Friday, July 27, 2012

HUKUM BERBEKAM DAN PERSEPSI ARAB



Banyak hadith-hadith Nabi saw perlu dilihat dari sudut konteks, bukan teks semata-mata. Sebagai contoh hadith tentang bekam. Jika dilihat ada percanggahan tetapi sebenarnya bukan percanggahan. Nabi saw bersabda:

" كَسْبُ الْحَجَّامِ خَبِيثٌ "
“ usaha pembekam itu keji " (HR Muslim)

 Di sini Nabi mahu menceritakan tentang  persepsi masyarakat Arab ketika itu, ini kerana pembekam pada masa tersebut kena hisab untuk mengeluarkan darah. Dengan inilah ramai yang memandang hina pekerjaan berbekam.  Di sini Nabi saw bukan menyatakan hukum tidak boleh berbekam tetapi sekadar menyatakan persepsi.

Di dalam hadith-hadith lain Nabi saw berbekam dan menyatakan kebaikanya.  

عن أبي هريرة أن أبا هند حَجَمَ النبيَّ صلى اللّه عليه وسلم في اليافوخ، فقال النبي صلى اللّه عليه وسلم: "يا بني بياضة، أنكحوا أبا هندٍ وانكحوا إليه" وقال: "وإن كان في شىء مما تداوون به خيرٌ فالحجامة".

“ Dari Abi Hurairah R.A, bahawa Aba Hind pernah membekam Nabi Saw di ubun-ubun. Lalu Nabi saw bersabda: wahai Bani Bayadhah, nikahkanlah Aba Hind (dengan puteri-puteri kamu), dan pinanglah anaknya. Kemudian beliau bersabda: “dan jika dalam suatu pengubatan itu baik, maka bekam itulah yang baik” (Abu Daud,:2016)

Aba Hind ialah bekas hamba yang telah dimerdekakan. Di dalam hadith ini, Nabi saw menyuruh Bani Bayadhah kahwin dengan Aba Hind(tukang bekam), dan pinanglah anak dia, nak menunjukkan tukang berbekam itu mulia, kerana mencari rezeki yang halal. Nabi saw juga puji kelebihan bekam.

Nabi saw juga berbekam dan memberi upah kepada pembekam, nyatalah bahawa bekam ni harus hukumnya dan ia termasuk sunnah. Tetapi bekam ini termasuk sunnah gharu tasyriyyah, yang tidak menjadi kelaziman kita terikat dengannya , jika ada cara lain yang lebih baik maka boleh digunakan.

Di zaman sekarang, berbekam bukan lagi menghisap darah, bahkan sudah menggunakan alat yang elok maka tidak lagi menggambarkan bahawa berbekam ini keji. Hukum menggambil upah hasil dari pembekaman pun tidaklah haram, tetapi harus, jika diniatkan sunnah maka dapat pahala.

Oleh: Ahmad Syahin


hukum klik

Monday, July 16, 2012

MENJAUHI DOSA BESAR, DIKAFFARAT DOSA KECIL






Kehidupan manusia sentiasa melakukan dosa, bagi orang yang berdosa seharusnya dia bertaubat kepada Allah swt, terutama apabila melakukan dosa-dosa besar. Dan Jika melakukan dosa kecil perlu juga selalu meminta ampun kepada Allah swt. Ini kerana  dosa-dosa yang kecil jika dilakukan berterusan akan menyebabkan dosa tersebut menjadi besar dan orang melakukanya boleh dianggap fasiq.

Saya tertarik dengan pandangan ahli sufi, mereka mengatakan semua dosa dalam pandangan mereka adalah besar, ini kerana kita sebagai hamba Allah, kita tidak boleh memandang hanya setakat dosa, tetapi kita seharusnya memandang dengan siapa kita melakukan dosa.

