Monday, October 1, 2012

HUKUM AIR LAUT DAN BANGKAINYA




عن أبي هُرَيْرَة رضي الله عنه قال: قال رسولُ الله صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم، في البَحْرِ: "هُوَ الطّهُورُ ماؤُه، الحِلُّ مَيْتَتُهُ" أخرجهُ الأربعةُ، وابنُ أبي شَيْبَةَ، واللفظُ لَهُ، وصححهُ ابنُ خُزيمةَ، والترمذي.

“ Dari Abu Hurairah Radliyallaahu'anhu bahwa Rasulullah saw, bersabda tentang(air)laut. " Laut itu airnya suci dan menyucikan, bangkainya pun halal." Dikeluarkan oleh Imam Empat dan Ibnu Syaibah. Lafaz hadith menurut riwayat Ibnu Syaibah dan dianggap shahih oleh oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmidzi. Malik, Syafi'i dan Ahmad juga meriwayatkannya)[1].

Mengenai Kedudukan Hadith, Hadith ini sahih, menjadi hujjah kebanyakan ulama tentang air dan binatang yang hidup di dalam laut. Kebanyakan kitab-kitab hadith besar  meriwayatkan hadith ini. Orang yang bertanya tentang air di dalam hadith ini adalah sahabat, tetapi tidak tahu siapakah namanya. Dia adalah Islam, ini disebabkan dia mahumengambil air sembahyang. Tidak menjadi cedera hadith ini disebabkan tidak tahu siapakah sahabat ini. Hadith ini kemas ada cirri-ciri hadith sahih.

Pengajaran hadith ini Nabi saw sambil-sambil menjawab persoalan, beliau juga memberi banyak ilmu tentang hadith ini. Pertama, Jika tidak mengetahui sesuatu maka bertanyalah kepada pakarnya. Kedua, boleh berlayar di lautan dengan tujuan tanpa ketaatan, kerana orang  yang bertanya berlayar di laut untuk menangkap ikan. Ketiga, Air laut suci, dapat mengangkat hadas dan menyucikan kotoran. Keempat, Ikan tidak perlu sembelih, kerana Rasulullah saw menghalalkanya, begitu juga haiwan-haiwan air yang lain. Kebolehan ini hanya bagi haiwan laut yang tidak boleh hidup kalau bukan di laut. Kelima, Boleh menjawab pertanyaan lebih dari apa yang dimahukan.

Sahabat bertanya soalan dalam hadith ini tentang bolehkah berwudu’? Nabi saw adalah orang yang cerdik, beliau menjawab lebih luas lagi, iaitu suci airnya dan halal bangkainya. Tapi jika kita lihat balik bangkai pun banyak juga mati dalam laut, air laut masin, adakah ia memberi kesan kepada air? Ada persoalan daripada sahabat, sebab air laut tidak serupa dengan air biasa? Nabi saw memberi jawapan lebih untuk menjawab keperluan orang dan kekeliruan orang. Jika air pun dia tidak tahu, apa lagi mengenai bangkai di dalam laut. Oleh demikian  Nabi saw terus menyebut bangkainya pun halal.

Adapun mengenai kesucian Air laut, Air laut adalah suci, ia boleh diminum, boleh menyucikan pakain, boleh digunakan untuk memasak, digunakan untuk angkat hadath kecil, mandi janabah dan sebagainya. Inilah mengikut pendapat Syafiyyah. Air laut tidak ada khilaf tentang kesuciannya disebabkan kuantitinya sangat banyak.


Halal Bangkai laut

Maksud bangkai ialah bintang yang mati dengan tidak disembelih. Bangkai binatang laut yang dibenarkan makan di dalam hadith ini bukan bermaksud mesti mati di dalam laut, tetapi bintang tersebut tidak dapat hidup kecuali di laut. Jika binatang tadi mati di daratpun ia juga halal dimakan.

