Thursday, March 10, 2011

Pendedahan Menarik Saifuddin Nasution.. Hari ni hehe





Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh… [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa kepada Aku…”, kata Allah SWT, “…Nescaya akan Aku limpahkan keberkatan daripada pintu langit dan bumi.”
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Saya bersyukur mendapat peluang dan kesempatan ini. Saya tambah gembira melihat kesihatan Tuan Yang di-Pertua bertambah baik. Saya doakan agar Tuan Yang di-Pertua akan terus sihat. Alhamdulillah.
Tuan Yang di-Pertua, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setebal 19 halaman sempat saya teliti kandungannya yang menyentuh pelbagai perkara tetapi berkisar prinsipnya yang lima yakni memelihara agama, menjaga jiwa, menjaga akal, memelihara keturunan dan memelihara harta.
Tuan Yang di-Pertua, menyentuh tajuk ekonomi, turut disentuh ialah petunjuk, apa yang disebut kejayaan negara kita dalam bentuk FDI. Angka pelaburan asing yang masuk, pertumbuhan ekonomi 7.2% pada tahun lepas, kejayaan pakej rangsangan, Program Transformasi Ekonomi dan segala macam. Di tengah-tengah hiruk pikuk wacana ekonomi khususnya model ekonomi pasca DEB, Pakatan Rakyat – PAS, Keadilan, DAP tampil menyuarakan model ekonomi yang menepati prinsip keadilan.

Buku jingga yang dihasilkan Pakatan Rakyat mengangkat gagasan ekonomi berkeadilan, pro kaum dhuafa, meratakan kuih ekonomi negara dan ekonomi yang memenuhi dua keperluan pokok – kecukupan, dan kebebasan dari ketakutan.
Keadilan hanya mungkin terlaksana Tuan Yang di-Pertua, di tengah rakyat dan pemerintah yang berintegriti. Memang, integriti itu tinggi. Akan tetapi kekuasaan lebih kuat. Oleh kerana itu, di mana-mana, integriti itu selalu dikalahkan oleh kekuasaan. Keadilan hanya mungkin terlaksana dalam pemerintahan rule of law. Akan tetapi di mana-mana pun Tuan Yang di-Pertua, keadilan selalu terkorban apabila the rulers overrule the rule of law. Keyakinan kami adalah gerakan rakyat adalah kekuatan keramat yang mampu menundukkan keangkuhan kuasa dan kesombongan dana. When the people lead, the leaders will follow.

Meneliti ucapan-ucapan awal rakan-rakan saya terdahulu Tuan Yang di-Pertua, saya kira saya perlu meletakkan perspektif yang tepat mengenai kesyukuran. Faham kita sekarang ialah syukur itu terima kasih kepada kerajaan. Kerajaan buat sekolah, kerajaan buat jalan, buat balai raya, kerajaan bagi gaji, syukur. Apa yang kita faham sebagai orang Islam, Allah SWT sebut…

[Membaca sepotong ayat al-Quran] “Jika kamu syukur, Aku tambah nikmat Aku. Tetapi jika kamu kufur azab Aku sangat pedih.” Itu yang kita fahamlah. Oleh sebab itu saya mengajak rakan-rakan sebelah Barisan Nasional, biarlah konsep bersyukur ini jangan disempitkan bersyukur kepada government of the day. Tugas kita ialah khalifah memakmurkan alam ini dan menguruskan alam ini dengan agama.

Ekonomi tidak hanya tentang wang dan saham, gedung dan gudang, projek dan kontra, tetapi ia juga amat berkait dengan integriti dan reputasi. Kata pujangga, “Losing money is bad, but losing reputation is worst”. Dalam kaitan ini Tuan Yang di-Pertua, Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh tentang perkara yang berkaitan tentang integriti dan reputasi.

