Manusia terkadang tidak mengenal
dirinya dan dari apa ia diciptakan. Oleh demikian dia susah untuk mengontrol
dirinya. Artikel dibawah ditulis oleh ustaz Nik Abduh, menarik tentang falsafah
kejadian manusia silakan membaca,
1) Di dunia ini, semua makhluk
adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu
dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita
biasa menamakannya nafsu kebinatangan.
2)
Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung
tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat,
bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan
akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu,
manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar
dalam kehidupan haiwan di hutan.
3)
Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua
kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi,
bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit.
Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada
hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian
dan memburu kemuliaan.
4)
Dengan ruh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah
airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan
melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat
Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia
mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat
Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan ruhani menuju tuhan amat terbuka dan
dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat.
5)
Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan ruh saling tarik menarik.
Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia
adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung
sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh
Allah tuhan pencipta.
6)
Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang
adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab
penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan.
Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar
dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali ruh
memiliki kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan
melepaskannya dari pengaruh dan kekangan nafsu.
7)
Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan
menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam
alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda
penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas
manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.
8)
Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu
mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang
dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi رضوان الله عليهم yang sering
diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit
yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang
jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat
bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.
9)
Dia berfirman saat Adam عليه السلام diturunkan ke
bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka barang
siapa yang mengikut petunjukKu, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka
dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – al Baqarah: 38. Itu janji tuhan. Maka
pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini
bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan.
10)
Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh
ilmu yang diperolehinya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan
hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan
akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan
hikmat, manakala al Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al Quran adalah
kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur.
Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al Quran dan al hikmah.
11)
Difardhukan ibadah solat 5 waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan
kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati.
Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan
dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu
seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada
kerahmatan dan ketinggian.
12)
Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan
seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan
dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat
meredakan asakan nafsu dan pengembalian ruh ke medan penguasaan terhadap diri
setiap mukmin.
13)
Al Quran turun di bulan Ramadhan membantu ruh dengan suluhan akal yang murni
dengan ajaran al Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru penantian lailatul
qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hambaNya yang beriman..nikabduh.com atau klik
Kita telah mengetahui manusia ada
dua unsur, ada unsur dari bawah iaitu nafsu dan unsur dari atas iaitu ruh. Yang
mempunyai roh ialah malaikat dan yang mempunyai nafsu ialah binatang. Namun ini adalah penyelidikan,
Allah maha mengatahui tentang hakikat ruh, sebagaimana dinyatakan sedikit
sahaja Allah memberikan ilmu untuk mengetahui hal ini.
Apabila manusia diciptakan, Allah
menyuruh kepada malaikat dan iblis untuk sujud kepada Nabi Adam A.S, sebagai tanda
kemuliaan manusia. Akhirnya manusia dilahirkan di dunia, dan diberikan
kelebihan berbanding makhluk yang lain, bahkan di antara manusia sendiri
terdapat kelebihan-kelebihan masing-masing. Firman Allah :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً
“ Dan Sesungguhnya Telah kami muliakan
anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami beri mereka
rezki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang
Sempurna atas kebanyakan makhluk yang Telah kami ciptakan. ( Al-Isra’ Ayat : 70 )
Lihatlah betapa besarnya ciptaan Allah swt yang menjadi
keajaiban bagi orang yang mahu berfikir. Manusia boleh mulia berbanding makhluk
Allah yang lain, namuan jika manusia derhaka mereka akan menjadi yang
sebaliknya, firman Allah :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“ Dan Sesungguhnya kami jadikan
untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai
hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka
mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan
Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk
mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka
lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai. ( Al-A’raf “ : 179 )
Manusia dikurnikan dengan hati serta
akal untuk berfikir, manusia juga dikurnikan mata yang mampu memahami ayat-ayat
Allah swt dan manusia juga mempunyai
telinga yang mampu mendengar ayat-ayat Allah swt yang kesemuanya berbeza dengan
binatang. Akan tetapi jika manusia tidak menggunakan nikmat dan kemuliaan yang
diberikan oleh Allah ini dengan cara yang betul tidak mustahil manusia menjadi
lebih teruk daripada binatang seperti yang Allah swt sebutkan di dalam ayat di
atas. Wallahu a’lam..
Oleh: Ahmad Syahin
No comments:
Post a Comment