Monday, August 6, 2012

SUNNAH KETIKA BERSAHUR DAN BERBUKA PUASA




Di dalam bulan Ramadhan kita dituntut untuk melambatkan bersahur dan mempercepatkan berbuka. Allah swt mewajibkan hambanya supaya berpuasa bukanlah untuk menyiksa tetapi sekadar didikan dan bebanan yang mendatangan manfaatnya kepada manusia sendiri.  

Sebelum berpuasa Islam menyuruh untuk bersahur dan melewatkan sahur kerana disinilah ada keberkatan. Begitu juga disunnatkan awal berbuka puasa sebelum menunaikan solat maghrib sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Saw.



Sunnat Melewatkan Sahur

Sahur ialah makanan yang dimakan pada akhir malam, sabda Nabi saw:

تسحروا فإن في السحور بركة

“bersahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah”(al-Bukhari:1823, Muslim:1095, lu’lu’ wal marjan:665).

Sahur sunnat dilakukan walaupun sedikit sahaja makan atau hanya sekadar meminum air. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya sabda Nabi saw :

تسحروا ولو بجرعة ماء

“Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air”( Mawarid az-Zham’aan:884).

Sabda Nabi saw di dalam hadith riwayat Imam Ahmad, daripada Nabi saw:

لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْإِفْطَارَ وَأَخَّرُوا السُّحُورَ

“Umatku terus berada dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur”. (Imam Ahmad, Musnadnya (5/147)

Sunnat untuk melewatkan sahur , iaitu melakukan sehingga fajar terbit , sebagaimana firman Allah swt,

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْر

“Dan makan dan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar” (Al-Baqarah:187)

Jelas bahawa waktu sahur adalah sehingga terbitnya fajar. Kesilapan yang sering berlaku ialah sesetengah orang sudah berhenti pada waktu imsak kerana takut berdosa, padahal hukumnya harus untuk makan sampai jelas masuk watu subuh. Ini kerana waktu imsak sebenar ialah apabila terbitnya fajar.



Menyegerakan Berbuka Puasa

Disunnatkan kita untuk mempercepatkan berbuka puasa apabila telah masuk waktu. Dalam hadith Nabi Saw bersabda:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ.

“ Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka” (al-Bukhari:1854. Muslim:1095)

Yang paling afdhal ialah berbuka dengan rutab (kurma basah) atau tamr (kurma kering). Sekranya tidak ada maka dengan air. Anas bin Malik r.a. berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

“ Nabi saw berbuka sebelum sembahyang (maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan tamar kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci.” (HR. Abu Daud :695 dan HR. Tirmidzi:2356)


Setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air maka menyegerakan solat magrib sekiranya makanan belum dihidangkan. Jika makanan telah dihidangkan maka hukumnya makruh solat dahulu. Ini kerana hati tertumpu kepada makanan tersebut yang akan menghilangkan kekhusyukan ketika sembahnyang. Perkara Ini berdasarkan kepada hadith Nabi saw : 

إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ وَلَا يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ.

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.”(Al-Bukhari:642,Muslim:559)

Hukum disini sama dengan hukum sembahyang dalam keadaan menahan kencing dan air besar. ini disebabkan dia tidak mungkin dapat khusyuk yang merupakan hak sembahyang yang perlu diberikan. Imam Muslim(560) meriwayatkan daripada Aishah r.ha. bahawa Rasulullah saw bersabda:

لا صلاة بحضرة طعام ولا وهو يدافعه الأخبثان

“ Tidak sempurna sembahyang di hadapan makanan dan dalam keadaan dia menahan daripada kencing dan buang air besar.” (Muslim:560)

Jelaslah makhruh jika makanan telah dihidangkan untuk terus melakukan solat, lebih-lebih lagi jika sebelum solat lagi berniat tidak baik iaitu selepas solat maghrib dilaksanakan ingin makan sehingga terlalu kenyang.


Oleh : Ahmad Syahin



No comments:

Post a Comment