Monday, March 8, 2010
Ketuanan Melayu dan Ketuanan Quraisy
'Ketuanan Melayu' releven dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Malah ia merupakan anjuran yang bersifat islamik untuk menjaga maslahah ammah atau kepentingan umum berdasarkan illat seperti yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya, Al Muqaddimah.
Ia bukanlah bermakna kepentingan bangsa atau kaum lebih diutamakan dari Islam. Keadaan ini sama seperti 'Ketuanan Quraisy' dalam pemerintahan khalifah yang masih meletakkan Islam sebagai prioriti teratas dalam pemerintahan mereka.
Di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih berkenaan prasyarat pemerintah mestilah dari keturunan Quraisy. Salah satunya ialah sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:
Maksudnya: "Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy." [HR Ahmad dan al Baihaqi]
Apakah Nabi s.a.w. bersifat perkauman sempit dengan bersabda demikian? Nauzubillahi min zaalik. Semoga Allah menjauhkan kita dari persangkaan buruk sedemikian.
Menurut Ibn Khaldun, sebenarnya illat yang melatarbelakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.
Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya. Menurut beliau, illat yang terkandung dalam penyebutan golongan Quraisy akan terus berlaku dengan syarat asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.
Ibn Khaldun menyebutkan:
"Kerana itu, kita pun menganggapnya sebagai satu prasyarat yang mendesak bagi seseorang yang bertugas menguruskan persoalan kaum Muslimin supaya dia termasuk golongan orang-orang yang kuat perpaduannya, dan mengatasi perpaduan bangsa-bangsa lain yang semasa dengan mereka, sehingga mereka dapat memaksa bangsa-bangsa itu bersatu demi kepentingan bersama. Kenyataan demikian tidak akan pernah ditemukan di seluruh pelusuk dunia sebagaimana terjadi pada masa kekuasaan keturunan Quraisy; sebab dakwah Islamiyah yang ada pada mereka sifatnya adalah universal, sehinggakan mereka dapat mengalahkan bangsa yang lainnya. Namun dewasa ini setiap daerah mempunyai orangnya sendiri yang mewakili perasaan 'asabiyyah (kekitaan) terbesar di sana."
[Mukadimah Ibn Khaldun (2006), Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 207-208]
Kuliah oleh Maulana Asri Yusoff di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Beliau adalah pakar hadis dari Kelantan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment