Monday, March 7, 2011

ADAKAH TERLALU MALU ITU BUDAYA MELAYU?




Alhamdulillah syukur kepada Allah swt, kali ini berkesempatan mencoret sedikit mengenai budaya masyarakat melayu, khususnya masyarakat Malaysia. Masyarakat kita telah lama dikenali dunia, dengan budaya tertetu, khususnya masyarakat yang sopan santun dalam tingkah laku. Budaya ini adalah perlu dan tidak bercanggah dengan Islam, namun kadang-kadang banyak perkara yang terlebih dan perlu diperbaiki. Ada beberapa perkara yang mungkin bagi saya perlu diperhatikan seterusnya diperbaiki. Ini kerana melayu bukanlah nama bagi masyarakat yang perlu layu, bahkan sejarah telah membuktikan bahawa masyrakat inilah yang telah membina tamadun agung suatu masa dahulu. Antara sikap yang saya ingin sentuh adalah sikap terlalu pendiam dan pemalu.


1. Diam di sekolah

Pada peringkat sekolah, umumnya di Malaysia, guru-guru tidak suka kepada murid yang banyak bercakap. Ini mungkin orientasi pembelajaran yang turun-temurun yang diketengahkan dalam sistem pembelajaran kita. Guru –guru selalu memarahi muridnya apabila banyak bercakap, sedangkan bercakap tidak salah, melainkan dalam situasi tertentu seperti ketika guru mengajar dan sebagainya. Bercakap adalah perlu untuk membolehkan seseorang itu bercambah pemikiran dan membina keyakinan diri. Apa yang perlu adalah mengawal percakapan bukan tidak memberikan ruang sedikitpun untuk pelajar bercakap , yang akhirnya diamlah dianggap terbaik. Adakah perlu mewujudkan masyarakat yang pendiam kerana diamlah yang dianggap terbaik ?


2. Diam di universiti

Perkara ini memang jelas di Malaysia, mahasiswa kebanyakannya malu dan tidak suka bertanya dan mengkritik. Perkara ini adalah hasil daripada sistem persekolahan yang kemudian terbawa-bawa ke alam mahasiswa. Budaya ini seakan-akan dianggap baik bagi sesetengah orang. Tetapi perlu dinilai semula apakah sikap ini akhirnya menghakis sifat keberanian dan keyakinan diri mahasiswa. Malah jika ada yang tidak betul pun dari pensyarah, mereka tidak menegurnya, apa yang diajarkan kepadanya mereka seakan-akan mengatakan sami’na wa ato’na.


Di Indonesia mahasiswa diberi kebebasan mengkritik dan berdiskusi secara langsung di dalam bilik kuliah, akhirnya wujud satu suasana yang banyak memberi manfaat kepada keintelektualan mahasiswa. Jika diperhatikan, apa yang unik dalam alam melayu nusantara, masyarakat yang paling pemalu ialah melayu thailand, yang pertengahan sedikit adalah melayu malaysia dan yang kurang malu adalah Indonesia. Apa yang saya maksudkan disini adalah malu bertanya dalam bilik kuliah. Malu adalah perkara yang baik, akan tetapi jangan disalah gunakan sifat ini yang akhirnya menyebabkan kerugian menimpa dalam sistem pembelajaran.


3. Diam dalam berpolitik

Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita, mungkin ini disebabkan terikut-ikut oleh sistem pembelajaran. Orang kita suka mendiam walau banyak perkara yang dilakukan kerajaan bercangah dengan nilai dan keadilan. Jiwa hamba masih lagi melekat dalam masyarakat walaupun kita telah lama merdeka. Saya terbaca satu kata-kata yang telah mengkritik orang melayu, kata-kata ini menyebut politik sesetengah orang melayu seperti politik itik jawa, iaitu suka mengikut pemimpin secara melampau.






“ Jikalau ketuanya yang dihadapan tu terjun dalam lombong, maka pengikut-pengikut yang lain dengan taat setia tanpa membantah akan sama-sama terjun dalam lombong berenang bersama-sama, walaupun dalam lombong tersebut ada buaya katak atau ular sawa yang sedia menunggu mangsa ”,


Budaya ini perlu dinilai semula untuk melahirkan masyarakat yang progresif serta mampu mengkritik dan memajukan umah. Kita tidak mahu masyarakat kita dengar dan taat walaupun perkara itu bercanggah dengan syariat Islam. Sifat merendah diri ini tidak lain adalah sifat kehambaan, sedangkan kita hanya diseru untuk menjadi hamba hanya kepada Allah sahaja. Memang malu itu perlu, tetapi dalam beberapa perkara, malu itu tidak diperlukan. Janganlah disebabkan malu kita kehilangan sifat Quwwah ini kerana, sifat inilah yang penting untuk kita membina generasi yang menjadi pencetus kepada kekuatan umat ini. Akhir kata apa yang saya catat ini sekadar persepsi dan ianya terbuka kepada wacana dan teguran. Segala yang baik itu datang dari Allah dan kelemahan daripada diri yang daif ini. Wallahu a’lam..

Oleh : Ahmad Syahin

No comments:

Post a Comment