Friday, August 17, 2012

MUHASABAH DIRI DI AKHIR RAMADHAN








Ramadhan yang baru-baru ini datang menemui kita, kini beransur-ansur meninggalkan kita. Golongan Salaf apabila datangnya Ramadhan ia menyebut “Marhaban ya muthohhir” dan dikatakan mereka sedih apabila bulan ini beransur-ansur pergi. Bulan ini terkenal dengan bulan yang menghidupkan Islam, ibadat yang terbesar di dalamnya ialah ibadah puasa yang melahirkan maqam ihsan manusia kepada tuhan. Ia juga bermatlamat untuk menjadikan orang yang keluar darinya menjadi golongan muttaqin. Jika sifat ini gagal diperoleh maka kita dapatlah menilai puasa yang kita lakukan itu bagaimana.

Dalam beribadah janganlah semata-mata melihat kepada hukum, akan tetapi lihatlah juga kepada keseluruhanya, seperti roh ibadat tersebut. Saya kagum dengan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya “Ihya Ulumiddin” yang bermaksud menghidupkan ilmu-ilmu agama. Kitab ini banyak manfaat beliau bukan setakat menjelaskan hukum fiqh tetapi mencakupi hikmah dan rahsia-rahsia ibadat tersebut. Baginya Puasa amat penting terutama untuk menjadi benteng bagi para wali Allah swt dari tipu daya syaitan yang menjadi musuh terbesar dalam kehidupan manusia.

Ramadhan beransur-ansur meninggalkan kita. Di akhir Ramadhan ini fadhilatnya sangatlah besar, terutama pada malam-malam terakhir, ketika  inilah dikatakan berlakunya satu malam yang dinamakan dengan malam lailatul qadar. Malam ini berlaku khilaf di kalangan ulama tentang bilakah berlakunya. Ulama’-ulama khilaf tentang hal ini, banyak pendapat yang dilontarkan. Dalam kitab fathul bari sahaja berpuluh-puluh pandangan dinukulkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar.

Hikmah Allah tidak menyatakan hal ini ialah supaya kita tidak tertumpu kepada malam-malam tertentu sahaja. Begitu juga halnya ibadat-ibadat lain yang istimewa tidak dinyatakan bila berlakunya. Jika kita lihat kepada solat wusta ia juga khilaf dan tidak jelas solat apakah yang dimaksudkan dengn solat wusta, begitu juga bilakah saat diterima doa pada hari jumaat juga tidak jelas masanya,  Sama halnya dengan nama-nama Allah yang 99 ada nama-nama tertentu yang apabila kita berdoa dimakbulkan doa, hal ini juga tidak ditentukan mana satukah nama tersebut. Begitu juga tarikh kematian, tidak ditentukan bilakah berlaku supaya kita sentiasa beribadat kepada Allah swt dan tidak menumpukan pada waktu-waktu itu sahaja. Inilah hikmah kenapa Allah tidak menentukan tarikh-tarikh istimewa tersebut dan begitu jua Allah tidak menentukan tarikh khusus berlaku lailatul qadar supaya kita sentiasa beribadat.

Amal Soleh Diteruskan Selepas Ramadhan

Adakah terhenti amalan seseorang muslim dengan berakhirnya bulan Ramadhan? Jawapnya tidak!, Saya teringat apa yang disebut oleh Abdullah Bin Zaid Al-khalidi dalam artikelnya, bahawa amal-amal soleh tidak terhenti dengan berhentinya bulan Ramadhan. Amalan seseorang muslim tidak terhenti kecuali apabila datangnya kematian. Allah Swt berfirman:
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

“ Sembahlah tuhan kamu sehingga datang kepada kamu yakin (maut)”(Al-Hijr: 99)

Allah Swt Berfirman, daripada Nabi Ibrahim As:
يَا بَنِيَّ إِنَّ اللهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

“ Ibrahim berkata: "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam"( Al-Baqarah:132)

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata bahwa Rasulullah saw bersabda,

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu): sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang sholeh” (HR. Muslim no. 1631)

Nabi Saw tidak sekali-kali menjadikan amalan terputus dengan berakhirnya bulan–bulan tertentu, kecuali dengan sebab kematian. Bulan Ramadhan sebagaimana yang maklum sebagai bulan untuk kita memperbaharui kehidupan Islam kita dan menjadikanya sebagai madrasah tarbiah dalam kehidupan sehingga kita dapat hidup dalam keadaan bertaqwa apabila keluar darinya. Amal soleh yang lazim dilakukan ialah Puasa, Qiyamulail, Sedekah, membaca Al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak terhenti dengan berakhirnya bulan ramadhan.

