Ramadhan
yang baru-baru ini datang menemui kita, kini beransur-ansur meninggalkan kita.
Golongan Salaf apabila datangnya Ramadhan ia menyebut “Marhaban ya
muthohhir” dan dikatakan mereka sedih apabila bulan ini beransur-ansur
pergi. Bulan ini terkenal dengan bulan yang menghidupkan Islam, ibadat yang
terbesar di dalamnya ialah ibadah puasa yang melahirkan maqam ihsan manusia
kepada tuhan. Ia juga bermatlamat untuk menjadikan orang yang keluar
darinya menjadi golongan muttaqin. Jika sifat ini gagal diperoleh maka
kita dapatlah menilai puasa yang kita lakukan itu bagaimana.
Dalam
beribadah janganlah semata-mata melihat kepada hukum, akan tetapi lihatlah juga
kepada keseluruhanya, seperti roh ibadat tersebut. Saya kagum dengan Imam Al-Ghazali
di dalam kitabnya “Ihya Ulumiddin” yang bermaksud menghidupkan ilmu-ilmu
agama. Kitab ini banyak manfaat beliau bukan setakat menjelaskan hukum fiqh
tetapi mencakupi hikmah dan rahsia-rahsia ibadat tersebut. Baginya Puasa amat
penting terutama untuk menjadi benteng bagi para wali Allah swt dari tipu daya
syaitan yang menjadi musuh terbesar dalam kehidupan manusia.
Ramadhan
beransur-ansur meninggalkan kita. Di akhir Ramadhan ini fadhilatnya sangatlah
besar, terutama pada malam-malam terakhir, ketika inilah dikatakan berlakunya satu malam yang
dinamakan dengan malam lailatul qadar. Malam ini berlaku khilaf di
kalangan ulama tentang bilakah berlakunya. Ulama’-ulama khilaf tentang hal ini,
banyak pendapat yang dilontarkan. Dalam kitab fathul bari sahaja
berpuluh-puluh pandangan dinukulkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar.
Hikmah
Allah tidak menyatakan hal ini ialah supaya kita tidak tertumpu kepada
malam-malam tertentu sahaja. Begitu juga halnya ibadat-ibadat lain yang
istimewa tidak dinyatakan bila berlakunya. Jika kita lihat kepada solat wusta
ia juga khilaf dan tidak jelas solat apakah yang dimaksudkan dengn solat wusta,
begitu juga bilakah saat diterima doa pada hari jumaat juga tidak jelas
masanya, Sama halnya dengan nama-nama
Allah yang 99 ada nama-nama tertentu yang apabila kita berdoa dimakbulkan doa, hal
ini juga tidak ditentukan mana satukah nama tersebut. Begitu juga tarikh
kematian, tidak ditentukan bilakah berlaku supaya kita sentiasa beribadat
kepada Allah swt dan tidak menumpukan pada waktu-waktu itu sahaja. Inilah
hikmah kenapa Allah tidak menentukan tarikh-tarikh istimewa tersebut dan begitu
jua Allah tidak menentukan tarikh khusus berlaku lailatul qadar supaya
kita sentiasa beribadat.
Amal Soleh Diteruskan Selepas Ramadhan
Adakah terhenti amalan seseorang muslim dengan
berakhirnya bulan Ramadhan? Jawapnya tidak!, Saya teringat apa yang disebut oleh Abdullah Bin Zaid Al-khalidi dalam artikelnya,
bahawa amal-amal soleh tidak terhenti dengan berhentinya bulan Ramadhan. Amalan
seseorang muslim tidak terhenti kecuali apabila datangnya kematian. Allah Swt
berfirman:
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
“ Sembahlah tuhan kamu sehingga datang kepada kamu yakin (maut)”(Al-Hijr:
99)
Allah Swt Berfirman, daripada Nabi Ibrahim As:
يَا بَنِيَّ إِنَّ اللهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“ Ibrahim berkata: "Hai anak-anakku!
Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali
dalam memeluk agama Islam"( Al-Baqarah:132)
Dari
Abu Hurairah r.a, ia
berkata bahwa Rasulullah saw bersabda,
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Jika
seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara
(yaitu): sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang sholeh”
(HR. Muslim no. 1631)
Nabi Saw tidak sekali-kali menjadikan amalan terputus dengan berakhirnya bulan–bulan
tertentu, kecuali dengan sebab kematian. Bulan Ramadhan sebagaimana yang maklum
sebagai bulan untuk kita memperbaharui kehidupan Islam kita dan menjadikanya
sebagai madrasah tarbiah dalam kehidupan sehingga kita dapat hidup dalam
keadaan bertaqwa apabila keluar darinya. Amal soleh yang lazim dilakukan ialah
Puasa, Qiyamulail, Sedekah, membaca Al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak
terhenti dengan berakhirnya bulan ramadhan.
