NEGARA BERKEBAJIKAN DAN PEMIKIRAN POLITIK SEMASA
Oleh : Ahmad Syahin Bin Mohd Amin
Pada Muktamar Tahunan Ke-57, negara berkebajikan menjadi tema penting bagi Pas. Pas yang sekian lama mengimpikan apa yang disebut sebagai Negara Islam sudah mementingkan substensi berbanding istilah atau nama Negara Islam itu sendiri. Ini adalah suatu perkembangan yang menarik yang berlaku pada muktamar Pas ke-57 di Taman Melewar 3 hingga 5 Jun 2011. Menifesto ini bertitik tolak apabila Pas melakukan perjuanganya secara hikmah terutama dalam kondisi dan geopolitik Negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Memang di dalam Al-Quran, tidak ada Istilah ini. Ini kerana Al-Quran tidak menggariskan secara mendasar apa yang disebut sebagai oreganisasi politik yang sering berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Bahkan dalam suatu masa pun, kita akan melihat bagaimana sesebuah negara berbeza dengan negara yang lain seperti adanya klafikasi negara yang tiga, sistem beraja, sistem repablik dan lain-lain. Oleh demikian Islam hanya menggariskan seperangkap nilai dan perinsip asas dalam bernegara.
A. Negara Berkebajikan Dan Politik Semasa
Jika kita melihat kepada istilah Negara Islam, ia banyak menimbulkan berbagai perasangka yang salah dan tidak disenangi di kalangan masyarakat non-muslim. Setelah beberapa dekat yang lepas Pas hanya mendapat sokongan mejoritinya orang Melayu muslim sahaja. Orang bukan Islam seperti Cina dan India, mereka takut untuk mendekati dan menyokong Pas. Ini kerana apabila menyebutkan tentang Negara Islam, mereka hanya tergambar hukum hudud dan qisas. Memang ia adalah satu sudut dari hukum Islam. Namun mereka tidak tahu dan kabur bahawa Negara Islam yang dinyatakan, ia lebih luas daripada itu. Fobia terhadap nama “ Negara Islam” juga timbul disababkan pemimpin UMNO sendiri yang tidak mahu melaksanakan syariat Islam. Atas nama inilah mereka cuba untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam, yang akhirnya apabila sebut sahaja Pas mereka menggambarkan dengan perspektif yang sempit dan negatif. Oleh demikian pendekatan yang dibawa Pas sekarang adalah baik dan lebih inklusif berbanding sebelumnya, tidak ada gunanya kerana nama sahaja kita berbalah apatah lagi nama tersebut tidaklah sakral dan baru sahaja dikenal selepas jatuhnya kerajaan khilafah Islam di Turki.
Berhubung dengan demikian, apabila kita melihat kepada kesan negatif dari penamaan Negara Islam ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Di Indonesia juga ramai yang tidak boleh menerima istilah ini, termasuk masyarakat bukan Islam.[1] Ini kerana mereka masih kabur dengan Islam yang sebenar apatah lagi mengenai hukum Islam. Kecuali jika pemerintah Islam sudah menunjukkan keadilan Negara Islam ini dan ia boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat. Namun pada hakikat apa yang terjadi adalah sebaliknya. Oleh demikian Amin Rais tokoh reformasi Indonesia 80-an, dalam satu wawancaranya telah menyatakan bahawa tidak ada istilah Negara Islam, kemudian diikuti oleh sebahagian besar cendikiawan disana. Begitu juga jika kita melihat kepada parti PKS, parti ini tidak menyatakan secara terang tentang Negara Islam. Mereka menerima pancasila dan menggelarkan diri mereka sebagai parti dakwah. Ternyata PKS mula menerima sokongn berbagai lapisan masyarakat.
Begitu juga yang berlaku di Turki, bermula dengan Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) ternyata tidak menyatakan secara terang apa bentuk negara, Negara Islam atau Negara Secular. Bagi mereka apa yang penting ialah substensi tentang pengisian negara tersebut. Maka AKP sehingga sekarang dapat bertahan dan mencapai kemenagan yang besar. AKP yang dipimpin oleh Toyyib Erdorgan berjaya memenangi pilihan raya Turki buat kali ketiga berturut-turut dan sekalligus memecahkan rekod yang dipegang parti pimpinan Adnan Manderes sebelum ini. Kemudian, pilihan raya 2011, AKP memenangkan suara mejoriti, hampir 50 pratus (326 kursi) parlimen. Meskipun AKP gagal memenuhi target dua pertiga (367) suara di parlimen, yang diperlukan untuk melakukan perubahan konstitusi Turki secara unilateral. Tetapi, kemampuan Erdogan dan AKP mempertahankan kekuasaan selama satu dekat itu, adalah satu prestasi politik yang luar biasa.
