Wednesday, September 23, 2015

ISU DEOBANDI VS SALAFI: SATU PENILAIAN SEMULA



BAHAGIAN 1

[Deobandi, Brelwi & Wahhabi: Satu Pencerahan]

Oleh: HZ (murid Maulana Asri Yusoff)

Sampai hari ini nampaknya mereka yang mendakwa kononnya bermanhaj 'Deobandi Original' di Malaysia ini masih menjaja di sana sini isu Wahabi / Salafi dan melabel ustaz itu wahabi, ustaz ini bukan deobandi. Apakah faedahnya semua ini? Penting sangatkah deobandi tak deobandi? Melihat cara mereka, tentu ramai terfikir apakah begini manhaj ulama Deoband?

Tidakkah mereka sedar bahawa dahulu ulama-ulama Deoband sendiri yang digelar dengan gelaran Wahhabi oleh penentang-penentang mereka terutama golongan Brelwi. Bahkan sehingga hari ini sekiranya disebut gelaran Wahhabi dalam tulisan-tulisan Brelwi, yang dimaksudkan adalah ulama-ulama Deoband. Tiba-tiba di Malaysia, mereka yang mendakwa mengikuti ulama Deoband pula yang menggelar orang lain dengan gelaran Wahhabi. Sebenarnya mereka ini mengikut ulama Deoband atau mengikut penentang-penentang ulama Deoband?

Di sini dibawakan beberapa nukilan daripada ulama-ulama Deoband tentang isu ini.

1) Al-Syeikh Rashid Ahmad Gangguhi ketika ditanya tentang firqah Wahhabi dan akidah mereka, menjawab antaranya "Istilah Wahhabi pada zaman ini dan dalam suasana ini digunakan kepada mereka yang mengikuti Sunnah dan kuat beragama" (Fatawa Rashidiyyah: 96)

2) Al-Syeikh Khalil Ahmad Sahranpuri berkata "Sesungguhnya penggunaan asal isthilah Wahhabi di benua India digunakan kepada orang yang meninggalkan bertaklid kepada para imam r.a.. Yang demikian kerana berita yang sampai kepada mereka (penduduk India) ialah golongan Wahabi itu menentang taklid dan mengharamkannya. Kemudian isthilah itu semakin meluas sehingga digunakan kepada orang-orang yang mengamalkan Sunnah yang murni, meninggalkan bid''ah yang keji dan adat-adat yang jelek, sehingga tersebar di Mumbai dan sekitarnya bahawa orang yang melarang daripada bersujud dan berthawaf di kubur para wali adalah wahhabi, padahal dia adalah seorang tokoh dan pembesar di kalangan orang-orang Islam. Kemudian penggunaan isthilah itu meluas lagi sehingga menjadi celaan. Oleh kerana itu sekiranya seorang penduduk India berkata tentang seseorang bahawa orang itu Wahhabi, maka itu tidaklah menunjukkan dia seorang yang rosak akidahnya, bahkan itu menunjukkan dia adalah seorang sunni, bermazhab hanafi, yang beramal dengan Sunnah dan menjauhi bid'ah, takut terhadap Allah untuk melakukan maksiat. Oleh kerana guru-guru kami berusaha keras menghidupkan Sunnah dan menyingsing lengan dalam menghapuskan bara bid'ah, maka marahlah tentera Iblis terhadap mereka. Mereka memalsukan perkataan mereka, menfitnah, menuduh mereka dengan pelbagai tuduhan dan menggelar mereka dengan gelaran Wahhabi. Demikian itulah sunnatullah yang Allah tetapkan kepada kekasih-keasihnya yang khusus." (Al-Muhannad Alal Mufannad: 3, 4)

3) Al-Syeikh Asyraf Ali Al-Tahnwi ketika ditanya tentang menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahhabi, menjawab "Sesungguhnya gelaran ini diberikan kepada pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab atau bersetuju dengan pendekatannya. Sekiranya itu benar-benar bertepatan dengan kenyataan, maka gelaran itu harus. Jika tidak, maka ia adalah pendustaan dan bercanggah dengan firman Allah swt "Dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran". (Imdadul Fatawa: 4; 495)

Ini baru sedikit nukilan tentang penggelaran "Wahhabi", belum sentuh tentang pendirian ulama-ulama Deoband terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab itu sendiri, Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim. Insyaallah kalau perlu, akan diulas akan datang.

Memadai disebutkan di sini bahawa sesetengah ulama Deoband sendiri telah menulis buku membela Muhammad Bin Abdul Wahhab. Antaranya al-Syeikh Manzhur Nu'mani dalam bukunya Di'ayat Mukatthafah Dhidda al-Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab, dan al-Syeikh Mas'ud 'Alam al-Nadwi dalam bukunya Muhammad Bin Abdul Wahhab Al-Mushlih Al-Muftara Alaih.

Adapun tentang nukilan-nukilan daripada ulama Deoband yang mengkritik Wahhabi, akan diulas akan datang insyaallah..

BAHAGIAN 2

[Siapakah Ahlus Sunnah wal Jamaah: Satu Pencerahan]

Oleh: HZ (murid Maulana Asri)

Tulisan ini bukanlah ingin membangkitkan semula isu wahabi / salafi yang tidak banyak menguntungkan ummat. Tapi terasa amat meyedihkan apabila ada rakan-rakan yang keluar daripada madrasah-madrasah aliran Deoband menjadi penentang kuat golongan ahlul hadith, menuduh mereka dengan pelbagai tuduhan seperti Wahabi, agen British dsb.