Apabila melakukan dosa besar wajib bagi kita bertaubat, adapun jika melakukan dosa kecil Allah swt boleh mengugurkannya dengan cara seperti mengambil wuduk, Solat lima waktu, Jumaat sampai Jumaat berikutnya, Ramadhan sampai Ramadhan berikutnya, begitu juga umrah sampai umrah berikutnya menjadi penghapus dosa di antara waktu masing-masing.

Di dalam Al-Quran Allah mengutkan lagi dengan melakukan amalan-amalan baik Allah akan mengampun dosa-dosa kecil. Firman Allah:

وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

“ Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat” ( Surah Hud:114)

Satu perbahasan yang mungkin tidak ramai tahu, bahawa apabila kita melakukan dosa-dosa  besar  nescaya Allah tidak mengkaffarat dosa-dosa kecil. Banyak dalil-dali yang menyatakan bahawa dosa kecil tidak dikaffarat  selama mana kita melakukan dosa besar, firman Allah Swt:

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلا كَرِيمًا

“ Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)” (An-Nisa’: 31)

Di dalam Sahih Muslim Nabi Saw bersabda:

عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقول الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات ما بينهن إذا اجتنب الكبائر

“ Daripada Abi Hurairah radiallahu anhu, bahawasanya Nabi saw bersabda: Solat lima waktu, Jumaat sampai Jumaat berikutnya, Ramadhan sampai Ramadhan berikutnya, menjadi penghapus dosa di antara waktu masing-masing jika kamu menghindari dosa-dosa besar”. (Sahih Muslim:233)

Di dalam “Matan Jauharatul Tauhid”  oleh Syeikh Ibrahim Al-laqqani Al-Makki menyatakan hal yang sama:

وباجتناب للكبائر تغفر صغائر ,وجا الوضو يكفر

“ Dengan menjauhi dosa besar itu diampunkan dosa-dosa yang kecil dan datang mengambil wudu’ itu menjadi menjadi kaffarat ia akan dosa kecil”

Adapun mengampunkan dosa ini berkait rapat dengan kehendak Allah swt. Allah swt menyebut di dalam Al-Quran bahawa dia tidak akan mengampun dosa syirik dan mengampun dosa selainya. Apa pun tugas kita ialah sentiasa meminta ampun kepada Allah swt, serta menjauhi dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar dengan sentiasa melakukan taubat kepadanya.

Oleh : Ahmad Syahin



Sunday, July 15, 2012

APAKAH BID'AH YANG TERCELA?








Perbincangan mengenai bid’ah adalah antara satu perbincangan yang agak panas. Ramai yang mempunyai pendapat masing-masing untuk menterjemahkanya. Walaupun demikian persoalan bid’ah ini bukanlah suatu yang perlu kita anggap ianya kecil, ini kerana jelas banyak hadith-hadith Nabi saw yang menyatakan ancaman dan bahaya melakukan bid’ah. Untuk memahami bid’ah cuba kita teliti lafaz-lafaz hadith mengenai bid’ah di bawah.

Pertama :
عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِيْنَ أُمِّ عَبْدِ اللهِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم : مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ  رَدٌّ. [رواه البخاري ومسلم وفي رواية لمسلم : مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ ]

“ Dari Ummul Mu’minin: Ummu Abdillah; Aisyah radhiallahuanha dia berkata: Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Siapa yang mengada-ada dalam urusan (agama) kami ini yang bukan (berasal) darinya), maka dia tertolak. (Riwayat Bukhori dan Muslim), dalam riwayat Muslim disebutkan: siapa yang melakukan suatu perbuatan (ibadah) yang bukan urusan (agama) kami, maka dia tertolak”.
Kedua : 
عَنْ أَبِي نَجِيْحٍ الْعِرْبَاضِ بْنِ سَاريةَ رَضي الله عنه قَالَ : وَعَظَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلىَّ الله عليه وسلم مَوْعِظَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوْبُ، وَذَرِفَتْ مِنْهَا الْعُيُوْنُ، فَقُلْنَا : يَا رَسُوْلَ اللهِ، كَأَنَّهَا مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَأَوْصِنَا، قَالَ : أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ   عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كًثِيْراً. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ   وَمُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ [رَوَاه داود والترمذي وقال : حديث حسن صحيح]

