Wednesday, June 27, 2012

HIKMAH MENIKAHI WANITA KERANA AGAMA








Perkahwinan bukanlah syariat yang baru, bahkan telahpun disyariatkan kepada umat-umat yang terdahulu lagi walaupun syariat Islam sekarang sedikit berbeza dengan umat yang terdahulu. Antara banyak-bayak fitrah yang Allah jadikan ialah manusia mahukan hidup berpasangan dan mahukan zuriat. Bahkah fitrah ini bukan saja manusia, binatang–binatang pun inginkan hal yang demikian. Dengan demikianlah disyariatkan untuk berkahwin. Berkahwin mempunyai banyak manfaatnya kepada kehidupan manusia, antaranya jiwa menjadi tenteram. Firman Allah swt yang bermaksud:

 “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Al-Rom: 21)

Nabi Muhammad juga berkahwin sehingga diriwayatkan beliau mempunyai sembilan orang isteri. Nabi adalah orang yang paling zuhud tetapi ia juga berkahwin. Ini berbeza dengan tokoh ajaran agama lain seperti paderi, sami budda yang tidak berkahwin seumur hidup untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Dalam Islam tidak ada halangan untuk mendekatkan diri kepada tuhan dengan cara ini.

Islam berbeza dengan mereka, Islam mengiktiraf fitrah manusia dan syariat Islam tidak sama sekali bertentangan dengan fitrah manusia. Bukanlah perkahwinan itu menjadi penghalang kepada insan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bahkan ianya lebih disukai oleh Allah swt. Allah memuji sikap Nabi terdahulu yang mempunyai Isteri dan keturunan, firman Allah yang bermaksud:

“Dan kami (Allah) sungguh-sungguh telah mengutus beberapa Rasul sebelum engkau dan kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan (Ar-Ra’ad:38)

Jika kita pergi lebih jauh kita akan dapati syariat Islam bukan sekadar menyarankan untuk berkahwin bahkan syariat juga membuat peraturan serta memberi panduan untuk melakukanya. Antaranya ialah panduan untuk memilih jodoh yang baik. Di dalam Sunan Abu Daud ada Bab khusus mengenai perintah mengahwini perempuan yang berugama. Nabi saw bersabda:

تنكح النساء لأربعٍ: لمالها، ولحسبها، ولجمالها، ولدينها، فاظفَر بذات الدِّين تربت يداك

Dari Abu Hurairah rahadiyallahu anhu anhu – dari Nabi Muhammad SAW, beliau berkata: “Seorang perempuan itu dikahwini karena empat perkara, karena hartanya, karena kedudukannya, karena kecantikannya, karena agamanya. Kamu carilah perempuan yang beragama, jika tidak rugilah engkau”.

Hadith dia atas menyatakan ciri-ciri yang ada pada seseorang wanita untuk dikahwini. Hadith ini bukan semata-mata dituju untuk lelaki mencari pasangan. Begitu juga sebaliknya kepada perempuan, kena mencari lelaki yang beragama, cuma dalam hadith ini ditujukan kepada lelaki disebabkan kebiasaanya lelaki yang mencari perempuan. Di dalam hadith ini, Nabi saw menyuruh untuk memilih yang beragama jika tidak kita akan menyesal.

Antara salah faham terhadap hadith ini ialah sesetengah orang menganggap bahawa ciri-ciri yang mesti ada pada pasangan mestilah empat perkara di atas sedangkan hadith ini menyatakan wanita itu dinikahi kebiasaanya kerana empat ini, sama ada seseorang memilih dari sudut harta, kecantikan, keturunan dan agama. Ini kerana hadith diatas menyebut lafaz تنكح ” yang bermaksud dinikahi”, bukan bermaksud hendaklah kamu menikahi. Dengan itu cubalah kita perhatikan satu-persatu. 

Harta, Ada juga orang memilih wanita kerana hartanya. Ini kerana harta adalah salah satu tarikan semula jadi manusia. Untung bagi mereka yang mendapat wanita yang berharta, tetapi silap jika dilihat dari sudut harta semata-mata, mesti juga dilihat dari sudut agama. Ini kerana jika wanita tersebut mempunyai harta yang banyak semata-mata dan tidak mempunyai agama, boleh jadi hartanya akan melalaikanya, boleh juga merosakkanya.

