Monday, October 25, 2010

JARINGAN AMAL ISLAMI DI ALAM MELAYU: MENELUSURI JEJAK PENGARUH DA`I INDONESIA DI MALAYSIA











Dr Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)



(Kertas Kerja di bentangkan di Seminar Pra Silaturrahim Nasional (Silatnas) Dewan Da'wah Islamiyyah Indonesia (DDII) pada 25 September 2010 di Jakarta)



Mukadimah

Meskipun telah terbelah-belah dari segi geo-politiknya, Alam Melayu masih dilihat sebagai sebuah zon kebudayaan Islam dengan ciri-ciri khas yang membezakannya daripada kebudayaan Islam daerah-daerah Dunia Islam lain seperti zon kebudayaan Islam Arab, Indo-Pakistan, Afrika dan lain-lain. Kebudayaan kita adalah kebudayaan kepulauan yang menyerlahkan ciri kepelbagaian dan keberagaman, tetapi tetap berkongsi ciri-ciri khas kesamaan dan keseragaman. Demikianlah hakikatnya, ada diversity kepulauannya, dan ada pula unity keislaman-kemelayuannya.


Jejak Para Perintis

Kesatuan tersebut adalah suatu yang sangat bererti, sehingga pada suatu ketika ia pernah merangsang gagasan politik kesatuan seperti Melayu Raya (Ibrahim Yakob dan Dr.Burhanuddin al-Helmi -- Malaysia) dan Indonesia Raya (Muhamad Yamin - Indonesia). Kesatuan budaya tersebut adalah hasil Islamisasi, suatu proses transformatif yang memesat di rantau ini dari abad 13-16M. Seawal era tersebut telah wujud jaringan amal Islami serantau yang melibatkan pusat-pusat pengembangan Islam seperti Pasai, Melaka, Aceh dan lain-lain yang bererti juga wujudnya jaringan di kalangan para penguasa Islam dan ulama-ulamanya. Di samping pemerataan dakwah, jaringan tersebut telah menghasilkan kesatuan kesatuan tradisi keintelektualan Melayu.

Kitab-kitab karangan ulama Melayu yang dikenali dengan sebutan kitab jawi tersebar luas merentasi persempadanan geografis, suku kaum dan dialek bahasa. Dengan menggunakan bahasa Melayu (kekitaban) dalam penulisan mereka, para ulama tersebut telah membina bahasa kesatuan yang kaya dan dapat berfungsi dengan berkesan sebagai bahasa komunikasi dan bahasa tamadun tinggi. Ternyata yang tersebar bukan hanya karya, malah para ulama itu sendiri juga menyebar. Gelar-gelar penisbahan kepada nama tempat asal tidak membatasi daerah mereka berkiprah. Dalam kaitan ini kiranya wajar dicatat bahawa al-Falimbani tidak hanya giat di tanah kelahirannya, tetapi telah ikut berjihad dan gugur syahid mempertahankan kedaulatan Kedah Dar al-Aman dari pencerobohan Siam.

Laut selat Melaka bukan pemisah Sumatera dengan Semenanjung Tanah Melayu. Ramai tokoh yang berulang-alik lalu menjadi milik bersama dua daerah Melayu tersebut. Syeikh Tahir Jalaluddin (Minangkabau) dan Syeikh Junid Tola (Mandailing) adalah contoh ulama milik bersama Malaysia-Indonesia. Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu memang berseberangan lokasi, tetapi tetap berkongsi budaya dan tradisi.

Pada satu ketika, selain Asia Barat, Indonesia menjadi pilihan anak-anak Malaysia untuk melanjutkan pengajian agama. Ada yang ke universitas, ada yang ke pondok/pesantren, dan ada juga yang ke madrasah seperti Diniah Puteri, Padang Panjang yang pernah melahirkan beberapa orang tokoh wanita dalam politik Malaysia. Sementara itu pada pertengahan abad ke-20 terdapat sejumlah insitusi pengajian pondok replika pesantren Jawa di daerah-daerah penempatan masyarakat (asal) Jawa di bahagian selatan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu seperti Johor, Selangor dan Perak.

Partisipasi tokoh-tokoh da`i/agamawan Indonesia dalam amal dakwah dan pendidikan terus berlanjut hingga ke era kontemporer. Ketika Malaysia mula meningkatkan sistem pengajian Islamnya ke tahap universiti sejumlah cendekiawan Indonesia turut menyumbang sebagai tenaga akademik. Mereka termasuklah O.K.Rahmat di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Nilam Puri) yang kemudian menyambung khidmatnya di Universiti Sains Malaysia (Pulau Pinang), Mukhtar Lintang dan Sidi Gazalba di Fakulti Pengajian Islam Universiti kebangsaan Malaysia, dan Dr.Hasan Langgulung di Fakulti Pendidikan (UKM) yang kemudian melanjutkan khidmatnya di Universiti Islam Antarabangsa (Gombak). Bagaimanapun kertas ini hanya akan menumpukan sorotannya pada tiga orang tokoh yang telah memberikan sumbangan istimewa iaitu Muhamad Natsir, Hamka dan Dr. Ir. Imaduddin Abdul Rahim.