 Amalan-amalan ini tidak sekali-kali terhenti dengan berakhirnya Ramadhan, disana terdapat puasa yang disyariatkan pada hari-hari tertentu selain daripada bulan Ramadhan, seperti puasa enam hari di dalam bulan syawal, puasa tiga hari setiap bulan, puasa hari Isnin dan khamis, puasa hari Asyura dan Tasu’a dan puasa hari arafah. Ibadah-ibadah lain seperti membaca Al-Quran, Qiyamulail, Iktikaf, Sedekah,  dan sebagainya juga disyariatkan sepanjang tahun.


Ibadah Puasa

Pertama, Puasa 6 Hari Dibulan Syawal
 Antaranya ialah puasa enam hari pada bulan Syawal sebagaimana Sabda rasulullah Saw bersabda:
من صام رمضان ثم أتبعه ستًا من شوال فكأنما صام الدهر 

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun”.(Riwayat Muslim:1164)

Enam hari ini adalah mengiringi selepas dari bulan Ramadhan iaitu disyariatkan bagi seseorang berpuasa pada hari yang kedua pada bulan Syawal. Semestinya bagi menunaikan puasa ini mudah disebabkan kita sudah terbiasa dengan berpuasa pada bulan Ramadhan. Afdhalnya dilakukan segera selepas hari raya Aidil fitri secara berturut-turut. Walaubagaimanapun, ini bukanlah syarat bahakan pahala sunnat diperoleh juga dengan  melakukan secara berasingan.

 Kedua, Puasa Pada Hari Arafah

Berpuasa pada hari Arafah ialah pada 9 Zulhijjah. Ia disunnatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji (bagi bukan jemaah haji). Nabi Saw bersabda:

أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده 

“ Puasa hari arafah dikira(diganjarkan) oleh Allah taala sebagai menghapuskan dosa setahun yang lepas dan setahun akan datang” ( Riwayat muslim:3082)
Hari Arafah juga adalah sebaik-baik hari. Rasulullah saw bersabda:
 مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Maksudnya, tidak ada hari yang lebih ramai Allah swt membebaskan hambanya-Nya daripada api neraka lebih daripada hari Arafah.”( Riwayat Muslim: 1134)
Kecuali mereka yang mengerjakan haji maka tidak disunnatkanya supaya dia berpuasa pada hari Arafah, hikmahnya adalah untuk menjadikan ia sentiasa kuat pada hari tersebut untuk berdoa. Bagi jemaah haji hukumnya makruh tanzih untuk melaksanakan puasa pada hari tersebut.  
Ketiga, Puasa Hari ‘Asyura dan Tasu’a
Berpuasa pada hari Asyura ialah pada bulan muharram, iaitu 10 Muharram. Hari tersebut Allah swt menyelamatkan musa serta kaumnya dan memusnahkan firaun dan kaumnya, akan tetapi puasa dilakukan sebelumnya iaitu hari yang kesembilan ini kerana Rasulullah Saw bersabda:
لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع

“Kalaulah usiaku sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan”(Hadis Riwayat Muslim, Ibnu Majah, Ahmad )
Akan tetapi Rasulullah saw wafat sebelum itu. Hikmah disunnatkan puasa hari ke-9 sebelum berpuasa hari Asyura ialah sebagai ihtiyat , bimbang berlakunya kesilapan pada menetapkan awal bulan dan untuk membezakan dengan orang Yahudi, kerana mereka hanya berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja. Oleh itu disunnatkan bagi orang yang tidak berpuasa Tasu’a bersama dengan ‘Asyura agar dia berpuasa pada hari yang kesebelas.
Keempat, Berpuasa Tiga Hari Setiap Bulan  
Sunnat berpuasa tiga hari pada setiap bulan, samaada pada awal bulan, pertengahan bulan, ataupun pada akhir bulan, akan tetapi terlebih baik melakukanya pada hari-hari putih iaitu pada hari yang ke 13,14 dan 15 bulan Qamariyah. Ia dinamakan dengan hari-hari putih kerana malam hari-hari tersebut pada setiap bulan sentiasa disinari dengan cahaya bulan.
Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
 " Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sahih)
Diriwayatkann daripada Abu Qatadah  r.a Rasulullah saw, bersabda:
“ Puasa tiga hari dalam setiap bulan adalah sama dengan puasa untuk selama-lamanya”. (Riwayat Muslim:1162)

