Monday, October 24, 2011

Sempena 60 tahun

60 Tahun Dan Masih Bertenaga


Muqaddimah

Umur 60 tahun jika diukur dari umur persaraan seorang kakitangan awam menandakan seseorang itu berundur dari perjawatannya dan memasuki umur rehat atau pencen. Namun bagi Pas sebagai sebuah parti politik yang kuat ideologi politik Islamnya, umur 60 tahun hanyalah permulaan kepada era kecermelangan dan pengukuhan kedudukannya dalam persada politik tanahair. Pas tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengundur diri bahkan staminanya untuk berjalan 100 tahun lagi bukan sesuatu yang mustahil.

Rahsia Pas

Bagi yang baru mengenali Pas, anda perlu bertanya apakah rahsia kekuatan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini? Soalan ini penting untuk kita membuat satu bentuk penilaian memandangkan suasana dan ruang demokrasi tidaklah berapa selesa dalam konteks sebuah parti pembangkang. Kengkangan dan keterbatasan serta sistem pilihanraya yang tidak telus tidak banyak membantu parti pembangkang seperti Pas untuk berkembang dengan sehat. Namun di sebalik latarbelakang tidak-mesra pembangkang Pas tetap muncul sebagai parti Islam yang disegani oleh kawan dan lawan. Tanyalah kepada ahli Pas , mereka akan mengatakan talihayat yang senantiasa memberikan mereka nafas untuk hidup ialah dasar Islam yang Pas jadikan sebagai pegangan politiknya. jika tanpa Islam, sudah lama Pas berkubor tanpa batu nesan dan menjadi bahan dalam lipatan sejarah.

Kekuatan Pas

Kenyataan di atas benar jika dibuat perbandingan dengan parti parti pembangkang yang lain telah berkubor dengan berlalunya masa. Parti Negara, Parti Sosialis, Parti Buroh dan Semangat 46 semuanya hilang ditelan zaman sedangkan Pas yang lahir pada tahun 1951 dan muncul secara resmi tahun 1953 terus mengukohkan keberadaannya dalam politik negara. Islam telah memberi kekuatan kepada organisasi Pas dalam segala maknanya, bermula dari ideologinya, organisasinya, pembudayaan ahlinya dan isu yang diperjuangkan semuanya memberi satu nilai tambah kepada perjuangannya. Apatah lagi sistem pentarbiyahan ahlinya yang meyakini bahawa usaha mereka dengan parti adalah sebahagian daripada kebajikan untuk menghambakan diri kepada Allah. Anda perlu memahami bahawa Pas dan ahlinya bukan sahaja bergerak dalam kitaran politik semata mata tetapi ia adalah sebuah kehidupan dan ibadah pada waktu yang sama. Antara lagu yang berkumandang yang menjadi siulan oleh ahli Pas dan kepimpinannya ialah: "bergeraklah ke medan jaya, kalah menang bukan alasannya, sucikanlah niat di hati, hingga nyata benarnya janji Rabbi" Ahli Pas juga terdidik dengan budaya memberi kepada parti daripada menerima. Itulah rahsia kegagahan Pas di umurnya 60 tahun hari ini.

Pencapaian Pas

Pas bermula dengan permulaan yang agak perlahan dari sudut kerusi yang dimenanginya. Bermula dengan kerusi Krian Laut yang dimenangi oleh calon Pas, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin pada tahun 1955 (Federal Election), Pas tidak menoleh ke belakang lagi, Pilihanraya 1959 menyaksikan Pas menguasai Kelantan dan Terngganu dan menang beberapa kerusi Parlimen. Pilihanraya 1964 menyaksikan Pas melebarkan sayapnya ke Utara walaupun terpaksa melepaskan Terengganu pada tahun 1963. 1969 adalah prestasi terbaik Pas dengan penguasaan 15 kerusi Parlimen dan hampir merampas Perlis dan Kedah. Pilihanraya 1974, Pas menyertai BN dan terdedah pengalaman mentadbir negara, setelah gagasan Barisan Nasional diangkat menjadi wahana untuk negara terus ke hadapan dan meletakkan kepentingan nasional. Pilihanraya 1978 menyaksikan Pas hampir malap dan kecundang dalam arena politik. Krisis Kepimpinan Pas dan perancangan licik menjatuhkan Pas Kelantan menyebabkan keputusan PRU 1978 bagi Pas cahaya malap yang disambut oleh ahli Pas dengan kekecewaan. 1982 memburukkan lagi suasana apabila krisis Pas berada di kemuncaknya apabila Datuk Asri yang bertanggungjawab membawa Pas ke era kecermalangan disingkir oleh ahli Pas sendiri.

