Ibadat qurban ialah menyembelih haiwan ternakan
unta[1],
lembu, kambing, biri-biri sebagai bertaqarrub kepada Allah pada hari-hari Nahr,
iaitu pada 10, 11, 12, 13 Dhi al-Hijjah dengan syarat-syarat yang khusus. Tidak
dinamakan ibadat korban jika disembelih bukan untuk taqarrub seperti untuk
dijual, dimakan atau menyambut tetamu. Jika disembelih kerana Allah s.w.t.
tetapi pada hari yang lain tidak juga dinamakan korban kerana ia ibadat yang
mempunyai waktu yang dikhususkan baginya. Juga bukan ibadat korban sembelihan
dengan niat aqiqah atau sembelihan kerana meninggalkan perkara wajib atau
melakukan perkara yang ditegah semasa mengerjakan haji, atau bayaran dam kerana
melakukan haji tamattu’ atau haji qiran.
Dalil kepada korban ialah
فَصَل لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Iaitu hendaklah didirikan sembahyang dan sembelihlah
binatang korban, untuk diberikan kepada mereka yang berhajat. (Surah
al-Kawthar)
عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ قَالَ قَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هَذِهِ الْأَضَاحِيُّ قَالَ سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ
قَالُوا فَمَا لَنَا فِيهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ بِكُلِّ شَعَرَةٍ حَسَنَةٌ
قَالُوا فَالصُّوفُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ بِكُلِّ شَعَرَةٍ مِنْ الصُّوفِ
حَسَنَةٌ
Daripada Zayd bin Arqam, katanya, para sahabat
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apa dia sembelihan korban itu?” Rasulullah s.a.w.
menjawab: “Itu adalah sunnah bapa kamu, Nabi Ibrahim. Mereka bertanya: “Apakah
yang kami perolehi padanya, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Dengan setiap
bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya: “Bagaimana dengan bulu biri-biri?”
Baginda bersabda: “Dengan setiap bulu daripada bulu biri-biri satu kebaikan.”
(Ibn Majah: 3127)
Falsafah Hari Raya
Dalam HujjatuLlah al-Balighah[2],
al-Dahlawi menyatakan bahawa setiap kaum mempunyai hari yang dirayakan dengan
menghiaskan diri dan mereka keluar dengan pakaian perhiasan mereka. Semasa
Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah mereka mempunyai beberapa hari yang
dirayakan.
عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ
الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ
أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Daripada Anas katanya, Rasulullah s.a.w. tiba di
Madinah pada waktu itu penduduknya mempunyai dua hari yang mereka bermain-main
dan berseronok (Hari Niruz dan Mahrajan). Rasulullah bertanya: “Hari apakah
ini?” Mereka menjawab: “Kami bermain-main padanya di zaman Jahiliyah.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menukarkan untuk kamu
apa yang lebih baik darinya, iaitu hari raya Adha dan Fitr.” (Abu Dawud)
Sebab baginda menukarkannya kerana hari
kebesaran manusia mempunyai sebab kewujudannya iaitu meninggi lambang sesuatu
agama, atau menyampaikan pegangan seseorang pemimpin atau sesuatu sepertinya.
Rasulullah s.a.w. bimbang sekiranya mereka dibiarkan dengan adat mereka itu
maka terdapat unsur meninggikan adat jahiliyyah atau mewarwarkan cara nenek
moyang mereka. Lalu baginda menukarkannya kepada sunnah Nabi Ibrahim di samping
menambahkan beberapa pintu kebaikan supaya perhimpunan orang-orang Islam
bukanlah semata-mata bermain dan berhibur lagha. Dan supaya tidak sunyi dari
maksud meninggikan kalimah Allah. Hari raya puasa dikaitkan dengan puasa mereka
serta zakat fitrah. Disunnatkan bertakbir sebagai bersyukur kerana dapat
menyempurnakan puasa. Hari raya haji, adalah hari Ibrahim menyembelih anaknya
dan ni’mat Allah untuk baginda berdua dengan ditebuskan dengan sembelihan yang
besar.
Kelebihan
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا
عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ
إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا
وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ
قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Daripada ‘Aishah bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Tidak ada amalan anak Adam yang lebih disukai Allah daripada
menumpahkan darah (kerana ibadat korban). Sesungguhnya ia datang pada hari
Qiamat dengan tanduknya, bulu dan kakinya (datang dalam keadaan sempurna,
sebagai pahala). Sesungguhnya darah itu berada di sisi Allah pada tempat
keredaannya sebelum jatuh ke tanah, maka hendaklah kamu merasa senang gembira.”
(al-Tirmidhi, 1493)
Hikmah qurban
Qurban merupakan ibadat, setiap ibadat yang
dilakukan mempunyai hikmat ta’abbudi. Ma’na yang menonjol dalam ibadat ini
antaranya ialah:
Pertama, menghidupkan ma’na pengorbanan agung iaitu sunnah Nabi Ibrahim
yang diperintahkan supaya menyembelih anak sendiri. Baginda mengutamakan
perintah Allah daripada anak sendiri. Umat Islam hendaklah mengingati kesabaran
dan kekuatan keazaman keluarga Nabi Ibrahim dalam menjalankan perintah Allah
s.w.t.
Sebagai tanda simpati dan turut sama meringankan
kesusahan orang yang miskin dan melarat. Memberikan kegembiraan kepada mereka
dan ahli keluarga pada hari raya. Ini mengukuhkan lagi perpaduan dan
persaudaran serta dapat menanam semangat jamaah dan kasih sayang di hati
orang-orang beriman.
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا
الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang
fakir miskin. (al-Hajj: 28)
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا
مَنْسَكاً لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ
الْأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ
الْمُخْبِتِينَ
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat
menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah
sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak
yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka
hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat. (al-Hajj: 34)
Orang tunduk sifatnya,
1. Iaitu orang-orang yang
apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka,
2. dan orang-orang yang
sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka,
3. dan orang-orang yang
mendirikan sembahyang,
4. serta orang-orang yang
mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.
Setiap sifat ini manifestasi kepada sifat
tawadu’ walaupun tidak disyaratkan semua sifat pada setiap orang Islam namun
maksudnya salah satu dari sifat tersebutnya semestinya ada.
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا
دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ
لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu
tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah
amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan
binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
ni’mat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang
sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj:
37)
Oleh kerana qurban membelanja harta maka memilih
yang terbaik merupakan syarat bagi menyatakan keinginan yang sahih untuk
mendapat keredaan Allah.
Maksud sembelihan qurban bukan semata-mata
menumpahkan darah dan dipotong-potong daging tetapi ia wasilah untuk manfaat
manusia dengan daging, kulit dan bahagian anggota sembelihan yang lain. Maksud
hanya tercapai apabila disembelihkan binatang tersebut. Maksud yang terbesar
ialah supaya dapat meraih ketaqwaan kepada Allah.
ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ
اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang
menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana
sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
(al-Hajj: 32)
Qurban Dan Tawhid
Korban mempunyai kaitan yang kuat dengan aqidah,
persoalan menghalalkan yang halal dan mangharamkan yang haram adalah sebahagian
daripada Tauhid, sebagaimana sembelihan hanya untuk Allah tidak boleh dibuat
untuk orang lain.
Syukur kepada Allah s.w.t. yang memberikan
ni’mat dan takbir membesarkannya ketika menyembelihkannya kerana ni’mat hidayah
yang menyelamatkan daripada syirik kepada tauhid. Di mana kaum musyrikin yang
sesat menumpahkan darah untuk berhala. Orang kristian mendakwa Nabi Isa menjadi
korban untuk menebus dosa anak cucu Nabi Adam dan itulah korban yang terakhir.
Sebab itulah di sisi mereka tidak ada lagi korban melainkan dalam bentuk jamuan
ketuhanan iaitu ritual yang dilakukan golongan Katolik dengan menghidangkan
arak dan roti kemudian rabbi mereka membaca beberapa bacaan. Mereka mendakwa
arak itu bertukar menjadi darah Nabi Isa dan roti bertukar menjadi daging maka
dengan ini sempurna pengorbanan. Tetapi Protesten membantah pertukaran ini dan
menolak ritual jamuan ketuhanan. Mereka mengatakan al-Masih adalah korban
terakhir maka tidak ada lagi sembelihan.[3]
Allah s.w.t. menyelamatkan umat ini dari
khurafat dan syirik ini. Ibadat korban disyari’atkan sebagai simbol kepada
menjunjung perintah Allah dan penyerahan kepada hukum hakam-Nya. Ia juga
sebagai tanda kerelaan hamba terhadap apa yang diredai dikasihi oleh Allah.
Tanda tunduknya hamba kepada Penciptanya dalam senang dan susah, berat atau
ringan, sama ada diterima akalnya atau tidak, disetuju oleh nafsu keinginannya
atau tidak.
Sejarah Pengorbanan
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ
آَدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ
يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآَخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ
اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka
kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan
sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban
(untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata
(Qabil): "Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!" (Habil) menjawab:
"Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;”
Pengorbanan pertama umat manusia ialah Habil. (al-Maidah: 27)
Pengorbanan Nabi Ibrahim tidak dilihat sebagai
pengorbanan individu diri baginda sahaja tetapi merangkumi seluruh keluarga,
isteri dan anaknya. Baginda meninggalkan anak isteri di tanah Mekah yang tidak
berpenghuni. Doa beliau dirakamkan oleh al-Qur`an:
رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ
ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا
لِيُقِيمُوا الصَّلاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ
وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
"Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah
lembah (tanah suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang
diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ)
supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh
itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka,
(supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka
dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim: 37)
فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلامٍ حَلِيمٍ
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ
أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ
سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Lalu Kami berikan kepadanya berita yang
mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika
anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha
bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku!
Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka
fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah,
jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati
daku dari orang-orang yang sabar." (surah al-Saffat: 101-102)
Perintah ini merupakan ujian yang besar yang
bertujuan menyatakan kekuatan azam dan keteguhan diri menjunjung ketaatan
kepada Allah. Ini kerana anak merupakan orang yang paling dikasihi dan berat
pada hati ayah berlaku keburukan pada anaknya. Anak merupakan satu-satunya
harapan ayah di masa hadapan. Nabi Ibrahim pernah berdoa supaya dikurniakan
seorang putera untuk mewarisi keturunannya.
Setelah diperkenankan doa tersebut diperintahkan
pula supaya mengorbankan nyawanya.
Nabi Ibrahim bermimpi baginda menyembelih anak
sendiri dan baginda memahami bahawa ini adalah perintah Allah s.w.t. Keazaman
baginda melaksanakan perintah ini didorong oleh keimanan dan kasih kepada Allah
mengatasi segala-galanya.
Inilah sepatutnya sikap orang-orang Islam. Allah
s.w.t. berfirman
قُلْ إِنْ كَانَ آَبَاؤُكُمْ
وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ
اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا
أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ
فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي
الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika
bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri
(atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu
usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang
kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk
ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab
seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang
fasik (derhaka). (Surah al-Tawbah: 24)
Ayat inilah tidaklah menafikan kasih terhadap
selain Allah dan Rasul-Nya kerana merupakan sifat semula jadi manusia. Apa yang
penting kasih kepada Allah yang utama dari yang lain. Kasih kepada Allah
bererti taat kepada perintah-Nya dan Rasul-Nya serta sanggup berkorban di
jalan-Nya.
Apabila berlaku pertentangan antara kepentingan
diri atau dunyawi dengan kepentingan agama dan akhirat maka hendaklah
didahulukan tuntutan agama. Ini kerana kepentingan agama itulah yang lebih
dikasihi Allah.
Apa yang mengkagumkan dari kisah ini, Nabi
Ibrahim dan anaknya saling bersedia untuk menjunjung perintah Allah.
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ
لِلْجَبِينِ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيا
إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاءُ الْمُبِينُ
وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat
(menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan
meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim -
dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami
menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang
engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang
berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang
nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
(al-Saffat: 103-107)
Nabi Isma’il Suri Teladan Untuk Pemuda Islam
Kisah penyembelihan Nabi Isma’il merupakan suri
teladan untuk pemuda Islam di mana baginda menunjukkan keyakinannya akan
perintah Allah dan memberi semangat kepada bapanya untuk melaksanakannya
walaupun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri. Persoalan utama kepada para
pemuda yang memperjuangkan dan mempertahankan keimanan ialah sejauh mana dalam
merealisasikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dalam setiap konteks
kehidupan. Ini menuntut supaya kita membuktikan bahawa cinta kepada Allah
mengatasi cinta kepada yang lain.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله
عَنْهم أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ : فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى
أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda: “Demi tuhan yang nyawaku berada di tangan-Nya! Tidaklah beriman seseorang dari kamu sehingga aku lebih
dikasihinya dari ayahnya dan anaknya.” (al-Bukhari)
Natijah Ibadat Korban
Semangat dari korban ialah sifat ithar iaitu
mengutamakan orang lain dalam perkara keperluan hidup. Ini dengan cara kita
memikirkan hal orang lain yang lebih memerlukan kepada keperluan duniawi.
Sebagai contoh, umat Islam sentiasa memerlukan kepada infaq dan sumbangan masyarakat
untuk membangunkan dan menyempurnakan tanggungjawab bersama yang disebutkan
sebagai fardu kifayah. Sekiranya pengorbanan itu terhenti hanya kepada ibadat
korban yang hanya setahun sekali maka umat tidak akan berkeupayaan untuk
menyempurnakan tuntutan fardu kifayah demi untuk membina sebuah peradaban yang
utuh. Contoh yang boleh diberikan di sini, keperluan untuk membina pusat
pengajian yang mapan dengan pendidik dan penyelidik yang berwibawa dengan
segala kemudahan serta mempunyai pusat rujukan yang lengkap dan muktabar.
Kelangsungan pusat seperti ini memerlukan kepada pengorbanan masyarakat Islam
bagi menyediakan dana yang mencukupi
Sumber: darulkautsar
[1] Bagi unta Masuk tahun keenam, bagi lembu dan
kambing masuk tahun ketiga, dan biri-biri masuk tahun kedua.
No comments:
Post a Comment