Wednesday, February 9, 2011

UMNO Lebih Teruk Dari Lee Kuan Yew - TGNA



KOTA BARU, 27 Jan — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor menyifatkan orang Melayu di Malaysia yang menolak Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme lebih teruk daripada menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau berkata ini kerana Lee hanya meminta umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam berbanding segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.

“Orang Melayu sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

“Beliau cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan, lebih teruk daripada Lee Kuan Yew,” katanya di sini semalam.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, Nik Aziz mengulas gesaan Lee supaya umat Islam di republik berkenaan tidak terlalu berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut.

Pandangan itu terkandung dalam buku terbaru tulisannya “Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going”.

Sejak awal minggu ini kenyataan Lee itu diselar oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang menyifatkannya sebagai satu pandangan primitif.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd. Roslan Mohd Noor berkata, kenyataan tersebut memperlihatkan bekas perdana menteri Singapura itu mempunyai sifat Islamofobia dan cuba mengajar orang Islam tentang agama mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasarudin Hassan pula menyifatkan pandangan Lee bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.

Dalam laporan itu, Nik Aziz juga dikatakan mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya turut mempersoalkan pemakaian serban di kalangan masyarakat Sikh dan tidak hanya mempermain-mainkan larangan bersalam antara wanita Islam dengan lelaki bukan muhrim.

Menurutnya, Islam menetapkan lima perkara yang wajib dijaga antaranya larangan bersalam antara lelaki dan wanita bukan muhrim kerana ia boleh mengundang kepada perlakuan negatif lain termasuk zina akibat daripada pergaulan bebas.

“Kenapa dia mempermainkan jabat tangan (bersalam) orang Islam.

“Cuba dia sentuh soal serban orang Sikh, tengok orang Sikh jawab macam mana. Kalau tak berani, jangan cakap benda-benda macam ini,” katanya. -TMI

http://greenboc.blogspot.com/2011/01/umno-lebih-teruk-dari-lee-kuan-yew-tgna.html

No comments:

Post a Comment