Kebendaan adalah suatu penyakit yang berbahaya bagi umat Islam. Perkara inilah yang membezakan kita dengan mereka yang tidak percaya kepada Hari Akhirat. Mereka akan merasa sia-sia jika budi dan kerja yang mereka lakukan tidak dibalas dengan ganjaran atau kebendaan. Melihat kepada tamadun barat, kebanyakan kehidupan mereka hanya tertumpu kepada materialisme. Penyakit ini bukan baru, tetapi ia telah banyak diterangkan oleh ulama-ulama terdahulu.
Antara bentuk materialisme yang masuk ke negara Islam ialah pengaruh negatif media. Tidak boleh dinafikan lagi media menjadi alat menyangkan cerita–cerita yang laku dan panas di pentas masyarakat, terutama “televisyen”. Siaran terkadang hanya memandang kepada keuntunggan yang dapat dari tayangan. Tentang apa yang dihidangkan kepada umat Islam tentang pengisinan, tidak diambil peduli. Televisyen adalah “maklumat” atau guru ketiga yang mengajar anak–anak kita di rumah. Lihatlah di negara kita Malaysia atau di Indonesia, cerita-cerita yang ditayangkan penuh dengan hiburan yang bertujuan mencari keuntungan semata-mata.
Alangkah teruk jika guru ini menayangkan perkara–perkara yang negatif seperti artis berpakaian seksi, percintaan yang melampau, perangai-perangan yang buruk, kehidupan yang lagho dengan dunia dan banyak lagi yang secara terang melanggar syariat Islam. Ia tidak lain hanya bertujuan menarik penonton yang tenggelam dalam hawa nafsu dan mempunyai kepentingan material semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk kepada umat Islam. Saya tidaklah secara total mengatakan semua siaran TV itu tidak baik, banyak juga yang baik, tetapi hakikatnya memang banyak perlu diperbaiki lagi.
Di dalam sistem pendidikan pula, kita dapat melihat bahawa pusat-pusat pendidikan terlalu banyak seperti rumput yang tumbuh selepas hujan. Ada yang Awam dan ada juga yang Swasta. Mungkin dari satu sudut ia baik, kerana kita mementingkan dan peka terhadap pembangunan insan. Tetapi kita juga perlu bertanya apakah matlamat sebenar menubuhkannya. Ini kerana, banyak juga pusat-pusat pendidikan ditubuhakn atas dasar untuk berniaga dan mencari keuntungan. Jika itu menjadi matlamat, boleh dikatakan kita masih gagal lagi mewujudkan sistem pendidikan yang sebenar.
Jika dahulu kita dapati hal ini berlaku di institusi pendidikan swasta, tetapi sekarang boleh dikatakan semua, samaada swasta atau awam, kebayakanya berbayar dengan harga yang tinggi. Jarang pada masa kini, kita lihat pusat pendidikan yang murah harga dan membantu, kebanyakannya memerlukan wang untuk menimba ilmu terutama di negara kita. Alangkah baik jika ada di negara kita pusat-pusat pengajian seperti di Madinah, Pakistan, Al-Azhar Mesir, yang banyak membantu pelajar dan mengenakan yuran yang murah.
Dalam perjuangan juga, kita selalu juga mendengar keluhan, rintihan yang menimpa mereka yang di uji. Hal ini adalah sunatullah bagi mereka yang bergelar makhluk yang lemah. Namun dalam menghadapi ujian di atas jalan kebenaran perlulah kita sentiasa sabar, kerana sabar inilah petanda mereka yang inginkan kejayaan yang abadi. Hasil dari ujian tuhan inilah kita dapat menilai diri kita adakah kita pasir atau permata. Bukan sedikit keluhan yang saya dengar bahawa sokong gerakan Islam boleh apa, sebagai contoh bagi sesetengan mereka yang suka menbandingkan perjuangan Islam dan Kebangsaan. Mereka seakan-akan mengatakan menyokong Parti Kebagsaan dapat duit dapat pembangunan, “ jom sokong Parti Kebangsaan”, kita kena pandai berpolitik, politik kita mestilah menguntungkan kita” keluhan-keluhan seperti ini terkadang terkeluar dari mulut mahasiswa. Terkadang aku hairan, apabila mereka yang menanggung beban hutang PTPTN pun turut sama.
Kita memahami umat ini terkadang kabur dengan lautan material, sehingga agama boleh disisihkan kerana mencara dunia yang sedikit, ada yang sanggup meninggalkan solat kerana laku perniagaan, sanggup meninggalkan perjuangan Islam kerana pangkat, harta, pengaruh. Penyakit ini perlu diubat kerana penyakit roh ini lebih parah dari penyakit fizik. Oleh itu, kita perlu sedar bahawa hakikat sebenar kehidupan, nikmat dan ganjaran di Akhirat adalah jauh lebih besar dari kehidupan dunia. Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“ Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak[186] dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga) ” ( Ali 'Imran : 14)
Pedoman Pendakwah Zaman Moden
Urusan dakwah adalah suatu yang mulia disisi Syarak. Allah swt menegaskan di dalam Al-Quran, Firman Allah SWT yang bermaksud : “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru menuju Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”. (Fushshilat:33). Oleh itu, ia harus dilakukan dengan penuh keikhlasan demi untuk mencapai keredhaan Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang balasan berupa wang ringgit, harta benda atau untuk meraih jawatan.
Mereka yang menyeru kepada Islam haruslah meneladani perjalanan para Nabi dan Para Sahabat. Mereka adalah gologan yang terkedepan dan hampir dengan Allah SWT. Mereka menjadi contoh yang paling baik untuk di tiru kerana keikhlasan mereka tidak tertanding. Mereka tidak mengharapkan apa-apa kecuali redha Allah swt. Penting bagi para pendakwah untuk memahami bahawa urusan yang mulia ini akan menjadi sia-sia sekiranya ia dilaksanakan demi untuk mencapai keuntungan berbentuk material semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak akan menerima dari semua jenis amalan kecuali yang murni (ikhlas) untuk-Nya dan untuk mencari wajah-Nya.” (Hadis riwayat Imam al-Nasa’i)
Dalam dakwah Nabi Hud, firman Allah :
“ Dan kepada kaum 'Ad (Kami utus) saudara mereka, Huud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Kamu hanyalah mengada-adakan saja. Hai kaumku, aku tidak meminta upah kepadamu bagi seruanku ini. Upahku tidak lain hanyalah dari Allah yang telah menciptakanku. Maka tidakkah kamu memikirkan(nya)?" (Surah Hud : 50- 51)
Dalam dakwah Nabi Muhammad, firman Allah :
" Dan datanglah dari ujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas-gegas ia berkata: "Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu.". Ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. ( Yassin: 20 -21)
Teguran Allah kepada Nabi Muhammad, firman Allah :
“ Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. (Al- Muddatstsir : 6)
Di dalam ayat ini juga menerangkan Rasulullah SAW, tidak meminta sebarang upah dalam berdakwah dan mengajak umatnya kepada Islam. Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (hai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. Al-Qur'an ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam.” (Shad : 86-87)
Kesimpulanya, penulisan yang sedikit ini bukanlah mengatakan haram menerima upah. Upah boleh diambil jika diberi dengan niat kita berbuat bukan semata-mata kerana upah. Pendakwah perlu ingat bahawa keikhlasan adalah perkara yang perlu dititik beratkan dalam berdakwah. Jika tidak, kita telah dilanda penyakit hati yang perlu dirawat segera. Mudah-mudahan dengan sedikit coretan ini, kita dapat bermuhasabah supaya penyakit ini tidak terlekat pada diri kita dan menjadi insan yang semakin dekat dengan Allah SWT.
Oleh : Ahmad Syahin
29/ 9/2011
Medan, Indonesia
No comments:
Post a Comment