Hadith ini menjadi hujjah bahawa bangkai laut boleh dimakan. Samaada binatang tersebut anjing laut, ular laut, babi laut dan sebagainya adalah halal, inilah pendapat yang kuat dalam mazhab syafie. Yang paling sempit dalam bab ini ialah mazhab Hanafi. Namun sebilangan ulama Syafie ada yang melarang memakan babi laut kerana merujuk kepada umum Al-Quran mengharamkan makan babi. Untuk melihat pandangan yang jelas dalam mazhab Syafie,  di dalam Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi menyatakan,


وفيه : إباحة ميتات البحر كلها سواء في ذلك ما مات بنفسه أو باصطياد ، وقد أجمع المسلمون على إباحة السمك ، قال أصحابنا : يحرم الضفدع للحديث في النهي عن قتلها ، قالوا : وفيما سوى ذلك ثلاثة أوجه أصحها : يحل جميعه ؛ لهذا الحديث ، والثاني : لا يحل ، والثالث : يحل ما له نظير مأكول في البر دون ما لا يؤكل نظيره ، فعلى هذا تؤكل خيل البحر ، وغنمه ، وظباؤه دون كلبه وخنزيره وحماره ، قال أصحابنا : والحمار وإن كان في البر منه مأكول وغيره ، ولكن الغالب غير المأكول ، هذا تفصيل مذهبنا.
وممن قال بإباحة جميع حيوانات البحر إلا الضفدع أبو بكر الصديق وعمر وعثمان وابن عباس - رضي الله عنهم - وأباح مالك الضفدع والجميع ، وقال أبو حنيفة : لا يحل غير السمك ، وأما السمك الطافي وهو الذي يموت في البحر بلا سبب فمذهبنا إباحته ، وبه قال جماهير العلماء من الصحابة فمن بعدهم ، منهم أبو بكر الصديق وأبو أيوب وعطاء ومكحول والنخعي ومالك وأحمد وأبو ثور وداود وغيرهم ، وقال جابر بن عبد الله وجابر بن زيدوطاوس وأبو حنيفة : لا يحل ، دليلنا قوله تعالى : أحل لكم صيد البحر وطعامه قال ابن عباس والجمهور : صيده ما صدتموه وطعامه ما قذفه ، وبحديث جابر هذا ، وبحديث : هو الطهور ماؤه الحل ميتته وهو حديث صحيح ، وبأشياء مشهورة غير ما ذكرنا [2].

“ Dan padanya halal sekalian bangkai binatang laut itu semuanya, sama ada yang mati dengan sendirinya atau dengan sebab ditangkap(diburu). Dan sesungguhnya telah ijma’ sekalin orang Islam menghalalkan ikan. (Kata Imam Nawawi) telah berkata ulama’-ulama besar kita diharamkan katak kerana hadith pada tegah membunuhnya. Mereka berkata dan pada barang yang lain daripada ikan itu ada tiga pandangan.  Pertama  yang lebih asah halal semua binatang laut. Dan yang kedua, lain daripada ikan tidak halal(seperti mazhab hanafi). Dan yang ketiga, halal binatang yang ada baginya bandingan daripada bintang darat yang dimakan. Dan tidak halal binatang laut yang sebandingan dengan binatang darat yang haram. Maka atas qaul yang ketiga ini halal dimakan kuda laut, kambing laut, kijang laut dan haram anjing laut dan babinya dan keldainya.  kata ulama-ulama kita, mengenai himar, sekiranya ada setengah himar di darat yang boleh dimakan dan tidak boleh makan[3]? (disini ambil yang ghalib) nescaya ghalib tidak boleh dimakan. Kata Imam Nawawi, inilah tafsir mazhab kita.

Dan setengah daripada mereka yang berkata halal semua binatang-bintang laut melainkan katak sahaja ialah Abu Bakar Al-Siddiq, Umar, Ustman, Ibnu Abbas radiallahu anhum. Dan mengharus oleh Malik makan katak dan sekalian binatang laut. Dan kata Abu Hanifah tidak halal melainkan ikan. Adapun ikan yang terapung-apung yang mati ia di dalam laut dengan tiada bersebab maka mazhab kita halal. Dan dengan dialah berkata jumhur ulama’ daripada sahabat Nabi dan mereka yang kemudian. Setengah daripada mereka itu Abu Bakar Al-Siddiq, Abu Ayyub, Ata’, Makhul, Nakhai, Malik, Ahmad, Abi Saur, Daud dan selain daripada mereka itu. Dan telah berkata Jabir bin Abdullah dan Jabir bin Zaid dan Taawus dan Abu Hanifah tidak halal ia”.


Punca  Khilaf Ulama’

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa halal ikan dan semua jenisnya, dan haram selain daripadanya seperti Anjing laut, Babi laut, Ular laut, dan selainya daripada haiwan yang menyerupai haiwan darat, bahawa ia tidak halal menurut Abu Hanifah. Imam Ahmad, menurut yang masyhur dari mazhabnya berpendapat diperbolehkannya seluruh jenis haiwan laut kecuali katak, ular, dan buaya. Katak dan ular merupakan jenis haiwan yang dikira keji[4]. Sementara buaya adalah binatang bertaring yang dapat digunakan memangsa.

Imam Malik dan Syafi’i berpendapat bahawa boleh seluruh jenis haiwan laut tanpa pengecualian. Keduanya berdalil dengan firman Allah Ta’ala, “ Dihalalkan bagimu binatang buruan laut.” (QS. Al Ma’idah:96) serta sabda Rasulullah saw, “Dihalalkan bagi kamu dua bangkai, (yaitu) belalang dan ikan.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah.). Di dalam kamus dikatakan bahwa yang dimaksud dengan al hut adalah ikan. Juga di dalam hadits bab ini disebutkan “yang bangkainya halal” maka pendapat inilah yang lebih kuat[5].

Menurut Ibnu Rush, Ulama yang mengecualikan bangkai binatang laut dan benda najis itu beralasan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Jabir yang di antaranya menyebutkan:


“ Para sahabat makan ikan yu yang terdampar di daratan selama beberapa hari. Mereka menyembelih  dan membawa daging ikan yu itu sebagai bekal. Akhirnya, mereka melaporkan peristiwa itu kepada Rasulullah saw. Ternyata beliau menilai baik terhadap sikap dan perilaku mereka. Bahkan, beliau sempat bertanya apakah daging yu itu masih tersisa”( HR. BUkhari dan Tirmizi)

Pengambilan daging ikan yu sebagai bekal, seperti disebut hadith itu, menunjukkan bahawa sikap dan perilaku mereka itu bukan dalam kondisi terpaksa(darurat). Mereka juga mengajukan dalil dengan sabda Nabi saw :

الطّهُورُ ماؤُه، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

“laut itu  suci airnya dan bangkainya halal”(HR. Abu Daud dan Tirmizi)

Sedangkan Abu Hanifah lebih menguatkan pengertian ayat al-Quran secara umum (surah. Al-Maidah: 3)[6] dibandingkan dua hadith di atas. Yakni, ia mengharamkan bangkai tanpa membezakan bangkai haiwan laut dan bangkai haiwan darat. Pendapat Abu Hanifah itu mungkin kerana ketentuan hukum dalam Al-Quran  bersifat pasti, sedangkan hadith masih bersifat dugaan. Atau mungkin kerana ketentuan hukum yang termaktub dalam dua hadith di atas  dianggap sebagai keringanan hukum sahaja. Atau, boleh jadi menurut Abu Hanifah ikan yu mati kerana suatu sebab, yakni terlempar air laut air ke tepi pantai. Sebab, yang dimaksud dengan bangkai adalah binatang yang mati sendiri, bukan kerana sebab lain.