Amalan-amalan ini tidak sekali-kali terhenti
dengan berakhirnya Ramadhan, disana terdapat puasa yang disyariatkan pada
hari-hari tertentu selain daripada bulan Ramadhan, seperti puasa enam hari di
dalam bulan syawal, puasa tiga hari setiap bulan, puasa hari Isnin dan khamis,
puasa hari Asyura dan Tasu’a dan puasa hari arafah. Ibadah-ibadah lain seperti
membaca Al-Quran, Qiyamulail, Iktikaf, Sedekah,
dan sebagainya juga disyariatkan sepanjang tahun.
Ibadah Puasa
Pertama, Puasa 6 Hari Dibulan Syawal
Antaranya
ialah puasa enam hari pada bulan Syawal sebagaimana Sabda rasulullah Saw
bersabda:
من صام رمضان ثم أتبعه ستًا من شوال فكأنما صام الدهر
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan berpuasa 6 hari
pada bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun”.(Riwayat
Muslim:1164)
Enam
hari ini adalah mengiringi selepas dari bulan Ramadhan iaitu disyariatkan bagi
seseorang berpuasa pada hari yang kedua pada bulan Syawal. Semestinya bagi menunaikan
puasa ini mudah disebabkan kita sudah terbiasa dengan berpuasa pada bulan
Ramadhan. Afdhalnya dilakukan segera selepas hari raya Aidil fitri
secara berturut-turut. Walaubagaimanapun, ini bukanlah syarat bahakan pahala
sunnat diperoleh juga dengan melakukan
secara berasingan.
Kedua, Puasa Pada Hari Arafah
Berpuasa pada hari Arafah ialah pada 9 Zulhijjah. Ia disunnatkan kepada orang
yang tidak menunaikan haji (bagi bukan jemaah haji). Nabi Saw bersabda:
أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده
“ Puasa hari arafah dikira(diganjarkan) oleh Allah taala sebagai
menghapuskan dosa setahun yang lepas dan setahun akan datang” ( Riwayat muslim:3082)
Hari Arafah juga adalah sebaik-baik hari.
Rasulullah saw bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Maksudnya, tidak
ada hari yang lebih ramai Allah swt membebaskan hambanya-Nya daripada api
neraka lebih daripada hari Arafah.”( Riwayat Muslim: 1134)
Kecuali mereka
yang mengerjakan haji maka tidak disunnatkanya supaya dia berpuasa pada hari
Arafah, hikmahnya adalah untuk menjadikan ia sentiasa kuat pada hari tersebut
untuk berdoa. Bagi jemaah haji hukumnya makruh tanzih untuk melaksanakan
puasa pada hari tersebut.
Ketiga,
Puasa Hari ‘Asyura dan Tasu’a
Berpuasa pada
hari Asyura ialah pada bulan muharram, iaitu 10 Muharram. Hari tersebut
Allah swt menyelamatkan musa serta kaumnya dan memusnahkan firaun dan kaumnya,
akan tetapi puasa dilakukan sebelumnya iaitu hari yang kesembilan ini kerana
Rasulullah Saw bersabda:
لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع
“Kalaulah usiaku sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada hari yang
kesembilan”(Hadis Riwayat Muslim, Ibnu Majah, Ahmad )
Akan tetapi
Rasulullah saw wafat sebelum itu. Hikmah disunnatkan puasa hari ke-9 sebelum
berpuasa hari Asyura ialah sebagai ihtiyat , bimbang berlakunya
kesilapan pada menetapkan awal bulan dan untuk membezakan dengan orang Yahudi,
kerana mereka hanya berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja. Oleh itu
disunnatkan bagi orang yang tidak berpuasa Tasu’a bersama dengan ‘Asyura
agar dia berpuasa pada hari yang kesebelas.
Keempat,
Berpuasa Tiga Hari Setiap Bulan
Sunnat berpuasa tiga
hari pada setiap bulan, samaada pada awal bulan, pertengahan bulan, ataupun
pada akhir bulan, akan tetapi terlebih baik melakukanya pada hari-hari putih
iaitu pada hari yang ke 13,14 dan 15 bulan Qamariyah. Ia dinamakan dengan
hari-hari putih kerana malam hari-hari tersebut pada setiap bulan sentiasa
disinari dengan cahaya bulan.
