Monday, December 5, 2011

Lidah Hanya untuk Ucapan yang Baik


Sesuatu yang baik disebaliknya terkandung pelbagai hikmah tersembunyi..
Sesuatu yang buruk yang ditegah ALLAH itu disebaliknya tersimpan bermacam-macam keburukan....

Begitulah dengan penjagaan lidah. Rugilah sesiapa yang mengabaikan kepentingan lidah. Adakah sama ucapan baik dan buruk? Jika sama, maka tiadalah beza antara ucapan yang baik dan yang buruk, perkataan kufur dengan keimanan, jujur dengan dusta, benar dan sebagainya. Sehingga orang yang mengucapkan perkataan baik tidak mendapat pahala apa-apa dan yang berbicara buruk juga tidak akan mendapatkan dosa.

Betapa Islam mementingkan setiap perkataan yang diucapkan, kerana ianya adalah salah satu cabang akhlak mulia. Disebalik ucapan yang baik, ianya adalah baja hati bahkan juga gambaran tentang indahnya Islam.

Kerana mulut badan binasa. Sedikit saja perkataan diucapkan tidak mustahil akan menyebabkan hati-hati lain terluka. Dan lebih parah lagi, tidak mustahil kita meraung menahan kesakitan di akhirat kelak.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin ada menerangkan tentang dosa lidah.

“Antara dosa lidah ialah: Menuturkan kata-kata yang keji (al-fuhsy), memaki (al-sab), dan menggunakan bahasa yang lucah (bazaah al-lisan). Perkara-perkara di atas adalah tercela, dilarang dan sumbernya adalah daripada sifat keji dan tercela.”

Betapa Rasulullah SAW sangat menekankan tentang mengucapkan ucapan yang baik.

"Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya." (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).

“Bukanlah seorang Mukmin itu seorang yang suka mencela, tidak pula seorang yang suka melaknat, bukan seorang yang keji dan kotor ucapannya.” (HR. Bukhari)

“Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

"Barang siapa yang dapat menjamin untukku apa yang ada di antara dua dagunya (lisan) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (kemaluan) maka aku menjamin untuknya surga." (HR. al-Bukhari).

Lidah, cermin diri sendiri.

Banyak aspek boleh digunakan untuk menilai peribadi seseorang. Antaranya adalah lidah. Ini kerana lidah adalah cerminan diri.

Adakah seorang mukmin itu, orang yang sentiasa bercakap kotor dan tidak baik?

Bukankah kata-kata kotor dan tidak baik itu akan mengotorkan hati? Bukankah agama menegaskan tentang penting ucapan yang baik?

Seseorang yang menjaga kesucian hatinya, tidak membiarkan lidahnya mengucapkan kata-kata kotor dan lucah. Mereka juga tidak akan berdusta. Mereka juga tidak mengadu domba. Mereka sentiasa berhati-hati, agar hati sentiasa terjaga. Kerana hatilah tempat yang dinilai ALLAH. Mereka malu dan takut dibenci ALLAH kerana mengucapkan kata-kata yang jijik.

“Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menutur kata-kata yang keji, kerana Allah tidak suka kata-kata yang keji dan perbuatan menyebarkan kekejian” (al-Hakim dan Ibnu Hibban)

Islam adalah agama yang menyeluruh, dan wajar diaplikasikan dalam semua aspek, bukannya separuh-separuh. Adalah satu pemikiran yang salah jika ada mengatakan bahawa, walaupun dia suka bercakap kotor, tetapi hatinya baik. Mana mungkin Islam itu terpisah dengan akhlak yang baik?

Jika pemikiran begini sinonim dalam masyarakat, maka tidak hairanlah ramai memandang remeh tentang menjaga lisan.

Muslim yang memiliki hati yang baik, akan memancarkan akhlak yang baik. Salah satu akhlak yang baik ialah mengucapkan perkataan yang baik lagi benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah SWT memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mena'ati Allah SWT dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.،¨ (QS. al-Ahzab: 70-71).

Lihatlah pemikiran dan kematangan seseorang melalui percakapanya. Lihatlah juga ucapannya ketika dia marah. Waktu marah, adalah antara waktu terbaik untuk mengenali sikap seseorang. Seseorang yang sudah biasa dengan perkataan buruk, tidak mustahil waktu marah juga akan mengucapkan kata-kata yang lebih buruk lagi seperti memaki hamun, sumpah seranah dan sebagainya. Sedapkah mendengar ucapan-ucapan begitu?

Sungguh menyedihkan, bilamana orang yang memiliki kefahaman dan ketinggian ilmu agama, tidak menjaga lidah. Tanggungjawab untuk berakhlak baik, bukan berat sebelah hanya pada mereka, tetapi pada semua yang bergelar muslim. Namun harus di ingat, orang yang bergelar ustaz, ustazah dan daie, adalah seorang yang dihormati dan bertanggungjawab menyebarkan ilmunya tentang Islam pada yang lain. Namun jika mereka sendiri berakhlak buruk, bukan sekadar mencemar imej diri, tetapi juga imej pendakwah lain dan juga Islam itu sendiri.

Impak keburukan lidah.