Keturunan, Perlu juga memilih yang berketurunan baik-baik iaiatu keturunan yang menjaga urusan agamanya. Sebab perempuan yang lahir dari keturunan itu akan mudah mendidik anak-anaknya nanti kearah keredhaan Allah swt. Andaikata dia tidak berpendidikan agama bagaimana dia akan mendidik-anak-anakanya nanti.

Tetapi jika dinilai dari sudut keturunan semata-mata pun, ia juga sempit. Keturunan semata-mata tidak juga terjamin, tidak semesti keturunan yang pandai anaknya mesti pandai, ada juga yang ibu bapanya pandai anaknya tidak pandai. Dikalangan keluarga yang baik pun ada juga anak yang jahat, oleh demikian tidak boleh letak keseluruhannya kepada keturunan, tidak dapat tidak kena mengambil kira atas agamanya.

Kecantikan, tidak semestinya kecantikan itu tidak baik, Kecantikan juga perlu, mengikut hadith-hadith yang lain, cantik dan manis juga sering dituntut oleh orang, mengikut Imam Al-Ghazali kerana denganya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia tidak puas dengan isteri yang buruk rupa. Suruhan untuk memilih wanita beragama bukanlah melarang untuk memilih yang cantik rupanya, tetapi yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan agamanya.

Oleh demikian sunnat melihat sebelum bertunang berkali-kali untuk mengelak dari berlakunya penipuan.  Cuma yang pertama mestilah berugama jika tidak berugama yang lain-lain tidak ada jaminan. Jika dia mempunyai kecantikan tetapi tidak berpegang dengan agama boleh jadi kecantikanya akan membawa kepada kerosakanya.

Beragama, Di dalam hadith di atas disebutkan jika tidak memilih yang beragama kamu akan menyesal  تربت يداك" asal maknanya ialah kena tanahlah kedua tanganmu” maksudnya kamu akan menyesal atau rugilah engkau atau bodohlah engkau. Oleh itu, kita mestilah memilih yang beragama inilah tujuan utama perkahwinan, kalaulah tidak beragama boleh berlaku macam-macam perkara.

Sebagai contoh mafhum yang saya petik dari kitab bimbingan mukminin  ialah jika kecemaran yang menyentuh diri isteri tentu sekali suaminya terconteng arang. Jika suami tergoda dengan perasaan cemburu dan mengikutinya maka kehidupan ketika itu akan sempit dan menjadi porak perandalah seluruh kehidupanya. Jika ia mengambil mudah perkara yang berlaku tentu dikatakan suami itu orang yang dayus. Hasilnya suami akan menjadi serba salah. Jika suami mempunyai harta wanita yang tidak berugama kemungkinan mempermain-mainkan harta suami, dengan hal ini akan rasa kurang tenteram. Jika suami mendiamkan diri nescaya berkongsi maksiat dengn isterinya dan ini bercanggah dengan agama Islam. Jika suami mencegahnya wujudlah perkelahiyan yang memendekkan umur suami.   

Walaubagaimanapun Islam tidak melarang untuk memilih kecantikan, harta dan keturunan akan tetapi hadith ini menganjurkan biarlah agama menjadi paksi kepada yang lain-lain. Jika memilih yang lain-lain tidak akan terjamin kebahagiaan dunia akhirat. Jika kita memilih kesemua ciri-ciri di atas, itulah yang baik, tetapi jika tidak lengkap yang penting ialah yang beragama. Bukanlah Islam menafikan supaya jangan cari yang cantik dan lain-lain, tetapi jangan jadikan asas yang lain-lain. Yang menjadi asas ialah agama.

Bukan sesuatu yang mudah untuk memilih pasangan yang cukup kesemua sifat-sifat ini. Sehingga jika seseorang terdesak, tidak ada pilihan lain, maka perlulah memilih yang beragama. Inilah yang akan membentuk kita. Walaupun tidak ada harta, kecantikan, keturunan jika ada agama sahaja sudah memadai, akan menyebabkan senang banyak perkara. Orang yang berugama akan memandang dan menilai kita banyak dari sudut agama, tidak terlalu mengambil kisah dari sudut yang lain-lain jika ada kekurangan.

Oleh: Ahmad Syahin



Thursday, June 21, 2012

TAHALUF SIYASI DENGAN SYIAH






Sehari dua yang lepas apabila sinar harian membuat liputan tentang kesesatan syiah dan ramai yang menyerang mereka akhirnya Syiah Malaysia merasa tidak senang.  Wakil syiah Malaysia Kamilzuhairi menyatakan Isu konflik di Syiah-Sunni juga tidak timbul kerana pengikut Syiah di negara ini menganggap pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai 'adik-beradik'. Inilah permulaan taqiyyah mereka.

Kebangkitan Syiah pada masa sekarang tidak dinafikan lagi, penyebar ajaran ini begitu kuat cuma tidaklah terlalu zahir kerana merekalah orang yang paling pandai berpura-pura. Apabila komuniti mereka ramai, maka mulalah mencetuskan huru-hara, itulah yang berlaku di mana-mana. Syiah ini boleh masuk di mana-mana  saja kerana merekalah paling pandai bermunafik.

Di sepanjang sejarah tidak ada yang baik dari mereka, mereka bermusuh dengan Sunni lebih daripada bermusuh dengan Yahudi. Kita bimbang dengan ajaran ini kerana mereka mengajak dari tauhid kepada syirik, dari Islam kepada kufur, dari taat kepada maksiat. Mereka mempunyai propaganda tersendiri sebagaimana Zionis mempunyai propaganda.

Dalam siyasah, apa yang malang ramai yang tidak tahu, apakah boleh bertahaluf siyasi dengan syiah? Yakinkah kita tentang keikhlasan mereka, sedangkan prinsip perjuangan merekapun sudah salah. Oleh demikian sudah banyak usaha taqrib dengan syiah, tidak juga membuahkan hasil, bahkan mereka dengan senyap-senyap menghentam Ahli Sunnah. Oleh itu dua perkara saya catat untuk menjadi tatapan tentang Syiah dalam politik negara:

1. Tahaluf Dengan Syiah
Mungkinkah kita bertahaluf siyasi dengan Syiah? merekalah yang disebut oleh ulama’ besar sebagai golongan munafik. Di dalam Al-Quran Allah bayak mencela golongan ini berbanding golongn kafir. Allah swt meyuruh kita berhati-hati dengan golongan ini. Di dalam kitab-kitab syiah menyebut tidak ada iman bagi mereka yang tidak bertaqiyyah, wajib setiap syiah untuk bertaqiyyah menyembunyikan kekufuran.

Tidak mustahil mereka masuk bertahaluf dengan kita tanpa apa-apa matlamat. Dalam sejarah Syiahlah golongan yang paling licik memusuhi sunni sehingga halal darah sunni bagi mereka, adakah kita mudah terpedaya dengan mulut manis golongan ini yang hanya pandai melaung-laungkan kebebasan dan menolak kezaliman?

Mereka juga, ibarat duri dalam daging, musang berbulu ayam, jika kita percaya kepada mereka kita telah terperangkap. Ramai lagi tokoh-tokoh kita yang sunni yang boleh diangkat untuk menjadi pemimpin, takkan kita mahu bertahaluf dengn syiah? Persoalanya mungkinkah kita berjaya dengan bermasyuarat dengan musuh kita.

Konsep politik sunni amat berbeza dengan politik syiah. Mereka tidak menerima khalifah kita yang kita namakan khulafa’ Ar-Rasyidin. Yang mereka terima ialah Saidina Ali. Konsep politik mereka lebih kepada Imamah dan keturunan saidina Ali dan mereka Wala’ kepada Imam 12 mereka yang dikatakan maksum. Politik kita jauh berbeza dengan mereka tidak mungkin kita dapat bersama mereka kerana politik mereka terlalu jauh perbezaan. 

2. Aulawiyyat Usul Dari Furu’
Kita kena jelas matlamat perjuangan kita mestilah berdasarkan tauhid yang betul. Jika ditinjau dari sudut keutamaan kita mestilah mengutamakan usul dari furu’. Usul ialah perkara yang berkaitan dengan keimanan dengan Allah swt, iman dengan malaikat, kitab, rasul dan hari akhirat, ia adalah rukun iman sebagaimana diterangkan Al-Quran. Al-Quran menekankan iman dahulu sebelum mengerjakan amalan zahir yang lain, Firman Allah swt :

“ Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi (Al-Baqarah: 177)

 Tidak ada makna jika kita sama dengan sosialis, komunisme dan lain-lain yang setakat memberi kebaikan kepada rakyat dari sudut material, tetapi matlamat mereka hanya dengan tujuan kebendaan. Begitu juga dengan ajaran syiah, segala tindak tanduk mereka akan lahir dari keyakinan. Keyakinan syiah sangat memusuhi sunni, ini adalah ancaman kepada sunni. Kerana itu, Nabi saw berdakwah di Mekkah bukanlah terus menyeru kepada politik, Nabi saw terlebih dahulu menyeru kepada akidah yang betul. Oleh demikian sekiranya kita meninjau dari sudut aulawiyyat, akidah atau keimanan mestilah kita dahulukan daripada siyasah. Jika orang mendahulukkan siyasah daripada urusan akidah tentu sekali salah.

