Tuesday, March 29, 2011

POLITIK KEPARTIAN DAN MAZHAB FIQH


Dalam politik kepartian kita akan dapati bahawa ia seakan –akan mazhab dalam fiqh. Akan tetapi politik kepartian lebih kecil dari mazhab fiqh itu sendiri. Ini kerana mazhab fiqh dipimpin oleh Imam-imam mujtahid yang tidak tertanding ilmunya bahkan ia melewati sempadan negara. Ia berbeza dengan politik kepartian yang terkadang calon yang mempunyai sedikit sahaja kelebihan pun dilantik menjadi pemimpin.

Secara logiknya kita akan dapati bahawa ramai dikalangan orang yang ta’sub mazhab, lantas mengatakan mazhab dia sahaja yang paling betul, ini kerana hasil daripada buta ilmu tetapi celik lambang atau aliran. Begitu juga sekiranya banyak parti secara langsung akan membawa sedikit sebanyak kepada perpecahan kerana ramai pengikut yang buta ilmu dan celik hanya kepada lambang parti-parti tertentu.

Berhubung dengan demikian jika kita melihat kepada sejarah Imam Hassan Al-Banna, beliau tidak melibatkan diri untuk parti-parti tertentu, menyaingi parti-parti tertentu. Sehinggakan pada satu ketika beliau dicalonkan dalam pilihan raya, lalu beliau menolak pencalonan tersebut kerana beliau berpendapat ia boleh memudaratkan negara Mesir pada ketika itu walaupun ditentang oleh ahli-ahli ikhwanul muslimin sendiri.

Beliau melakukan perkara tersebut adalah kerana beliau merupakan seorang tokoh yang besar bagi umat Islam dan Arab. Begitu juga kerana beliau merupakan seorang tokoh yang ingin menghimpunkan dan bukan pemecah –belah. Membina dan bukan meruntuh. Memberi harapan dan bukan berputus asa.

Dalam mazhab fiqh kita diberi kebebasan untuk memilih asalkan ianya lebih dekat kepada kebenaran, dan hujjah yang disandarkan lebih kuat antara mazhab. Begitu juga parti kita perlu mewujudkan suasana masyarakat yang matang yang tidak buta kepada lambang dan parti-parti tertentu. Apa yang ada dalam pemikiran mereka hanyalah untuk menegakkan Islam. Ini kerana parti hanya sebagai cara yang digunakan pada zaman ini dan mungkin berubah apabila berlalunya zaman.

Apa yang menjadi malang kita pada hari ini apabila kita melihat kepada negara-negara Islam penuh dengan berbagai parti, terkadang terjadi seperti di Indonesia partai Islam sahaja lebih dari sepuluh. Memang dari satu sudut ia baik dan kebebasan, tetapi satu perkara yang kita perlu ingat bahwa islam mengatsi parti politik. Dan titik inilah yang perlu dicari untuk menyatukan umat islam.

Oleh : Ahmad Syahin

28/3/2011





No comments:

Post a Comment