Oleh sebab itu baginda menggesa agar institusi penguat kuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah diperkasakan.
Saya terbaca Tuan Yang di-Pertua, dalam akhbar The Star Februari 2010, tersiar makalah oleh Dennis Ignatius dalam ruang Diplomatically Speaking. Katanya, “A brand name is more than an image; it is the essence of what a brand represents”. Katanya lagi, ada sejumlah aib yang mencemarkan citra Malaysia di mata dunia. “Over the years, scandal, corruption and mismanagement, as well as misguided policies, have seriously left brand Malaysia reeling from a thousand cuts. The Kugan case, the death in custody of Teoh Beng Hock and other high profile cases brought us a great deal of unsavory international intention. The massive PKFZ fiasco, RAMF jet engine and many others have convinced many foreign observers and businessmen that corruption is now out of hand in Malaysia.” Ini tersebar dalam akhbar The Star – akhbar milik MCA.
Oleh sebab itu saya mengajar rakan-rakan saya dari Barisan Nasional untuk melihat secara jujur. Ini bukan soal pembangkang bercakap di luar negara. Ini soal persepsi yang terang di hadapan mata. Kalau hendak teruskan dengan denial syndrome, silakan. Kita boleh izinkan sahaja luncai terjun dengan labu-labunya.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengungkap dan meminta pihak kerajaan untuk memberikan penjelasan terhadap satu perkara. Tuan Yang di-Pertua, 1Malaysia Development Berhad mengeluarkan bond yang dijamin oleh kerajaan sebanyak RM5 bilion. Difahamkan 1Malaysia Development Board ini cuma terima RM4.7 bilion sahaja. RM300 juta lagi itu ada makhluk lain sudah ambil. Daripada RM4.7 bilion ini Tuan Yang di-Pertua, kita telah pinjamkan kepada PetroSaudi sebanyak RM1.7 bilion untuk mereka kemudiannya membeli tiga public companies yang ada kaitannya dengan keluarga Ketua Menteri Sarawak iaitu Loh & Loh, Putra Perdana dan UPG. Sehingga sekarang, saya difahamkan Petroldollar tidak bayar satu sen pun kepada 1Malaysia Development Board.
Kalau itu tidak cukup memeranjatkan Tuan Yang di-Pertua, petrol company ini sebenarnya adalah 100 USD company dan ianya bukan satu sovereign wealth fund daripada Saudi, kedudukan kewangannya dipertikaikan. Anehnya, Perdana Menteri tahun lepas mengumumkan 1Malaysia Development Board ini mencatat keuntungan RM450 juta. Saya akan susul isu ini pada hari-hari persidangan berikutnya dengan fakta dan angka yang jauh lebih menarik yang barangkali ini skandal yang juga lebih berat seperti mana skandal PKFZ juga.
Tuan Yang di-Pertua, indeks keamanan dunia meletakkan Malaysia sebagai kedua terbaik di dunia. Ini seperti tertera dalam teks ucapan Titah Tuanku. Sumbangan PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah indeks itu cukup memberangsangkan mengikut statistik.
Di Machang Tuan Yang di-Pertua, kita ada 100,000 penduduk. Nisbah polis dengan penduduk ialah seorang polis jaga 550 penduduk Machang. Ini bukanlah nisbah yang baik, yang meyakinkan. Barangkali Menteri berkenaan boleh jenguk. Akan tetapi, bukan itu yang saya hendak sentuh Tuan Yang di-Pertua. Saya terpanggil untuk memberikan sedikit reaksi terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri ketika diminta mengulas media berkaitan dengan peristiwa Ketua Pembangkang yang membantu kempen di Felda Jengka 2 yang dibaling batu.
Kata Timbalan Perdana Menteri yang saya petik daripada media arus perdana.
“Masyarakat FELDA sebenarnya menyampah dengan Anwar. Kejadian berlaku di kawasan mereka dan itu hak mereka.” Saya ulang. “Masyarakat FELDA sebenarnya menyampah dengan Anwar. Kejadian berlaku di kawasan mereka dan itu hak mereka.” Menggunakan logik Timbalan Perdana Menteri Tuan Yang di-Pertua, saya kira jika Timbalan Perdana Menteri datang ke Machang dan kalau orang Machang menyampah dengan TPM, kita boleh baling batu pada TPM. TPM jangan marah.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Boleh Punggai?
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Boleh punggai, boleh ‘tengalung’. Ini kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Mana TPM boleh sebut sampai macam itu. Beza politik, beza lah. Kena ingat, dahulu kita pun berkawan tetapi takkan lah benci dan meluat sampai tara itu sehinggakan yang salah itu pun hang nak sokong. Tidak kena. Kalau kata TPM selepas ini pergi kawasan Pokok Sena, pergi ke Jabi kah, Kebun 500 kah. Selepas itu ramai orang sana menyampah dengan dia. Boleh kah kita baling batu?
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Depa dok kutip batu dah.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Dok kutip dah. Jadi, kena hati-hati. Kalau peralihan kuasa berjalan elok sebelah sana, dia akan jadi Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri macam ini berat. Berat ini, berat.
Baik, kebelakangan ini kita bercakap soal kebangkitan Timur Tengah Tuan Yang di-Pertua. Banyak lah komen.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Yang Berhormat Machang.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ya.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Tuan Yang di-Pertua, sedikit sahaja.
Tidakkah Timbalan Perdana Menteri yang membuat kenyataan tersebut telah menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf?
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Setakat pengamatan saya tidak ada. Saya fikir maaf tidak ada pun dalam kamus mereka. Pada dia kuasa, dia boleh buat apa sahaja.