Persengketaan, fitnah, mengumpat semuanya kerana keburukan lidah. Betapa buruknya sikap yang dilarang ALLAH ini. Masyarakat berpecah belah kerana lidah. Masyarakat berburuk sangka juga kerana lidah. Bagaimana ingin membentuk masyarakat yang taat pada ALLAH dan harmoni, jika lidah setiap muslim tidak mampu dibentuk untuk mengucapkan kata-kata yang baik?

Lihat saja apa yang berlaku mutakhir ini di alam maya , cukuplah medium facebook menjadi contoh. Ramai yang tidak segan silu membuka keaiban diri, mendedahkan kemarahan, rasa tidak puas hati dan bertikam lidah di muka buku. Lihat juga pada status yang ditulis. Adakah ayat-ayat tersebut sopan dan berhikmah? Sukar ditemui, orang yang dalam keadaan marah, masih mampu menuturkan kata-kata yang baik dan penuh hikmah. Sungguh merugikan seseorang yang teraniaya, namun menunjukkan kemarahannya dengan kata-kata buruk.

Islam sudah memberikan garis panduan untuk bersikap sepatutnya dan berhikmah dalam apa jua keadaan sama ada ketika diri sedang marah, teraniaya, susah dan sebagainya. Jadi mengapa perlu memilih cara sebaliknya yang buruk dan keji?

Berkata baik lah kepada pesalah!

Seburuk manapun kesilapan seseorang, janganlah sesekali menghina dan menutur perkataan buruk padanya. Dia masih seorang muslim dan tidak mustahil dia berubah menjadi orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh tauladan yang baik ketika berhadapan dengan pesalah.

Umar al-Khattab melaporkan, pada masa hayat Rasulullah SAW ada seorang lelaki bernama Abdullah yang digelar sebagai Himar atau keldai dan sering membuatkan Baginda Nabi tertawa.

Rasulullah SAW menghukumnya atas kesalahan meminum arak.

Pada suatu hari, lelaki itu dibawa kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengarahkan supaya dia disebat dengan cemeti. Ada seorang yang hadir waktu hukuman dilakukan berkata: “Ya Allah, hukum-lah dia! Banyak kali sudah dia dibawa untuk menerima hukuman kerana arak.”

Mendengarkan lelaki itu berkata demikian, lantas Rasulullah SAW berkata: “Jangan menghinanya kerana demi Allah, apa yang aku tahu dia cintakan Allah dan juga Pesuruh-Nya.”

Selain itu, Abu Hurairah menceritakan satu kisah yang mempunyai persamaan dengan isu ini. Kata Abu Hurairah: “Seorang pemabuk dibawa kepada Rasulullah SAW dan kemudiannya Baginda mengarahkan orang itu dihukum pukul, lalu sebahagian kami menyahut arahan Rasulullah SAW lalu memukul dengan tangan. Ada juga yang memukulnya dengan kasut dan kain. Apabila orang bersalah itu pergi selepas menerima hukuman, ada seorang lelaki berkata: Semoga Allah memberi malu kepadanya. Mendengar yang demikian, maka Rasulullah SAW segera menegurnya:

“Jangan membantu syaitan terhadap saudara kamu.”

Betapa indah dan halusnya akhlak Rasulullah SAW dan ajaran Islam. Islam mempunyai teori dan praktikal tersendiri dalam menjaga hubungan sesama manusia. Contohilah akhlak baginda. Alangkah baiknya jika diri dianiaya, kita mampu memaafkannya, mendoakan kebaikan padanya serta menuturkan kata-kata yang baik padanya.

Kesimpulan

Jagalah lidah, kerana ucapan yang baik, ibarat mutiara yang menyinar, yang mana sinarannya boleh menarik perhatian siapa saja. Ucapan yang baik, boleh membuatkan hati yang keras menjadi lembut. Menjaga lidah bermakna menjaga iman. Raihlah redha ALLAH melalui ucapan yang baik.

"Sesungguhnya seseorang mengucapkan perkataan yang diridhai Allah SWT yang mana dia tidak pernah menyangka perkataannya itu akan menyebabkan dampak yang baik, yang karenanya Allah SWT akan menulis keridhaan-Nya baginya sampai pada hari dia menemui-Nya.،¨ (HR. Malik, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Kelalaian kita memelihara lidah boleh membawa kita jatuh ke dalam kekufuran. Berkatalah benar, walaupun pahit. Ucapkanlah ucapan yang baik, walaupun kita berada dalam kumpulan manusia yang sentiasa bercakap buruk. Jangan sesekali benarkan lidah untuk berdusta, bercakap kotor dan lucah walau hanya untuk gurauan.

Hiasilah lidah dengan perkataan yang baik dan diam. Basahilah lidah kita dengan zikrullah. Semuanya adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Semoga ALLAH redha dan menerimanya.

Oleh : Ahmad Syahin


2 comments:

  1. "Jika ingin tahu akhlak sebenar seseorang, lihatlah dia sewaktu dia sangat marah;

    Jika ingin melihat kehebatan akhlaknya lihatlah dia sewaktu berurusan dengan orang yang mencerca & membencinya..

    Jika ingin lihat keadilan mindanya dan kebaikan pola pemikirannya, lihatlah cara dia berbincang dengan pandangan berbeza dengannya...

    Jika ingin lihat amanahnya, lihat cara dia berurusan wang dan duit denganmu...

    Jika ingin lihat kawalan nafsunya, lihat cara dia berbicara dengan berlainan jantina yg dia sukai."

    -ustaz zaharuddin-

    ReplyDelete