Sunday, May 26, 2013

MASALAH PEMBAHAGIAN HADITH KEPADA MUTAWATIR DAN AHAD





Ada sesetengah golongan yang mendakwa bahawa pembahagian hadith kepada mutawatir dan ahad adalah pembahagian ulama terkemudian, ia tidak wujud di kalangan ulama mutaqaddimin. 



Dan ini pembahagian ini sebenarnya adalah pengaruh daripada ilmul kalam dan mu'tazilah yang ingin menolak kebanyakan hadith dengan alasan ianya ahad. Dengan itu pembahagian ini tidak boleh diterima. Ertinya pada pandangan mereka tidak ada apa yang namanya hadith ahad dan hadith mutawatir.



Jawapan:



1- Mengingkari pembahagian hadith kepada mutawatir dan ahad ini pada hakikatnya mengingkari sesuatu yang real dan terbukti dalam kenyataan. Kenyataan menunjukkan di sana ada berita yang diberitahu oleh seorang, dua orang, tiga orang, sepuluh orang, seratus orang dan seterusnya. Begitulah juga dengan hadith. Ini adalah sesuatu yang terbukti nyata bagi semua orang. Mengingkari perkara ini samalah seperti mengingkari kewujudan matahari.



2- Adalah sesuatu yang badihi (simple @ mudah) bahawa nilai berita yang disampaikan oleh seorang atau dua orang tidak dapat menyamai nilai berita yang disampaikan oleh jumlah yang ramai. Adakah sama nilai sesuatu hadith yang disampaikan oleh seorang dua perawi dengan hadith yang disampaikan oleh sepuluh atau 20 orang perawi? Tentu sekali tidak sama. Ini perkara yang mudah, tidak perlu kepada dalil untuk membuktikannya, sebagaimana kewujudan matahari atau kewujudan rasa lapar tidak memerlukan kepada dalil.



3- Berdalilkan dengan kenyataan seperti 'kesan daripada pembahagian ini orang mudah menolak sesuatu hadith dengan alasan ianya ahad' adalah istidlal yang rapuh. 



Tidak semestinya menerima pembahagian ini menyebabkan seseorang itu menolak hadith ahad semata2 kerana ia ahad. 'Ulama2 yang menerima pembahagian ini seperti Ibnu Shalah, Hafiz Ibnu Hajar, Al-Sakhawi dan sekelian ramai ahli2 hadith tidak pula mudah2 menolak sesuatu hadith ahad. Bahkan mereka menolak sekeras2nya pendapat golongan mu'tazilah yang tidak menerima hadith ahad. Jadi yang dipertikaikan ialah penolakan terhadap kehujahan hadith ahad, bukan kewujudan hadith ahad itu sendiri.



Kerana itu Al-Syeikh Ahmad Syakir dalam ta'liqnya terhadap kitab Al-Ba'ith Al-Hathith selepas menerima pembahagian ahad - mutawatir beliau berkata 
'Pedulikan pembezaan yang dibuat oleh golongan ahlul kalam diantara ilmu dan zhann, kerana mereka memaksudkan ma'na yg tidak seperti engkau maksudkan (Al-Ba'ith Al-Hathith: j1, 127)



Maka sekiranya kita menerima pembahagian ini tanpa menerima kesan seperti pegangan mu'tazilah itu maka tidak ada sebarang kesalahan. Apatah lagi pembahagian dan isthilah hadith mutawatir dan ahad ini telah diterima umum oleh sekelian ramai 'ulama termasuk Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim yang banyak menolak isthilah2 ilmu kalam (ilmul hadith: 40 / 58, Shawa'iq Al-Mursalah: j4, 1459). 



4- Beristidlal dengan kesan seperti itu juga salah dari sudut kaedah mantiq.



Penolakan golongan mu'tazilah terhadap hadith ahad adalah satu kesan tidak mesti dan bersifat terpencil (juz'ie) daripada pembahagian ini. Maka istidlal seperti itu salah dari dua sudut:



a- Antara pembahagian hadith ahad - mutawatir dengan penolakan mu'tazilah terhadap hadith ahad tidak ada sebarang mulazamah (kemestian). Maka kebathilan golongan mu'tazilah menolak hadith ahad tidak memestikan kebathilan pembahagian hadith kepada ahad dan mutawatir.



b- qadhiyyah juziyyah (kenyataan terpencil) tidak boleh menafikan qadhiyyah kulliyyah. Seperti kenyataan 'PAS di kalah di Jeli' tidak menafikan kemenangan PAS di Kelantan. Begitu juga, penolakan Mu'tazilah terhadap hadith ahad itu adalah qadhiyyah juz'iyyah, sementara pembahagian hadith kepada ahad - mutawatir adalah qadhiyyah kulliyyah. Maka wujudnya yang pertama itu tidak menafikan yang kedua.



