Sunday, June 26, 2011

BERSIH DAN PEMBAHARUAN POLITIK MALAYSIA 2011




Selepas himpunan Bersih kali pertama diadakan pada 25 November 2007 lalu, yang kemudian diikuti dengan pilihan raya umum ke 12, banyak perkara yang membawa perubahan kepada politik tanah air kita. Cita –cita untuk mengexspresikan matlamat parti-parti politik semakin terbuka disebabkan beberapa tuntutan-tuntutan yang dilakukan dijalanan. Menjelang PRU ke 13, perhimpunan bersih sekali lagi akan diadakan pada 9 julai 2011. Perhimpunan ini adalah perhimpunan rakyat untuk menuntut hahak-hak rakyat supaya PRU akan datang dilakukan dengan telus dan adil.

Antara 8 tuntutan bersih kali ini ialah : 1. Bersihkan senarai undi, 2. Reformasikan undi pos, 3. Gunakan dakwat kekal, 4. Akses media yang bebas dan adil, 5. Tempoh berkempen minimum 21 hari, 6. Perkukuh institusi awam, 7. Hentikan rasuah, 8. Hentikan politik kotor. Bersih yang dilakukan bukanlah satu reformasi atau revolusi yang menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi ia sekadar mahukan pintu demokrasi yang telus dan adil berjalan di Malaysia. Bersih dilakukan bukanlah untuk keganasan tetapi untuk menunjukkan bahwa rakyat Malaysia mahukan suatu perubahan politik yang selama ini didominasi oleh pihak pemerintah yang telah melakukan banyak diskriminasi.

Politik dunia sudah berubah, maka Malaysia juga perlu berubah. Siapakah yang layak diberi amanah mentadbir negara, perlulah dinilai oleh rakyat, sebaliknya bukan melakukan amalan demokrasi terpimpin. Kita mahukan negara Malaysia pada masa hadapan lebih demokratis. Ketinggalan kita disebabkan tidak mahu melakukan perubahan. Lihatlah di negara-negara yang maju, sehebat presiden Amerika pun, mudah melakukan transformasi, kenapa kita yang lebih kurang ini masih sombog dan pengecut. Dalam hal ini kita menyokong pemuda UMNO “Khairy Jamaluddin” yang mahukan perubahan politik dan mengikut serta bersih 9 julai ini walaupun tidak diberi permit oleh Kementerian Dalam Negeri.

Kita memuji Khairy kerana keterbukaanya berbanding tokoh-tokoh UMNO yang lain seperti Dr Mahathir yang mengatakan “Ikut BERSIH, hati tak bersih “ dan ramai lagi. Biarlah generasi tua itu dengan gayanya. Ini kerana mereka tidak lama lagi berada di dunia ini untuk menentukan negara pada masa hadapan. Pedulikan mereka, perubahan negara kita tidak bergantung kepada mereka tetapi perubahan bergantung kepada generasi muda. Oleh demikian pemuda perlu memahami benar apakah yang selayaknya dan arah manakah yang kita mahu bawa negara dan bangsa ini.

Sekatan demonstrasi bersih kali ini juga adalah sekatan yang tidak demokratis dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Di dalam bahagian II Kebebasan Asasi , iaitu Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, di dalam perkara 10 (1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) – ada menyatakan bahawa : (a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, (c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat tindakan pihak polis malarang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan bukan sahaja tidak sah, malah melanggar perlembagaan. " Mereka bertindak secara tidak sah apabila secara umum memaklumkan tidak akan mengeluarkan permit. " Sebagai pihak berkuasa awam, mereka hanya boleh membuat keputusan apabila permohonan dibuat,". Ia menjelaskan, bawah perlembagaan, polis perlu menimbangkan setiap permohonan permit dan tidak patut membuat sebarang pertimbangan tidak wajar. Beliau berhujah, polis membuat penghakiman awal berhubung perkara itu dan sekali gus menentang undang-undang. Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan. Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Perskutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin. " Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang itu[1].

Oleh demikian, cukup mengguris perasaan kita apabila berita –berita seperti Bersih 2.0: Aktivis AMK, Pemuda PAS antara ditahan polis malam tadi, Pemuda PAS, PKR ditahan polis, 6 pemimpin BERSIH dipanggil polis, 'Hasut' BERSIH: 59 anggota PSM ditahan, yang muncul ketika ini yang menunjukkan bahawa polis cuba sedaya –upaya untuk menahan NGO dan pimpinan yang menganjurkan bersih. Polis yang ditugaskan untuk menegakkan undang-undang sudah bertukar menegakkan kepentingan politik golongan tertentu. Saya begitu kagum apabila mendengar komitmen 300 peguam sertai himpunan Bersih 2.0 dan mereka juga sedia membantu jika berlaku sebarang tangkapan.

