Thursday, March 4, 2010

Guru-guru Di Malaysia Belum Bersedia Ajar Pendidikan Seks



Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng.

Katanya walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau memberitahu Bernama Selasa bahawa guru-guru takut mereka mungkin di saman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Malaysia adalah sebuah negara dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar, katanya.

NUTP merupakan kesatuan guru yang terbesar di negara ini mewakili 160,000 guru, iaitu kira-kira separuh kerjaya perguruan.

Lok berkata kesatuan itu berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ketika ini, subjek itu diajar secara sambil lalu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah tanpa kursus yang dirangka dengan sempurna.

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru menunjukkan kumpulan itu menyokong usaha itu tetapi tidak pasti bentuk dan kandungan kursus itu.

Seorang pelajar, Jayaraman, 17, berkata: " Saya menyokong penuh tetapi saya tidak pasti apa dan bagaimana guru-guru akan mengajar kerana kita ada lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki dalam kelas dan kebanyakan guru adalah wanita".

Abdul Raof Bidin, 38, yang mempunyai dua anak yang bersekolah, merasakan adalah perlu untuk mengajar subjek itu, tetapi ia perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan dengan betul.

Sementara itu, M. Arumugam, 44, berkata adalah lebih baik jika profesional dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor menyampaikan subjek itu kepada pelajar.

"Mungkin Kementerian Pelajaran boleh berunding dengan Kementerian Kesihatan dan mendapatkan beberapa kerjasama di mana anggotanya dapat memberikan guru-guru latihan ketika waktu kerja," katanya.

Betty Lee, 50, seorang guru dengan 24 tahun pengalaman, merasakan subjek itu lebih baik dilaksanakan oleh guru-guru yang merupakan ibu dan tahu mengendalikan subjek yang kompleks itu.

"Bukan semua guru boleh mengajar subjek itu, dan kementerian perlu teliti dalam memilih calon yang sesuai untuk kerja itu," katanya.

-- BERNAMA







Sekadar pandangan :

1. Manusia adalah makhluk yang dijadikan berfitrah,Firman Allah Swt :

فطرة الله التي فطر الناس عليها لا تبديل لخلق الله

“ Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah” Surah Al-Rum Ayat 30”

Seks adalah suatu yang lumrah dalam kehidupan manusia. Manusia akan mengetahuinya dengan cara semulajadi dan tidak perlu dipelajari. Apabila sampai usia yang matang manusia secara fitrah yang Allah Swt bekalkan akan timbul rasa untuk berumah tangga, mahukan anak isteri dan sebagainya.

Dalam pelajaran Islam Al-Quran dan hadith adalah panduan untuk mengajar tentang kehidupan manusia serta membentuk masyarakat yang sangat bertamaddun. Dalam Al-Quran tidak mengajar bagaimana cara untuk kita membina bangunan dan lain-lain yang manusia mampu memikirkannya, apa yang diajar adalah perinsip-perinsip asas untuk memandu kehidupan insan. Al-Quran mahu mengubah manusia supaya beriman, taqwa dan Islam. Ini kerana iman, taqwa tidak kepada bangunan , ekonomi dan lain-lain. Apabila Insan itu baik maka baiklah perkara-perkara lain.

Dakwah Islam menekankan masalah iman dan akhlak. Islam mengajar manusia supaya pandai menguruskan Seks, supaya menepati kehendak fitrah manusia dan diberi pahala oleh Allah Swt bagi mereka yang menguruskanya dengan betul . Timbulnya masalah rogol, anak dara tua dan sebagainya ini adalah berpunca daripada masyarakat yang tidak memahami Islam. Nabi Saw menggalakkan kita supaya berkahwin, ini kerana beliau berbangga pada hari Akhirat ummatnya ramai.

Seks adalah fitrah yang Allah Swt bekalkan kepada manusia untuk hidup di dunia ini, malah bukan sahaja manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, jin dan lain-lain. Allah Swt bekalkan Seks ini adalah untuk mengekalkan manusia di dunia ini. Ini kerana keinginan manusia adalah untuk hidup dan kekal. Akan tetapi manusia akan datang penghujungnya iaitu mati maka manusia perlu berpasangan untuk mengekalkan zuriatnya “ حب الأنسان للبقاء Manusia cintakan kekal .

Untuk itu Allah Swt berfirman :

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.

“ Al-dzaariyaat 49 “

2. Persoalanya adakah cara ini diuruskan dengan betul?

Dalam Islam sekiranya Seks ini diuruskan dengan betul akan diberi pahala. Iaitu melalui cara perkahwinan . Masalah yang timbul di dalam masyarakat sekarang adalah masalah masyarakat tidak mengenali tentang Islam. Inilah perkara yang perlu diperbetulkan. Apabila tidak mengenali Islam nescaya tidak mempunyai akhlak, kemudian timbullah pelbagai jenayah di dalam negara kita . Perkara ini yang sepatutnya menjadi isu.

Perkara yang perlu kita ketengahkan ialah kefahaman Islam, akidah dan akhlak. Inilah yang patut diterapkan dan diperbanyakkan dalam sistem pendidikan hari ini. Janganlah kita menjadi seperti orang yang tidak mengenali punca masalah, macam kereta kita rosak pada enjin tetapi, kita baiki pada tayar “sampai matipun tak hidup kereta tu” ini adalah satu kesilapan .

Untuk mengatasi masalah jenayah seks, kita perkenalkan pembelajaran Seks, Saya merasakan perkara ini akan menjadi lebih parah lagi sekiranya sistem ini dijalankan dalam keadaan pendidikan Islam di sekolah-sekolah yang begitu cetek .

3. Apakah matlamat untuk laksanakan perkara tersebut?

Kita tertanya-tanya apakah matlamat yang mereka inginkan untuk laksanakan sistem ini, adakah sistem pembelajaran yang sedia ada tidak mampu menanganinya? pada petikan akhbar tersebut dinyatakan bermatlamat untuk:

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.

Erm tu jaa… Jika matlamat sekadar membasmi mereka yang tidak berkahwin, tidak perlu sampai adakan mata pelajaran seks. Kita bimbang ianya menjadi fitnah sekiranya mata pelajaran ini dijalankan dan merupakan racun bagi pelajar-pelajar sekolah , terutama sekolah-sekolah rendah yang kemungkinan besar mempunyai kesan yang tidak baik terhadap mereka.

Nabi Saw menasihatkan kepada kita supaya berwaspada dan menjauhi daripada fitnah besar ini, Daripada Asamah bin Zaid ra, daripada Nabi Saw dia bersabda :

ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء

Ertinya : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

Kesimpulanya sebarang jalan yang menyebabkan akhirnya berlaku kerosakan perlulah dijauhi terutama fitnah yang besar iaitu seks. Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara yang kita mahu lakukan . Perkara ini harus dipertimbangkan dan diperdebatkan agar matlamat yang kecil tidak memudaratkan masyarakat kita. Ini kerana fitnah yang datang disebabkan seks inilah yang dipesan oleh baginda adalah satu fitnah yang besar bagi kita.

Perkongsian : ahmad syahin


No comments:

Post a Comment