Perbezaan pendapat dalam masaalah haram tidaknya bangkai bintang laut itu ada sebab lain. Yakni, adanya dua kemungkinan kembalinya domir kata “hu” dalam firman Allah:  

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

“ Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lezat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan”(Al-Maidah:96)

Dhamir “hu” dalam ayat di atas mungkin kembali kepada kata “laut”(al-bahr) dan mungkin kembali kepada “nelayan” (shaid). Ulama yang berpendirian bahawa dhamir  “hu” itu kembali ke al-bahr berpendapat bahawa yang dihalalkan itu adalah binatang laut yang mati terapung. Sedangakan ulama yang berpendirian  dhamir “hu” itu kembali ke shaid berpendapat bahawa yang dihalalkan itu adalah nelayan yang mencari ikan laut itu sahaja , (tanpa mengaitkan dengan jenis ikan yang diperoleh). Sedangkan ulama Kufah juga berpegang pada hadith yang menghalalkan ikan laut yang terapung . pdahal, hadith yang ditunjuk itu daif[7].

Dalam mazhab Syafie dan Maliki dia memakai makna “ soidul bahri dengan makna مصيد البحر yakni menggunakan isim maful  manakala mazhab Hanafi mengunakan ”soidul bahri dengan makna صائد البحر yakni dengan makna pemburu. Khilaf disini merujuk kepada maraji’ domer “hu”.  Dalam mazhab Hanafi juga menyebutkan yang dibicarakan tentang ayat ini apa? Di dalam ayat ini menceritakan bab orang pakai ihram. Orang yang berihram tidak boleh berburu bintang darat dan boleh berburu binatang laut. Dhamir hu tadi kembali kepada orang yang berburu iaitu orang yang berihram. Sebab bab ayat (Al-Maidah:96)[8] ini adalah bab berihram. Orang yang pakai ihram ini halal untuk dia nak mengail ikan dan sebagainya.

Kesimpulanya kesemua pendapat ulama’-ulama’ boleh digunakan disebabkan mereka semua mempunyai hujjah masing-masing. Masing-masing mengelurkan pendapat mengikut kefahaman terhadap nas dan ijtihad. Jauh sekali mereka mengunakan hawa nafsu untuk mengatakan haram dan halal. Pemilihan mazhab juga ada kaitan dengan keadaan geografi sekeliling. Sebagai contoh kita di Asia Tenggara memakai mazhab Syafie disebabkan tempat kita dikelilingi dengan laut dan ramai orang yang memakan ikan, udang sotong dan sebagainya. Bahkan dijadikan mata pencarian utama oleh nelayan-nelayan. Boleh jadi inilah faktor pemilihan mazhab Syafie bagi kita. Mazhab Hanafi pula dari sudut geografi mereka yang bermazhab ini kebanyakanya berada dibenua-benua dan bukit-bukau yang tidak ada laut, seperti di India, Pakistan dan sebagainya. Mungkin inilah faktor pemilihan mazhab mereka. Bahkan dikatakan di India pun di sesetengah tempat yang dekat dengan laut ada masyarakat yang bermazhab Syafie. Demikianlah coretan ringkas tentang air laut dan makanannya.. wallahu a’lam bi sowab..


Oleh: Ahmad Syahin Bin Mohd Amin


[1] Dalam sunan Abu daud hadith secara penuh ialah:
يا رسول اللّه، إنا نركب البحر ونحمل معنا القليل من الماء، فإِن توضأنا به عطشنا، أفنتوضأ بماء البحر؟ فقال رسول اللّه صلى الله عليه وسلم: "هو الطّهور ماؤه، الحلُّ ميتته".
[2] http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=5833&idto=5838&bk_no=53&ID=921
[3] Kalau di darat ni ada himar yang boleh dimakan dan yang tidak boleh makan. Kalau Himarkampung tidak boleh makan, kalau himar hutang boleh makan. Jadi disini kira yang ghalib iaitu tak boleh dimakan. iaitu himar dalam laut itu tidak boleh dimakan.
[4] Dalam fiqh Islami, wahbah zuhaili mengatakan mazhab Ahmad dan Syafie mengharamkanya disebabkan ia bintang dua Alam.
[5] “Taudihul Ahkam Min Bulughul Maram, Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al Bassam, ms 117.
[6] حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ
[7] Ibnu Rush, BIdayatul Mujtahi, Pustaka Amani Jakarta, Jilid 2, ms 165.
[8] أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ


No comments:

Post a Comment