Wednesday, September 26, 2012

MEMUDAHKAN PERKAHWINAN SIRI 1



Alhamdulillah, pada kali ini saya ingin sedikit sebanyak menerangkan tentang kemudahan untuk berkahwin. Perkara ini penting untuk diketahui terutama bagi masyarakat dan para pemuda. Sering kali kita mendengar rintihan pemuda yang ingin berkahwin tidak mampu untuk berkahwin disebabkan banyak halangan. Halangan itu ada yang ada kalanya bukanlah halangan akan tetapi disebabkan masyarakat yang terikut-ikut dengan suasana sehingga akhirnya memayahkan perkahwinan.


Akibat memayahkan perkahwinan menyebabkan ramai pemuda yang hidup membujang, ramailah andatu, hidup masyarakat menjadi tidak tenang kerana memendam perasaan cinta dan kepayahan berkahwin. Akhirnya banyaklah membawa kepada berlakunya khalwat, banyak berlaku zina dalam masyarakat, banyak berlaku pembuangan bayi, wujudlah premis pelacuran, ramailah anak-anak muda yang rosak akhlak disebabkan nalurinya tersekat.  


Antara halangan yang biasa dialami ialah masih belajar, tidak mempunyai kediaman dan kenderaan mewah, tidak mempunyai mas kahwin yang tinggi, tidak mempunyai duit untuk membuat walimah, halangan dari kelurga, payahnya  majlis agama meluluskan untuk berkahwin dan lain-lain halangan lagi. Berhubung dengan demikian  saya  cuba untuk menjelaskan kekeliruan tentang perkahwinan dalam Islam. Kerana ramai dikalangan masyarakat yang keliru antara  adat dan agama dalam perkahwinan.


Oleh demikian penting bagi kita untuk mengambil contoh perkahwinan sebagaimana yang diamalkan di zaman Rasulullah saw dan salafu soleh. Saya juga cuba untuk mengambil jalan pertengahan untuk menerangakan hukum-hukum perkahwinan dan menukilkan pendapat -pendapat ulama’ dan merujuk kepada hadith-hadith Nabi saw.


Dengan sedikit coretan ini, semoga kita memahami kemudahan dalam perkahwinan. Kita tidak mahu apabila sebahagian masyarakat hari ini ramai yang memayahkan yang halal dan memudahkan yang haram. Sepatutnya bagi kita orang Islam ialah mempermudahkan perkara yang halal dan menyukarkan yang haram.


Inilah tanggung jawab kita dalam menegakkan Amal makruf dan mencegah kemungkaran. Apa yang menyedihkan hasil ketidak fahaman masyarakat, menyebabkan banyak kerenah-keranah memayahkan itu wujud yang etrkadang disebabkan kepentingan-kepentingan dari luar yang bukan kepentingan pasangan yang ingin berkahwin.

Bagi pihak masyarakat pula seharusnya memahami bahawa, dorongan untuk pemuda dan pemudi berkahwin, bukanlah dari pemuda sahaja, bahkan agama juga menggalakkan untuk mereka yang mampu  supaya segera berkahwin.


1.     Sabda Nabi saw, kepada para pemuda

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ
فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

“ Diriwayatkan daripada Abdullah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami: “Wahai sekalian pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mampu menyediakan perbelanjaan perkahwinan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya itu lebih menahan pandangan (daripada melihat wanita) dan lebih menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia dapat menundukkan nafsunya”. (al-Bukhari: 1905, Muslim: 1400)
Nabi saw bersabda:

النكاح من سنتي، فمن لم يعمل بسنتي فليس مني، وتزوَّجوا فإني مكاثر بكم الأمم، ومن كان ذا طول فلينكح،
ومن لم يجد فعليه بالصِّيام، فإن الصَّوم له وجاء

“ Perkahwinan adalah sunnahku. Sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku. Berkahwinlah! Kerana melalui kamu bilangan umatku mengatasi bilangan umat yang lain. Sesiapa yang mampu hendaklah dia berkahwin, sesiapa yang tidak mampu pula hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat mengawal hawa nafsunya.” (HR: Ibnu Majah :1846, Sahih Al-Jami’ : 6807)

2.     Arahan syarak terhadap Ibu bapa

Firman Allah swt:

 
وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan”(An-Nur: 32)

Ibu bapa dan keluarga yang mahukan kesejahteraan dalam rumahtangga anaknya, hendaklah tidak mengabaikan pesanan Rasulullah Nabi saw ketika memilih suami untuk anak-anak, Nabi saw bersabda:

اذا خطب أحدكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه،  الا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد عريض

“Apabila datang untuk (meminang anak-anak) kamu orang yang baik akhlak dan agamanya, maka terimalah pinangan mereka, jika tidak nanti berlaku suatu kerosakan dan fitnah besar di bumi ini. (Tirmizi, bil. 1085, Ibn Majah, bil. 1967)

Di akhir hadith di atas Nabi saw mengatakan jika menolak pinangan dari lelaki yang soleh boleh membawa kepada kerosakan dan fitnah yang besar.