Apabila ditanya, mereka mengatakan 'ulama-ulama deoband juga memerangi wahabi @ anti wahabi. Salah faham inilah yang perlu diperbetulkan. Malang sekali apabila penyakit ini turut berjangkit kepada mereka yang berminat mengkaji tentang aliran Deobandiyyah tanpa meruju' kepada sumber yang benar tentang mereka, lalu terpengaruh dengan mereka yang jenama Deoband ini.

Memang tidak dinafikan bahawasanya ulama-ulama Deoband secara umum dari sudut akidah mengikuti manhaj Imam Abul Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Manshur Al-Maturidi sebagaimana yang disebut dengan jelas oleh Syeikh Khalil Ahmad Al-Sahranfuri dan Syeikh Muhammad Thayyib Al-Qasimi di dalam kitab mereka. ('Ulama Deoband Ittijahuhum Al-Dini Wa Mizajuhum Al-Mazhabi, Al-Muhannad 'Alal Mufannad: 2)

Pun begitu, mereka tidak menafikan kelompok-kelompok daripada manhaj selain mereka adalah sesat atau menyeleweng. Sebagaimana yang telah dihuraikan dengan cukup jelas oleh Shah Waliullah Al-Dehlawi yang dijadikan sandaran utama dikalangan ulama-ulama Deoband dalam kitabnya Hujjatullah Al-Balighah, bahawasanya Ahlul Sunnah itu bukanlah nama bagi satu aliran tertentu daripada aqidah Islam. Bahkan ia adalah kelompok yang bersepakat di dalam perkara-perkara usul dalam aqidah, sekalipun mereka berbeza pendapat dalam perincian dan penjelasannya. (Hujjatullah Al-Balighah: 9 - 10).

Sesungguhnya Ahlul Sunnah adalah satu kelompok yang berpegang teguh dengan Al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w., dan al-Jama'ah, iaitu sahabat-sahabat Baginda s.a.w.. Mereka tidak berselisih pendapat dalam soal-soal asas dalam aqidah seperti keesaan Allah s.w.t., Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penyudah sekelian nabi, Hari Kiamat, dsb.

Sebagaimana mereka mempunyai beberapa aliran dalam fiqh, begitulah juga mereka mempunyai beberapa aliran dan pendekatan dalam manhaj aqidah.

Tiga aliran utama dalam Ahlul Sunnah Wal Jama'ah ialah: Aliran Asy'ari, Maturidi, dan Ahlul Hadith atau Salafiyyah. Ketiga-tiga aliran ini tergolong sebagai Ahlul Sunnah Wal Jama'ah mengikut kebanyakan 'ulama sepanjang zaman sama ada dari kalangan Asy'ari, Maturidi dan Salafiyyah.

Kata Al-Syeikh Abdul Qahir Al-Baghdadi 'Jumhur Ahlul Sunnah Wal Jama'ah bersepakat di atas setiap usul daripada rukun-rukun agama'. Kemudian setelah beliau menjelaskan usul-usul tersebut, beliau berkata 'Inilah usul-usul yang disepakati oleh Ahlul Sunnah di atas kaedah-kaedahnya, dan mereka menganggap sesat orang yang menyalahinya. Pada setiap rukun-rukun daripada usul itu ada perincian dan cabang-cabangnya, bagaimanpun mereka tetap bersepakat di atas usul2nya. Boleh jadi mereka berselisih pendapat pada beberapa cabangnya, tetapi itu bukanlah perselisihan yang menyebabkan kesesatan atau kefasikan' (Al-Farqu Bainal Firaq: j1, 323)

Imam Al-Safarini yang dianggap tokoh dalam aliran Salafiyyah juga berpendapat sedemikian. Dalam kitabnya Lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah seringkali beliau meruju' kepada ketiga-tiga aliran ini dengan ungkapan Ahlul Sunnah Wal Jama'ah. Antaranya beliau berkata 'Ahlul Sunnah Wal Jama'ah ada tiga kumpulan. Pertama ialah Al-Athariyyah, Imam mereka ialah Ahmad Bin HAnbal. Kedua Al-Asy'ariyyah, Imam mereka ialah Abul Hasan Al-Asy'ari. Ketiga Al-Maturidiyyah, Imam mereka ialah Abu Manshur Al-Maturidi''. (Lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah: j1, 73)

Ini juga pendapat ulama-ulama besar Deoband seperti Anwar Shah Al-Kasymiri, Ashraf Ali Al-Thanwi, dan lain-lain.

Anwar Syah Al-Kashmiri semasa mensyarahkan hadith 'Ma Ana 'Alaihi Wa Ashhabi' berkata 'Kesimpulannya hadith ini menepati pengikut mazhab empat dan juga golongan Zahiri. Dan cara untuk mengetahui golongan yang mengikuti Nabi s,a.w. dan Sahabat-sahabatnya ialah amalan-amalan yang telah diwarisi turun temurun dan diamalkan daripada salaf' (Al-'Arf Al-Syaziy: j2, 92,).

Kata Ashraf 'Ali Al-Thanwi tentang Al-Firqah Al-Najiyah: 'Mereka adalah golongan yang Nabi s.a.w. sebutkan golongan yang berpegang dengan sunnahku dan sahabat-sahabatku, iaitulah Asya'irah dan Salaf dari kalangan ahlul hadith dan Ahlul Sunnah Wal Jama'ah' (Al-Talkhishat Al-'Asyar tazyil Syarah Al-'Aqaid: 164).