“ Dari Abu Najih Al Irbadh bin Sariah radhiallahuanhu dia berkata: Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam memberikan kami nasehat yang membuat hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata: Ya Rasulullah, seakan-akan ini merupakan nasehat perpisahan, maka berilah kami wasiat. Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda: “ Saya wasiatkan kalian untuk bertakwa kepada Allah ta’ala, tunduk dan patuh kepada pemimpin kalian meskipun yang memimpin kalian adalah seorang budak. Karena di antara kalian yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh terhadap ajaranku dan ajaran Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, karena semua perkara bid’ah adalah sesat (Riwayat Abu Daud dan Turmuzi, dia berkata: hasan shahih) 

Apabila kita meninjau maksud kedua-dua hadith tersebut bid’ah yang dilarang ialah bid’ah yang berkaitan dengan mereka-reka perkara baru dalam agama. Adapun perkara berkaitan dengan dunia Nabi saw memberi keluasan kepada kita untuk berinovasi.  

Namun kekeliruan timbul apabila sesetengah pihak memakai maksud bid’ah disini dengan maksud Lughawi (bahasa), bukan maksud Istilah Syara’. Untuk mengatakan sesuatu itu bid’ah yang dimaksudkan Nabi saw kita tidak boleh mengukur sesuatu dengan penafsiran bahasa semata-mata, kita mestilah memerhatikan apakah yang dimaksudkan dari sudut istilah yang dimaksudkan syara’. Sebagai contoh kalimah solat pada asalnya dari sudut bahasa adalah bermaksud doa, firman Allah:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“ Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka, dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Taubah 103)

Tetapi apabila kita mahu memakai makna sebenar solat mestilah dengan difinisi dari sudut istilah bukan bahasa. Kalimah وَصَلِّ disini bukan bermaksud solat tetapi bermaksud doa. Begitu juga masalah bid’ah kita tidak boleh memakai maksud lughawi tetapi mestilah memakai maksud istilah yang dikehendaki syarak, serta apakah yang dimaksudkan syarak tentang benda baru yang tercela tersebut. Inilah yang dimaksudkan Istilah Syarak. Di dalam hadith tersebut jelas iaitu mengada-adakan sesuatu yang baru dalam agama, inilah yang dilarang oleh Nabi saw.

 Perkara inilah yang dikatakan oleh Nabi saw sebagai,  وَإِيَّاكُمْ   وَمُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ (Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, karena semua perkara bid’ah adalah sesat). Perkara yang baharu dalam agama inilah yang dimaksudkan Nabi saw sebagai sesat. Oleh demikian, Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunyanya al-Bid’ah wa al-Sunnah telah memilih memilih ta’rif yang paling tepat oleh al-Imam al-Syatibi r.h yang menyatakan bid’ah ialah:

طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه

“Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada s.w.t ”.


Di dalam perkara dunia, Islam memberi kebebasan kepada manusia untuk berinovasi, pun begitu Islam memantau dan mengawal urusan dunia manusia. Pernah Nabi saw meyuruh sahabat supaya tidak mengahwini mayang tamar, kemudian Nabi saw menarik balik suruhanya itu kerana tersalah, ia hanya melibatkan perkara dunia dan pandangan Nabi saw.

عن رافع بن خديج  رضي الله عنه قال: قَدِمَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ، وَهُمْ يَأْبُرُونَ النَّخْلَ، يَقُولُونَ يُلَقِّحُونَ النَّخْلَ، فَقَالَ: "مَا تَصْنَعُونَ؟" قَالُوا: كُنَّا نَصْنَعُهُ، قَالَ: لَعَلَّكُمْ لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا كَانَ خَيْرًا"، فَتَرَكُوهُ فَنَفَضَتْ أَوْ فَنَقَصَتْ، قَالَ: فَذَكَرُوا ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: "إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ.