Melalui pendekatan Pas “ Negara Berkebajikan” saya melihat ia sangat bagus dalam konteks politik Islam semasa di Malaysia. Ini kerana pendekatanya telah jelas bahwa ia menawarkan kebajikan yang dianjurkan oleh Islam dalam memerintah negara. Tidak ada guna jika konstitusi negara yang menyatakan ia berdasarkan Al-Quran Dan Hadith dan dinamakan dengan Negara Islam sebaliknya apa yang terjadi negara tersebut tidak mengamalkan apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan Hadith. Oleh demikian jika kita melihat kepada sejarah ramai yang tidak setuju pada akhir pemerintahan kerajaan Turki Utmani yang memang dasarnya adalah Islam, tetapi pemerintahnya mengabaikan banyak kewajiban dan kebajikan rakyat. Oleh demikan tidak hairanlah jika ia telah jatuh digulingkan rakyat pada 1924 dan digantikan dengan pemerintahan yang lain.
Perkara yang sama juga berlaku pada pra revolusi Mesir dan Tunisa. Kita dapat melihat bagaimana rejim –rejim di negara Arab ini yang jelas mewarisi dan memerintah Negara Islam berpuluh-puluh tahun lamanya. Di negara-negara ini jelas pemerintanya adalah Islam dan Islam termaktub di dalam konstitusi negara. Namun tidak cukup setakat itu, apa yang penting adalah perlaksanaan. Apabila perlaksanaan dan kebajikan tidak dilaksanakan maka kita dapat lihat bagaimana rakyat memberontak yang akhirnya tercetuslah revolusi. Memang malang peristiwa –peristiwa seperti ini terjadi di negara –negara Islam. Di Barat jika kita perhatikan jarang berlaku perkara seperti ini. Tetapi sebaliknya ia berlaku di negara umat Islam. Bermula dengan revolusi di Iran 1979, reformasi di Indonesia 1998, di Mesir 2011, di Tunisa, di Bahrin, di Libya, dan lain-lain. Kami pernah ditanya oleh dosen semasa di bilik kuliah “ Dr Muhammad Iqbal ” ketika mengajar mata kuliah Fiqh Siyasah. Dia bertanya “kenapa pemerintah di Barat tidak jatuh –jatuh sedangkan di negara Umat Islam jatuh? Inilah satu persolan yang ditanyakan kepada kami. Jawapan yang diberikan oleh beliau sangat mudah iaitu disebabkan “ tidak adanya keadilan”.
Berhubung dengan demikian tuhan tidak akan menolong negara umat Islam jika berlakunya kezaliman walaupun negara tersebut telah mengklaim negaranya adalah negara Islam. Oleh itu Ibn Taimiyah ada menyatakan seperti berikut yang maksudnya "Allah SWT akan tolong negara yang adil, waima ia kafir. Dan tidak akan menolong negara zalim, waima ia mukmin (islam)" (Al-Hisbah : 4). Dan juga firman Allah:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
" Tidaklah tuhan kamu (Allah) membinasakan sesuatu kampung dengan sbb kezaliman, sedangkan penduduknya melakukan islah “kebaikan" (Surah Hud : 117). Ulasan Dr Yusuf Qaradhawi, "maksud ayat ini adalah, Allah SWT tidak akan membinasakan ahli qura (sesebuah kerajaan) dengan semata-mata musyrikin, sekiranya mereka adalah golongan yang melakukan islah (kebaikan) dalam hubungan sesama mereka" [Daur al qiyam wa al akhlak fi al iqtisad al islami : 355).[2]
Untuk lebih menjelaskan lagi gambaran tentang negara berkebajikan, perkara ini telah diulas oleh Presiden Pas, Tuan Guru Dato’ HJ Abd Hadi Bin Hj Awang. Beliau menyebut bahawa “ Negara Berkebajikan yang dibawa oleh Pas dipandu oleh Al Quran dan Sunnah serta ada tauladannya dalam sejarah pemerintahan para nabi seperti Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad serta khulafa' arrasyidin dan lain-lain. Ia juga melibatkan kebajikan fizikal dan kebajikan spiritual rakyat. Negara Berkebajikan yang menolak melakukan kemungkaran dalam pemerintahan. Sebaliknya negara yang dibina berasaskan taqwa kepada Allah dan memberi keadilan kepada makhluknya yang menjadi penghuni negara. Adakah ada ciri-ciri ini kepada yang mendakwa turut sama melaksanakan Negara Berkebajikan itu?
Bagaimana dengan sumber negara dan amalan hidup kepimpinan negara? Ini sahaja belum bebas daripada dosa pahala yang menjadi perkiraan negara berkebajikan yang diredhai oleh Allah swt. InsyaAllah dalam masa terdekat ini saya sedang menyiapkan sebuah tulisan yang akan dibukukan berkait dengan memahami Negara Berkebajikan ini. moga ianya menjadi satu panduan dan pencerahan kepada golongan yang mengetahui dan tidak mengetahui[3]
B. Negara Berkebajikan Ada landasan Sirah Nabi
Negara berkebajikan juga mempunyai landasan sirah Nabi saw untuk menukar sekadar nama dan memilih apakah yang palim mustahak diperjuangkan. Ia adalah satu kaedah dan kebijakan politik semasa. Jika kita melihat kepada apa yang dilakukan oleh Nabi Saw ketika hendak memeterikan Perjanjian Hudaibiyah yang terkenal dengan empat perkara yang disepakati tersebut. Sayyidina Ali ‘radiallahu anh’ diminta supaya menulis perjanjian itu, lalu disebut kepadanya : Bismillahir Rahmanir rahim. Suhail bin ‘Amru menyahut ; “ Adapun perkataan Rahman kami tidak tahu apakah ia “. Tulislah Bismikallahumma. Rasulullah saw, menyuruh Ali menulis perkataan itu, kemudian menyebut kepadanya supaya ditulis : inilah perkataan yang telah dipersetujui untuk pendamain oleh Muhammad Rasulullah. Suhail pun berkata: Kalaulah kami tahu bahawa kamu Rasulullah necaya tidaklah menghalangmu untuk mengunjungi Baitullah. Dan tidaklah kami memerangimu, tetapi tulislah Muhammad bin Abdullah .
Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya aku sebenarnya ialah Rasulullah walaupun kamu membohongiku. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam menyuruh'Ali menulis perkataan Muhammad bin 'Abdullah dan memadamkan perkataan Rasulullah tetapi 'Ali enggan memandamnya, lalu Rasulullah memadam dengan tangannya sendiri. Setelah selesainya menulis surat perjanjian dan dimetrikanlah perdamaian, maka tiba-tiba Qabilah Khuza'ah mengisytiharkan masuk di sebelah pihak Rasulullah sallallahu'alaihi wa sallam. Sebenamya mereka sejak dahulu lagi menjadi golongan yang setia dengan keluarga Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang terdiri daripada Bani Hasyim dan Bani 'Abdul Muttalib. Adapun Bani Bakr menyertai Quraisy.[4]
C. Negara Berkebajikan Perlembagaan PAS Tidak Berubah
Menurut Pak Sako[5] PAS tidak boleh lari daripada asas dan matlamat parti seperti yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Oleh itu kita perlu meninjau dan memahami sedikit kandungan perlembagaan PAS. “Dasar”, “tujuan-tujuan” dan “usaha-usaha” PAS adalah tersenarai seperti di dalam Fasal-fasal 3 hingga 6 perlembagaannya. Fasal-fasal inilah yang merangkumi asas dan matlamat PAS. Jika diteliti, ketiga-tiga perkara ini tidak berubah; semuanya tetap sama seperti dahulu.