Akhirnya, sepatutnya kita lebih dahulu meletakkan kita orang ASWJ daripada kita orang parti Islam. Ini kerana ASWJ menyangkut hal berkaitan dengan akidah yang terlebih penting dari politik, mankalah parti Islam bayak berkait dengan siyasah yang rendah sedikit kedudukanya berbanding akidah walaupun kedua-duanya urusan besar. Sahabat Nabi Radiallahuanhum juga banyak berbeza dari sudut politik tetapi dari sudut keimanan mereka semuanya sama. Bukanlah maksud mahu merendahkan politik kita, tetapi kita mesti memahami fiqh aulawiyyat, yang manakah lebih tinggi antara kedudukan akidah dan politik? Manakah yang lebih besar konfllik antara UMNO dengan parti Islam? atau SUNNI dengan SYIAH? Inilah yang dikatakan Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi "konflik Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih rumit daripada konflik Umno dengan PAS".

Oleh: Ahmad Syahin



Sunday, June 17, 2012

PERTEMBUNGAN WAJIB PILIHANRAYA DAN WAJIB HAJI



Suasana politik bila-bila pun akan sentiasa panas, ada saja persoalan baru yang dilontarkan, inilah yang dikatakan politik. Politik adalah bagaimana cara untuk mengurus dunia supaya memberi kebaikan kepada rakyat. Oleh demikian usaha ijtihad ulama’ sangat diperlukan dalam urusan ini.

Nas-nas syarak memberikan perinsip yang umum tentang hal-hal yang berkaitan dengan siyasah. Setiap masa ada sahaja perkara yang baru yang perlu diijtihadkan ulama mengenai urusan ini.

Isu yang timbul sekarang ini ialah, adakah boleh kita menangguh ibadah haji untuk memberi laluan kepada pilihanraya? Ini kerana Najib tidak mengumumkan bila tarikh pilihanraya dan tidak menjamin pilihan raya tidak berlaku pada musim haji.

Dengan masalah ini, wujudlah pro dan kontra antara dua kewajipan, iaitu kewajipan haji dan kewajipan mengundi. Dalam hal ini ia adalah masalah ijtihadi yang perlu mengikut pertimbangan antara maslahah dan mafsadah terhadap keduanya.

Kita semua sepakat mengatakan keduanya urusan wajib, pilihan raya adalah wajib. Tidak perlu dijelaskan lagi nas kerana perkara ini sudah umum dalam agama.

Apabila dua kewajiban ini bertembung, persoalanya yang manakah kita perlu dahulukan Haji atau Pilihanraya? Dengan beberapa persoalan ini bolehlah kita mebandingkan yang manakah bayak mengandungi mudarat dan maslahah. Dan sepatutnya menolak mudharat itu didahulukan  daripada mengambil kemaslahatan.   

Wajib di dalam ilmu usul fiqh, apabila dilihat dari sudut waktu menunaikan ia dapat dibahagikan kepada dua bentuk. Pertama wajib muwassa’ dan wajib mudhayyaq’.

Wajib muwassa’ adalah kewajiban untuk menunaikannya diberi  masa yang luas. Sebagai contoh solat zohor diberi masa menunaikanya sehigga belum masuk waktu asar. Begitu juga kewajipan haji. Manakala wajib mudhayyaq pula ialah, kewajiban menunaikanya diberi masa yang sempit. Sebagai contoh berpuasa bulan Ramadhan, solat pada akhir waktu.

Pertimbangan yang kedua jika kita melihat kepada maslahah dan mudharat, kita akan dapati bahawa menjaga kepentingan umum perlu didahulukan daripada menjaga kepentingan diri sendiri. Manfaat ramai perlu didahulukan daripada manfaat perseorangan.