Muhamad Natsir

Muhamad Natsir memang tidak dikenal luas di kalangan massa umat, tetapi sangat dikenal dan dihormati di kalangan para aktivis gerakan Islam, juga di kalangan pimpinan politik Islam. Yang jelas beliau termasuk tokoh penyumbang kepada fenomena kebangkitan Islam di Malaysia yang menyemarak pada tahun-tahun 1970'an. Ungkapan the rising tide of Islamyang popular ketika itu sangat terkait dengan Natsir. Hubungan akrabnya dengan Anwar Ibrahim, pimpinan utama gerakan kepemudaan era tersebut, mendekatkan Natsir dengan warga ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), wadah yang mempelopori kebangkitan Islam di Malaysia.

Teras aktiviti atau jawhar al-`amal gerakan Islam, khususnya ABIM tidak lain adalah dakwah, di samping pendidikan. Dakwah adalah amanah yang harus dilaksanakan menepati pesan dakwah bi 'l-hikmah dan dakwah `ala basirah. Semangat untuk berdakwah memang tinggi, tetapi cara, kaedah dan uslubnya belum dikuasai. Dalam konteks situasi dan kondisi seperti itulah buku Fiqh al-Da`wah Muhamad Natsir itu sangat membantu. Ketika itu hanya itulah satu-satunya buku berbahasa Melayu tentang ilmu dakwah. Atas pertimbangan keperluan buku tersebut diterbitkan semula di Malaysia dalam versi bertulisan jawi.

Gerakan Islam pada tahap awalnya berhadapan dengan realiti Islam yang telah direduksi menjadi sekadar ritual peribadi tanpa kaitan apa pun dengan urusan kehidupan yang lebih luas. Antara misi besar kaum da`i ialah untuk mengangkat semula Islam dalam bentuknya yang sempurna, taqdim al-Islam bisuratihi al-kamilah. Dalam rangka mengembalikanshumuliyyat al-Islam itulah tesebarnya ungkapan al-Islam din wa dawlah (Islam adalah agama dan negara). Dalam kaitan ini tulisan Natsir dalam Capita Selecta yang merakamkan polemiknya dengan Soekarno tentang isu agama dan negara telah turut memberikan pencerahan dan memberikan kekuatan argumentatif kepada para da`i.
Selain menjelaskan hakikat Islam, gerakan dakwah juga menghadapi tantangan faham-faham asing, terutama ideologi dan pemikiran Barat moden seperti sekularisme, demokrasi, nasionalisme dan lain-lainnya. Dalam menangani tantangan ini pemikiran Muhamad Natsir selalu menjadi rujukan dan panduan.

Para da`i muda Malaysia merasa mendapat bekalan modal pemikiran dari tulisan Natsir tentang demokrasi Islami yang diistilahkan sebagai theistic democracy atau demokrasi berTuhan itu. Demikian juga dalam menghadapi sekularisme kritikan Natsir terhadap faham tersebut dalam Capita Selecta sungguh bermanfaat dari segi mendalami kefahaman dan memperkuat argumentasi. Justeru, sekularisme adalah antara faham yang paling banyak merosak pemikiran dan cara hidup umat, dan Natsir adalah antara tokoh pemikir Islam yang terawal mendebat sekularisme secara ilmiah, sementara ABIM adalah gerakan Islam di Malaysia yang pertama menyerlahkan bahaya sekularisme sebagai faham yang secara diametrikal bertentangan dengan Islam dan akidah tauhidiknya.

Perjuangan dan eksperimen politik Natsir adalah suatu yang sangat inspiring. Terlepas dari soal sejauh mana keberhasilannya, kejayaan Natsir dan parti Masyuminya membentuk kabinet pada zaman seawal itu, yang jauh mendahului organisasi-organisasi Islam di seluruh rantau dunia lain adalah suatu yang membanggakan dan sekaligus menumbuhkan semangat percaya diri di kalangan pemuda-pemuda pergerakan di Malaysia. Meskipun ekperimen tersebut terjadi dalam masa yang relatif singkat, tetapi sesungguhnya ia sangat kaya dengan pengalaman, terutama pengalaman memperjuangkan aspirasi politik Islam dalam konteks pluraliti masyarakat dan demokrasi multiparti, merealisasikan idealisme perjuangan parti di samping harus mengakomodasi kepentingan pihak-pihak lain.

