Saturday, August 4, 2012

FALSAFAH DISEBALIK IBADAH PUASA






Pada bulan Ramadhan yang mulia ini Allah Swt mensyariatkan kepada orang yang beriman untuk menunaikan puasa. Puasa merupakan rukun keempat daripada rukun Islam dan ia merupakan perkara yang difardhukan oleh Allah swt. Ibadat ini merupakan peluang keemasan bagi mereka yang beriman untuk mempertingkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Swt.

Perkataan puasa di dalam bahasa Melayu dikatakan berasal dari perkataan "up'was" maksudnya puasa. Kalimah ini diambil dari bahasa Sanskrit iaitu bahasa kasta tertinggi dalam agama Hindu. Akan tetapi kita tidaklah memakai maksud asal puasa seperti cara orang hindu berpuasa. Kita memakai puasa cara kita, istilah puasa seperti yang dikatakan syarak. Puasa dalam bahasa arab dipanggil “saum” iaitu ” imsak” yang bermaksud tahan. Manakala dari sudut Istilah syarak ialah“penahanan tertentu, pada zaman tertentu daripada orang-orang tertentu dengan syarat-syaratnya”.

Syeikh Yusof Al-Qaradhawi dalam rancangan “Al-Syariah wal hayah tahun 2009”, beliau mengatakan  bulan ni adalah bulan besar dan menamakanya sebagai “ربيع الحياة الأسلامية   Musim Bunga Islam atau musim bunga yang menghidupkan Islam”. Inilah yang digunakan oleh orang Arab dalam peristiwa tertentu yang cantik atau perubahan besar. Menunjukkan besarnya bulan ni, begitu juga “saurah di negara-negara arab dipanggil sebagai الربيع العربي.

Al-Qaradhawi menamakan dengan nama ini kerana pada musim inilah untuk memperbaharui hati dengan iman, akal dengan makrifah, kekeluargaan dengan saling menghubungi satu sama lain, masyarakat dengan perhubungan antara satu sama lain, orang kaya mengasihi orang fakir dan orang kuat menolong orang yang lemah  dan menziarahi antara satu sama lain, maka bulan ini adalah bulan yang memperbaharui kehidupan Islam.


Melahirkan Sifat Taqwa

Al-Quran menyebut  di antara matlamat ibadah puasa yang dilaksanakan ialah untuk memupuk sifat taqwa kita kepada Allah,  Firman Allah Swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“ Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah:183)

Matlamat puasa dijelaskan dengan terang oleh Allah swt, iatu puasa dapat membina ketakwaan. Perhatikan pada perkataan “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ. Kalimah لَعَلَّ (mudah-mudahan), kalimah ini apabila ada di dalam Al-Quran ia membawa makna sungguh-sungguh, ini kerana fakta Allah swt tidak ada yang syak. Maka kalimah ini apabila datang dari pihak Allah di dalam Al-Quran memang benar. Cuma uslub bahasa “mudah-mudahan” boleh digunakan.

Antara latihan di dalam bulan puasa ialah seseorang itu perlu menahan diri daripada makan, minum, mengauli isteri dan lain-lain pada siang hari. Padahal perkara itu asalnya halal, boleh dilakukan jika di bulan-bulan lain, tetapi di dalam bulan puasa menjadi haram. Disinilah cara untuk mengajar ketaqwaan kita kepada Allah swt dan patuh kepada perintahnya. Jika perkara itu halal pun kalau Allah mengatakan haram ianya menjadi haram.

Demikianlah bagaimana mungkin bagi orang yang betul-betul mendapat tarbiyah Ramadhan melakukan perkara yang betul-betul haram seperti mencuri, berzina. Sedangkan yang halalpun pada ketika-ketika tertentu kita tidak boleh lakukan. Mudah-mudahan pada musim puasa ini kita dapat belajar dalam madrasah Ramadhan untuk menahan daripada melakukan dosa kepada Allah swt dan menjadi orang yang bertaqwa. 


