Sunday, December 4, 2011

Hukum Islam dan Perlembagaan Malaysia


Dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Islam dijadikan sebagai Agama Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perlu disebutkan bahawa belum ada terjemahan Perlembagaan yang sahih di Malaysia dan ada kala perkataan "Islam is the religion of the Federation" yang terdapat dalam Perlembagaan di terjemahkan salah sebagai "Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan".

Hakikat inilah yang membezakan negara kita dengan negara lain. Sebagai contoh negara jiran kita Indonesia yang tidak menyebut Islam sebagai agama negaranya dalam Undang-undang Dasar 1945. Kedudukan Islam ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama bagi negara Malaysia yang sifatnya bukan sekular.

Namun apa yang menjadi perdebatan adalah perbezaan pandangan terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan negara. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Ia adalah soal tafsiran mana yang menepati peruntukan Perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.( Tuan Ibrahim tuan Man)

Menurut Aziz Bari, oleh kerana Perlembagaan Malysia tidak menghalang, maka negara Islam boleh didirikan di Malaysia, jika negara Islam dimaksudkan sebagai negara di dalamnya terlaksana hukum-hukum Islam. Perlembagaan persekutuan sebenarnya memberi ruang. Syaratnya program itu mesti dilakukan oleh pihak-pihak yang berkuasa persekutuan kerana di tangan merekalah terletaknya kuasa-kuasa berkenaan. Oleh kerana yang lebih penting ialah isi dan bukan label langkah pertama mungkin mereformasikan undang-undang terlebih dahulu supaya ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

Sehubungan dengan itu jika kita melihat kepada perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.

Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Bertolak dari sinilah kita perlu mengambil kira parti yang memerintah negara pada saat ini untuk melaksanakannya. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama.

Namun apa yang perlu diingat disini bahawa walaupun perlembagaan tidak secara terang menyatakan Al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi tetapi telah menyatakan Islam yang tertinggi dan sekurang-kurangnya dia disyahadahkan(istilah populer). Ia setidaknya memberi ruang kepada terlaksanya hukum Islam.

Justeru itu isu ini bukanlah suatu yang penting untuk dipolimikkan, apa yang penting adalah perlaksanaannya. Penting juga diingatkan bahawa tertegaknya hukum Islam adalah sebahagaian daripada ciri-ciri negara Islam. Apabila menyebut negara Islam bukanlah tergambar hukumnya sahaja bahkan mencakupi kesemua aspek termasuk kepimpinan dan ketelusan pengelolaan negara oleh pemimpin.

Oleh : Ahmad Syahin

No comments:

Post a Comment