Lihatlah keterbukaan para imam Ahlus Sunnah termasuk ulama-ulama Deoband sendiri yang bersikap terbuka dan tidak ta'asshub sehingga menyesatkan aliran selain mereka yang masih dalam kelompok Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Bahkan didapati sesetengah ulama Deoband sendiri dalam sesetengah perkara mengikuti pendekatan aliran Ahlul Hadith. Shah Waliullah al-Dehlawi misalnya dalam kitabnya Al-Fauzul Kabir dengan jelas menyebutkan:

Adapun sikap ghuluw sesetengah golongan ahli kalam dalam menta'wilkan ayat-ayat mutasyabihat dan menjelaskan sifat-sifat Allah azza wa jalla, maka ini bukanlah mazhabku. Bahkan mazhabku ialah seperti mazhab Imam Malik, al-Thauri, Ibnul Mubarak dan sekelian ulama mutaqaddimin, iaitu membiarkan ayat-ayat mutasyabihat dalam keadaan zahirnya dan meninggalkan pendekatan cuba menta'wilkannya. (Al-Fauzul Kabir: 188)

bersambung..

BAHAGIAN 3

[Pandangan 'Ulama-ulama Deoband Tentang Ibn Taimiyah dan Ibnul Qayyim]

Oleh: HZ (Anak murid Maulana Asri)

Bagi yang biasa membaca karya-karya 'ulama Deoband pasti biasa menemui petikan-petikan daripada perkataan Ibn Taimiyah, begitu juga muridnya Ibnu Qayyim. Walaupun tidaklah pendapat mereka berdua diterima sepenuhnya oleh 'Ulama Deoband seperti dalam masalah Ziarah Kubur Baginda s.a.w. dan masalah thalaq tiga sekali gus, tetapi mereka tetap menghormati dan mengambil istifadah daripada kedua-dua tokoh ini, bahkan memberi gelaran-gelaran penghormatan yang tinggi seperti Imam dan sebagainya, sebagaimana yang jelas terdapat dalam kitab-kitab mereka.

Sebagai contoh Ashraf 'Ali Al-Thanwi di dalam buku-bukunya dan fatwa-fatwanya banyak menukilkan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim dengan menyebutkan perkataaan-perkataan seperti Al-'Allamah, Al-Imam dan lain-lain. Dalam himpunan fatwanya, beliau ada menyebutkan "Berkata Al-'Allamah Al-'Arif Ibnul Qayyim". (Imdadul Fatawa: j6, 82)

Di tempat lain beliau berkata 'Sesungguhnya Ibn Taimiyah dan Ibnul Qayyim telah bersendirian dalam banyak perkara. Kerana itu kebanyakan 'ulama merasa tidak senang. Walau bagaimanapun, mereka tetap sangat memuliakan jasa dan kelebihan mereka berdua'. (Al-Fashl Lil Washl: 29).

Bahkan di dalam Kitab I'laul Sunan yang ditulis berdasarkan bimbingannya, ketika membahaskan tentang ijtihad dan taqlid, disebutkan "Apa yang kami sebutkan ini bukanlah dimaksudkan dengannya untuk menyanggah Ibnul Qayyim Rahimahullahu Ta'ala. Jauh sekali daripada itu. Kerana beliau adalah seorang yang lebih agung dan lebih mulia untuk dipertikaikan oleh orang-orang seperti kami. Demi Allah, jika kami menjadi tanah di kasutnya itu lebih mengangkat kemuliaan kami" (Muqaddimah I'laul Sunan: 84).

Adapun sekiranya ada dinukilkan daripada ulama-ulama Deoband yang mencela Ibn Taimiyah, maka yang demikian itu termasuk dalam 'kegelinciran pena' atau 'keterlanjuran lidah' yang tidak sayugia dicontohi atau diperbesar-besarkan. Bahkan sesetengah 'ulama itu sendiri telah menarik balik perkataan mereka, sebagaimana yang diceritakan oleh al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah bahawa beliau telah menulis surat kepada al-Syeikh Zhafar Ahmad al-Tahnwi berkenaan perkataannya yang menyentuh tentang Ibn Taimiyah yang terdapat dalam kitab Qawaid Fi Ulum al-Hadith, lalu al-Syeikh al-Tahnwi membalas surat tersebut dengan menulis:

"Sebenarnya aku telah meminta sebahagian sahabatku supaya membuang perkataan tentang Imam Ibnu Taimiyah tersebut -semoga Allah merahmatinya-. Tetapi mereka telah terlupa, demikian juga Syaitan telah membuat aku lupa untuk mengingatkan mereka. Maka kamu buanglah perkataan tersebut dan tuliskan dalam nota kakinya "Sesungguhnya pengarang telah menarik balik perkataan tersebut dan yang demikian itu adalah kegelinciran pena. Dan pengarang meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepadanya kerana telah beradab buruk terhadap imam-imam kaum muslimin termasuklah Imam Ibn Taimiyah al-Harrani, seorang Syaikhul Islam, semoga Allah merahmatinya dan memasukkannya dan kita semua ke dalam Darul Salam". (Qawaid Fi Ulum al-Hadith: 272)

Kegelinciran seperti ini dapat difahami memandangkan berita-berita tentang Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim yang sampai kepada ulama-ulama di India pada peringkat awal adalah melalui perantaraan al-Syeikh Ibn Hajar al-Haithami al-Makki yang memang merupakan penentang kuat Ibn Taimiyah. Ini diakui oleh ulama Deoband sendiri.

Al-Syeikh Mas'ud 'Alam al-Nadwi berkata "Sesungguhnya ulama-ulama India yang dahulu dan sekarang - kecuali mereka yang dirahmati oleh Allah - tidak pernah mengenali sedikit pun karangan-karangan Imam-Imam Muhaqqiqin seperti Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnul Qayyim.

Begitu juga dengan Muhammad Bin Ismail al-Ameer al-Yamaniy dan Muhammad Bin Ali al-Syaukani dari kalangan mutaakkhirin yang mengikuti jejak langkah ulama Salaf. Segala berita yang sampai kepada mereka mengenai Ibn Taimiyah, pemikirannya dan pandangan-pandangannya hanya datang melalui perantaraan al-Syeikh Ibnu Hajar al-Makki (974 H) yang tidak membaca sendiri kitab-kitab Ibnu Taimiyah. Beliau hanya menulis tentang Ibn Taimiyyah berdasarkan apa yang diceritakan kepadanya sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Yang demikian itu lebih masyhur daripada syair "Qifa Nabki"." (Tarikh Da'wah Islamiyyah Fil Hind: 209, 210)

Sebenarnya memadai untuk membuktikan betapa ulama Deoband menghormati Ibn Tamiyah dengan melihat kenyataan-kenyataaan al-Syeikh Abul Hasan ali al-Nadwi di dalam bukunya Rijalul Fikr Wal Da'wah Fil Islam yang meletakkan Ibn Taimiyyah sebagai salah seorang tokoh pemikir dan pendakwah ulung dalam sejarah Islam.

Semua ini tidak menghairankan jika kita mengetahui bahawa Mahaguru Besar ulama-ulama Deoband, iaitu Shah Waliullah al-Dehlawi sendiri telah mengakui keilmuan Ibn Taimiyah, bahkan memujinya dan membelanya daripada tuduhan-tuduhan terhadapnya. (Insyaallah akan diulas akan datang jika perlu)Tapi semua ini tak berguna kalau kita tidak buang sikap ta'asshub daripada diri kita..Semoga Allah swt membimbing kita semua ameen..

BAHAGIAN 4

[Pandangan Shah Waliullah Al-Dehlawi Terhadap Ibn Tamiyah: Satu Sorotan]

Oleh: HZ (murid Maulana Asri)

Sememangnya kajian tentang pemikiran Shah Waliullah al-Dehlawi masih langka dan kurang dilakukan. Bagaimanapun, kita bersyukur kepada Allah swt kerana beberapa kitab karangan beliau masih boleh didapati. Begitu juga biografi serta pemikiran beliau juga telah ditulis oleh beberapa ulama India seperti al-Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi dalam kitabnya Rijalul Fikr Wal Da'wah Fil Islam dan lain-lain.

Seperti yang disepakati oleh hampir semua pengkaji pemikiran Shah Waliullah al-Dehlawi, antara perkara yang banyak mempengaruhi pemikiran Shah Waliullah serta mencorak pendekatan dakwahnya ialah rehlah ilmiahnya ke Bumi Hijaz semasa beliau berumur 30 tahun. Di sana beliau telah mendalami ilmu hadith secara komprehensif dengan mempelajari kitab-kitab utama dalam ilmu hadith seperi Sunan Sittah, Muwatta' Imam Malik dan lain-lain. Dalam kesempatan itu juga, beliau mengambil peluang untuk berguru dengan para ulama di sana dan bertukar-tukar fikiran dengan sarjana-sarjana Islam dari seluruh dunia mengenai kedudukan umat Islam dan hal ehwal semasa.

Semasa di bumi Hijaz ini juga, Shah Waliullah terdedah dengan pandangan-pandangan daripada pelbagai mazhab yang berbeza. Beliau membaca dan mengkaji pemikiran tokoh-tokoh besar Islam seperti Imam al-Ghazali, al-Syeikh Izzuddin Bin Abdul Salam dan Imam Ibn Taimiyah. Tokoh-tokoh inilah yang kemudiannya banyak mempengaruhi dan mencorak pemikiran al-Dehlawi sebagaimana yang dapat dilihat daripada karangan-karangannya terutama kitabnya yang terkenal, iaitu Hujjatullah al-Balighah yang dikarang oleh beliau sejak di Hijaz dan disempurnakan setelah pulang ke India.

Selain mengenali Ibn Taimiyah melalui karangan-karangannya, guru-guru al-Dehlawi juga antara yang turut memperkenalkan pemikiran Ibn Taimiyah kepada beliau, terutama guru utamanya sepanjang berada di Hijaz iaitu al-Syeikh Abu Thahir al-Madani. Al-Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi tidak menolak kemungkinan bahawa Abu Thahir al-Madani lah yang telah memperkenalkan kitab-kitab Ibn Taimiyah kepada al-Dehlawi memandangkan ayah al-Syeikh Abu Thahir, iaitu al-Syeikh Ibrahim al-Kurani adalah pembela kuat Ibn Taimiyah dan penentang aliran hulul dan ittihad dalam dunia tasawwuf (Jila' al-Ainain Fi Muhakamah al-Ahmadain: 4). Kata al-Syeikh Abul Hasan al-Nadwi

"Daripada keterangan yang telah disebutkan, dapat disimpulkan bahawa segala pengenalan dan pujian terhadap karangan-karangan Syaikhul Islam Ibn Taimiyah, pembelaan dan sokongan terhadapnya, begitu juga kecenderungannya dalam lapangan praktikal yang diwarisi daripada keturunannya, yang terdapat dalam tulisan-tulisan Imam al-Dehlawi, adalah kesan dan pengaruh daripada ajaran-ajaran al-Syeikh Abu Thahir, sementara al-Syeikh pula berkemungkinan mewarisi kecenderungan itu daripada ayahnya al-Syeikh Ibrahim al-Kurani."

Bahkan menurut al-Nadwi lagi, Imam al-Dehlawi juga telah mengarang sebuah risalah yang dicetak dengan judul 'Manaqib Al-Imam Ibn Taimiyah' (Rijalul Fikr Wal Da'wah Fil Islam: j4, 484, 534)

Al-Syeikh Salman al-Nadwi pula menyebutkan bahawa sememangnya pemikiran al-Dehlawi di dalam kitab-kitabnya sangat cenderung kepada pandangan-pandangan Ibn Taimiyah. Menurut beliau "Pandangan-pandangan Ibn Taimiyah mula mempengaruhi pemikiran Shah Waliullah al-Dehlawi kerana kebanyakan bahan bacaannya tertumpu kepada karangan-karangan Ibn Taimiyah, supaya masyarakat dapat menerima pandangan-pandangan Ibn Taimiyah yang kritis itu tanpa sebarang prasangka." (Mauqif al-Imam al-Dehlawi min al-Imam Ibn Taimiyah, dalam Majalah al-Ba'th al-Islami, bil R.Awwal, 1403, Nadwatul 'Ulama, Lucknow)

Di sini, dinukilkan beberapa perkataan Shah Waliullah al-Dehlawi tentang Ibn Taimiyah yang dipetik daripada salah satu surat beliau kepada muridnya, iaitu al-Syeikh Muhammad Mu'in al-Sindi yang meminta beliaumenjelaskan tentang kedudukan Ibn Taimiyah dan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Dalam tulisan serba ringkas ini, dibawakan beberapa petikan sahaja daripada surat tersebut supaya tulisan ini tidak menjadi terlalu panjang.

Shah Waliullah memulakan tulisan tersebut dengan menjelaskan kedudukan para ulama dan bagaimana berinteraksi dengan perselisihan di kalangan mereka. Kemudian beliau berkata:

"Demikian juga dengan Ibn Taimiyah. Sesungguhnya kami telah mendapati kebenaran tentangnya bahawa beliau adalah seorang yang alim dengan Kitab Allah berserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan syara', seorang yang Hafiz dalam Sunnah Rasulullah saw dan athar-athar para Salaf serta memahami makna-maknanya dari sudut bahasa dan syara', seorang yang pakar dalam nahu dan bahasa dan pensyarah bagi usul dan furu' mazhab Hanbali. Kecerdikannya luar biasa, dan perkataannya sangat fasih dalam mempertahankan akidah Ahlul Sunnah.

Tidak ada didapati padanya kefasikan ataupun perkara bid'ah kecuali sesetengah perkara yang menyebabkannya tidak disenangi. Tetapi tidaklah dalam perkara-perkara tersebut melainkan beliau mempunyai dalilnya daripada al-Quran, Sunnah dan Athar para Salaf. Siapakah yang mampu mencapai sepertinya di dalam kajian dan huraiannya? Sedangkan orang-orang yang tidak menyenanginya ilmu mereka tidak sampai walau satu per sepuluh pun daripada ilmu yang Alah swt telah berikan kepadanya, walaupun ketidak senangan mereka itu juga berdasarkan ijtihad.

Perselisihan di kalangan ulama dalam hal sedemikian tidak lebih melainkan seperti perselisihan para Sahabat sesama mereka. Apa yang wajib bagi kita ialah menjaga lidah kecuali pada perkara kebaikan"

Kemudian beliau mula menjawab satu per satu tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap Ibn Taimiyah seperti masalah istiwa' di atas arasy, melakukan safar dengan tujuan menzairahi kubur Baginda saw, masalah kewujudan Quthb, Ghauth dan Khadhir dan juga tuduhan bahawa Ibn Taimiah beradab buruk terhadap Saidina Ali. Kalau tidak kerana ingin meringkaskan tulisan ini, jawapan-jawapan ini akan dinukilkan. Sesungguhnya banyak faedah dan ilmu yang dapat diperolehi daripada tulisan tersebut. (Lihat Maktubat Shah Waliullah: 18-23, dipetik daripada Al-Imam Al-Mujaddid Al-Muhaddith Shah Waliullah Al-Dehlawi: 53)

Dalam kitab beliau yang lain yang berjudul Al-Tafhimat Al-Ilahiyyah, beliau menyebutkan tentang Ibn Taimiyah dengan katanya "Tokoh seumpama ini jarang sekali didapati dalam dunia ini" (Rijalul Fikr Wal Da'wah Fil Islam: 534)

Selain itu, Shah Waliullah juga telah memuji keilmuan Ibn Taimiyah berkali-kali dalam kitabnya 'Al-Balaghul Mubin Fi Ahkami Rabbil 'Alamin Wa Ittiba' Khatam al-Nabiyyin' yang ditulis dalam Bahasa Farsi. Bahkan beliautelah menterjemah dan menukilkan beberapa fasal dan perbahasan daripada kitab Iqtidha al-Shirat al-Mustaqim karangan Ibn Taimiyah ke dalam kitab tersebut, sehingga al-Syeikh Muhammad Bashir al-Siyalkuti menganggap kitab tersebut boleh dikira sebagai ringkasan berbahasa Farsi bagi kitab Iqitidha' Shirat al-Mustaqim. (Al-Imam Al-Mujaddid Al-Muhaddith Shah Waliullah Al-Dehlawi: 59)

Ternyata pemikiran Ibn Taimiyah sangat memberi kesan terhadap Shah Waliullah al-Dehlawi. Justeru, tidak hairan perjuangan dan pemikirannya banyak keserasian dan persamaan dengan perjuangan Ibn Taimiyah terutama dalam memperjuangkan Tauhid yang murni, menangkis kekeliruan-keliruan yang ditimbulkan oleh ahli falsafah, menolak amalan bid'ah dan adat-adat yang berunsur syirik, memperbaiki tasauf, dan yang paling menonjol ialah mengajak ummat untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Al-Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi bahkan menyebut bahawa "Sekiranya selepas Imam Ibn Taimiyah lahir seorang yang dapat diakui dengan jelas dalam lapangan ini (perjuangan Tauhid yang murni), maka beliau ialah Imam Waliullah al-Dehlawi" (Rijalul Fikr Wal Da'wah Fil Islam: 531)

Demikian dapat dilihat bagaimana pandangan Imam al-Dehlawi terhadap Imam Ibn Taimiyah dan pengaruh pemikiran Ibn Taimiyah terhadap beliau. Bagaimanapun, kajian ini masih terlalu ringkas untuk membandingkan pemikiran dan pendekatan dakwah kedua-dua tokoh tersebut. Justeru, sebagaimana yang diharapkan oleh al-Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi ketika mengakhiri tulisannya tentang Imam al-Dehlawi, hamba juga berharap kajian perbandingan yang lebih mendalam terhadap pemikiran dan pendekatan dakwah kedua-dua tokoh ini dapat dilakukan pada masa-masa akan datang dengan lebih terperinci oleh mereka yang arif Insyaallah..