3.     Kemudahan dalam Nikah


Tentang kemudahan perkahwinan banyak isyarat-isyarat dari hadith Nabi saw.  Antara  sabda baginda yang jelas dalam perkara ini ialah:

خير النكاح أيسره

“ Sebaik-baik nikah ialah nikah yang paling mudah”(HR. Abu Daud, dalam kitabul nikah)


Nabi saw juga pernah bersabda kepada orang yang tidak ada sesuatu pun untuk dijadikan sebagai mas kahwin, Nabi bersabda :

فالتمس ولو خاتماً من حديد

“Carilah walau sebentuk cincin dari besi” (Hadith diriwayat oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasaai dan Ibnu Majah).

Namun sahabat yang Nabi menyuruhnya mencari cincin walau dari besi tidak juga dapat menemukan cincin untuk dibuatkan mas kahwin. Lalu Nabi saw mengahwinkanya dengan mas kahwin  mengajarkan Al-Quran.

Kemudahan di dalam Islam bukan terhad perkara hal-hal munakahat sahaja, tetapi  syariat Islam menuntut pemudahan dalam apa–apa hal sekalipun. Ia bukan kalah dengan desakan semasa, atau penyesuain dengan semangat zaman, sebagaimana dianggap oleh sebahagian orang. Sebenarnya pembinaan syariat itu sendiri berdiri atas kemudahan, bukan kesulitan dan dakwahnya tegak di atas berita gembira bukan ancaman. Daripada Abi Hurairah ra, Nabi saw bersabda :


إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ


" Sesungguhnya agama Islam itu mudah. Tidak ada  sesiapapun mahu menyukarkan agama itu melainkan dia akan dikalahkan. Oleh itu carilah yang paling tepat dan (jika kamu tidak mampu mencapainya) cubalah mendekatinya, disamping terimalah berita gembira dan carilah pertolongan Allah di waktu pagi, petang dan sebagian malam" (HR, 38. Bukhari, kitabul Iman, bab agama itu mudah)


Nabi saw pernah berkata kepada Muadz dan Abu Musa dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas, menjadi pengajaran bagi seluruh umat, Sabda baginda;


يسروا ولاتعسروا وبشرولاتنفروا

“ Permudakan, jangan perpayahkan dan berilah berita gembira bukan kamu menyebabkan mereka lari”

Di dalam hadith-hadith lain Nabi saw suruh berkahwin dengan pembekam,


عن أبي هريرة أن أبا هند حَجَمَ النبيَّ صلى اللّه عليه وسلم في اليافوخ، فقال النبي صلى اللّه عليه وسلم:
"يا بني بياضة، أنكحوا أبا هندٍ وانكحوا إليه" وقال: "وإن كان في شىء مما تداوون به خيرٌ فالحجامة"

“ Dari Abi Hurairah R.A, bahawa Aba Hind pernah membekam Nabi Saw di ubun-ubun. Lalu Nabi saw bersabda: wahai Bani Bayadhah, nikahkanlah Aba Hind (dengan puteri-puteri kamu), dan pinanglah anaknya. Kemudian beliau bersabda: “dan jika dalam suatu pengubatan itu baik, maka bekam itulah yang baik” (Abu Daud,:2016)


Aba Hind adalah bekas hamba yang telah dimerdekakan. Di dalam hadith ini, Nabi saw menyuruh Bani Bayadhah kahwin dengan Aba Hind dan pinanglah anak dia, nak menunjukkan tukang berbekam itu mulia, kerana mencari rezeki yang halal, walaupun persepsi masyarakat ketika itu usaha pembekam itu keji, inilah kemudahan Islam, ingin berkahwin tidak semestinya terlalu kaya dan hebat di mata masyarakat. Melakukan pekerjaan yang hina di mata masyarakat pun boleh berkahwin. Pengajaran yang penting ialah ia bukanlah orang yang malas, tetapi rajin bekerja untuk mencari rezeki yang halal.


Perkahwinan dalam Islam bukanlah terlalu payah, akan tetapi mengikut kesesuain bagi diri seseorang untuk berkahwin. Jika ia tidak mempunyai keperluan untuk kahwin lagi kerana masih bersekolah dan kematangan masih belum cukup untuk menangung tangungjawab maka tentu sekali tidak sesuai. Perkara ini mengikut keperluan seseorang, jika ia masih belajar dan perlu untuk berkahwin maka Islam tidak melarang, bahkan lebih baik jika untuk mengelak berlakunya maksiat. Dalam hal ini binalah sikap sederhana dalam apa jua keadaan. Namun jika kita mengatakan Islam itu memayahkan tentu sekali tidak. Wallahu a’lam…


Bersambung ..



No comments:

Post a Comment