Menanam Sifat Bersyukur

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini Allah Swt mensyariaatkan kepada orang yang beriman untuk menunaikan puasa, sama ada mereka merupakan raja, menteri, pemerintah, pegawai, orang kampung dan lain-lain mereka tetap akan diarah oleh Allah Swt untuk melakukan puasa termasuklah  kita semua.  Inilah yang dikatakan kita semua tidak lebih, dan hanya sebagai hamba yang hina kepada Khalid yang maha agung.

Semua orang beriman diwajibkan berpuasa selama sebulan, hikmat daripada cara ini adalah untuk merasakan sedikit kelaparan sebagai didikan kepada orang yang selalu kenyang. Puasa bukanlah bermatlamat untuk menyeksa, tetapi lapar puasa adalah untuk mendidik. Semoga dengan cara ini orang yang sentiasa senang dapat merasai apa yang dipanggil dengan lapar dan dapat bersyukur dengan nikmat Allah yang berupa makanan.

Allah juga mensyariatkan puasa kepada semua hambanya smada yang senang atau yang susah. Bagi yang senang yang sentiasa dapat makan-maknan yang mewah-mewah mereka pun diminta untuk berpuasa. Dengan berpuasa semoga mereka dapat merasai kepahitan hidup seperti  orang-orang yang tidak makan, yakni orang-orang miskin. Dengan cara ini mudah–mudahan orang yang kaya selalu rasa bersyukur. Bukan setakat itu, hasil daripada itu juga apabila kita sudah merasai kepahitan hidup sebagai seorang yang miskin dan susah, seharusnya mereka dapat menjaga orang yang miskin tersebut supaya mereka tidak tersiksa dengan kelaparan.


Mewujudkan Keikhlasan

Orang lain tidak tahu seseorang, samaada dia berpuasa atau tidak. Keikhlasan puasa hanya diri sendiri yang tahu. Inilah keistimewaan puasa berbanding ibadat-ibadat yang lain yang boleh dilihat oleh orang lain sebagai contoh solat, zakat, haji, qorban, sedekah dan sebagainya yang merupakan ibadah yang dapat dilihat oleh orang lain. Akan tetapi puasa tidak dapat dilihat. Dengan cara inilah mudah-mudahan dapat mengajar erti keikhlasan dalam diri orang yang berpuasa. 

 Jika seseorang  mahu makan di tempat yang tiada orang, dia boleh sahaja makan. Tetapi jika ia ikhlas dia tidak akan makan, Allah swt sahaja yang tahu keikhlasanya. Dengan melakukan puasa lama-kelamaan akan menghasilkan insan yang ikhlas kepada Allah swt. Kerana itulah puasa adalah ibadah yang besar disisi Allah. Allah swt menyandarkan puasa kepada dirinya dan dia sendiri yang akan membalasnya:


"يدع طعامه من أجلي ويدع شرابه من أجلي ويدع شهوته من أجلي ويدع زوجته من أجلي فالصوم لي وأنا أجزي به"


“Ia meninggalkan makanya keranaku, ia meninggalkan minumnya keranaku, ia meninggalkan syahwatnya keranaku, ia meningglkan  isterinya keranaku , maka puasa itu untukku, dan Akulah yang akan memberikan balasanya sendiri”.

 Allah menjanjikan pahala yang besar bagi orang yang berpuasa, ulama’-ulama’ mufassirin menyebut ayat seperti di dalam surah Sajdah dibawah ini adalah balasan bagi orang yang berpuasa:


فَلا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


“Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.   

Di dalam Hadith Nabi saw bersabda :

للصائم فرحتان فرحة عند افطاره وفرحة عند لقاء ربه

"  Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: kegembiraan yang pertama ketika  berbuka puasanya dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhanya “


 Perisai Melawan Syaitan

Puasa itu  merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah swt, iaitu Syaitan. Ini disebabkan jalan Syaitan itu ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah dengan cara mengurangkan makan dan minum. Namun alangkah sedih apabila sesetengah orang pada siangnya berpuasa, tetapi malamnya terlalu banyak makan, sehingga hilang maksud puasa itu sendiri.

Syaitan pada bulan Ramadhan diberkas  atau ada juga ulama yang berpendapat Syaitan sudah hilang godaan kerana orang yang beriman  ketika ini memperoleh kekuatan dengan berpuasa.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضي اللّهُ عَنْهُ أَنّ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: "إِذَا جَاءَ رَمَضَانَ فُتّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنّةِ، وَغُلّقَتْ أَبْوابُ النّارِ، وَصُفّدَتِ الشّيَاطِينُ".

“ Daripada Abi Hurairah Radialllahu anhu, bahawasanya Nabi saw bersabda : Apabila datang bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diberkas syaitan-syaitan” (HR.Muslim)


قَالَ رَسُولُ اللّهِ صلى الله عليه وسلم "إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتّحَتْ أَبْوابُ الرّحْمَةِ، وَغُلّقَتْ أَبْوابُ جَهَنّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشّياطِينُ".

“ Nabi Saw bersabda” Apabila Ramadhan dibuka pintu-pintu rahmat dan ditutup pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan”(HR.Muslim)


 Mematahkan Hawa Nafsu

Berpuasa juga adalah salah satu cara untuk mematahkan nafsu syahwat, ini jelas diterangkan dalam hadith Nabi saw :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

“ Diriwayatkan daripada Abdullah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami: “Wahai sekalian pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mampu menyediakan perbelanjaan perkahwinan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya itu lebih menahan pandangan (daripada melihat wanita) dan lebih menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia dapat menundukkan nafsunya.( HR. Bukhari : 1905)

 Dalam hadis ini baginda menyatakan puasa itu berperanan untuk melindungi pemuda yang belum berkahwin daripada terlibat dalam maksiat. Hadith ini jelas menunjukkan manfaat berpuasa bagi pemuda, walaupun dalam hadith ini ditujukan kepada golongan tertentu, tetapi pengajaran yang dapat diambil ialah puasa dapat mematahkan nafsu. Perintah disini adalah printah yang sunnat untuk berpuasa  bagi pemuda.  


 Menanam Sifat Yang Mulia

Di dalam syarah matan jauharatul tauhid disebutkan تخلقوا بأخلاق الله “ berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah”. Banyak sifat-sifat Allah, yang Allah menyuruh kepada kita untuk menirunya, sebagai contoh Allah swt bersifat dengan sifat “rafiq” berhalus dan dia suka kepada orang yang mempunyai sifat ini. Allah juga catik dia suka kepada kecantikan. Nabi saw sebut sikap berhati-hati itu daripada Allah dan gopoh itu daripada syaitan.

 Banyak di dalam Nas, Allah swt menyuruh kita meniru sifatnya, memanglah walaupun kita tidak mampu dan tidak sesekali sesempurna Allah swt, tetapi hakikatnya kita dapat banyak manfaat. Ini kerana sifat Allah ialah sifat yang sempurna. Jika kita lihat Allah Maha kaya dan tidak berhajat kpd sesuatu, jadi kita pun seeloknya kaya, Allah mendengar, kita juga seeloknya mendengar, Allah tidak makan, kita tak makan kerana berpuasa, hakikatnya nak dekat dengan sifat Allah yang sempurna, walaupun selama-lamanya tidaklah sama. Semakin dekat dengan sifat Allah, semakin dekat dengan kesempurnaan. Namun disana ada juga sifat Allah yang sempurna tetapi tidak layak untuk kita menirunya kerana kelemahan insan, sebagai contoh sifat Al-Jabbar.  

 Puasa juga dapat menguatkan lagi tauhid kita kepada Allah swt. Apabila kita berpuasa nescaya kita tidak makan, Allah swt juga tidak makan. Namum sekiranya  kita tidak makan selama-lamanya nescaya kita akan mati, tetapi Allah selama-lamanya  tidak makan dan tidak minum dan mustahil baginya mati. Oleh demikian seharusnya timbul dalam diri kita rasa keinsafan terhadap diri bahawa kita manusia adalah insan yang lemah yang perlu bergantung kepada makan dan minum,  seterusnya mengenang makan dan minum ini adalah nikmat pemberian Allah swt.


 Tingkatan Puasa

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitab ihya’ulumiddin, bahawa orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga darjatnya, iaitu:
Puasa Umum: iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj(kemaluan) dari mengecap kesyahwatanya.
Puasa Khusus: iaitu puasa yang disertakan dengan mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan perkara-perkara yang haram atau dosa.
Puasa khususul-khusus: iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas tadi, dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan, dan memesongkan perhatian dari selain Allah azzawajalla sam sekali.

Perkara yang sama ada disebut juga di dalam kitab Hujatullah Al-Baligha, sebuah kitab falsafah yang dikarang oleh Imam Shah Waliyullah Al-Dehlawi, dalam kitab Hikmatul Tasyrik Wal Falsafah oleh Syeikh Ali Ahmad Al Jurjawi (Syeikh di mesir) kitab-kitab ini menyebut juga tentang peringkat puasa ini.

Oleh demikian tidak hairan kenapa pada zaman Nabi dan sahabat berlaku peperangan pada bulan Ramadhan, ia juga pada zaman-zaman kemudian yang jika dilihat secara zahir mereka berpuasa. Kenapakah mereka mempunyai kekuatan?. Mungkin puasa yang mereka puasa bukan seperti puasa kita, puasa mereka ialah puasa auliya’ Allah, pada bulan inilah mereka bayak merebut kebaikan.

Di dalam sejarah telah mencatatkan kemenangan umat Islam dalam bulan Ramdhan sebagai contoh  peristiwa peperangan Badar Al-Qubra pada 2 ramadahan tahun kedua hijrah, peristiwa fathul Mekkah pada10 Ramadan tahun kelapan Hijrah, Peristiwa perjalanan Nabi muhammad ke Tabuk, Rasulullah berada di Tabuk pad a26 ramadan tahun 9 hijrah, Islam sampai ke Yaman Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan tahun ke-10 hijrah, Penyerahan Badar Taif pada bulan Ramadan tahun ke-9 hijrah, Pembukaan andalus (Sepanyol ) pada 28 Ramadan tahun  ke-92 Hijrah dan banyak lagi.


Pembersihan Daripada Dosa

Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan  dosa –dosa kita oleh Allah swt. Banyak hadith-hadith yang menerangkan bahawa Allah akan mengampun doa kita yang lepas,  sabda Rasulullah:

 "من صام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه

“ Rasulullah bersabda :  Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala (keikhlasan)  diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”

ومن قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه" (متفق عليه من حديث أبي هريرة).

 “ Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala (keikhlasan) diampunkan dosa- dosanya yang telah lalu”

 Oleh demikian sebagai orang yang beriman kepada Allah swt, seharusnya mengambil peluang pada bulan Ramadhan ini untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Madrasah Ramadhan amatlah besar faedahnya kepada kita jika dilihat dari sudut Naqli dan Aqli. Bulan ini adalah bulan penyucian daripada segala dosa, bulan untuk memperbaharui keimanan kepada Allah swt, bulan untuk mengislah segenap sudut kehidupan kita. Mudah-mudahan kita tidak melepaskan peluang yang diberikan oleh Allah ini dan keluar menjadi insane yang benar-benar bertaqwa kepadanya.  


Oleh: Ahmad Syahin

1 comment:

  1. http://nikabduh.com/2012/08/11/tazkirah-ramadhan-30-saat-10/

    ReplyDelete