Tuesday, December 7, 2010

Muhasabah Tahun Baru Hijrah







1. Alhamdulillah Syukur kepada Allah swt kerana masih lagi mengurniakan kita tahun baru, Hijratul Rasul 1432 dengan bermulanya 1 Muharam bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Peristiwa hijrah adalah peristiwa yang besar yang berlaku kepada junjungan besar Rasulullah dan Sahabatnya iaitu berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah ini adalah arahan daripada Allah Swt kepada Rasulullah untuk meninggalkan kampung halamanya Mekah. Dari sinilah banyak disyariatkan perintah –perintah yang berupa muamalah, kenegaraan dan lain-lain, yang akhirnya tertegak sebuh negara Islam yang pertama dipanggil Madinatul Munawarah.

2. Pada hari ini kita menerima tahun baru hijrah yang mengingatkan kita begitulah berjalanya kehidupan insan, selepas setahun, sebulan, sehari, sejam , sesaat , umur kita semakin meningkat, begitulah lumrah kehidupan manusia sehingga datangnya ajal daripada Allah swt menjemput kita. Firman Allah swt yang bermaksud : Maka apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukannya. ( Al-Nahl: 61) Oleh demikian marilah kita menggunakan semaksima mungkin nikmat usia yang masih ada untuk terus beramal dan beribadat kepada Allah swt .

3. Sempena memperingati hijrah ini juga marilah kita mengambil satu makanisma setelah kita mengetahui apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw pada zaman beliau. Cubalah mengenang kembali sejarah perjuangan beliau dengan membaca buku –buku sirah untuk diterapkan dalam kehidupan seharian kita. Ini kerana sekadar mengetahui perjalanan Rasul tidak cukup untuk membuktikan kita adalah pengikut Rasulullah Saw yang sebenar. Sambutan Hijratur Rasul ini juga tidak disuruh oleh Nabi s.a.w. tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi s.a.w. dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Setelah mengetahui bagaimana perit getil hijrah beliau tugas kita pulalah untuk melihat kehadapan (future oriented) apakah yang kita akan lakukan untuk Islam.

4. Hijrah Nabi merupakan pemisah antara hak dan batil. Pada zaman Saidina Umar Al-Khattab iaitu tahun perletakan tarikh hijrah, para sahabat berbincang berbincang mengenai perletakan tarikh ini, mereka tidak memulakan tarikh Islam ini pada saat lahirnya Nabi, bukan pada wafatnya, bukan pada menangnya peperangan badar, bukan pada pembukaan mekkah tetapi mereka meletakkan tarikh ini ketika berlakunya hijrahnya Rasulullah kerana Umar berpendapat bahawa hijrahnya Rasulullah adalah pemisah di antara perkara yang hak dan yang batil. Persolanya adakah kita telah memisahkan ideologi kita, ibadah kita, amalan kita, gaya hidup kita, akhlak kita daripada kebatilan.

5. Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam. Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini.

6. Pesan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, ialah Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam sebenar yang mengambil kira soal dosa dan pahala. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semua aktiviti hidup kita agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT. Insya-Allah, jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, maka kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera.


Oleh : Ahmad Syahin


No comments:

Post a Comment