Riwayat daripada Rafi` bin Khadij ra, katanya: Rasulullah saw tiba di Madinah, ketika orang Madinah sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi saw bertanya: Perkara apa yang kamu sedang lakukan itu? Mereka menjawab: Kami sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi bersabda: “Kalau kamu tidak melakukan begitu nescaya lebih baik” lalu mereka pun berhenti melakukannya dan hasil tamar mereka pun merosot. Kata rawi: lalu mereka maklumkan perkara itu kepada Nabi saw. Nabi bersabda: “Sesungguhnya aku adalah manusia, apabila aku menyuruh kamu mengerjakan sesuatu perkara agama kamu, maka lakukanlah dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu pendapat, maka sesungguhnya aku seorang manusia.(Riwayat Muslim:2362)

Di dalam hadith berkaitan dengan tamar ini juga Nabi bersabda:


أَنْتُمْ أَعْلَمْ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu” ( Sahih Muslim:2363)


Oleh : Ahmad Syahin


Wednesday, June 27, 2012

HIKMAH MENIKAHI WANITA KERANA AGAMA








Perkahwinan bukanlah syariat yang baru, bahkan telahpun disyariatkan kepada umat-umat yang terdahulu lagi walaupun syariat Islam sekarang sedikit berbeza dengan umat yang terdahulu. Antara banyak-bayak fitrah yang Allah jadikan ialah manusia mahukan hidup berpasangan dan mahukan zuriat. Bahkah fitrah ini bukan saja manusia, binatang–binatang pun inginkan hal yang demikian. Dengan demikianlah disyariatkan untuk berkahwin. Berkahwin mempunyai banyak manfaatnya kepada kehidupan manusia, antaranya jiwa menjadi tenteram. Firman Allah swt yang bermaksud:

 “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Al-Rom: 21)

Nabi Muhammad juga berkahwin sehingga diriwayatkan beliau mempunyai sembilan orang isteri. Nabi adalah orang yang paling zuhud tetapi ia juga berkahwin. Ini berbeza dengan tokoh ajaran agama lain seperti paderi, sami budda yang tidak berkahwin seumur hidup untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Dalam Islam tidak ada halangan untuk mendekatkan diri kepada tuhan dengan cara ini.

Islam berbeza dengan mereka, Islam mengiktiraf fitrah manusia dan syariat Islam tidak sama sekali bertentangan dengan fitrah manusia. Bukanlah perkahwinan itu menjadi penghalang kepada insan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bahkan ianya lebih disukai oleh Allah swt. Allah memuji sikap Nabi terdahulu yang mempunyai Isteri dan keturunan, firman Allah yang bermaksud:

“Dan kami (Allah) sungguh-sungguh telah mengutus beberapa Rasul sebelum engkau dan kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan (Ar-Ra’ad:38)

Jika kita pergi lebih jauh kita akan dapati syariat Islam bukan sekadar menyarankan untuk berkahwin bahkan syariat juga membuat peraturan serta memberi panduan untuk melakukanya. Antaranya ialah panduan untuk memilih jodoh yang baik. Di dalam Sunan Abu Daud ada Bab khusus mengenai perintah mengahwini perempuan yang berugama. Nabi saw bersabda:

تنكح النساء لأربعٍ: لمالها، ولحسبها، ولجمالها، ولدينها، فاظفَر بذات الدِّين تربت يداك

Dari Abu Hurairah rahadiyallahu anhu anhu – dari Nabi Muhammad SAW, beliau berkata: “Seorang perempuan itu dikahwini karena empat perkara, karena hartanya, karena kedudukannya, karena kecantikannya, karena agamanya. Kamu carilah perempuan yang beragama, jika tidak rugilah engkau”.