Natsir telah meninggalkan legasi amal Islami, perjuangan islahi, pemikiran tanwiri dan keteladanan misali. Pesan-pesan keramatnya, "ikan biar tertangkap, air jangan keruh", "yang mudah kita kerjakan sekarang, yang susah kita kerjakan nanti, yang mustahil kita kerjakan esok" adalah antara kata-kata pusakanya yang padat dengan wisdom kepemimpinan, dan ia akan abadi dalam ingatan para da`i generasi pelanjut perjuangannya di Malaysia.



Hamka

Hamka adalah ulama-sasterawan yang dikenal luas di Malaysia, kalangan massa dan penguasa, juga khalayak sastera. Hamka dikenali dan diminati ramai kerana novel-novelnya yang mengharukan dan ceramah-ceramahnya yang memukau. Tetapi yang lebih mengesankan adalah karya-karya ilmiahnya seperti tafsir al-Azhar, Sejarah umat Islam dan Tasawuf modennya. Bagi yang tidak dapat memahami kitab-kitab tafsir berbahasa Arab, tafsir al-Azhar selalu menjadi pilihan kerana keistimewaannya dari beberapa segi. Ia adalah tafsir berbahasa Melayu paling besar yang ditulis dengan gaya bahasa ceramah panjang. Selain itu al-Azhar juga mungkin satu-satunya tafsir yang dalam huraian-huraiannya paling banyak merujuk isu-isu lokal kemelayuan. Karyanya Sejarah Umat Islam pula adalah karya sejarah Islam yang paling lengkap liputannya. Ia memuatkan pemerian tentang sejarah Islam hampir di seluruh rantau dunia dari zaman ke zaman, termasuk perkembangan Islam di Alam Melayu. Tidak kurang pentingnya ialak karya tasawufnya, khususnya Tasawuf Moden, suatu usaha untuk memberikan jawapan islam terhadap masalah-masalah kerohanian manusia moden.

Hamka memang ilmuwan unik yang memberikan perhatian berat kepada pelbagai bidang ilmu yang sangat luas, termasuk khazanah kesusasteraan tradisional seperti karya agung Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang. Tampaknya Hamka dapat menghargai karya yang oleh kebanyakan ulama dianggap tahyul melulu itu. Seperti yang dinyatakan oleh pengarangnya bahawa teks klasik tersebut mengandungi al-akhbar dan al-amthal (sejarah dan simbol). Di sinilah terserlahnya ketajaman Hamka yang dapat memilih dan memilah mana yang fakta dan mana yang simbol. Di sebalik simbol itulah tersiratnya mesej wisdom kepujanggaan bangsa. Dalam analisisnya tentang kejatuhan Melaka Hamka cuba menafsirkan simbol-simbol yang termuat dalam karya tersebut.

Hamka adalah tokoh Indonesia yang sangat dekat dengan umat di Malaysia. Sempena kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) beliau menulis buku Kenang-kenanganku di Malaya. Antara kandungan pentingnya ialah keprihatinannya terhadap bahasa Melayu. Memang Hamka adalah agamawan yang memiliki kepedulian yang sangat tinggi terhadap bahasa, khususnya bahasa Melayu. Antara sumbangannya dalam bidang kebahasaan termasuklah perjuangan memurnikan bahasa Melayu dari pencemaran kata-kata asing, dan mempertahankan bunyi-bunyi Melayu yang oleh sesetengah pihak dianggap kearaban.

Umat Malaysia memang mengenali Hamka. Seminar mengenai tokoh ini telah diadakan berkali-kali di pelbagai negeri Malaysia sehingga Pak Rushdi, putera Hamka yang sering hadir mewakili keluarga, pernah mengatakan bahawa beliau lebih banyak mengenal ayahnya di Malaysia berbanding di Indonesia. Mudah-mudahan anak-anak keturunan Minang di Malaysia tidak akan melupakan pesan Buya, "Orang Minang apabila tercabut dari Islam, akan hilang minangnya, yang tinggal hanya kabaunya".



Dr.Ir.Imaduddin Abdul Rahim

Imaduddin Abdul Rahim memiliki keunikan tersendiri. Beliaulah satu-satunya tokoh Indonesia yang mempunyai kader-kader yang ramai di Malaysia. Pada pertengahan tahun-tahun 70'an Ir. dari ITB itu dikirim ke Malaysia dengan tugas rasmi sebagai dosen di Institut Teknologi Kebangsaan (kemudian diangkat menjadi Universiti Teknologi Malaysia). Tetapi sebenarnya beliau dikirim dengan misi istimewa untuk membina kader dakwah. Kepiawaiannya dalam pembinaan kader memang diakui umum. Selama di Malaysia beliau banyak sekali mengadakan pelatihan kader dakwah yang dikenali dengan jenama Latihan Kader Dakwah (LKD) yang kemudian ditukar menjadi Latihan Mujahid Dakwah (LMD). Dalam waktu singkat ramai kalangan mahasiswa yang mengikuti pelatihan tersebut. Kesannya tentu sahaja sangat positif dari segi pengisian femomena kebangkitan Islam dengan kefahaman yang lebih mendalam dan komitmen perjuangan yang lebih kental terutama di kalangan mahasiswa.