Kelima, Puasa Isnin dan khamis
Disunnatkan juga berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, ini kerana Nabi Saw berpuasa pada kedua-dua hari tersebut, Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya:
“Diperlihatkan(kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa.”(Riwayat al-Tirmizi,747)
Keenam, Puasa sehari dan berbuka sehari
Iaitu berpuasa sehari dan meninggalkanya sehari, dan inilah sebaik-baik puasa kerana sabda Nabi Saw kepada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، - رضى الله عنهما - قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ داود وَأَحَبَّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ داود عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يصوم يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا ‏"‏

“Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari."(Riwayat al-Bukhari :2796 dan Muslim)
Oleh demikian, adakah Ibadah puasa terhenti disebabkan berakhirnya bulan ramadhan?? Tentu sekali tidak!, puasa disyariatkan sepanjang tahun. Berpuasalah pada hari-hari tersebut kerana merebut keredhaan Allah saw dan mencari pahala tidak terhad pada bulan Ramadhan sahaja.
Qiamulail 
Adakah qiamulail terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan? Jawabnya Tidak!!, Qiamulail disyariatkan pada setiap malam, dan sebaik-baiknya selepas daripada satu pertiga separuh malam terakhir. Allah swt menerangkan Sifat Ibadurrahman ialahalh bangun pada waktu malam , firmanya:
وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا
“ Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka”(Al-Furqan:64)
Maka sekiranya susah untuk bangun, bolehlah solat sebelum tidur kerana  sudah dianggap qiamullail. Walaubagaimanapun usahakanlah untuk bangunlah walaupun sedikit pada akhir malam, kerana Allah Aswt, turun ke langit dunia ketika mana satu pertiga malam terakhir dan memperkenangkan doa bagi orang yang berdoa, Allah Swt berfirman:

من يدعوني فأستجيب له و من يسألني فأعطيه و من يستغفرني فأغفر له 

“Sesiapa yang berdoa kepada aku maka aku mustajabkan doanya dan sesiapa yang meminta akan aku maka aku akan memberi kepadanya dan sesiapa yang memohon keampunan daripadaku nescaya aku akan mengampunkanya”.(sahih Muslim 1808)

Dan akhirilah solat malam dengan satu rakaat iaitu solat sunnat witir.
Sedekah
Adapun sedekah, maka ia merupakan satu amalan yang tidak terputus dengan berakhirnya Ramadhan. Sedekah ialah satu amalan yang disyariatkan pada setiap waktu. Bahkan bagi seseorang yang memahami  ia menjadikan makanannya, minumanya, nafkah ahli keluarganya adalah sedekah, mahupun membelanjakan kepada diri-sendiri, juga merupakan sedekah dan kepada keluarga juga sedekah.

Bahkan memberikan sedekah kepada keluarga itu yang terlebih afdhal daripada orang lain. Sekiranya kita ada duit, dan disana ada dua golongan miskin. Pertama kelurga kita, yang kedua orang lain. Yang terlebih afdhal kita bersedekah kepada keluarga kita dahulu.
Membaca Al-Quran
Membaca Al-Quran juga tidak terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan, membaca al-Quran disyariatkan pada setiap masa. Sepatutnya kita mengambil satu masa tertentu dalam sehari untuk kita membaca  Al-Quran dan seeloknya menghafal bahagian-bahagian tertentu dari Al-Quran supaya ianya tidak luput dari kehidupan kita. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang membaca al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, dicatat baginya satu kebajikan. Dan setiap kebajikan dilipatgandakan menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf".
Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat di akhirat. Sebagai sabda Rasulullah SAW:
"Bacalah al-Quran, kelak di hari kiamat ia akan mensyafaatkan tuannya"
Baca Al-Quraan kemudian tadabur dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian, firman Allah swt:
"Tidakkah mereka mahu memperhatikan isi al-Quran, ataukah hati mereka terkunci"(Surah Muhammad: ayat 24)
Mudah-mudahan Allah swt memelihara kita sekalian daripada kelakuan tersebut, dan dia melindungi kita dari semua jenis bala dan bahaya.
Kesimpulanya, Ibadah tidak terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan, ibadah hendaklah dilakukan sepanjang masa sehinggalah sampai masa kita dijemput oleh Allah swt. Allah swt menghadiahkan bulan Ramadhan kepada kita supaya kita menjadi insan yang benar-benar bertaqwa dan keluar Ramadhan dalam keadaan dosa kita terampun. Mudah-mudahan diakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah untuk kita keluar dalam keadaan sebagai seorang muslim yang kuat, seorang yang kembali kepada fitrah. Mudah-mudahan selepas Ramadhan kita dapat menghadapi ujian-ujian hidup terutama dapat menghadapi tipu daya syaitan.. Wallahu’a’lam..

Oleh: Ahmad Syahin



No comments:

Post a Comment