Wednesday, November 11, 2009

Dua Tokoh Tajdid Malaysia


Nik Aziz minta Asri bersabar, tulis buku


MOHD. ASRI bertemu Nik Aziz di Pejabat Menteri Besar Kelantan itu di Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin mendapat sokongan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menasihati beliau supaya bersabar dan terus menulis dengan bersungguh- sungguh.

Menurut Mohd. Asri, kunjungan hormatnya ke pejabat Nik Aziz semalam tidak bersangkut paut dengan niat untuk menyertai parti politik seperti Pas.

"Tok guru (Nik Aziz) menasihatkan saya supaya bersabar serta terus menulis dengan bersungguh-sungguh dan boleh guna tema 'Di sini Saya Bermula'.

"Beliau berkongsi dengan saya pengalamannya. Zaman menuduh kaum muda atau Wahabi telah dilalui oleh beliau sendiri pada satu ketika dulu, sekarang ia berulang terhadap saya,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di pejabatnya di sini semalam.

Ditanya mengenai lawatannya itu, menurutnya, ia tanda terima kasihnya kepada Nik Aziz yang memberi sokongan kepadanya selepas isu penangkapan oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang berlaku terhadapnya baru-baru ini.

Mohd. Asri tidak menolak kemungkinan menyertai parti politik sekiranya kebebasannya dalam bersuara menyampaikan ajaran agama Islam terus disekat.

- Kosmo -



Dr Asri sedia berceramah di Kelantan




Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 9 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin bersedia menyampaikan kuliah pada mana-mana majlis Ilmu di Kelantan termasuk pada kuliah tetap Tuan Guru Nik Abdul Aziz setiap Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darul Naim pagi tadi.

“Saya sanggup menjadi penceramah di Kelantan jika dijemput termasuk di Medan Ilmu.

"Walapun jaraknya agak jauh, namun tiada masalah bagi saya,” ujar beliau.

Dr. Asri ditahan oleh JAIS pada lewat malam 1 November lalu ketika sedang menyampaikan kuliah di sebuah banglow di Selangor kerana didakwa megajar tanpa tauliah.

Sewaktu penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nik Aziz antara individu yang mempertikaikan motif penahanan Dr Asri.

Dalam pada itu bekas mufti terbabit juga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Johor kerana memberi kebenaran kepadanya meneruskan kuliah di negeri tersebut.

“Ini menggambarkan keterbukaan intelektual kerajaan Johor dan diharapkan dapat dilakukan sama negeri-negeri lain,” katanya.

Kuliah Jumaat di Medan Ilmu merupakan kuliah tetap Menteri Besar Kelantan yang turut dihadiri ribuan rakyat dari seluruh negeri kelantan dan dari luar.

Dr Mohd Asri juga berkata, Kelantan sejak dari dahulu lagi mengamalkan keterbukaan di mana beliau pernah dijemput menyampaikan ceramah agama di negeri ini.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan kerana memahami suasana yang beliau alami.

Beliau juga sebelum ini pernah menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz selepas keluar dari Intitut Jantung Negara.

- harakahdaily -

1 comment:

  1. Dr Asri diminta jawab ceramah didakwa fitnah
    SINAR HARIAN 17 NOV 2009

    SEREMBAN 17 Nov 2009– “Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin perlu
    memberi penjelasan mengenai maksud di sebalik ucapan dalam salah satu
    ceramahnya yang dianggap fitnah,” kata Yang Dipertua Persatuan Keluarga
    Jamalullail Perak Malaysia, Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail.

    “Dr Asri perlu tampil memberi penjelasan kepada umum berkenaan
    ucapan beliau apabila menyentuh mengenai golongan Alawiyyin ketika
    mengadakan ceramah di Masjid Alwi, Kangar pada 26 Februari, dua tahun
    lalu.

    “Pihak persatuan beranggapan apa yang diperkatakan Dr Asri telah
    menimbulkan satu penghinaan dan fitnah tanpa disedari apabila
    memperkatakan fakta yang salah,” katanya ketika ditemui.

    Syed Abdullah mendakwa, kenyataan menerusi ucapan dibuat Dr Asri adalah tidak benar.

    “Dr Asri tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkan fitnah dan
    penghinaan sebegitu rupa kerana ia sedikit sebanyak membangkitkan
    kemarahan umum terutama mereka yang berketurunan Syed.

    Sehubungan itu, katanya, persatuan berharap Dr Asri memberi
    penjelasan sebenar mengenai motif sebenar beliau berkata demikian
    supaya mampu menyelesaikan segala kekusutan.

    Beliau berkata demikian merujuk kepada sebuah laman blog tempatan
    yang memaparkan ucapan Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin
    yang berunsur penghinaan serta fitnah kepada golongan Alawiyyin dalam
    satu ceramah di Masjid Alwi, Kangar pada 26 Februari 2007

    ReplyDelete