Sejarah Belum Mengajar

Selepas kemerdekaan malaysia 31 Ogos 1957, suasana politik Malaysia sehingga kini secara umum adalah statis. Tidak pernah bertukar kerajaan, tidak pernah bertukar sistem pemerintahan dan tidak pernah berlaku gerakan rakyat secara besar-besaran. Walaupun tidak boleh dinafikan ada juga peristiwa besar seperti 13 mei, sedikit reformasi 1999, tetapi ia masih dalam kondisi tidak begitu Sirius. Pemimpin seperti perdana menteri tidak pernah didesak oleh rakyat untuk turun, kalau ada pun suara ‘ tidaklah begitu kuat. oleh demikian oteriter yang dilakukan oleh pemimpin dahulu, dilakukan juga hari ini. Jika dahulu kebebasan tidak ada , kini juga demikian. Apa yang tinggal ialah lambang demokrasi yang hanya sebagai tanda bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi.

Berbeza dengan Indonesia, setelah melihat kepada sejarah politik negara ini dari tahun 1945 sampai sekarang, masyarakat Indonesia telah banyak bercerminkan kepada sejarah yang berlaku. Memang di indonesaia sebelum era reformasi telah memakai istilah demokrasi, akan tetapi yang dilakukan adalah sebaliknya. Bermula dengan era demorasi terpimpin Soekarno zamn Orma, dilanjutkan dengan “ demokrasi terpimpin konstitusional” Soeharto zaman Orba, kedua-keduanya hanya tinggal sekadar nama. Dalam masa yang sama pemerintah bersifat oteriter. Setelah berlakunya Reformasi secara besar-besaran di Indonesia, negara ini lebih demokratik berbanding negara-negara sekitarnya.

Oleh demikian kemugkinan-kemungkinan yang telah berlaku di timur tengah baru –baru ini, jauh sekali akan berlaku di Indonesia. Kata Prof Dr Azyumardi Azra MA “Para penguasa Indonesia patut bersyukur karena ketiga doa (yakni saluran informasi) [2] itu tidak relevan dan tidak perlu di Tanah Air. Warga Indonesia memang merupakan salah satu pengguna terbesar jejaring sosial di dunia, tetapi keterbukaan dalam alam demokrasi membuat kejengkelan kepada penguasa tidak hanya dapat diungkapkan melalui dunia maya. Bahkan, kritik, kejengkelan, dan kemarahan kepada pemerintah dapat diekspresikan terbuka melalui media massa, baik cetak maupun elektronik, dan bahkan juga melalui aksi-aksi unjuk rasa.

Lagi pula tidak ada media elektronik semacam Aljazirah yang diakses secara luas di Tanah Air. Masyarakat Indonesia umumnya lebih menyukai saluran TV lokal yang begitu banyak, baik yang berorientasi hiburan maupun berita. Memang, banyak media TV sering kritis terhadap berbagai kebijakan pemerintah, tetapi masyarakat sudah terbiasa menikmatinya, tidak lagi merasa terprovokasi melakukan gerakan perlawanan.”[3] Oleh demikian jika kita melihat kepada Pilihan raya MPR dan Pemilu Presiden Indoneia, sangat demokratik. Debat antara parti politik yang bertanding sangat menyegarkan, media menyiarkan dengan adil semua iklan dan berita serta rencana mengenai calon dan parti politik yang bertanding. Di Malaysia, setiap kali pilihan raya, rakyat menyaksikan bagaimana media cetak dan Tv dimonopoli sepenuhnya oleh kempen Barisan Nasional. Ia menggambarkan seolah-olah dalam pilihan raya itu tidak ada pembangkang yang menentang BN kerana semua kempen, ucapan, poster, spanduk yang disiarkan hanya dipihak BN.

Dengan itu Indonesia lebih demokratis berbanding Malaysia disebabkan adanya pengalaman sejarah. Sejarah telah mengajar mereka supaya lebih demokratis berbanding kita. Tetapi malang, pengalaman seperti ini masih belum berlaku di negara ini. Memang kita tidak mahu mengubah negara dengan kekerasan seperti yang telah berlaku di Mesir dan Tunisia kerana bangsa kita adalah bangsa yang dikenal dengan sikap toleransi dan mudah berkira. Tetapi tidak mustahil’ jika keadaan mendesak akan berlaku reformasi atau revolusi. Ia berlaku “ Umpama air yang tersumbat, saat sumbatan itu terbuka, maka air akan melimpah dan menghentam apa saja yang dilaluinya” . Jika dahulu rakyat boleh ditipu kerana tidak ada maklumat, tetapi sekarang maklumat berlimpah ruah. Revolusi media tidak mampu menutup mata dan menyumbat telinga rakyat.