Kebangkitan Pas

Episod malang ini cuba dipulihkan dengan innovasi dan penjelmaan baru Pas yang kini menggelarkan dirinya sebagai Kepimpinan Ulamak di bawah kepimpinan Tuan Haji Yusof Rawa. Kebangkitan semula Pas dengan wajah baru ketika itu mengejutkan kawan dan lawan apabila gagasan kepimpinan baru digandingi oleh Datok Fadhil Nor dan Haji Hadi Awang mencetus satu fenomena baru yang menarik minat generasi muda menyertai Pas. Dakian gelombang kedua Pas ialah pada tahun 1990 apabila Pas berkolusi dengan Semangat 46 dan berjaya merampas Kelantan. PRU 95 dan seterusnya 99 membuka jalan kepada Pas untuk terus cemerlang apabila menguasai 25 kerusi Parlimen di bawah kepimpinan Datok Fadhil Nor. 2004 adalah tahun malang bagi pembangkang dan hanya pada tahun 2008 Pas bersama rakan politiknya PKR dan Dap berjaya menuguasai 83 kerusi Parlimen di mana Pas menguasai 23 kerusi.

Msa Depan Pas

Sejarah ringkas Pas yang diukur dari sudut pencapainnya dan kejayaan mentadbir Kelantan di bawah tokoh ikonik Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat adalah dokumen penting untuk kita memahami susur galur dan liku liku yang dilalui oleh Pas. Satu soalan yang mendesak jawapan kepada pemerhati politik, apakah Pas mampu bertahan lagi? Bagaimankah nasibnya pada perkembangan lanskap dan kematangan politik tanahair, mampukah Pas terus bernyawa?

Keseimbangan yang Bijak

Jawapannya adalah di dalam satu kebijaksanaan politik yang mesti diterokai oleh Pas, iaitu keseimbangan antara menyahut perkembangan semasa dan kemampuannya mengekalkan prinsip Islam yang menjadi raison de tere perjuangannya. Jika kita melihat perkembangan Pas dari sudut mengekalkan kedudukannya Pas telah membuat satu penjenamaan semula selepas krisis zaman Datuk Asri dengan gagasan kepimpinan ulamak dan berjaya bangkit dari kemungkinan pupus secara organisainya. Gagasan itu telah membawa Pas ke era kecermelangannya, namun tabiat garisan lekuk teori pembelajaran mengandaikan Pas akan berada pada titik garisan tepu dan akan menurun, bukankah sudah tiba masanya Pas mencipta lekuk baru? Lekuk baru ini penting untuk Pas terus kekal bersaing, apatah lagi lambaian tuntutan masyarakat sivil yang semakin kuat mendesak perubahan besar besaran lanskap politik negara. Isu Islam semakin mendesak supaya Pas mengolahnya dalam paradigma baru, persaingan dengan Umno yang mahu dilihat lebih Islamik dari Pas hari ini menuntut Pas menghadapinya dengan sikap yang lebih terbuka dan dinamik.

Aspirasi Nasional

Kini setelah 60 tahun tembok halangan yang selama ini memisahkan Pas dengan masyarakat bukan Islam telah berjaya di atasi. Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong Pas atau DHPP adalah satu epidod baru tersenarai dalam pencapaian organsiasi Pas. Bakal calon bukan Islam yang akan bertanding ats tiket Pas adalah sesuatu yang menarik untuk disaksikan dalam PRU 13 nanti. Perlebaran ke Sabah dan Sarawak akan menjadikan Pas benar-benar menjadi parti beraspirasikan nasional. Cakap cakap ke Putrajaya bersama rakan Pakatannya membuktikan Pas bukan parti kampongan dan tok lebai. Ia satu kuasa pencatur politik tanahair yang tidak boleh dipandang enteng oleh kawan dan lawan. Dengan umurnya mencecah 60 tahun hari ini, apa lagi yang boleh dikatakan pada Pas melainkan, Selamat Berjuang!

"Selamatlah Parti Islam Melangkah, membimbing umat ke medan siyasah,
Berpandukan Al Quran dan Sunnah, Suburlah hidupnya dan pasti berbuah...." (lirik lagu bersatulah kaum muslimin, lagu resmi Pas)

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Perpaduan Nasional Pas
Ahli Parlimen Malaysia

http://mujahidrawa.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment