-Quran dan Al-Sunnah kerana peristiwa ini adalah besar dan berkaitan dengan Aqidah. Jika kita mengatakan ia masih hidup secara tidak langsung kita juga membuka peluang kepada golongan Syiah yang mendakwa bahawa Imam Mahdi adalah hidup dan ia ghoib. Dan mereka akan mendakwa ia tidak ada beza dengan sunni yang berpegang dengan Khadhir masih hidup walaupun pada hakikatnya tidak ada Nas. Oleh demikian berdasarkan hadith di atas sebaiknya kita sebagai Ahli Sunnah menyatakan  Khadhir  telah meninggl dunia.

Wallahu a’lam..  



No comments:

Post a Comment