Selain itu, akhir-akhir ini timbul satu finomina ulama muda UMNO yang berani berfatwa. Orang agama yang sepatutnya memainkan peranan menegakkan yang hak, terbalik menjadi bahan untuk melegitimasikan politik golongan tertentu. Mereka sibuk memfatwakan haram mengikuti himpunan bersih, padahal banyak lagi isu-isu agama lain yang perlu difatwakan terhadap perkara yang jelas-jelas mungkar, seperti isu royalti Kelantan , isu membolot duit negara dan lain-lain. Malah, lebih malang apabila mereka yang mengklaim mengikut aliran salafi yang selama ini menyeru masyarakat untuk tidak ta’sub dan taklid di dalam perkara khilaf, ternyata apabila ada demonstrasi yang terang-terang khilaf, mereka tidak mahu berlapang dada, bahkan sebaliknya ta’sub dengan pendapat sendiri.

Walaubagaimanapun mejoriti ulama ’ di Malaysia bersetuju dengan demonstrasi ini, seperti TGNA, TGHH, DRMAZA, Dr Zaharuddin dan ramai lagi. Merujuk kepada artikel ‘Bersih’ Wajib Berjalan Dengan Bersih ” oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau menegaskan bahawa “Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Menurut Dr Asri, hadith Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara” lihat lebih lanjut hukum demonstrasi dalam blog beliau[4]. Selain Dr Asri , Ustaz Zaharuddin juga membolehkan demonstrasi. Di dalam videonya “ Hukum Demonstrasi BERSIH 2.0 Halal! Tidak Haram... (UZAR) beliau menjelaskan hukum demonstrasi, antara isikandungan video ini ialah :

1. Jangan terlalu kaku ketika berhadapan dengan teks syarak (nash) yang berkaitan dengan muamalat. Tidak seperti dalam hal-hal ibadah, Dalam hal muamalah mestilah bertepatan dengan maqasid atau roh syariah. Sedangkan dalam hal ibadah mestilah bertepatan dengan taks syarak atau nash.

2. Cara perlantikan pemerintah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman selepasnya adalah berbeza dengan yang ada sekarang, iaitu demokrasi. Dahulu, untuk melantik khalifah tiada pilihanraya. Tiada pungutan suara dari rakyat.

3. Islam tidak menghalang cara demokrasi dan segala komponen di dalamnya yang tidak bertentangan dengan syariat.

4. Demonstrasi adalah salah satu dari komponen demokrasi yang tidak bertentangan dengan Islam.

5. Hadis-hadis tentang menegur pemerintah dan ketaatan kepada mereka hendaklah difahami dalam konteks hadis itu. Ia tidak boleh digunapakai secara umum.

6. Cara untuk mengelakkan demonstrasi ialah dengan kerajaan mendengar pandangan rakyat.

7. Dibenarkan mengadakan demonstrasi aman untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang kelemahan kepemimpinan. Namun tidak boleh menyentuh kesalahan individu atau peribadi pemimpin.

8. Apakah melaungkan bantahan terhadap pemerintah atau menegur mereka secara terbuka boleh dilabel sebagai Khawarij? Selagi rakyat menegur dan meluahkan perasaan marah secara aman tanpa angkat senjata, mereka tidak boleh dianggap sebagai khawarij.( al-ahkam.net)

Akhirnya kalam, apa yang diharapakan pada demonstrasi yang berjalan pada kali ini, ia dapat memberi banyak manfaat kepada negara kita. Kita berikhtiar untuk menjadikkan negara ini sebuah negara yang terbaik di masa hadapan. Demonstrasi adalah satu ruang untuk menegakkan kebenaran dan suara rakyat yang selama ini tidak didengari. Mudah-mudahan berkat usaha semua rakyat dan kerjasama semua badan, pertubuhan, parti politik, mahasiswa, NGO dll, kita dapat melihat perubahan yang besar berlaku pada PRU ke 13 akan datang. Wallahu a’lam..

Oleh : Ahmad Syahin Bin Mohd Amin

[2] pertama agar jejaring sosial seperti Facebook dan Tweeter dilenyapkan; kedua, agar saluran TV Aljazirah dan Alarabiyah dihentikan; dan ketiga agar shalat Jumat tidak lagi dilaksanakan.

[3] Penulis adalah Direktur Sekolah Pascasarjana UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, Tulisan dimuat pada harian Republika, Kamis (19/5)

[4] http://drmaza.com/home/?p=1436

No comments:

Post a Comment