Selepas PRU-12, PAS mula melakukan pendekatan multiracial dan tidak berminat lagi untuk menyebut slogan Melayu. Ini adalah suatu perubahan yang besar berlaku pada PAS lebih–lebih lagi apabila membuka keahlian kepada mereka yang non-muslim untuk menjadi ahli PAS dan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Ini adalah suatu perubahan yang positif yang berlaku bagi PAS terutama untuk menarik pengundi non-Muslim dan non-Melayu. Jika dilihat kepada hakikat ini jelaslah bahawa PAS adalah parti politik yang bukan ta’sub perkauman sempit seperti UMNO dan PERKASA yang selalu menjustifikasikan atas nama Melayu.
Berdasarkan pemahaman ini, PAS sejak dari awal lagi mengambil sikap yang sederhana. Sikap kasih kepada kaum dan bangsa adalah suatu fitrah semula jadi. Sikap melampau yang membawa kepada kebencian kepada kaum lain dan menindas kaum lain, amalan faham politik ini ditolak mentah-mentah oleh PAS karena bertentangan dengan dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. PAS meletakkan Islam sebagai solusi dalam memerintah negara.
Ketika muktamar kali yang ke 54 tahun 2008, dengan tema“PAS FOR ALL” berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahwa perjuangan PAS adalah merupakan suatu amanah untuk memakmurkan sekalian alam ini. Perjuangan PAS tetap utuh dan bertahan sampai ke hari ini karena mempunyai tujuan pendiriannya yang berdasar kepada akidah perjuangan yang jelas. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan semesta. PAS membuka seluas mungkin keahlian kepada non-muslim dan meruntuhkan tembok politik perkauman. Hal ini menarik minat masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu untuk berpartisipasi dalam PAS.
Namun timbul persolan, bagaimana pula dengan masyarakat Melayu? Dan bagaimana pula persepsi mereka terhadap PAS? Hal ini juga perlu kita perhatikan supaya tidak merugikan undi PAS dikalangan masyarakat Melayu pada PRU13 akan datang. Ini kerana UMNO selalu menggunakan isu ini. Jika PAS kalah di tempat Melayunya ramai, tentu sekali kesan daripada persepsi kebimbangan mereka terhadap keistimewaan melayu terancam. Kata-kata yang selalu dimomokkan seperti “sekiranya UMNO-BN dijatuhkan dan Pakatan Rakyat berkuasa, lebih lebih lagi di peringkat pusat, maka alamatnya Melayu akan turut terpupus di bumi sendiri”.
Andaian seperti ini mungkin ada yang percaya, mungkin tidak. Ada pula yang mengatakan masyarakat Malaysia sudah celik IT, tentu sekali boleh menilai hakikat BN dan PR. Akan tetapi, bagi saya ia sedikit sebanyak memberi kesan terutama bagi Melayu luar Bandar dan Melayu yang berminda Utusan Malaysia untuk yakin dengan PAS. Kemungkinan ini berlaku lebih–lebih lagi jika momokan ini diwar-warkan oleh media arus perdana di negara kita. Dalam masa yang sama pimpinan kita tidak menyebut langsung tentang Melayu dalam ucapan dan ceramah.
Pendekatan yang matang yang saya saksikan, pendekatan pemimpin-pemimpin Parti KeADILan, mereka selalu menggunakan pendekatan Perlembagaan untuk mempertahankan kedudukan Melayu. Pendekatan inilah sewajarnya diperkasakan PAS terutama bagi pimpinan tertinggi parti. Saya tahu wujudnya kebimbangan dalam PAS apabila meyebut Melayu. Ini kerana ingin menjaga hati masyarakat non-Melayu dan memperjuangkan identiti Islam. Lalu ramai dalam PAS mengambil pendekatan untuk tidak menyebut langsung Melayu, bahkan ada yang mengatakan ianya sama sekali bertentangan dengan Islam, kerana semangat Nasionalisme. Ada juga yang mengatakan bahawa perlembagaan yang ada sekarang tidak Islamik dan wujud perasaan skeptical dalam hal ini.
Jalan yang paling baik ialah meletakkan pendekatan membela Perlembagaan Malaysia, khususnya penekanan terhadap, Artikel 152 dan 153 memperuntukkan keistimewaan dari sudut bahasa dan kedudukan orang Melayu. Ditambah dengan keistimewaan itu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam artikel 3 dan hak-hak Islam dalam senarai kuasa kerajaan negeri memberikan orang Melayu yang majoriti beragama Islam beberapa kelebihan. Pendekatan inilah yang sesuai untuk mempertahankan kedudukan Melayu.