Diriwayatkan
daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
" Berpuasa tiga hari pada setiap bulan
adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14
dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sahih)
Diriwayatkann
daripada Abu Qatadah r.a Rasulullah saw,
bersabda:
“ Puasa tiga hari
dalam setiap bulan adalah sama dengan puasa untuk selama-lamanya”. (Riwayat
Muslim:1162)
Kelima, Puasa Isnin dan khamis
Disunnatkan juga
berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, ini kerana Nabi Saw berpuasa pada kedua-dua
hari tersebut, Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w.
sabdanya:
“Diperlihatkan(kehadrat
Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka
ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa.”(Riwayat al-Tirmizi,747)
Keenam,
Puasa sehari dan berbuka sehari
Iaitu berpuasa sehari
dan meninggalkanya sehari, dan inilah sebaik-baik puasa kerana sabda Nabi Saw
kepada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، - رضى الله عنهما - قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ داود وَأَحَبَّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ داود عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يصوم يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا "
“Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah
sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa
Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud,
baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur
seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari."(Riwayat
al-Bukhari :2796 dan Muslim)
Oleh demikian, adakah Ibadah puasa terhenti disebabkan berakhirnya bulan
ramadhan?? Tentu sekali tidak!, puasa disyariatkan sepanjang tahun. Berpuasalah
pada hari-hari tersebut kerana merebut keredhaan Allah saw dan mencari pahala
tidak terhad pada bulan Ramadhan sahaja.
Qiamulail
Adakah qiamulail terhenti
dengan berakhirnya bulan Ramadhan? Jawabnya Tidak!!, Qiamulail disyariatkan
pada setiap malam, dan sebaik-baiknya selepas daripada satu pertiga separuh
malam terakhir. Allah swt menerangkan Sifat Ibadurrahman ialahalh bangun pada
waktu malam , firmanya:
وَالَّذِينَ
يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا
“ Dan orang yang melalui malam
hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka”(Al-Furqan:64)
Maka sekiranya susah untuk bangun,
bolehlah solat sebelum tidur kerana
sudah dianggap qiamullail. Walaubagaimanapun usahakanlah untuk bangunlah
walaupun sedikit pada akhir malam, kerana Allah Aswt, turun ke langit dunia
ketika mana satu pertiga malam terakhir dan memperkenangkan doa bagi orang yang
berdoa, Allah Swt berfirman:
من يدعوني فأستجيب له و من يسألني فأعطيه و من يستغفرني فأغفر له
“Sesiapa yang berdoa kepada aku maka aku mustajabkan doanya dan sesiapa yang
meminta akan aku maka aku akan memberi kepadanya dan sesiapa yang memohon
keampunan daripadaku nescaya aku akan mengampunkanya”.(sahih Muslim 1808)
Dan akhirilah solat malam dengan satu rakaat iaitu solat sunnat witir.
Sedekah
Adapun sedekah, maka ia merupakan satu
amalan yang tidak terputus dengan berakhirnya Ramadhan. Sedekah ialah satu
amalan yang disyariatkan pada setiap waktu. Bahkan bagi seseorang yang memahami
ia menjadikan makanannya, minumanya,
nafkah ahli keluarganya adalah sedekah, mahupun membelanjakan kepada diri-sendiri,
juga merupakan sedekah dan kepada keluarga juga sedekah.
Bahkan memberikan
sedekah kepada keluarga itu yang terlebih afdhal daripada orang lain. Sekiranya
kita ada duit, dan disana ada dua golongan miskin. Pertama kelurga kita, yang kedua
orang lain. Yang terlebih afdhal kita bersedekah kepada keluarga kita dahulu.
Membaca Al-Quran
Membaca Al-Quran juga tidak terhenti dengan berakhirnya
bulan Ramadhan, membaca al-Quran disyariatkan pada setiap masa. Sepatutnya kita
mengambil satu masa tertentu dalam sehari untuk kita membaca Al-Quran dan seeloknya menghafal
bahagian-bahagian tertentu dari Al-Quran supaya ianya tidak luput dari
kehidupan kita. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang
membaca al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa yang membaca satu huruf daripada kitab
Allah, dicatat baginya satu kebajikan. Dan setiap kebajikan dilipatgandakan
menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif
satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf".
Bacalah al-Quran kerana ia akan
memberi syafaat di akhirat. Sebagai sabda Rasulullah SAW:
"Bacalah al-Quran, kelak di hari
kiamat ia akan mensyafaatkan tuannya"
Baca Al-Quraan kemudian tadabur
dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian, firman Allah
swt:
"Tidakkah mereka mahu
memperhatikan isi al-Quran, ataukah hati mereka terkunci"(Surah
Muhammad: ayat 24)
Mudah-mudahan Allah swt memelihara
kita sekalian daripada kelakuan tersebut, dan dia melindungi kita dari semua
jenis bala dan bahaya.
Kesimpulanya, Ibadah tidak
terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan, ibadah hendaklah dilakukan
sepanjang masa sehinggalah sampai masa kita dijemput oleh Allah swt. Allah swt
menghadiahkan bulan Ramadhan kepada kita supaya kita menjadi insan yang benar-benar
bertaqwa dan keluar Ramadhan dalam keadaan dosa kita terampun. Mudah-mudahan
diakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah untuk kita keluar dalam keadaan
sebagai seorang muslim yang kuat, seorang yang kembali kepada fitrah.
Mudah-mudahan selepas Ramadhan kita dapat menghadapi ujian-ujian hidup terutama
dapat menghadapi tipu daya syaitan.. Wallahu’a’lam..
Oleh: Ahmad Syahin