Monday, May 23, 2011

CATATAN REVOLUSI




Kejatuhan regim pemerintahan zalim di Tunisia dan Mesir baru-baru ini dan kini kebangkitan ummah merebak ke Yemen dan Algeria, telah memetakan satu lagi sejarah kemenangan revolusi di tangan rakyat. Kita juga tidak pernah lupa bagaimana Shah Mohammed Reza Pahlawi, Ferdinand Marcos, Boris Yeltsin, Suharto dan ramai lagi pemimpin negara rebah digulingkan oleh kebangkitan rakyat.

Mengapakah perkara ini boleh berlaku?

Di Iran, meskipun rakyat berdepan dengan gerombolan-gerombolan tentera antara yang terhebat di dunia, namun disebabkan oleh kesempitan hidup, lonjakan inflasi, amalan sekularisme, rasuah dan dalang perisikan tajaan Amerika (SAVAK), akhirnya rakyat menolak pemerintahan diktator.

Rakyat Iran terpaksa membayar harga revolusi itu dengan selaut pengorbanan termasuklah para mahasiswa, anak muda dan tokoh disegani, Ali Shari’ati dibunuh dengan penuh kontroversi. Meskipun terpaksa melalui dua fasa getir revolusi, akhirnya panji kezaliman berjaya ditumbangkan pada tahun 1979.

The 1986 People Power Revolution di Filipina juga mencatat sejarah revolusi yang getir. Pembunuhan misteri pemimpin pembangkang, Benigno Aquino menjadi kemuncak pemusatan kuasa rakyat untuk meniarapkan Marcos.

Selain itu, ironisnya, Emelda Marcos (isteri Ferdinand Marcos) menjadi salah satu punca kejatuhan regim tersebut kerana dia sibuk mencampuri urusan kerajaan, berbelanja terlalu boros dan memegang beberapa jawatan dalam kerajaan termasuklah menjadi seorang ahli Parlimen.

Negara jiran kita, Indonesia juga pernah mengharungi nasib yang sama. Tahun 1998 telah bergoncanglah ibu kota Jakarta dengan rantaian beberapa siri reformasi yang digerakkan oleh saff mahasiswa, anak muda dan golongan marhaen iaitu Tragedi Trisakti, Tragedi Semanggi 1 dan Tragedi Semanggi 2.

Apabila Krisis Kewangan Asia 1997 mendekam Indonesia, rakyat melarat kepayahan. Rupiah Indonesia menjunam teruk, hutang negara melambung tinggi, kronisme dan kapitalis bertempiaran sehingga rakyat berani turun ke jalan raya menghentam Suharto dan menolak Orde Baru. Akhirnya, regim Suharto juga tersungkur!

Semangat revolusi rakyat Indonesia masih lagi dapat dirasai sehingga ke hari ini. Dendangan sajak reformasi yang dideklamasikan oleh WS Rendra, seorang penyajak utama Indonesia yang diberikan jolokan Burung Merak dan terkenal dengan drama Kasidah Berzanji masih lagi menjadi siulan mereka,

“Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Saat ini kita masih terperangkap dalam lingkaran setan,

Kemiskinan, ketidak pedulian, korupsi

Kerja asal-asalan,

Ayuh, kita tidak mahu lagi dijajah oleh kemiskinan dan kesusahan,

Kini saatnya Revolusi Kebangsaan”

Revolusi, reformasi dan perubahan adalah satu sunnatullah. Tidak ada satu kerajaan zalim pun dalam dunia ini yang akan memerintah untuk selama-lamanya. Gahnya tirani Fir’aun tenggelam jua. Teguhnya Konstantinopel ditembusi jua oleh Sultan Mahmud Al-Fateh. Benarlah firman Allah SWT,

Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Kau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Kau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Kau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Kau hinakan orang yang Engkau kehendaki. DitanganMu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”

– Surah Ali-‘Imran : 26

Sumber : http://www.eperjuangan.com/2011/02/laksanakan-amanah-h30k.html



No comments:

Post a Comment