Misalnya, dasar PAS masih tercatat sebagai 'Islam'. Tidak pun dipinda kepada 'Kebajikan' ataupun 'Melayu'. Dua tujuan parti PAS masih ialah perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang menurut nilai-nilai hidup Islam, serta mempertahankan kesucian Islam. Usaha-usaha parti pula menghuraikan langkah-langkah yang akan diambil oleh PAS untuk mencapai tujuan-tujuan parti. Di antara usaha-usaha utama PAS ialah untuk mendakwah kepada semua “umat manusia” (dengan menitikberatkan bukan Muslim), menjadikan Islam “sebagai panduan berpolitik dan bernegara”, dan “memperkenalkan nilai-nilai keIslaman” dalam usaha menegakkan keadilan dan membawa kemajuan ke dalam semua bidang termasuk “pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi, sosial, serta pelajaran dan pendidikan”.
Menurut Fasal 7 yang berhubung Hukum dan Kekuasaan pula, hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran dan Sunnah, dan kekuasaan PAS yang dipegang oleh muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut. Secara ringkasnya, kesemua yang disebutkan di atas merupakan rangka dan rancangan-rancangan penting dalam membentuk sebuah negara Islam. Jalan untuk meminda atau membatalkan dasar, tujuan-tujuan dan usaha-usaha PAS bukanlah mudah. Menurut Fasal 86, cadangan pindaan perlu dikemukakan oleh ahli parti kepada setiausaha agung parti, dan jika terima, persetujuan dua pertiga (66.7%) suara yang hadir di dalam muktamar tahunan PAS diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan. Hasrat mana-mana ahli profesional jawatankuasa kerja pusat untuk membatalkan mana-mana fasal perlembagaan PAS yang berkenaan dengan Islam pasti akan dimatikan oleh perwakilan PAS. Tambahan, masa depan politik ahli profesional itu bersama-sama dengan puak profesional secara amnya juga mungkin terkubur.[6]
D. Negara Berkebajikan Dan Majlis Syura Ulama
Pak Sako juga menjelaskan bahawa Majlis Syura Ulama PAS ialah badan yang tertinggi di dalam hierarki kuasa PAS. Jawatankuasa kerja pusat, termasuk presiden dan timbalan presidennya, terletak pada peringkat yang kedua. Pada peringkat seterusnya ialah Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (wanita). Berbeza daripada jawatankuasa kerja pusat, majlis syura lazimnya diwakili 100% oleh para ulama (Fasal 8(3)). Puak profesional tidak berpeluang untuk menguasai badan ini, apatah lagi menganggotainya. Ahli-ahli majlis syura dipilih dan dilantik tidak lebih daripada lima orang oleh majlis syura ulama sendiri; empat orang oleh jawatankuasa kerja ulama pusat; empat lagi oleh jawatankuasa kerja pusat; dan dua masing-masing oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS (Fasal 8(4)).
Perhatikan bahawa pemilihan ahli-ahli majlis syura bukan melalui pertandingan demokratik sepertimana ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih oleh ahli-ahli PAS di muktamar. Namun majlis syuralah yang mengawal halatuju jawatankuasa kerja pusat dan PAS seluruhnya. Juga, lebih daripada 50% daripada ulama di dalam majlis syura dipilih oleh golongan ulama sendiri (sembilan ahli daripada 17 ahlinya dipilih oleh majlis syura dan jawatankuasa ulama pusat). Dominasi golongan ulama cukup kuat di dalam PAS walaupun jika jawatankuasa kerja PAS pusat dikuasai 100% oleh puak profesional.
Penguasaan kepimpinan ulama diperkukuhkan lagi oleh peranan majlis syura. Antara tugas utama majlis syura ulama ialah untuk 'menjamin' kekuasaan PAS tidak terkeluar daripada mematuhi hukum tertinggi iaitu Al-Quran dan Sunnah, dan muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum itu (Fasal 8(1a)). Majlis syura juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah supaya dasar Islam PAS dan peruntukan yang berkenaan dengannya (seperti tujuan-tujuan dan usaha-usaha parti) “dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS”, dan majlis syura perlu 'mengawasi' supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam perlembagaan “dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS” (Fasal 8(1b)).
Dalam erti kata lain, majlis syura tidak akan membenarkan jawatankuasa kerja pusat menyimpang daripada dasar dan tujuan-tujuan parti seperti penubuhan negara Islam walaupun sejengkal. Dengan itu, soal puak profesional menidakkan atau melawan matlamat negara Islam tidak timbul sama sekali. Mereka perlu melangkah mayat majlis syura dahulu. Mampukah Datuk Nik Aziz Nik Mat menutup mata kepada peminggiran matlamat negara Islam? Tidak mungkin. Menurut perlembagaan PAS Fasal 9(1c), tugas Mursyidul Am ialah untuk “mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.