5- Benarkah pembahagian ini adalah pembahagian ulama kemudian sahaja? Dan benarkah pembahagian ini adalah kesan daripada pengaruh 'ulama ilmul kalam? Atau ianya disebabkan kenyataan hadith itu sendiri yang memang ada diantaranya diriwayatkan oleh ramai perawi dan diantaranya diriwayatkan oleh perawi yg sedikit?


Memang tidak dinafikan bahawa pembahagian dengan jelas terperinci seperti hari ini belum wujud dengan jelas dikalangan 'ulama hadith terdahulu, tetapi isyaratnya sudah ada dimana mereka telah menerima perbezaan nilai diantara hadith yang diriwayatkan oleh seorang dua perawi dengan yg diriwayatkan olh ramai perawi. 



Kerana itu penggunaan kata2 dn isthilah seperti 'ini hadith fard' (diriwayatkan oleh seorang perawi), hadith hasan, atau 'hadith ini diriwayatkan secara berseorangn oleh perawi sekian2' telah biasa digunakan oleh ulama2 terdahulu.



Begitu juga ungkapan seperti 'hadith ini diriwayatkan oleh tidak seorang perawi drpd perawi sekian2' atau 'hadith ini juga diriwayatkan oleh perawi sekian2'. Ini boleh didapati dalam banyak kitab2 ulama2 terdahulu seperi Shahih Bukhari, Sunan Termidzi, Sunan Abu Daud dan lain2.



Ungkapan2 seperti ini jelas menunjukkan perbezaan dintara hadith yang diriwayatkan oleh ramai perawi dengn hadith yang diriwaytkan oleh perawi yang sedikit, dan nilainya juga berbeza.



Bahkan Imam Bukhari dengan jelas telah membuat sebuah kitab di dalam Jami' Shahihnya dengan tajuk 'Kitab Akhbar Al-Aahad' (Bukhari: j2, 1079). 



Nah, ini dengan jelas membuktikan bahawa dakwaan pembahagian ini adalah pembahagian ulama hadith terkemudian akibat pengaruh ilmul kalam adalah dakwaan yang palsu.



Adapun jika dikatakan bahawa pembahagian ini asalnya adalah daripada kitab2 usul fiqh yang bersumberkan ilmu kalam, lalu ulama hadith yang terpengaruh dengn ilmul kalam mengambil pembahagian ini dan memasukkan kedalam kitab2 mereka, maka jawapannya ialah tidak ada sebarang kesalahan pun pada perkara itu. 



Apa masalahnya jika sebahagian ilmu itu terkesan dengan ilmu2 yg lain, apatah lagi jika semuanya ilmu syariat. Memang begitulah sifatnya ilmu hadith pada zaman para 'ulama dahulu kerana seorang ahli hadith itu juga adalah seorang ahli usul fiqh bahkan juga seorang mufassir seperti Imam Syafi'ie, Imam Abu Hanifah, Imam Bukhari, Al-Khatthabi, Hafiz Ibnu Hajar dan lain2. Tidak seperti sesetengah
manusia zaman ini yang menisbahkan diri kepada ahlul hadith tetapi tidak ada pengetahuan sedikitpun tentang fiqh hadith, atau ilmu usul fiqh usul tafsir dan lain2.



Tinggal lagi, tentang isthilah mutawatir dan ahad itu sendiri. Maka jawapan ringkasnya ialah sebagaimana qaedah yang telah dirumuskan oleh para 'ulama:



1- 'Al-'ibratu bil ma'na la bil lafzh'. Yang diambil kira ialah makna, bukan lafaz.
2- 'La Musyahhata Fil Isthilah'. Tidak ada sebarang permasalahan pada isthilah.



Jika kita ingin memakai logik menolak isthilah2 baru seperti itu, nescaya kita perlu menolak kesemua isthilah2 baru yang terdapat dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan hari ini. Tentu sekali ini mustahil.



Nyatalah dengan ini bahawa pembahagian hadith kepada mutawatir dan ahad itu adalah sesuatu yang sah dan thabit dan penolakan terhadapnya adalah satu kesilapan. 



Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment