Penulisan Ini adalah beberapa perkongsian ketika saya menghadiri Transformational Leadership Seminar pada 16 Januari yang lalu di USM Kubang Kerian. Seminar ini dianjuran oleh MPP USM Kubang Kerian yang dikendalikan oleh Amin Idris .
1. Apa itu kepimpinan?
Kepimpinan adalah keupayaan untuk kita mendorong dan memotivasikan orang lain untuk sama-sama mencapai matlamat .
2. Masalah memimpin?
Suasah untuk buat orang suka dekat kita ..
3. Perinsip magnet diri
1. Semua orang adalah kawan , tiada musuh walaupun musuh sekalipun
Seringkali kita terperangkap dengan prinsip bahawa untuk menang, kita mesti mengalahkan orang lain. Untuk hebat, kita mesti menjadikan orang lain kurang hebat. Untuk berjaya, perlu lebih dahulu menyekat orang lain untuk berjaya lantas kegagalan orang lain menjadikan kita berjaya, untuk jadi pengaruh maka perlu terlebih dahulu jadikan orang lain kurang berpengaruh dan mudah dimanipulasi. Sikap sebegini hanya akan menghasilkan permusuhan dan seteru. Pengaruh sebegini tidak kekal lama. Pengaruh yang berdasarkan kepada Magnet Diri ialah untuk menang, kita mesti pastikan orang di keliling kita juga menang, untuk berjaya kita mesti bantu orang untuk berjaya.
Untuk jadi berpengaruh, Magnet Diri memastikan orang lain juga berpengaruh
2. Setiap orang adalah unik , maka saya perlu menerokai dan berusaha untuk menghargainya
Rentetan daripada itu, Magnet Diri tidak membenarkan seseorang memandang rendah atau memperlekeh sesama manusia. Individu Magnet Diri sangat menghargai setiap perbezaan manusia. Perbezaan tidak dilihat sebagai masalah atau punca kelemahan. Sebalik perbezaan dilihat sebagai kekuatan yang boleh dibentuk dan menghasilkan momentum yang luar biasa dalam kehidupan. Perbezaan itu adalah keunikan yang mesti diberikan keutamaan, focus dan dihargai dengan segala cara di setiap masa, di mana sahaja..
3. Setiap orang suka diterima , diiktiraf dan dirasai kewujudanya
Tidak ada siapa pun di dunia ini yang suka hidup terpinggir. Manusia dicipta untuk saling memerlukan dan saling lengkap melengkapi. Manusia saling bergantung sesama sendiri untuk menjadikan hidup lebih bermakna. Sudah pasti manusia amat kecewa dan hampa jika kewujudannya dipinggirkan dan dipulau oleh masyarakat. Magnet Diri sangat menekankan agar manusia menghargai sesama manusia dengan bukti iaitu membuat mereka rasa diterima, diiktiraf dan dirasai kewujudan manusia yang lain.
Magnetik : Buat Dulu Apa Yang Kita mahu
Jika anda inginkan sesuatu dari orang lain, anda perlu berbuat sesuatu yang bertentangan terhadapnya. Salah satu prinsip magnetik, jika kita ingin menarik kutub negatif pada sebatang magnet, kita perlu menuding kutub positif. Oleh itu, dalam konteks kepimpinan, ia kelihatan begini;
1. Apa yang anda inginkan (Kutub Positif)
Ingin dihormati oleh orang lain
Apa yang anda perlu lakukan (Kutub Negatif)
Menghormati orang lain
2. Apa yang anda inginkan (Kutub Positif)
Kuasa mengawal dan menguasai
Apa yang anda perlu lakukan (Kutub Negatif)
Memberi kebebasan, autonomi dan tidak mengongkong
3. Apa yang anda inginkan (Kutub Positif)
Ingin ditolong dan dibantu
Apa yang anda perlu lakukan (Kutub Negatif)
Banyakkan membantu orang lain
4. Apa yang anda inginkan (Kutub Positif)
Derma dan sokongan
Apa yang anda perlu lakukan (Kutub Negatif)
Menderma dan prihatin
Sumber Pengaruh ;
15 % - jawatan
35% - ilmu
50% - Personaliti
(4 Law of Perception)
1. Peraturan Persamaan (Law of Similarity)
Otak manusia mempunyai kecenderungan menerima sesuatu yang mempunyai persamaan. Semakin banyak persamaan dalam satu-satu perkara, semakin mudah informasi itu didaftarkan dalam otak menjadi memori. Memori itu kemudian menjadi persepsi.
Teknik Pengajaran: Pelajar diajar dengan cara mengkategorikan konsep dengan mengaitkan ciri-ciri yang ada persamaan, kemudian konsep itu dikaitkan dengan kehidupan harian.
Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Jangan anggap semua manusia ini sama. Setiap orang mempunyai perbezaan dan perbezaan itu adalah unik, kekuatan dan tanda kebesaran Tuhan.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Sekiranya saudara menemui unsur negatif pada orang lain dan kebetulan mereka datang dari kampung yang sama dengan saudara, tidak bererti saudara juga mempunyai unsur negatif yang sama. Contohnya orang Kelantan didakwa lemah bahasa Inggeris. Jika saudara orang Kelantan, tidak bererti saudara juga tidak mampu hebat berbahasa Inggeris.
2. Peraturan Perkaitan (Law of Proximity)
Otak manusia juga mudah menerima dan mengingati maklumat yang berdekatan atau lebih tepat lagi saling berkaitan antara satu maklumat dengan maklumat yang lain.
Teknik Pengajaran: Gabungan antara dua atau lebih objek atau idea yang berkaitan antara satu sama lain agar pelajar dapat membuat perbandingan serta perkaitan bagi memahami serta mengingati maklumat itu.
Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Jika ada jiran yang bermasalah, jangan anggap jiran lain juga mempunyai masalah yang sama.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Sekiranya saudara menemui unsur negatif pada individu yang hampir, dekat atau mempunyai pertalian darah dengan dengan saudara, ini tidak bererti saudara juga mewarisi kualiti negatif yang sama.
3. Peraturan Bersambungan (Law of Continuity)
Selain daripada kecenderungan otak manusia menghasilkan persepsi berdasarkan persamaan dan perkaitan, otak manusia juga mudah terpengaruh kepada maklumat yang bersambungan dengan maksud asal.
Teknik Pengajaran: Mencipta pandangan pertama yang positif kepada pelajar supaya pandangan seterusnya juga menjadi positif.
Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Jangan suka membuat tanggapan awal kepada seseorang tanpa usul periksa. Sentiasa neutral. Dapatkan maklumat secukupnya terlebih dahulu supaya tidak menjadi prejudis.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Sentiasa neutral dan optimis kepada diri sendiri. Jangan hanya satu kesilapan maka terus membuat kesimpulan, diri sendiri tidak berguna, lemah dan selalu gagal.
4. Peraturan Penutupan (Law of Closure)
Dalam banyak keadaan, otak juga menghasilkan persepsi berdasarkan apa yang berlaku di waktu akhir atau penghujung. Satu maksud di penghujung mempengaruhi persepsi kepada segala apa yang berlaku sebelumnya.
Teknik Pengajaran: Setiap proses pengajaran mesti mempunyai penutup yang bagus kerana ia membawa kepada persepsi keseluruhan. Walaupun proses sejak awal pengajaran dilakukan dengan baik tetapi jika ditutup dengan tidak berkesan malah berlaku kesalahan fakta, maka ia dapat menjangkiti persepsi semua proses pengajaran keseluruhan.
Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Sentiasa berusaha bagi memastikan orang gembira. Jangan akhiri pertemuan dengan cara negatif kerana ia dapat memberi persepsi tidak baik orang lain kepada diri saudara.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Setiap kegagalan yang dihadapi tidak bererti dunia sudah berakhir, tidak bererti persepsi saudara adalah saudara gagal selamanya. Sebenarnya, selagi saudara tidak berputus asa, kegagalan adalah langkah-langkah ataupun proses menuju kejayaan.
Dalam kehidupan ini ada perkara yang tidak mampu dikawal seperti bila, masa dan tarikh kita dilahirkan dan mati, rupa paras, bumi bergerak mengikut orbit, graviti dan sebagainya. Ia dinamakan sebagai zon luar kawal. Tetapi pada masa yang sama, terdapat juga perkara yang dapat dikawal. Antaranya adalah sikap dan persepsi. Ia termasuk dalam kategori zon boleh kawalan. Justeru, pastikan persepsi tidak menguasai diri saudara, tetapi saudara yang sentiasa berusaha mengawal persepsi.
Konsep Diri
Salah satu teori yang penting aplikasinya dalam mencipta diri lebih berpengaruh adalah teori ‘konsep diri’. Konsep diri juga dikenali sebagai imej diri. Kedua-duanya memberi maksud dalam implikasi yang sama dalam hidup seseorang. Bagi membina ‘energi’ dalam diri, adalah penting untuk memahami mengenai konsep diri kerana ia banyak mempengaruhi diri kita lebih-lebih lagi dalam melakukan perubahan diri.