Apakah pendirian Mat Sabu – yang memenangi kerusi timbalan presiden PAS baru-baru ini – mengenai hal ini? “Mengikut temuramah akhbar, beliau “terus mendokong konsep kepimpinan ulama” dan berpendapat bahawa “Majlis syura perlu diperkukuhkan agar PAS tidak terkeluar daripada dasar perjuangan Islam”. Jelas bahawa Mat Sabu bukan ancaman kepada aspirasi[7].
E. Negara Berkebajikan Dan Perwakilan Baru PAS
Berbalik kepada perwakilan Pas, ramai yang memuji Pas kerana sikap terbukanya pada muktamar ke-57. Selain dari “negara berkebajikan“ Perwakilan PAS telah memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat yang baru untuk penggal 2011-2013. Majoriti pasukan ini terdiri daripada golongan profesional (jurutera, doktor dan sebagainya). Mereka merupakan ahli-ahli PAS yang bukan berkelulusan agama atau berpangkatkan ulama. Ini jelas bahawa ia tidak lagi tertumpu kepada tokoh yang dikatakan sebagai ulama sahaja. Ia adalah satu pemilihan yang terbuka kerana kepimpinan dalam kontek politik islam tidak hanya mensyaratkan ulama sahaja yang mesti menjadi pemimpin. Memang setengah gerakan terkadang terpangaruh dengan konsep politik Iran pasca berlakunya revolusi Iran 1979 yang menjadikan pemimpin adalah ulama’. Menarik jika kita memetik apa yang dikatakan oleh Dr Mohd Asri “ Maka konsep ini cuba diterjemahkan oleh sesetengah gerakan Islam yang wujud, sehingga menganggap hanya ulama sahaja yang boleh memimpin. Dalam ertikata yang lebih sempit pemimpin utama mesti dari kalangan ulama. Jika mereka menganggap ulama membimbing atau adanya badan ulama bagi memimpin gerakan dan negara, itu lebih fleksibel. Namun apabila ditentukan individu pemimpin mestilah ulama, maka dalam suasana tertentu boleh menyempit ruang pemilihan kepimpinan yang berkesan.”[8] Apa yang menjadi kemestian dalam organisasi politik ialah “ Pemimpin tidak semestinya ulama tetapi pemimpin mesti mengikut nasihat uama’”.
F. Negara Berkebajikan Dan Halangan Semasa
Tidak seperti 2008, kali ini gagasan Negara Berkebajikan menjadikan UMNO meracau. Pemimpin-pemimpin UMNO rancak mengulas. Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan bahawa DAP dan PKR berjaya mempengaruhi PAS untuk meninggalkan dasar perjuangan Negara Islamnya. Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga tidak mahu ketinggalan. Beliau sangat nampak yang PAS nampak sangat telah meninggalkan Hudud dan Negara Islam. Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyuarakan pandangan yang sama tatkala melihat PAS meninggalkan agenda Kepimpinan Ulama. Khairy Jamaluddin juga meragui komitmen PAS kepada dasar perjuangannya kerana beralih arah.
Tun Mahathir yang pernah didoakan oleh al-Marhum Datuk Fadzil Noor agar panjang umur untuk melihat kesan kezaliman pemerintahannya turut tidak dapat menahan diri. Beliau mengomel di blognya, mengatakan bahawa PAS telah mempermainkan Islam kerana menggugurkan perjuangan Negara Islam. Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi juga tidak betah menjadi pemerhati. Turut mengeluarkan kenyataan, beliau mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam daripada nama Parti kerana mendakwa PAS sanggup membiarkan dirinya dibuli oleh DAP dan ini mengelirukan ramai pihak menurut beliau.