Imaduddin banyak menggunakan terapi kejutan yang pada keseluruhannya cukup mengesankan. Bagaimanapun untuk satu ketika timbul juga kesan sampingannya apabila beliau mempromosikan fiqh kaum pembaharu yang sempat menghidupkan semula kontroversi lama "kaum tua-kaum muda". Tetapi hal itu masih dapat dikawal dalam kebijaksaan dasar saling hormat dan saling memaaf ketika berbeza pendapat yang menjadi amalan gerakan Islam khususnya ABIM. Setelah perkhidmatannya di ITK tamat Imaduddin pulang ke Bandung, tetapi dari semasa ke semasa beliau kerap datang ke Malaysia memenuhi undangan pelbagai institusi dan organisasi untuk mengadakan pelatihan dakwah.

Umum mengenali Imaduddin sebagai seorang yang berwatak keras, dan cara berfikirnya seringkali terkesan rasionalis. Citra sedemikian tentu sahaja ada pro-kontranya. Watak dan orientasi pemikiran sedemikian itu tidak pula bererti beliau seorang yang tertutup dan tidak mahu mendengar saran. Justeru sikap rasionalnya menjadikannya bersedia mendengar hujah. Segalanya bergantung kepada kemampuan meyakinkannya dengan hujah yang kuat. Tampaknya latar pendidikan sains-teknik menyebabkan Imad kurang pendedahan kepada bidang-bidang ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti sejarah, kebudayaan, kebahasaan dan kesusasteraan. Kerana itu beliau tidak dapat menghargainya secara saksama. Untungnya, keadaan itu tidak berlarut lama. Ada seseorang yang telah membangkitkan minat beliau terhadap bidang-bidang tersebut. Sejak itu beliau sangat menghargai hakikat betapa kuatnya pengakaran budaya dan bahasa Melayu pada ajaran Islam. Sejak itu juga beliau memasukkan diskusi tentang peranan Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu ke dalam komponen materi pelatihannya.


Khatimah

Demikianlah jaringan amal Islami pada masa lalu telah membentuk satu umat, membangun sebuah tamadun dan menjayakan suatu kebangkitan keagamaan, the rising tide of Islam. Generasi lalu telah berbuat sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Kita pula bagaimana?

Kajang: 14 Syawal 1431H / 24 September 2010.


sumber : http://drsiddiqfadzil.blogspot.com/


v

Wednesday, October 13, 2010

Peristiwa Tahkim



gambar hiasan



Oleh Muhammad Malullah

Prakata: Peristiwa Tahkim mengikut sejarah yang kita pelajari ialah berlaku perebutan kuasa antara Ali dan Mu`awiyah yang membawa mereka ke meja perundingan. Perundingan antara mereka berdua telah diwakili oleh Abu Musa al-`Asyari bagi pihak Ali dan `Amr bin al-`Ash bagi pihak Mua`wiyah. Kedua-dua perunding telah bersetuju untuk memecat Ali dan Mua`wiyah. Menurut sejarah lagi, `Amr bin al-`Ash dengan kelicikannya berjaya memperdayakan Abu Musa yang digambarkan sebagai seorang yang lalai dan mudah tertipu.. Akibatnya, Ali terlepas dari jawatan khalifah. Tulisan Shaikh Muhammad Malullah ini akan mendedahkan kebatilan riwayat Tahkim.

Oleh kerana peristiwa Tahkim sangat penting dalam sejarah politik negara Islam, adalah perlu untuk kita menyingkap hakikat sebenar babak-babaknya di mana peristiwa ini telah disalahtanggapi dan telah disalahtafsirkan. Akibatnya timbul kesan buruk iaitu menjatuhkan kedudukan dan martabat para sahabat. Peristiwa Tahkim yang tersebar itu telah menjadikan sebahagian sahabat sebagai penipu dan orang yang mudah terpedaya dan sebahagian yang lain dituduh sebagai perakus kuasa.

Dengan meletakkan riwayat Tahkim di atas neraca kajian dan penilaian, dua perkara dapat diamati, pertama kelemahan pada sanad dan kedua, kegoncangan pada matan atau teks. Dari sudut sanad terdapat dua perawi yang ditohmah keadilannya iaitu Abu Mikhnaf Lut bin Yahya dan Abu Janab al-Kalbi. Abu Mikhnaf seorang yang dhai`if dan tidak thiqah sementara al-Kalbi, menurut Ibn Sa`ad, dia seorang yang dha`if. Al-Bukhari dan Abu Hatim berkta: Yahya bin al-Qattan mendha`ifkannya. Uthman al-Darimi dan al-Nasa’i mengatakan dia dha`if.