Akan tetapi, tidak apa. Saya hendak tengok mana tahu jadual dia mai ke Machang macam mana. Mai ke Temangan kah, Berangan Mek Nab kah.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Takut depa buat melontar Jamrah.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ya, itu kita tengok. Jadi, pihak polis jangan dok marah kami sebab kita ikut kaedah dan logik Timbalan Perdana Menteri. Baik, Timbalan Perdana Menteri juga beri amaran, jangan ada pihak hasut rakyat supaya menggulingkan kerajaan. Menteri Penerangan pun sambut, Menteri Dalam Negeri pun beri amaran, dok bayang ISA pada pihak pembangkang yang hasut untuk gulingkan kerajaan.
Memang kerja pembangkang guling kerajaan. Seperti mana di Selangor, UMNO dan BN, dia khianat hendak gulingkan Kerajaan Negeri Selangor. Di Kedah, di Kelantan, di Pulau Pinang. Di Perak dia gulingkan dah. Jadi, kita tengok ini lebih kepada sindrom denial, penafian, bimbang ketika satu dunia sedang mengucapkan tahniah kerana kebangkitan rakyat di Timur Tengah, pemimpin kita pula berhempas pulas cuba meyakinkan rakyat bahawa di sana tidak sama dengan di sini. Baik, apa yang ada di sana?
Hosni Mubarak Tuan Yang di-Pertua ada segala-galanya. Seluruh sistem negara dan kerajaan dalam genggamannya. Semua bentuk tentangan yang boleh dicabarnya dicantas. Aktivis politik yang tidak disukai dipenjarakan sewenang-wenang. Ikhwan Muslimin pernah bertanding Tuan Yang di-Pertua. Parti pengganas tidak akan masuk pilihan raya tetapi mereka masuk. Akan tetapi Perdana Menteri anggap mereka ini pengganas.
Tokoh Islam terkemuka Dr. Sheikh Yusuf Qaradawi yang pernah kita beri anugerah Maal Hijrah, Sultan Kedah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang tolong beri. Dua tahun lepas. Baru-baru ini Perdana Menteri kita sebut, dia prihatin kerana kecenderungan Dr. Sheikh Yusuf Qaradawi menyokong keganasan. Ini saya fikir kesan daripada nasihat APCO Israel kepada Perdana Menteri dengan bayaran RM77 juta. Ini penyakitnya, tidak boleh tengok yang mana adil, yang mana zalim.
Ikhwan Muslimin masuk pilihan raya dan pernah menang. Bila menang, pemimpinnya ada yang difitnah, ditangkap tanpa bicara, disumbat dalam penjara. Kalau buka TV Mesir berita utama Hosni Mubarak. Berita kedua Susan, berita ketiga anaknya Jamal Mubarak. Itu sahaja, 40 minit pertama. Mesir diperintah di bawah undang-undang darurat sejak 1967. Pilihan raya ini dia menang sampai 95% Tuan Yang di-Pertua.
Tiada siapa yang boleh menyangka sebulan selepas itu, Hosni Mubarak hilang dalam pemerintahan dalam sekelip mata. Mesir hari ini, Mesir yang cukup berbeza. Hosni Mubarak, isteri dan keluarga lari tinggalkan negara mengikut jejak diktator yang pernah digulingkan rakyat Shah Iran kah, Ferdinand Marcos kah, ramai. Pada waktu rakyat Mesir bangkit menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban, seluruh aparatus kerajaan Mubarak kuasai. Pengendalian pilihan raya dipesongkan. Partinya menang besar dengan mudah. Himpunan pembangkang tidak boleh. TV cuma Mubarak, surat khabar cuma Mubarak. Pembangkang hendak buat program, permit. Tidak ada permit, polis sembur gas. Macam pernah dengar. [Disampuk] Itu tidak, tempat kita tidak berlaku keadaan ini.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tidak, salah Yang Berhormat. Tuduhan yang melulu mengatakan Malaysia dengan Mesir ini sama. Sebenarnya memang tidak sama tetapi serupa.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Pokok Sena. Sebab itulah ketika mengulas kebangkitan rakyat di Libya, Perdana Menteri menempelak Gaddafi kerana mengambil tindakan keras ke atas demonstran. Kata Perdana Menteri, Gaddafi seharusnya menghormati hak rakyat untuk berhimpun. Tuan Yang di-Pertua, untuk pertama kalinya saya bersetuju dengan Perdana Menteri. Hak rakyat untuk berhimpun. Sebab itu di sini Tuan Yang di-Pertua, pengalaman kami waktu kami menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tiga tahun lepas di Istana Negara, himpunan bersih.
Kami disambut dengan baik, penuh budi bahasa oleh pasukan keselamatan. Tidak ada gas, tidak ada air penyembur, tidak ada. Kemudian kami berhimpun lagi menentang ISA di Kuala Lumpur. Kami juga tidak menerima layanan keras itu kerana di negara kita Perdana Menteri sangat menghormati perhimpunan rakyat secara aman. Sebab itu Perdana Menteri ada autoriti moral untuk menegur Gaddafi. Ini sangat kita hargai, sangat kita sanjung.
Saya berbeza dengan kawan-kawan saya PAS terutama Kuala Krai, kaki demo saya beza bab ini. Perdana Menteri memang boleh tegur Gaddafi kerana bertindak keras ke atas rakyat berdemonstrasi.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Yang Berhormat Machang, saya mengakui sebahagian fakta itu betul tetapi sambutan yang dikatakan meriah itu sebenarnya sangat meriah. Tidak betul meriah itu, sangat meriah. Taburan bunga, air-air wangi. Jadi, memang layak Perdana Menteri bercakap. Hotel sementara, makan free. Apakah nama hotel itu? Lokap kah apa nama hotel itu. Jadi, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Machang, jangan kata saya tidak bersetuju. Tolong tambah lagi.
Tuan Yang di-Pertua: Sebelum Yang Berhormat Machang respond, saya ingin membuat satu pengumuman.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran delegasi Ahli-ahli ASEAN Committee of the German Parliament yang diketuai oleh Honorable Dr. Thomas Gambke, Member of Parliament. [Tepuk] Semoga kehadiran beliau dan delegasi pada hari ini akan dapat mengeratkan lagi persahabatan dan hubungan baik institusi perundangan kedua-dua negara. Welcome. Sila.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai.
Tuan Yang di-Pertua, memanglah kebelakangan ini pimpinan negara bersungguh-sungguh cuba memaklumkan kepada rakyat keadaan tidak sama. Memang waktu mula tercetus kebangkitan rakyat di Tunisia, Mubarak kata, “Ini Mesir, tidak sama Tunisia.” Di Yaman, Omar Abdullah Salleh pun kata, “Ini Yaman, bukan Tunisia.” Begitu juga kata Gaddafi. Hari ini kita dengar pemimpin-pemimpin Barisan Nasional pun begitu nadanya.
