Tuesday, March 8, 2011

DEBAT TUAN HASSAN BANDUNG DENGAN SI MURTAD DAN AHMADIAH



Setelah membaca buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap mufti johor oleh Prof Dr Hamka, banyak pengajaran yang dapat diambil, khususnya mengenai polimik antara kaum muda dan kaum tua di Nusantara. Di dalam buku tersebut banyak pengajaran bagi mereka yang suka menuduh, terutama mereka yang suka memberi gelaran wahabi dan sesat kepada mereka yang mentajdid agama. Namun pada posting kali ini bukanlah bertujuan untuk diskusi buku ini, cuma ingin mengambil sedikit ulasan Hamka mengenai dengan Almarhum Tuan Hassan Bandung yang merupakan ulama terbilang di Indonesia.

Debat dengan orang murtad

Kata Hamka, beberapa tahun yang lalu ada seorang pemuda Indonesia mengakui dirinya telah keluar dari agama Islam . Dan dia mengakui tuhan Allah tidak ada. Nama pemuda itu Suradal. Dan dia menentang ulama- ulama Islam bermujadalah dan berdebat.

Tidak ada ulama’ kaum-tua menunjukkan suka menjawab tentang Suradal ini kerana mereka tidak ada alat senjata buat menghadapi. “ Suradal kafir ” habis perkara. Dan kaum ulama kaum-muda pun tidak ada, sebab memandang bahawa suradal hanyalah seorang pemuda yang miring otak . Tetapi Al-marhum Tuan Hassan Bandung menjawab tentanganya itu maka diadakan majlis debat di Jakarta, dihadiri oleh orang ramai lebih seribu.

Maka dengan gagah dan congkak pemuda itu mengeluarkan segala pokok dan taruhanya mula-mula seakan-akan dia yang benar, tetapi setelah segala tentangan itu ditangkis Almarhum Tuan Hassan dengan mantiq yang lebih tinggi, habislah pokok taruhan pemuda itu, tidak dapat berkutik lagi. Sehingga debat tidak dapat diteruskan sebab dia segera telah kalah. Orang ramai menjadi jengkel seekor semut melawan gergasi . Inilah Tuan Hassan bandung yang dikafirkan oleh Mufti Johor itu. Dan di Malang, Jawa Timur ada pula seorang pemuda lain , yang berfahaman demikian pula. Bersoal jawab dengan Almarhum Tuan Hassan. Kesudahan pemuda itu tunduk dan kembali menjadi orang Islam”.

Debat dengan Qadiani

Seketika Ahmadiah mula-mula masuk ke Indonesia tahun 1923, maka yang mula-mula mengarang buku menolak fahaman mereka ialah ulama besar di Sumatera Sheikh Abdul Karim Amrullah dengan bukunya yang bernama “ al-Qaulush Sheikh “ dan Sheikh Ahmad dengan surat kabarnya yang bernama “ Buka Mata” , padahal kaum tua Sumatera Barat ketika itu masih bekerja keras menuduh kaum-muda Muktazilah. Kaum muda khawarij dan lain-lain.

Ketika Ahmadiah Lahore datang pula ke Yogya di tahun 1924, tertariklah dua orang anggota Muhammadiah. Kedua orang itu ialah Joyo sukito dan Muhammad Husni. Pada tahun 1933 atas anjuran satu panitia, Almarhum Tuan Ahmad Hassan Bandung mengadakan perdebatan dengan mubaligh Ahmadiah Qadiani Ahmad Shadiq dengan Abu Bakar Ayub. Turut hadir as-Sheikh Abdullah Ahmad, seluruh yang mencintai Islam walaupun kaum-tua sendiri sangat menghargai hujah-hujah yang dikeluarkan oleh Almarhum Tuan Hassan Bandung itu- kecuali mufti Johor!. Kata Hamka dan tidaklah ada mujadalah sehebat itu baik sebelumnya atau sesudahnya.

Akhir kata, apa yang disebut oleh Hamka di atas hanya sebahagin sahaja tentang kehebatan Tuan Hassan Bandung yang dapat saya catat disini. Almarhum Tuan Hassan bandung adalah seorang ulama kaum muda di Indonesia yang terkenal dan banyak jasanya kepada umat Islam Indonesia, moga-moga Allah selalu merahmatinya. Buku Teguran suci dan jujur Terhadap mufti johor oleh Prof Dr Hamka, perlu dibaca bagi mereka yang mahu memahami polimik antara kaum-muda dan kaum-tua,wahabi dan sebagainya. Ini kerana perkara ini telah lama berlaku dan banyak dicatat oleh Prof Dr Hamka, khususnya mengenai polimik yang berlaku di Nusantara, Indonesia dan Malaysia. Wallahu a’lam..

Oleh : Ahmad Syahin

1 comment:

  1. Cukup satu argumen saja A Hassan sudah bisa membuat Ahmadiyah klepek-klepek.

    ReplyDelete