Hadith dia atas menyatakan ciri-ciri yang ada pada seseorang wanita untuk dikahwini. Hadith ini bukan semata-mata dituju untuk lelaki mencari pasangan. Begitu juga sebaliknya kepada perempuan, kena mencari lelaki yang beragama, cuma dalam hadith ini ditujukan kepada lelaki disebabkan kebiasaanya lelaki yang mencari perempuan. Di dalam hadith ini, Nabi saw menyuruh untuk memilih yang beragama jika tidak kita akan menyesal.

Antara salah faham terhadap hadith ini ialah sesetengah orang menganggap bahawa ciri-ciri yang mesti ada pada pasangan mestilah empat perkara di atas sedangkan hadith ini menyatakan wanita itu dinikahi kebiasaanya kerana empat ini, sama ada seseorang memilih dari sudut harta, kecantikan, keturunan dan agama. Ini kerana hadith diatas menyebut lafaz تنكح ” yang bermaksud dinikahi”, bukan bermaksud hendaklah kamu menikahi. Dengan itu cubalah kita perhatikan satu-persatu. 

Harta, Ada juga orang memilih wanita kerana hartanya. Ini kerana harta adalah salah satu tarikan semula jadi manusia. Untung bagi mereka yang mendapat wanita yang berharta, tetapi silap jika dilihat dari sudut harta semata-mata, mesti juga dilihat dari sudut agama. Ini kerana jika wanita tersebut mempunyai harta yang banyak semata-mata dan tidak mempunyai agama, boleh jadi hartanya akan melalaikanya, boleh juga merosakkanya.

Keturunan, Perlu juga memilih yang berketurunan baik-baik iaiatu keturunan yang menjaga urusan agamanya. Sebab perempuan yang lahir dari keturunan itu akan mudah mendidik anak-anaknya nanti kearah keredhaan Allah swt. Andaikata dia tidak berpendidikan agama bagaimana dia akan mendidik-anak-anakanya nanti.

Tetapi jika dinilai dari sudut keturunan semata-mata pun, ia juga sempit. Keturunan semata-mata tidak juga terjamin, tidak semesti keturunan yang pandai anaknya mesti pandai, ada juga yang ibu bapanya pandai anaknya tidak pandai. Dikalangan keluarga yang baik pun ada juga anak yang jahat, oleh demikian tidak boleh letak keseluruhannya kepada keturunan, tidak dapat tidak kena mengambil kira atas agamanya.

Kecantikan, tidak semestinya kecantikan itu tidak baik, Kecantikan juga perlu, mengikut hadith-hadith yang lain, cantik dan manis juga sering dituntut oleh orang, mengikut Imam Al-Ghazali kerana denganya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia tidak puas dengan isteri yang buruk rupa. Suruhan untuk memilih wanita beragama bukanlah melarang untuk memilih yang cantik rupanya, tetapi yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan agamanya.

Oleh demikian sunnat melihat sebelum bertunang berkali-kali untuk mengelak dari berlakunya penipuan.  Cuma yang pertama mestilah berugama jika tidak berugama yang lain-lain tidak ada jaminan. Jika dia mempunyai kecantikan tetapi tidak berpegang dengan agama boleh jadi kecantikanya akan membawa kepada kerosakanya.

Beragama, Di dalam hadith di atas disebutkan jika tidak memilih yang beragama kamu akan menyesal  تربت يداك" asal maknanya ialah kena tanahlah kedua tanganmu” maksudnya kamu akan menyesal atau rugilah engkau atau bodohlah engkau. Oleh itu, kita mestilah memilih yang beragama inilah tujuan utama perkahwinan, kalaulah tidak beragama boleh berlaku macam-macam perkara.