Jika dilihat perubahan pada PAS sudah begitu banyak, bermula dengan slogan “Negara Berkebajikan” yang mula diperkenalkan pada manifesto PRU 2008 dan diperkuatkan pada muktamar tahunan ke-57. Slogan negara Islam sudah tidak popular lagi dalam PAS. Hal ini adalah suatu yang positif bagi PAS, yang tidak semata-mata menekankan label tetapi menekankan substensi dan perlaksanaan. Walaupun perlembagaan Malaysia sekadar menyebut Islam agama Persekutuan ia adalah keuntungan besar bagi masyarakat kita. Oleh demikian kesedaran untuk mempromosi Perlembagaan negara perlu diperkuatkan lagi terutama oleh pimpinan parti, mengenai kedudukan dan keistimewaan masyarakat Melayu Malaysia.
Ada juga yang mengatakan jika kita memperjuangan keistimewaan oerang Melayu, itu adalah semangat Nasionalisme, dan Nasionalisme itu ditentang dalam Islam. Kita jawab, Nasionalisme yang mana? Entah2 maksud Nasionalisme pun tidak tahu. Siapa yang tidak kenal dengan Dr Burhanuddin Al-Hilmi, yang pernah menjadi Presiden PAS, dia pun pernah memperjuangkan Melayu dalam PKMM. Semangat kebangsaan tidak selamanya salah, ia boleh selagi tidak keluar dari batasan Islam. Sayang kepada keluarga dan kaum itu fitrah, dalilnya firman Allah dalam Al-Quran : وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ “Dan berilah peringatan kepada keluarga-keluargamu yang terdekat”(Asy-Syu'ara' ayat 214).
Selain itu, Politik Nabi sendiri mensyaratkan untuk menjadi ketua negara adalah kabilah Quraish. Ini kerana berdasarkan kepada sebuah Hadith Rasulullah yang berbunyi:) الأئمة من قريس ( “pemimpin itu dari kalangan Quraish”.( HR. Bukhari dan Muslim). Di dalam “Muqaddimah Ibnu Khaldun,” dia mentafsirkan hadits tersebut bahawasanya Nabi melihat kekuatan dan kesukuan di zamanya adalah milik kaum Quraish. Sifat itu berubah dari zaman dan kaum kepada kaum dan zaman yang lain. Hadith ini bermaksud, seorang pemimpin itu mesti seorang yang dihormati, disegani dan digeruni supaya perintah dan arahannya didengar dan dipatuhi.
Teori yang disebut oleh Nabi saw ini adalah kebijakan politik semasa. Pemimpin yang kuat apabila didokong oleh kelompoknya yang kuat kuat. Ini kerana Quraish adalah bangsa yang ramai dikalangan sahabat-sahabat besar dan terdiri daripada kaum –kerabat Nabi saw. Keistimewaanya diakui di dalam sejarah dan disebut di dalam Al-Quran. Maka keputusan Rasulullah yang mengatakan bahwa kepimpinan mesti di tangan Quraish kerana merekalah yang paling layak dan berpengaruh ketika itu. Di zaman Ibnu Khaldun Quraish tidak lagi terlalu dominan, oleh demikian dia memberi penafsiran kontektual bahawa orang yang memiliki kemampuan setara dengan kemampuan yang pernah dimiliki kaum Quraish.
Jika dilihat kepada realiti semasa masyarakat Malaysia hari ini, kestabilan politik bergantung kepada kepimpinan orang Melayu, kerana mereka merupakan penduduk asal Tanah Melayu, masyarakat mejoriti dan tuan rumah. Bahkan lebih penting lagi hanya bangsa Melayu sahaja yang Islam. Jika orang Melayu mejadi pemimpin maka semua kaum boleh menerima. Perlembagaan telahpun memperuntukkan hanya orang Melayu sahaja yang layak menjadi PM atau MB. Ini penting untuk menjaga kestabilan kaum.
Berbalik kepada persoalan undi Melayu pada PRU-13, bukan tidak boleh PAS menekankan multiracial, tetapi masyarakat Melayu juga perlu diambil hati dan diraikan secara bilhikmah, terutama bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan PAS. Berpolitik mestilah berseni seperti “menarik rambut di dalam tepung, usahakan supaya rambut dapat dikeluarkan dan tepung tidak berserakan”. Multiracial perlu diteruskan, tetapi Melayu juga perlu disebut, sekurang-kurangya dengan pendekatan perlembagaan Malaysia yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Maka jangan hairan kenapa PERKASA yang melaungkan perkauman yang sempit itupun mendapat sokongan ramai orang Melayu. Meraikan Melayu tidak semestinya PAS sama dengan UMNO. Melayu diutamakan kerana Melayu adalah Islam, kemungkinan untuk dakwah orng non-Islam semestinya terjadi, tetapi ianya memakan masa yang lama untuk strategi politik PRU-13, oleh demikian non-melayu perlu diutamakan dan Melayu jangan ditinggalkan.
Oleh: Ahmad Syahin
No comments:
Post a Comment