Alhamdulillah terasa baru sahaja di tahun 2011, tetapi tahun ini telah berlalu meninggalkan kita. Begitulah cepatnya masa berjalan meninggalkan insan. Ada orang dalam masa yang sesingkat ini banyak perubahan yang dicapai, ada yang sedikit, ada yang statik dan sebagainya. Beruntunglah bagi mereka yang menggunakannya dengan perkara–perkara yang berfaedah terutama untuk meningkatkan Iman seperti firmanullah dalam surah Al-Asr yang menggolongkan mereka yang tidak rugi kepada beberapa sifat iaitu beriman, beramal soleh, berpesan kepada kebenaran dan berpesan supaya sabar.
Tahun baru masihi sebenarnya hanya dalam kelendar, tidak salah kita menggunakan walaupun berasal daripada orang bukan Islam. Bagi umat Islam, kita ada tahun baru sendiri yang dibuat oleh Sayidina Umar Al-Khattab. Tahun baru bagi seorang muslim ialah setiap hari, bangun pagi kita disunnatkan mengucapkan الحمد للله الذي أحيانا بعد أماتنا و اليه النشور . Ini kerana kita tidak pasti sebelum kita tidur, adakah kita akan hidup di hari esok. Islam mengajar supaya kita muhasabah diri setiap hari supaya kita menjadi lebih baik dari hari-hari sebelumnya.
Islam mengajar kita supaya kita selalu hijrah, kalau dulu saya berumur 22 sekarang saya sudah berumur 23, maka begitulah saudara sekalian. Maka kita mestilah hijrah dari buruk ke arah yang baik dan yang baik ke arah yang lebih baik. Nabi saw pernah bersabda dalam hadith tentang hijrah, hijrah mestilah kerana Allah swt. Ini kerana hijrah ini bermacam-macam. Sesiapa yang hijrah kepada dunia atau wanita, maka apa yang dia dapat ialah hanya dunia dan wanita. Sesiapa yng hijrahnya kerana Allah dan Rasul, inilah hijrah yang sebenar-benarnya dituntut oleh Allah swt. Hijrah inilah yang membolehkan kita mendapat pahala disisi Allah swt.
Tahun baru ni kita mendengar beberapa isu yang boleh diambil pengajaran oleh semua lapisan masyarakat terutama ibu bapa. Iaitu isu mengenai pelajar cemerlang Nur Amalina Che Bakri, Sebelumnya Sufiah Yusof. Apa pun berita keduanya begitu tersebar terutama melalui internet dan surat khabar. Perkara ini sudah diketahui umum oleh rakyat Malaysia. Pengajaran yang kita dapat ambil dari kedua-duanya ialah bagaimana pendidikan Ibu Bapa di rumah serta kerajaan umumnya.
Ibu bapa perlu menjadikan contoh pelajar yang berjaya seperti Nik Madihah dan Siti Fatimah. Kedua–duanya adalah hasil didikan Sekolah Maahad Muhammadi Perempun (MMP) Kota Bharu. Kedua-duanya boleh dikatakan hasil didikan di rumah dan di sekolah dibawah kelolaan kerajaan Negeri Kelantan, iaitu Yayasan Islam Kelantan (YIK). Sekolah yang hasil daripada penekanan antara akademik dan agama. Belajar apa pun kesemuanya dituntut oleh agama kecuali yang tidak mendatangkan manfaat dan mendatangkan mudharat. Umat Islam dimita belajar ilmu keduniaan walaupun daripada guru yang non-muslim. Nabi saw menuntut kita mengambil hikmah dari mereka. Hebat mana pun ilmu yang dipelajari biarlah tuhan dihujungnya. Untuk memperkaya bacaan, bacalah tulisan Dr Asri.
Ibu bapa umumnya saat ini sangat cenderung kepada pendidikan akademik berbanding pendidikan agama. Perkara ini haruslah diseimbangkan antara kedua-duanya kerana agamalah sebenarnya punca kepada akademik bukan akademik punca kepada ilmu agama. Ibu bapa perlu mewasiatkan anak-anak dengan agama Islam, kerana agamalah yang lebih besar dari segala-galanya. Kehilangan agama adalah ibarat kehilangan kompas dalam hidup. Ikutlah jejak Nabi-Nabi terdahulu sebagaimana mereka mendidik anak. Mereka mewasiatkan dan berpesan kepada anaknya tentang agama. Sebagai contoh Nabi Muhammad saw, Nabi Ibrahim, Nabi Nuh dan orang yang soleh seperti Luqman Al-Hakim.
Sambutan tahun baru juga dihebohkan dengan lakonan Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak di Dataran Shah Alam. Program dakwah ini sangat hangat di youtube dan disambut baik oleh anak-anak muda. Alhamdulillah sudah ramai anak-anak muda yang terpaut hati dengan hiburan alternatif yang dibuat oleh pendakwah-pendakwah kita. Hiburan adalah fitrah yang Allah berikan kepada kita, semua manusia memerlukan hiburan. Dakwah yang hanya sekadar ceramah tidak semua meminati. Dakwah yang yang berjaya ialah dakwah yang meraikan semua golongan termasuk anak muda melalui muzik. Ramai yang terkejut apabila Ustaz Azhar Idrus bermain gitar, yang sebenarnya hukumnya adalah harus jika tidak dicampur dengan unsur-unsur yang haram. Oleh demikian, bagi kita tidak memahami hukumnya perlu menginovasi perkembangan Fiqh Islam kita supaya tidak terlalu jumud. Sekadar inilah coretan saya, semoga beroleh manfaat. Wallahu a’lam..
Oleh : Ahli Fikir
No comments:
Post a Comment