Kajian yang dijalankan kepada individu-individu berjaya mendapati mereka memiliki konsep yang positif, manakala individu-individu yang tidak berjaya menunjukkan sebaliknya.
Konsep Diri dan Kita
Konsep diri membolehkan seseorang menjawab pertanyaan, “Aku ini siapa?” Mungkin seseorang itu menjawab persoalan tadi dengan berkata, “Aku seorang Melayu, seorang penyanyi, seorang isteri, seorang yang panas baran, suka berjauhan dari orang lain, seorang yang mesra dan mudah didekati” dan sebagainya. Jawapan seperti ini menunjukkan seseorang itu mempunyai banyak konsep diri, sebanyak mana dia menilaikan dirinya. Konsep diri seseorang itu kuat pengaruhnya kepada cara-cara bagaimana dia memproses apa jua maklumat mengenai dirinya. Oleh sebab itu ia menentukan bagaimana seseorang itu memandang dirinya sendiri dan bagaimana dia memandang diri orang lain.
Selain mempengaruhi pemikiran, konsep diri seseorang itu mempengaruhi tingkah lakunya, baik pada masa sekarang mahupun masa akan datang. Sebagai contoh, apabila konsep diri seseorang individu itu mengatakan dia seorang yang pintar, maka dia bertingkah laku sebagai seorang yang pintar.
Konsep Diri = Imej Diri
Setiap individu mempunyai imej mengenai siapa dirinya. Imej itulah yang dikatakan sebagai konsep diri. Imej diri seseorang itu terbina daripada segala perasaan dan fikirannya kepada bakat, keupayaan, keistimewaan, kekuatan, kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya. Oleh itu, konsep diri adalah gabungan segala macam kepercayaan seseorang berkenaan dirinya termasuklah semua kepercayaan mengenai sifat-sifat semula jadi dirinya, ciri-ciri unik peribadinya dan tingkah lakunya. Konsep diri seseorang itu termasuk kepercayaan seperti, ’saya baik hati’, ’saya jahat’, ’saya tidak tampan’, ‘ saya tidak pandai bahasa inggeris’, ’saya hebat bermain badminton’, ‘ saya bakal menjadi Ahli Parlimen suatu hari nanti’ dan lain-lain kepercayaan seperti itu.
Sumber Konsep Diri
Dari manakah datangnya konsep diri? Apabila seseorang itu menganggap dirinya seorang yang istimewa, apakah dengan sedar dia membuat tanggapan sebegitu kepada dirinya? Menurut pakar psikologi, seseorang itu tidak membina konsep dirinya atas kemahuannya sendiri.
Konsep diri seseorang itu bukan hanya apa yang diciptanya. Malah individu lain turut mempengaruhi konsep diri individu itu. Ini berlaku apabila seseorang itu menerima maklum balas mengenai dirinya daripada individu-individu lain yang berada di sekelilingnya. Di sekeliling individu itu ada ramai orang, sebahagiannya adalah individu-individu yang penting dalam hidupnya, manakala kebanyakannya bukan individu-individu yang penting dalam kehidupannya. Ertinya, bukan semua orang mempunyai pengaruh besar kepada konsep diri individu itu. Ada orang yang kata-katanya mempengaruhi konsep dirinya, dan ada juga individu-individu yang kata-katanya tidak mempunyai kesan langsung kepada konsep dirinya.
Tidak dapat dinafikan, seseorang itu membina konsep dirinya sendiri, tetapi dia melakukan itu tanpa disedarinya dan dengan mengambil kira tiga sumber iaitu:
1. Pendapat orang-orang lain
2. Perbandingan dengan individu-individu lain
3. Penilaian diri
SINERGI
S. Sebut nama dan beri salam
A. Ajukan tiga soalan ringkas
L. Luahkan bagi puji iklas
A. Ajukan 3 lagi soalan bagi apa-apa sahaja
M. minta diri
Perlu diFokuskan
M. Mata
E. Ekspresi Muka
S. Senyum
R. Rapatkan jarak
A. Angguk
Teknik Mengkritik
Perkara yang perlu diingatkan ialah jangan terus fokus kepada kesalahan
1. Teknik 3 + 1 : Cari tiga sebab dan puji dia dahulu dan akhir sekali bagi kritikan .
2. Teknik Sandwic : pertama kita luahkan pujian, kemudian sebutkan apa kesilapan dan kemudian berikan tunjuk ajar yang betul untuk diperbaiki .