BAHAGIAN 5 (AKHIR)

[Pandangan Ulama-ulama Deoband Terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab]

Oleh: HZ (murid Maulana Asri)

Dalam siri pertama sebelum ini, telah disebutkan bahawa beberapa orang ulama Deoband sendiri telah mengarang beberapa buah buku tentang Muhammad Bin Abdul Wahhab dan menjelaskan pendirian sebenar ulama-ulama Deoband terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab dan gerakan dakwahnya. Antaranya ialah al-Syeikh Manzhur Nu'mani dalam bukunya Di'ayat Mukatthafah Dhidda al-Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab, dan al-Syeikh Mas'ud 'Alam al-Nadwi dalam bukunya Muhammad Bin Abdul Wahhab Al-Mushlih Al-Muftara Alaih. Sekiranya kita membaca kedua-dua buku ini, kita akan mendapat gambaran yang jelas tentang bila dan bagaimana gelaran Wahhabi ini muncul, siapakah di sebalik agenda memburukkan dan mempropagandakan gelaran Wahhabi dan bagaimana sikap dan pendirian ulama-ulama Deoband terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab dan gerakan dakwahnya.

Malangnya masih ramai yang tidak mengetahui hakikat ini. Mereka gemar menggelar orang-orang yang tidak sependapat dengan mereka sebagai Wahhabi. Lebih malang lagi, mereka yang mendakwa mengikut manhaj ulama-ulama Deoband juga tidak terlepas daripada penyakit yang sama.

Tulisan ini bukanlah untuk membela Muhammad Bin Abdul Wahhab atau menyokong segala pandangannya. Akan tetapi, untuk membetulkan beberapa salah faham terhadap tokoh ini terutama yang dikaitkan dengan ulama-ulama Deoband.

Sebelum ini, telah dinyatakan sikap dan pendirian ulama-ulama Deoband tentang hukum menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahhabi. Mereka tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan menganggapnya sebagai 'al-tanabuz bil-alqab' yang dilarang dalam Islam. Di sini, akan dibawa pula beberapa nukilan daripada ulama-ulama Deoband terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab itu sendiri.

Antaranya, Shah Abdul Aziz al-Dehlawi berkata "Al-Syaikh Abdul Wahhab (yakni Muhammad Bin Abdul Wahhab) adalah seorang muslim yang sempurna, benar dan mengikuti Sunnah. Begitu juga dengan Ibn Taimiyah dan Ibnul Qayyim juga adalah seorang muslim yang benar dan sempurna. Tetapi mereka juga manusia, maka mungkin berlaku kesalahan dan kesilapan daripada mereka. Justeru, tidak harus bagi kita untuk mencela atau memburukkan mereka" (Arwah Thalathah: 46).

Al-Syaikh Rashid Ahmad al-Gangguhi ketika ditanya tentang Muhammad Bin Abdul Wahhab, berkata "Sesungguhnya orang ramai menyebutkan bahawa Muhammad Bin Abdul Wahhab adalah seorang Wahhabi. Beliau sebenarnya adalah seorang lelaki yang soleh. Aku mendengar bahawa beliau adalah seorang yang bermazhab Hanbali, beramal dengan Hadith dan melarang daripada bid'ah dan syirik, cuma sikapnya agak kasar." (Fatawa Rashidiah: 237)

Dalam kitab yang sama, beliau juga menyebutkan "Sesungguhnya orang-orang yang mengikuti Muhammad Bin Abdul Wahhab mereka digelar sebagai Wahhabi. Aqidah mereka baik dan tidak bermasalah, sementara mazhab mereka dalam fiqh ialah mazhab Hanbali. Tetapi sikap beliau (Muhammad Bin Abdul Wahhab) agak keras. Orang-orang yang mengikutinya adalah orang-orang yang baik kecuali sesetengah mereka yang melampaui batas; mereka itulah yang melahirkan kerosakan. Bagaimanapun, kesemua aqidah mereka sama. Perbezaan mereka hanyalah dari segi amalan-amalan yang berbeza-beza antara mazhab Hanafi, Syafi'ie, Maliki dan Hanbali" (Fatawa Rashidiah: 235)

Al-Syeikh Asyraf Ali al-Tahnwi pula berkata "Sesungguhnya ulama-ulama Najd bukanlah seperti muqallid-muqallid dikalangan kita, bukan juga seperti orang-orang yang menolak taqlid di negara kia. Bahkan, kedudukan mereka ialah pertengahan (antara dua golongan tersebut)" (As'adul Abrar: 293)

Nukilan-nukilan di atas menunjukkan bahawa ulama-ulama Deoband dalam hal ini bersikap adil terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab dengan tidak mencelanya atau mentahzir pengikut-pengikutnya walupun mengakui terdapat perbezaan pendapat dengan mereka dalam masalah-masalah khilafiyah. Shah Abdul Aziz al-Dehlawi misalnya dalam Fatawa Aziziyyah tidak bersetuju dengan Muhammad Bin Abdul Wahhab dalam masalah melakukan thawaf dengan menaiki unta. Bagaimanapun, beliau melarang murid-muridnya daripada mencela Muhammad Bin Abdul Wahhab sebagaimana yang telah dinukilkan di atas.