Sebagai contoh mafhum yang saya petik dari kitab bimbingan mukminin  ialah jika kecemaran yang menyentuh diri isteri tentu sekali suaminya terconteng arang. Jika suami tergoda dengan perasaan cemburu dan mengikutinya maka kehidupan ketika itu akan sempit dan menjadi porak perandalah seluruh kehidupanya. Jika ia mengambil mudah perkara yang berlaku tentu dikatakan suami itu orang yang dayus. Hasilnya suami akan menjadi serba salah. Jika suami mempunyai harta wanita yang tidak berugama kemungkinan mempermain-mainkan harta suami, dengan hal ini akan rasa kurang tenteram. Jika suami mendiamkan diri nescaya berkongsi maksiat dengn isterinya dan ini bercanggah dengan agama Islam. Jika suami mencegahnya wujudlah perkelahiyan yang memendekkan umur suami.   

Walaubagaimanapun Islam tidak melarang untuk memilih kecantikan, harta dan keturunan akan tetapi hadith ini menganjurkan biarlah agama menjadi paksi kepada yang lain-lain. Jika memilih yang lain-lain tidak akan terjamin kebahagiaan dunia akhirat. Jika kita memilih kesemua ciri-ciri di atas, itulah yang baik, tetapi jika tidak lengkap yang penting ialah yang beragama. Bukanlah Islam menafikan supaya jangan cari yang cantik dan lain-lain, tetapi jangan jadikan asas yang lain-lain. Yang menjadi asas ialah agama.

Bukan sesuatu yang mudah untuk memilih pasangan yang cukup kesemua sifat-sifat ini. Sehingga jika seseorang terdesak, tidak ada pilihan lain, maka perlulah memilih yang beragama. Inilah yang akan membentuk kita. Walaupun tidak ada harta, kecantikan, keturunan jika ada agama sahaja sudah memadai, akan menyebabkan senang banyak perkara. Orang yang berugama akan memandang dan menilai kita banyak dari sudut agama, tidak terlalu mengambil kisah dari sudut yang lain-lain jika ada kekurangan.

Oleh: Ahmad Syahin



Thursday, June 21, 2012

TAHALUF SIYASI DENGAN SYIAH






Sehari dua yang lepas apabila sinar harian membuat liputan tentang kesesatan syiah dan ramai yang menyerang mereka akhirnya Syiah Malaysia merasa tidak senang.  Wakil syiah Malaysia Kamilzuhairi menyatakan Isu konflik di Syiah-Sunni juga tidak timbul kerana pengikut Syiah di negara ini menganggap pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai 'adik-beradik'. Inilah permulaan taqiyyah mereka.

Kebangkitan Syiah pada masa sekarang tidak dinafikan lagi, penyebar ajaran ini begitu kuat cuma tidaklah terlalu zahir kerana merekalah orang yang paling pandai berpura-pura. Apabila komuniti mereka ramai, maka mulalah mencetuskan huru-hara, itulah yang berlaku di mana-mana. Syiah ini boleh masuk di mana-mana  saja kerana merekalah paling pandai bermunafik.

Di sepanjang sejarah tidak ada yang baik dari mereka, mereka bermusuh dengan Sunni lebih daripada bermusuh dengan Yahudi. Kita bimbang dengan ajaran ini kerana mereka mengajak dari tauhid kepada syirik, dari Islam kepada kufur, dari taat kepada maksiat. Mereka mempunyai propaganda tersendiri sebagaimana Zionis mempunyai propaganda.

Dalam siyasah, apa yang malang ramai yang tidak tahu, apakah boleh bertahaluf siyasi dengan syiah? Yakinkah kita tentang keikhlasan mereka, sedangkan prinsip perjuangan merekapun sudah salah. Oleh demikian sudah banyak usaha taqrib dengan syiah, tidak juga membuahkan hasil, bahkan mereka dengan senyap-senyap menghentam Ahli Sunnah. Oleh itu dua perkara saya catat untuk menjadi tatapan tentang Syiah dalam politik negara:

1. Tahaluf Dengan Syiah
Mungkinkah kita bertahaluf siyasi dengan Syiah? merekalah yang disebut oleh ulama’ besar sebagai golongan munafik. Di dalam Al-Quran Allah bayak mencela golongan ini berbanding golongn kafir. Allah swt meyuruh kita berhati-hati dengan golongan ini. Di dalam kitab-kitab syiah menyebut tidak ada iman bagi mereka yang tidak bertaqiyyah, wajib setiap syiah untuk bertaqiyyah menyembunyikan kekufuran.

Tidak mustahil mereka masuk bertahaluf dengan kita tanpa apa-apa matlamat. Dalam sejarah Syiahlah golongan yang paling licik memusuhi sunni sehingga halal darah sunni bagi mereka, adakah kita mudah terpedaya dengan mulut manis golongan ini yang hanya pandai melaung-laungkan kebebasan dan menolak kezaliman?

Mereka juga, ibarat duri dalam daging, musang berbulu ayam, jika kita percaya kepada mereka kita telah terperangkap. Ramai lagi tokoh-tokoh kita yang sunni yang boleh diangkat untuk menjadi pemimpin, takkan kita mahu bertahaluf dengn syiah? Persoalanya mungkinkah kita berjaya dengan bermasyuarat dengan musuh kita.

Konsep politik sunni amat berbeza dengan politik syiah. Mereka tidak menerima khalifah kita yang kita namakan khulafa’ Ar-Rasyidin. Yang mereka terima ialah Saidina Ali. Konsep politik mereka lebih kepada Imamah dan keturunan saidina Ali dan mereka Wala’ kepada Imam 12 mereka yang dikatakan maksum. Politik kita jauh berbeza dengan mereka tidak mungkin kita dapat bersama mereka kerana politik mereka terlalu jauh perbezaan. 

2. Aulawiyyat Usul Dari Furu’
Kita kena jelas matlamat perjuangan kita mestilah berdasarkan tauhid yang betul. Jika ditinjau dari sudut keutamaan kita mestilah mengutamakan usul dari furu’. Usul ialah perkara yang berkaitan dengan keimanan dengan Allah swt, iman dengan malaikat, kitab, rasul dan hari akhirat, ia adalah rukun iman sebagaimana diterangkan Al-Quran. Al-Quran menekankan iman dahulu sebelum mengerjakan amalan zahir yang lain, Firman Allah swt :

“ Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi (Al-Baqarah: 177)

 Tidak ada makna jika kita sama dengan sosialis, komunisme dan lain-lain yang setakat memberi kebaikan kepada rakyat dari sudut material, tetapi matlamat mereka hanya dengan tujuan kebendaan. Begitu juga dengan ajaran syiah, segala tindak tanduk mereka akan lahir dari keyakinan. Keyakinan syiah sangat memusuhi sunni, ini adalah ancaman kepada sunni. Kerana itu, Nabi saw berdakwah di Mekkah bukanlah terus menyeru kepada politik, Nabi saw terlebih dahulu menyeru kepada akidah yang betul. Oleh demikian sekiranya kita meninjau dari sudut aulawiyyat, akidah atau keimanan mestilah kita dahulukan daripada siyasah. Jika orang mendahulukkan siyasah daripada urusan akidah tentu sekali salah.

Akhirnya, sepatutnya kita lebih dahulu meletakkan kita orang ASWJ daripada kita orang parti Islam. Ini kerana ASWJ menyangkut hal berkaitan dengan akidah yang terlebih penting dari politik, mankalah parti Islam bayak berkait dengan siyasah yang rendah sedikit kedudukanya berbanding akidah walaupun kedua-duanya urusan besar. Sahabat Nabi Radiallahuanhum juga banyak berbeza dari sudut politik tetapi dari sudut keimanan mereka semuanya sama. Bukanlah maksud mahu merendahkan politik kita, tetapi kita mesti memahami fiqh aulawiyyat, yang manakah lebih tinggi antara kedudukan akidah dan politik? Manakah yang lebih besar konfllik antara UMNO dengan parti Islam? atau SUNNI dengan SYIAH? Inilah yang dikatakan Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi "konflik Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih rumit daripada konflik Umno dengan PAS".

Oleh: Ahmad Syahin