Ada tiga perkara yang dikesani pada matannya. Pertama, berkaitan dengan perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah yang menjadi punca kepada peperangan antara mereka berdua. Kedua, persoalan jawatan Ali dan Mu`awiyah. Ketiga, keperibadian Abu Musa al-`Asy`ari dan `Amr bin al-`Ash.

Perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah

Adalah diakui dan disepakati oleh semua ahli sejarah bahawa sebab pertelingkahan antara Ali dan Mu`awiyah ialah tentang tindakan qisas terhadap pembunuh-pembunuh Uthman. Pada anggapan Mu`awiyah, Ali telah mencuaikan tanggungjawabnya melaksanakan hukuman qisas ke atas pembunuh-pembunuh Uthman. Dengan itu, beliau enggan untuk membai`ah Ali dan taat kepadanya kerana beliau berpendapat hukum qisas perlu ditegakkan sebelum khalifah dibai`ahkan. Pada masa yang sama beliau merupakan wali darah kerana kekeluargaannya dengan Uthman.

Sikap keengganan Mu`awiyah untuk membai`ah Ali kerana menunggu qisas dijalankan dan kegagalan beliau melaksanakan urusannya di Syam telah menjadikan Mu`awiyah dan para pengikutnya dari kalangan penduduk Syam pada pandangan Ali seperti sikap orang-orang yang menentang khalifah. Ali berpendapat bahawa bai`ahnya telahpun sah dengan persetujuan para sahabat Muhajirin dan Ansar yang telah menghadiri upacara bai`ah. Dengan itu, bai`ah tersebut mengikat orang-orang Islam yang berada di tempat yang lain. Oleh hal yang demikian, Ali menganggap Mu`awiyah dan penduduk Syam bersama beliau sebagai penderhaka yang mahu memberontak sedangkan Ali adalah imam sejak dibai`ahkan sebagai khalifah dan beliau memutuskan untuk menundukkan dan mengembalikan mereka ke dalam jamaah walaupun dengan cara kekerasan.

Memahami pertelingkahan mengikut gambaran ini, iaitu gambarannya yang sebenar akan menjelaskan sejauh mana kesilapan riwayat yang tersebar tentang peristiwa Tahkim yang menggambarkan pendapat dua orang perunding. Kedua-dua perunding itu dilantik untuk menyelesaikan perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah bukan untuk menentukan siapakah yang lebih layak untuk jawatan khalifah. Sebenarnya perbicaraan itu berkenaan dengan menjatuhkan hukuman ke atas pembunuh-pembunuh Uthman, sedikitpun tidak berkait dengan urusan khilafah. Apabila dua orang perunding itu mengabaikan dan meninggalkan persoalan asas ini iaitu maksud diadakan Tahkim dan mereka memutuskan persoalan khalifah sebagaimana yang didakwa oleh riwayat tersebut, bererti mereka berdua tidak memahami tajuk pertelingkahan dan tidak mengetahui persoalan dakwaan dan ini satu perkara yang hampir mustahil.

Jawatan Ali dan Mu`awiyah

Mu`awiyah telah ditugaskan untuk mentadbir Syam sebagai wakil bagi pihak Umar bin al-Khattab dan Syam terus berada di bawah pentadbirannya sehingga Umar meninggal dunia. Kemudian Uthman menjadi khalifah dan beliau mengekalkan jawatan Mu`awiyah. Apabila Uthman dibunuh dan Ali menjadi khalifah, beliau tidak mengekalkan jawatan Mu`awiyah di mana jawatan tersebut terlucut dengan sebab berakhirnya pemerintahan khalifah yang telah melantiknya.

Dengan itu, Mu`awiyah telah kehilangan pusat kekuasannya dan jawatannya sebagai gabenor Syam walaupun sebenarnya beliau masih lagi mempunyai kuasa dengan sebab penduduk Syam menyokong beliau dan mereka berpuas hati dan bersetuju dengan alasan Mu`awiyah yang tidak mahu memberi bai`ah kepada Ali. Sebabnya ialah tuntutan perlaksaan hukum qisas terhadap pembunuh-pembunuh Uthman berdasarkan haknya sebagai penuntut bela kematian Uthman.

Apabila keadaan sebenarnya begitu, keputusan perunding itu menurut riwayat tersebut memberi maksud memecat Ali dan Mu`awiyah. Pemecatan Mu`awiyah itu berlaku bukan pada tempatnya kerana jika kita mengandaikan dua orang perunding itu mengendalikan pertelingkahan Ali dan Mu`awiyah kemudian memecat Ali dari jawatan khalifah. Persoalannya dari jawatan apa, mereka berdua memecat Mu`awiyah? Adakah mereka berdua boleh memecat Mu`awiyah dari hubungan kekeluargaan dengan Uthman atau menghalangnya dari menuntut bela kematian Uthman? Adakah pernah terjadi di dalam sejarah seorang pemberontak dilucutkan dari kepimpinannya dengan sebab resolusi yang diputuskan oleh dua orang hakim? Tidak diragukan lagi ini merupakan satu faktor lain yang menyokong tentang karutnya riwayat Tahkim yang tersebar umum itu.

Keperibadian Abu Musa dan `Amar bin al-`Ash

Tanggapan tentang Abu Musa menjadi mangsa tipu daya `Amr bin al-`Ash dalam peristiwa Tahkim menafikan fakta-fakta sejarah mengenai keutamaan, kepintaran, kefaqihan dan kepercayaannya, lebih-lebih lagi menafikan perlantikannya sebagai hakim dan qadhi di dalam Negara Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. Baginda telah melantik beliau sebagai gabenor Zabid dan `Adn. Umar pula melantiknya sebagai gabenor Basrah sehinggalah beliau mati syahid. Seterusnya Uthman mengekalkannya sebagai gabenor Basrah, kemudian menjadi gabenor Kufah sehinggalah beliau mati syahid dan Ali mengekalkan jawatannya itu. Adakah dapat dibayangkan Rasulullah s.a.w. dan para khalifah sesudah baginda mempercayai seorang sahabat yang mudah diperdayakan dengan tipu helah seperti yang diriwayatkan oleh cerita Tahkim itu?

Sedangkan para sahabat dan ramai dari kalangan ulama Tabi`in mengakui kemantapan beliau di dalam ilmu, kemampuan dalam kehakiman, kepintaran dan kecerdasan dalam pengadilan. Bagaimana mungkin digambarkan kecuaian dan kelalaiannya sampai ke tahap ini? Seolah-olah beliau tidak memahami hakikat sebenar pertelingkah yang beliau menjadi perundingnya lalu mengeluarkan keputusan yang tidak munasabah dengan keperibadiannya. Iaitu keputusan melucutkan jawatan khalifah tanpa alasan yang mengikut syara`dan keputusan pemecatan Mu`awiyah yang didakwa sebagai khalifah itu serta peristiwa maki hamun dan caci mencaci yang berlakukan antara Abu Musa dan `Amr bin al-`Ash. Ini adalah suatu perkara yang sama sekali bertentangan akhlak mulia dan adab bertutur para sahabat yang diketahui secara mutawatir.

Apabila ilmu dan pengalaman Abu Musa dalam kehakiman dapat menghalangnya dari tersilap membuat keputusan dalam kes yang diserahkan kepadanya begitu juga keadaan `Amar bin al-`Ash yang diakui sebagai salah seorang cerdik pandai Arab. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan beliau supaya menghakimi perbalahan dua orang lelaki di hadapan baginda. Rasulullah s.a.w. memberi berita gembira kepada beliau ketika beliau bertanya: Wahai Rasulullah adakah saya mengadili sedangkan engkau ada. Baginda bersabda: Apabila seseorang hakim itu mengadili kes dengan berijtihad maka dia akan mendapat dua pahala jika benar dan apabila dia menghukum dengan berijtihad lalu tersilap maka dia akan mendapat satu pahala.

Menerima riwayat Tahkim bererti menghukumkan `Amar bin al-`Ash sebagai seorang yang tunduk pada hawa nafsu dalam menjalankan tugas-tugasnya dan ini adalah satu serangan bukan sahaja terhadap kepintaran dan kemahirannya tetapi terhadapan kewarakan dan ketakwaannya. Sedangkan beliau merupakan sahabat yang termulia dan paling utama serta kelebihannya sangat banyak. Di dalam fatwanya, Ibn Taymiyyah menyebutkan tidak ada seorangpun dari kalangan salaf yang mengkritik `Amr bin al-`Ash dengan nifaq atau tipu helah. Dengan ini, berdasarkan kepada necara kritikan objektif terhadap teks-teks sejarah, jelaslah apa yang dikemukakan dalam tulisan ini tentang pembohongan dalam riwayat peristiwa Tahkim yang tersebar umum itu.

Terjemahan oleh Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahya untuk www.darulkautsar.net





Saturday, October 9, 2010

Penjajahan Belanda Di Indonesia





Pada kali ini saya ingin kongsikan sedikit sejarah tentang bagaimana penjajahan Belanda di Indonesia, khususnya mengenai bagaimana cara Belanda sedikit demi sedikit mengeluarkan Islam daripada rakyat Indonesia . Apa yang dilakukan oleh Belanda begitu tepat pada sasaran di dalam menjatuhkan Islam iaitu dengan membuat satu pertembungan antara undang-undang adat dan undang-undang Islam.

Ketika berlakunya penjajahan Belanda di negara Indonesia, Belanda mahukan supaya undang-undang politik dan Islam di Indonesia menjadi lemah. Perubahan politik ini jelas terlihat pada Keputusan Raja 4/2/1859 No.78 yang membenarkan Gabenor Jenaral Hindia Belanda yang mencampuri masalah agama dan mengawasi setiap gerak –geri para ulama apabila dipandang perlu, demi kepentingan, ketertiban dan keamanan.

Pada tahun 1889 Belanda mendatangkan serta mengangkat seorang ahli Islam yang bernama Christian Snouk Hurgronje ( 1857 -1936 ) sebagai penasihat pemerintahan penjajahan belanda. Hurgronje mula mengkritik pandangan Van dan Berg sebelumnya . Selama tujuh belas tahun berada di Indonesia (1889-1906 ), Hurgronje melakukan penyelidikan terhadap masyarakat Aceh dan beberapa daerah lainya di Indonesia seperti Batavea dan Banten. Dialah yang pertama merintis hukum adat di Indonesia yang kemudian ditemukan secara ilmiah oleh penerusnya Van Vollenhoven yang merupakan sarjana Belanda yang pertama kali yang mempertentangkan antara hukum ( undang-undang ) adat dan hukum Islam.

Snouck Hurgronje membalikkan tiori Van dan Berg dan membangunkan teori receptive. Menurutnya , undang –undang yang berlaku bagi rakyat peribumi pada dasarnya adalah undang-undang adat dan undang-undang Islam baru berlaku dalam masyarakat kalau norma-norma sudah diakui dan diterima oleh masyarakat tersebut. Kerananya, itu undang-undang Islam sudah terserap dan menjadi bagian dari hukum adat .

Snouck Hurgronje beranggapan bahawa kaum muslim di Indonisia lebih menghargai mistik daripada hukum Islam dan lebih menghargai pemikirran agama yang spekulatif daripada perlaksanaan kewajiban agama itu sendiri. Islam masih bercampur baur dengan sisa peniggalan hindu dan ini diakomudasi dengan sumber masuknya Islam dari India. Oleh kerana itu mistik mempunyai pengaruh di semua kalangan penduduk. Berdasarkan inilah dia beranggapan bahawa Islam belum sepenuhnya diterima oleh masyarakat .

Dalam nasihatnya kepada pemerintah Hindia Belanda, dia menyatakan bahawa adat terutamanya di Minangkabau harus diperintahkan dan dibela dari propaganda kelompok agama yang ingin mengubahnya . Untuk itu , adat harus dibiarkan berkembang , tetapi tetap di bawah pengawasan pemerintah . Sifat kedaerahan dan kepelbagain adat juga harus dipupuk agar penduduk Hindia Belanda tidak mempunyai kesatuan Undang 2.

Dalam sebuah nasihatnya seperti yang dicatat oleh suminto, ia merumuskan strategi yang di pakai dalam memperlakukan tanah jajahan belanda ( Hindia Belanda ) antaranya :

Pertama : Dalam bidang agama (ibadat ), pemerintahan Hindia Belanda memberikan kebebasan kepada umat Islam untuk menjalankan ajaran-ajaran agama mereka selama mana tidak menggangu kekuasaan Belanda.

Kedua : Dalam bidang sosial kemasyarakatan, pemerintah memanfaatkan berbagai adat kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat dengan cara menggalakkan rakyat agar mendekati Belanda, bahkan membantu rakyat menempuh jalan tersebut.

Ketiga : Dalam bidang politik, pemerintah harus mencegah setiap usaha yang akan membawa rakyat kepada fanatisme politik pan-Islam.

Pandangan inilah yang menjadi dasar politik Belanda terhadap Islam di Indonesia. Snouck Hurgronje berupaya mempersempit ruang gerak Islam hanya sebagai ritual belaka dan mencegah munculnya politik Islam sebagai kekuatan untuk menentang kekuasaan Belanda . Di sisi lain, Hurgronje memberikan keluasan kepada adat kebiasaan yang ada di Indonesia dan mengetuknya dengan hukum Islam.

Pemerintahan Hindia Belanda berusaha meminggirkan peranan undang-undang Islam dari kehidupan masyarakat dan mendukung adat setiap kali terjadi pertentangan tersebut. Dengan demikian tanah Hindia Belanda kelak akan mengikuti pola asosiasi kebudayaan Belanda.

Pandangan ini dilanjutkan oleh muridnya bernama Van Vollenhoven bahkan Van Vollenhoven termasuk orang yang paling gigih mempertahankan hukum adat yang telah ditemuinya. Ketika pemerintahan Hindia Belanda ingin menerapkan hukum sipil barat, Van Vollenhoven dengan tegasnya menentangnya. Menurutnya , hukum adat yang berlaku dalam masyarakat sudah berakar pada kesedaran hukum mereka sejak dahulu. Dan ini berhasil membuat masyarakat Indonesia sebagai masyarakat yang damai dan tertib.

Korbankan Adat Untuk Islam

Setelah kita mengetahui bahawa bagaimana Belanda dengan mudahnya mengikis arus gerakan Islam di Indonesia di saat penjajahanya dengan memperjuangkan adat dan kebangsaan. Marilah kita mengambil sedikit pengiktibaran supaya keadaan seperti ini tidak lagi terkena kepada kita umat yang dikatakan umat yang terbaik didalam Al-Quran .

Jelaslah kepada kita bahawa fenomena mengikut nenek moyang atau istilah mudah “ adat “ dan pada istilah agama ialah taqlid’ adalah suatu perkara yang unik dalam kehidupan manusia. Ia adalah suatu perkara yang diikuti dan dipatuhi seakan –akan agama. Dalam masyarakat melayu dahulu kalau tidak patuh kepada adat umpama kita telah menghina datuk nenek moyang kita dan tidak ada berkat dalam kehidupan kita.

Sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya bertolak dari sinilah ia menjadi suatu perbalahan di kalangan umat Islam sekiranya ada satu golongan ingin memerdekakan diri daripada adat apabila ia bercanggah dengan Islam. Ada yang mengatakan kalau kita membuang adat daripada orang melayu seakan- akan kita membung kulit dan darah terkeluar kerana marah terhadap perbuatan kita .

Namun begitu saya tidaklah mengatakan bahawa semua adat itu bercanggah dengan Islam dan tidak juga semua ajaran Islam itu bercanggah dengan adat, hanya sebahagian yang kecil sahaja yang bercanggah dengan ajaran Islam yang diharamkan oleh Allah swt. Oleh itu pengharaman ini perlu diikuti oleh insan apabila dia mengaku beriman kepada Allah swt tanpa bertanya kenapakah aku harus tinggalkan perkara ini dan perkara ini. Ini kerana setiap pengharaman daripada Allah swt adalah baik bagi kita.

Saya tidaklah secara total sehingga menolak kesemua budaya,bangsa, adat dll kerana ia adalah suatu kejadian Allah swt yang amat unik yang menjadi tanda keagungan Allah swt kepada manusia di dunia yang kita perlu mencoraknya dengan kehidupan berugama Islam. Bagi saya alangkah baiknya kalau kita tidak terlalu sibuk menjaga adat sehingga sanggup menukarkannya dengan Islam. Ini kerana adat, budaya dan bagsa tidak akan hilang, apa yang kita perlu bimbang ialah perkara yang akan hilang daripada kita iaitu Islam yang boleh ada dan boleh tiada jika kita tidak menjaganya. Sekiranya kita kehilangan Islam maka kehidupan kita tentu sekali mendapat kehinaan di dunia dan amat teruk lagi di hari akhirat.

Ketika hayat baginda Rasulullah saw juga kaumnya tidak sunyi daripada taasub adat nenek moyang sehingga menolak dakwah Nabi saw. Allah swt secara jelas di dalam Al-Quran mengatakan ketaasuban orang musrikin Mekkah yang mengikut datuk neneknya dan mengenepikan petunjuk Nabi Saw. Apabila diseru’ orang musyrikin Menyebut:

Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja".( al- zukhruf : 22 )

Didalam ayat yang lain, apabila dikatakan kepada mereka:

"Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidakmengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?" (Al Baqarah : 170)

Begitulah apa yang diceritakan oleh Allah swt mengenai perjuangan Nabi Saw ketika berdakwah kepada umatnya dan begitu jugalah yang akan dihadapi oleh aktivis dakwah sekarang. Bahkan sekarang ditambahi pula dengan adat-adat yang baru yang telah mendominasi pemikiran dengan budaya-budaya baru dari barat, seperti modernisasi, nasionalisme, sekularisme, pluralisme, libralisme, demokrasi dll yang dianggap peninggalan nenek moyang yang sangat berharga .

Oleh demikian waspadalah kita dengan semua gelombang tersebut dengan mengikuti jalan yang benar yang terang benderang iaitu Islam. Orang2 yang melalui jalan tersebut adalah Nabi-nabi, Para Sahabat, dan orang-orang yang benar yang mendapat petunjuk daripada Allah swt . Akhirnya kita memohon kepada Allah agar memberikan kepada kita taufik dan menjauhkan diri kita daripada ajaran-ajaran yang menyelewing yang merupakan sebab kehinaan di dunia maupun di akhirat.

Wasallam…

Oleh : Ahmad Syahin