Memang tidak dinafikan, ada sesetengah ulama Deoband yang mengkritik Muhammad Bin Abdul Wahhab dengan keras. Bagaimanapun, satu perkara yang harus diketahui ialah ramai juga di kalangan mereka yang telah menarik balik perkataan mereka terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab dan mengisyitiharkan penarikan semula kenyataan mereka tersebut di dalam surat-surat khabar dan majalah pada zaman itu.

Antaranya ialah al-Syaikh Husein Ahmad al-Madani yang telah mengarang dua buah buku mengritik gerakan Muhammad Bin Abdul Wahhab. Beliau telah mengisytiharkan penarikan semula kenyatan beliau dalam surat khabar Zamindar pada 17 May 1925 M dengan menyebutkan:

"Aku ingin mengisytiharkan tanpa berselindung bahawa pandangan yang telah aku lontarkan terhadap ulama Najd di dalam dua karanganku, iaitu "Rujum al-Muznibin" dan "al-Syihab al-Thaqib" sebenarnya tidak bersandarkan kepada tulisan-tulisan dan kitab-kitab mereka. Bahkan ia hanya bersandarkan kepada berita-berita yang tersebar dan perkataan-perkataan orang-orang yang tidak sependapat dengan mereka. Tetapi karangan-karangan mereka sendiri yang boleh dipercayai dan aku sendiri telah mengkajinya, menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak banyak berbeza dengan Ahlul Sunnah sebagaimana yang digembar-gemborkan oleh orang ramai. Bahkan pebezaan mereka hanyalah berhubung beberapa permasalahn furu' yang tidak mengharuskan sama sekali untuk mengkafirkan, menyesatkan atau menuduh mereka fasiq. Wallahua'lam" (Di'ayat Mukatthafah Dhidda al-Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab: 125, Fatawa Syaikhul Islam al-Madani: 177-178)

Begitu juga dengan al-Syeikh Khalil Ahmad al-Sahranpuri. Setelah beliau berhijrah ke Madinah, beliau telah menulis sebuah surat kepada akhbar Zamindar dan menyatakan:

"Sesungguhnya aku telah banyak melakukan perbincangan, pertemuan dan pertukaran fikiran dengan al-Syeikh Abdullah Bin Balhid, seorang Ketua Penghakiman yang rumahnya berjiran dengan rumahku di sini. Beliau ialah seorang alim besar yang beragama dan berada di atas manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Beliau beramal dengan zahir hadith, mengikuti mazhab Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah dan sangat meminati dan merujuk karangan-karangan Syaikhul Islam Ibn Taimiyah dan Ibnul Qayyim - Kedua-dua ulama ini juga adalah ulama yang agung di sisi ulama kita -. Beliau juga seorang yang sangat membenci perkara-perkara bid'ah dan muhdathah. Beliau menjadikan akidah Tauhid dan kenabian sebagai asas Imannya dan dan akidahnya. Kesimpulannya, sepanjang pemerhatianku, sesungguhnya aku tidak mendapati sebarang penyelewengan daripada akidah Ahlus Sunnah. Kebanyakan penduduk di Najd pandai membaca al-Quran. Di kalangan mereka juga ramai hafiz-hafiz al-Quran. Mereka menjaga solat berjemaah. Sekarang ini musim yang sangat sejuk, tetapi mereka tetap hadir solat berjemaah walaupun sembahyang subuh. Secara umumnya, keadaan agama mereka sangat baik pada pandangan dan pengetahuanku" (ibid: 62-63)

Dalam suratnya yang lain yang ditujukan kepada al-Syeikh Muhammad Ya'qub (cucu Rashid Ahmad al-Gangguhi) yang kemudiannya diterbitkan oleh Majalah al-Nur, beliau memuji kerajaan Arab Saudi pada zaman itu dan menyebutkan antara lain:

"Sesungguhnya keamanan di sini sangat baik sehingga satu atau dua kenderaan boleh berjalan antara Mekah dan Madinah sedangkan tidak ada seorang pun yang mengadu sebarang ketakutan atau kejahatan. Adapun keluhan yang tersebar di kalangan kebanyakan orang, maka sesungguhnya ia disebabkan penghancuran kubah-kubah di atas kubur-kubur dan pusara-pusara yang dijadikan sebagai asas agama dan kepercayaan oleh golongan-golongan yang jahil dan juga golongan Syiah Rafidhah.

Tetapi aku berpendapat bahawa merobohkan kubah-kubah tersebut adalah wajib. Dan tidaklah kerajaan melakukan tindakan yang berani ini melainkan setelah mengambil pandangan daripada para ulama Madinah al-Munawwarah dan meminta fatwa daripada mereka dalam mengharuskan tindakan ini" (ibid: 64-65)

Berdasarkan nukilan-nukilan ini, dapat difahami bahawa kritikan-kritikan ulama-ulama Deoband terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab berlaku pada peringkat awal ketika mana buku-buku ulama-ulama Najd belum sampai kepada mereka. Bahkan buku yang sampai kepada mereka pada ketika itu ialah buku-buku yang ditulis untuk menentang Muhammad Bin Abdul Wahhab seperti buku-buku Zaini Bin Dahlan dan lain-lain (Darul Ulum Deoband: 739). Kritikan-kritikan itu pula dibuat berdasarkan berita-berita yang tersebar di kalangan orang awam yang sebenarnya berpunca daripada musuh-musuh Muhammad Bin Abdul Wahhab yang terdiri daripada golongan Barelwi dan penyembah kubur.

Selain itu, penjajah Inggeris juga berperanan dalam mempropagandakan gelaran Wahhabi terutama kepada gerakan jihad yang dipimpin oleh para ulama seperti Shah Ismail al-Syaheed dan Sayyid Ahmad Bin Irfan supaya orang awam takut dan tidak menyokong mereka. Al-Ustaz Nur Alam al-Nadwi menyebutkan "Orang yang mula-mula memimpin dakyah-dakyah hitam (melawan gerakan Muhammad Bin Abdul Wahhab) ini ialah para penjajah terutamanya Inggeris. Lalu mereka menjadikan golongan-golongan khurafat di setiap tempat sebagai trompet dan gendang mereka".

Beliau juga mengakui bahawa "Ramai orang-orang mukmin yang ikhlas dan para ulama yang soleh telah terpengaruh dengan dakyah-dakyah ini sehingga mereka menyebutkan tentang Syaikh al-Najdi dan pengikut-pengikutnya dalam buku-buku dan tulisan-tulisan mereka - berdasarkan maklumat-maklumat yang mereka sangka benar disebabkan sering diulang-ulang dan disebut-sebut - sesuatu yang menyalahi waqi' sebenar. Akan tetapi kebanyakan mereka telah menarik balik pandangan mereka ketika mereka mengetahui bahawa yang sebenar adalah berbeza daripada apa yang sampai kepada mereka. Tetapi sebahagian mereka tidak berkesempatan mengetahui hakikat yang sebenar." (ibid: 3-5)

Bahkan, al-Syaikh Manzhur Nukmani sendiri menceritakan bahawa pada peringkat awal beliau juga tidak mengetahui tentang siapakah Muhammad Bin Abdul Wahhab yang sebenar sehinggalah beliau mengkaji sendiri karya-karya Muhammad Bin Abdul Wahhab, lalu akhirnya beliau membuat kesimpulan seperti berikut:

"Sesungguhnya kajian terhadap karangan-karangan al-Syaikh Muhammad Bin Abdul Wahhab dan ulama-ulama dari kalangan pengikutnya menyingkap sebuah hakikat yang tidak meninggalkan sebarang keraguan lagi bahawa dakwah al-Syaikh Muhammad Bin Abdul Wahhab secara asasnya bertujuan untuk memurnikan akidah Tauhid, berpegang teguh dengan al-Sunnah, berjihad dengan segala cara untuk melawan syirik dan bid'ah dengan segala bentuknya dan menonjolkan agama Islam dalam rupanya yang asli lagi suci dan murni.

Secara umumnya, seruan beliau pada asasnya adalah seruan yang sama yang dibawa oleh al-Syaikh Shah Muhammad Ismail (cucu Shah Waliullah) yang dituju kepada segolongan masyarakat muslim India yang terseleweng melalui bukunya 'Taqwiyatul Iman', yang kemudiannya panji perjuangan tersebut diteruskan oleh ulama-ulama Deoband seperti al-Syaikh al-Imam Muhammad Qasim pengasas Jamiah Islamiah Darul Ulum Deoband, rakannya yang mulia al-Allamah al-Imam Rashid Ahmad al-Gangguhi, murid-murid mereka dan sekelian ulama-ulama yang mulia selepas mereka" (ibid: 101-103)

Faktor-faktor lain seperti kekurangan kemudahan komunikasi, suasana politik di Arab Saudi pada ketika itu juga turut memainkan peranan. Perkara ini diakui oleh ulama-ulama Deoband sendiri sebagaimana yang diceritakan oleh al-Syeikh Manzur Nukmani, al-Ustaz Nur Alam al-Nadwi dan Muhammad Ubaidullah al-As'adi. Kalau tidak kerana ingin meringkaskan tulisan ini, penulis akan bawakan lebih banyak nukilan-nukilan tentang latar belakang bagaimana munculnya kritikan-kritikan terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab di India pada ketika itu.

Bagaimanapun, setelah ulama-ulama Deoband bermusafir ke bumi Hijaz untuk melakukan Haji, menetap di sana dan membaca karya-karya tokoh-tokoh gerakan Muhammad Bin Abdul Wahhab, fikiran mereka telah berubah dan kebanyakan mereka mula menarik balik kritikan-kritikan mereka terhadap Muhammad in Abdul Wahhab. Oleh kerana itu, sebarang kritikan terhadap Muhammad Bin Abdul Wahhab yang datang daripada ulama-ulama Deoband haruslah difahami dalam konteks zaman mereka masing-masing. Tidaklah mereka membuat kritikan tersebut melainkan kerana semangat mereka dalam membela agama dan berdasarkan maklumat yang sampai kepada mereka pada ketika itu. Kegelinciran para ulama dalam hal seperti ini tidak sayugia dicontohi atau diperbesar-besarkan.

Akhir sekali, penulis ingin berpesan kepada para penuntut ilmu sebagaimana yang dinasihatkan oleh al-Syaikh Mas'ud al-Nadwi, bahawa sebagai penuntut ilmu dan pencari kebenaran, kita seharusnya bersikap tabayyun dan lebih berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah para musuh dan orang-orang jahil. Jangan pula kita terpedaya sehingga menjadi trompet dan gendang mereka. Artikel ini bukanlah untuk menyokong atau memburukkan mana-mana pihak. Sesungguhnya kebenaran itu bukanlah di Najd mahupun di Deoband, tetapi kebenaran itu milik Allah swt yang boleh diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Wallahu a'lam

-disusun semula oleh Abdul Qayyum Hadi


No comments:

Post a Comment