Lalu dikemukakan soal kemiskinan, pengangguran dan sebagainya tetapi yang ditentang oleh rakyat di sana adalah undang-undang draconian, repressive law, ruang demokrasi yang lebih terbuka. Ini sebenarnya yang membangkitkan dan pimpinan atasan yang membolot kekayaan negara semahu-mahunya. Kehidupan dan kebajikan rakyat tidak terjaga. Apabila mereka mengenakan tindakan keras, rakyat terus bangkit. Semalam Al-Jazeera melaporkan Gaddafi menggunakan cara lembut. Dia tawarkan setiap rakyat silalah pergi ke bank dan ambil USD500 setiap keluarga. Mula-mula tembak, rakyat bangkit, sekarang tidak tembak, pergi ke bank, kerajaan bagi USD500 satu keluarga hendak redakan tentangan.
Maknanya dia gunakan pendekatan at-Targhib wa at-Tarhib – punish and reward. Kecuali rakyat yang menguasai ‘bank Ghazi’, rakyat lain ambil, rakyat yang menguasai ‘bank Ghazi’ tidak terima. Serupa sahaja kaedahnya kalau kita tengok di sini.
Gaddafi juga sebut, “Saya akan terus mempertahankan kuasa saya di Libya, biar hancur badan di kandung tanah, berkecai tulang.” Macam pernah dengar juga sebenarnya…[Ketawa] Macam…
Tuan Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Yang Berhormat Machang, minta penjelasan.
Tuan Saifuddin Nasution Ismail [Machang]: Akan tetapi di mana ya? Ya, sila.
Tuan Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Saya rasa munasabahlah kalau datang daripada pimpinan UMNO bawahan, tetapi saya ada dengar seorang Menteri kalau tidak silap dalam pilihan raya kempen di Merlimau, “Kita akan mempertahankan Perdana Menteri ini sampai mati.” Macam mana itu ya? Mati betulkah, mati simbolik?
Tuan Saifuddin Nasution Ismail [Machang]: Yang saya tahulah mati syahid ini memang jadi kecintaan kita, sebab itu dalam hadis Nabi disebut… [Membaca sepotong ayat]
“Mati kerana mempertahankan harta, mati syahid; mati kerana mempertahankan agama, mati syahid; mati kerana mempertahankan maruah, mati syahid; mati kerana mempertahankan keluarga, mati syahid.” Ini hadis Nabi. Mati kerana mempertahankan presiden parti ini saya tidak jumpa lagi bab itu. [Ketawa]
Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua [Batu]: Ya Yang Berhormat Machang, saya hanya hendak ingatkan Yang Berhormat Machang jangan terlupa tentera kita yang bersikap profesional. Jangan kita semasa membuat perbandingan ini hanya membandingkan orang-orang politik sahaja, tetapi tentera kita seperti tentera di Mesir dan di Libya dan sebahagian besar mereka. Selepas Menteri Pertahanan menyatakan akan membuat persiapan bagi pihak tentera untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba mewujudkan kekacauan.
Saya rasa kita harus puji tentera ke luar untuk menyatakan seperti mereka yang bertindak di Mesir dan juga di negara-negara Timur Tengah yang lain mengatakan mereka profesional. Mereka tidak akan melibatkan diri dalam isu-isu politik dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Saya harap itu harus ditegaskan dan harus kita mengucapkan kesyukuran kita terhadap pendirian tentera.



No comments:

Post a Comment