Malah, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hairan mengapa baru sekarang PAS terfikir tentang konsep Negara Berkebajikan yang telah lama diperjuangkan oleh UMNO sebagaimana beliau dakwa. Tidak cukup dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO, blogger UMNO turut memakmurkan racau ini dengan pelbagai ulasan mereka. Paling kecewa dengan perubahan yang berlaku pasca Muktamar PAS 2011 ini adalah kitab rujukan harian, Utusan Malaysia![9]
G. Analisis Terhadap Pemikiran Politik Semasa Pas
Abad moden dan kontemporer ini telah mernperlihatkan kepada kita dinamika pemikiran politik Islam yang tinggi. Dalam kontek hubungan Islam dan negara serta penetrasi pemikiran politik Barat ke dunia Islam, pemikiran politik Islam terbagi kepada tiga arus pemikiran. Kelompok pertama ialah kelompok yang mengembangkan kesempurnaan ajaran-ajaran Islam dan menolak pengaruh-pengaruh pemikiran Barat. Manakala kelompok kedua ialah , mereka yang berusaha untuk memisahkan Islam dari politik( secular) . Islam adalah sesuatu dan politik adalah Sesutu yang lain. Kelompok ketiga ialah kelompok yang cuba untuk menjambatani kedua-dua pemikiran yang bertentangan di atas. Mereka tidak menolak mentah-mentah pemikiran yang berasal dari Barat, tetapi juga tidak menerima begitu saja warisan pemikiran lslam yang tidak sesuai dengan kondisi dan situasi yang berkembang. Tokoh –tokohnya adalah Sayyid Jamaluddi Al-Afghani, Muhammad Abduh, Muhammad lqbal, Mahmud Syaltut dan Mohammad Natsir. Mereka dapat menerima demokrasi dan sosialisme, umpamanya, namun diberi nilai-nilai religius. Mereka juga tidak sepenuhnya dapat menerima sistem pemerintahan khilafah universal yang sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan. Oleh demikian, kelompok ketiga ini mencoba merumuskan sistem pemerintahan Islam dengan tetap berpijak pada akar-akar keislaman yang kukuh seperti syura, namun tidak menutup., diri dari pemikiran-pemikiran politik yang berkembang yang tidak bertentangan dengan ajaran lslam.[10]
Melihat kepada organisasi dan pemikiran tokoh –tokoh Pas, pada awalnya Pas banyak mengambil pendekatan ikhwan Muslimin di Mesir, walaupun kita tidak menafikan bahwa pemikiran lain juga digunakan di dalam Pas. Pengaruh Sayyid Qutb dan Hassan Al-Banna sangat berpengaruh di dalam Pas. Oleh demikian pada awal- awal organisasi ini cenderung kepada pemikiran kelompok yang pertama. Hal ini dapat kita lihat bagaimana Pas sangat anti kepada Barat dan Pas mengembangkan apa yang disebut sebagai Negara Islam. Pemikiran –pemikiran kenegaraan dari Barat banyak tidak diterima oleh Pas. Namun setelah berlalu masa Pas dengan adanya dewan ulam’ telah banyak melakukan perubahan, terutama pasca PRU ke -12. Dengan berubahnya permainan politik di malaysia Pas banyak melakukan ijtihad dan mengikuti reality dan konteks politik semasa. Sebagai contoh ijtihad atau teori fiqh siyasah syariyyah yang baru ialah “tahaluf siyasi”. Pada muktamar ke 57 yang berlangsung, Pas membuat satu perubahan yang besar iaitu mengagaskan manifesto “ Negara berkebajikan “ manifesto ini adalah strategi politik yang baru Pas dalam sosiopolitik Malaysia. Pas yang selama ini melaungkan istilah Negara Islam tidak lagi mewar-warkan istilah itu dan mementingkan substensi dan perlaksanaan. Oleh demikian Pas lebih melihat kepada situasi yang berkembang di dalam negara, dengan itu pemikiran politik Pas lebih pada dahulunya cenderung kepada kelompok pertama dan sekarang lebih cenderung kepada kelompok yang ketiga.
Rujukan :
[1] Disana mereka lebih senag jika disebut Negara Kesatuan Republik Indonesia.
[3] http://presiden.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=318:tolak-negara-berkebajikan-tidak-faham-politik-islam&catid=14:kenyataan-rasmi&Itemid=56
[4] Fiqh Harakah Dari Sirah Nabawiyah ms : 242
[5] adalah nama samaran seorang pemerhati politik.Ulasan ini adalah pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan sidang pengarang Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/news/166720
[10] Dr Muhammad Iqbal MA,g Pemikiran Politik Islam ms; 236,
No comments:
Post a Comment