Oleh demikian Allah swt melebihkan amalan Jihad fi sabilillah daripada mengurus amalan haji, ini kerana jihad untuk ummah manakala haji untuk diri sendiri, firman Allah:


أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

‘’ Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim’’ ( surah At Taubah:19)

Apabila menurut qawaid fiqhiyyah, dari sudut kemaslahatan kita dapat lihat dari dalil-dalil yang berikut,

"المصلحة العامة مقدمة على الصلحة الخاصة"

“Kemaslahatan yang umum lebih didahulukan daripada kemaslahatan yang khusus”

"إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بإرتكاب أخفهما"

 “Apabila dua hal yang mafsadah bertentangan, maka perhatikanlah yang mudharatnya lebih besar dengan melaksanakan yang mudharatnya lebih kecil”

Kaedah di atas sering disingkatkan dengan kaedah :

"الأرتكاب بأخف الضررين"

“melaksanakan yang lebih ringan mudharatnya dia antara dua mudharat”

Kesimpulanya sebelum tiba pilihanraya sebaiknya kita mendesak Perdana Menteri Malaysia untuk tidak melakukan pilihanraya pada musim haji. Ini kerana ianya akan menimbulkan fitnah. Jika pilihanraya dilakukan juga pada musim haji, maka lebih baik bagi umat Islam Malaysia untuk menangguhkan dahulu ibadah haji untuk kepentinggan politik umat Islam di Malaysia, terutama untuk menolak parti yang zalim, yang rasuah dan untuk menyokong keadilan dan kemenagan Islam.

oleh: Ahmad Syahin


Tuesday, June 12, 2012

NABI YUSUF DAN GODAAN WANITA


Di dalam Al-Quran banyak cerita Nabi-nabi yang menjadi pedomanibrah kepada kita. Cerita Nabi-nabi a.s sering kali kita terlepas pandang, sedangkan banyak pengajaran yang boleh diambil dalam kehidupan seharian sekiranya kita peka terhadap isi kandungannya.

Cerita  mengenai ujian kepada Nabi dan Rasul bukan sekadar ujian dalam dakwah semata-mata, banyak  juga ujian mengenai  kekeluargaan, diuji dengan Sakit, dengan tidak mempunyai anak, digoda oleh wanita. Cerita-cerita seperti ini amat bermakna bagi orang yang mahu mengambil pengajaran dari Al-Quran.  

Nabi Yusuf a.s adalah Nabi yang diuji oleh Allah dengan godaan wanita. Ketika dia masih muda dia diuji oleh Allah. Allah mengujinya dengan Isteri raja (imraatul aziz).

Nabi Yusuf a.s dikurniakan Allah memiliki wajah yang sangat tampan. Pernah satu ketika dia dipujuk oleh isteri raja yang mempunyai rupa paras yang cantik dan pangkat yang tinggi. Pada suatu masa pintu bilik telah dikunci dan jalan untuk melakukan maksiat terbuka luas di depan mata sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Quran:


وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ

Maksudnya: Dan perempuan yang Yusuf tinggal di dalam rumahnya bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan itupun menutup semua pintu-pintu dan berkata: “marilah ke mari aku bersedia untukmu.” ( Surah Yusuf: 23)


Apakah pendirian Yusuf ketika menghadapi godaan dan fitnah ini? Adakah keimanannya menjadi lemah? Adakah dia melakukan khianat terhadap Allah atau dia tenang berhadapan dengannya?. Tidak, bahkan dia menjawab;


قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ


Maksudnya: Yusuf berkata Aku berlindung dengan Allah daripada perbuatan yang keji itu. Sesungguhnya Tuhanku telah memelihara aku dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya. ( Surah Yusuf: 23)


Isteri raja itu telah cuba menundukkannya dengan tipu daya dan perancangan jahatnya. Dia telah menggunakan segala apa yang ada padanya untuk menggoda dan menggugut demi melemahkan keimanan Yusuf dan menggoncang pendiriannya. Dia telah mengiklankan semua itu kepada para wanita yang mengutuknya dengan perasaan marah dan bengis.


وَلَقَدْ رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ الصَّاغِرِينَ

Maksudnya: Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya, dan demi sesungguhnya sekiranya dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan dan akan menjadi orang-orang yang hina. ( Surah Yusuf: 32)


Tetapi pemuda yang menyucikan dirinya itu,Yusuf a.s. telah menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada Allah dan memohon perlindungan dan pemeliharaanNya daripada melakukan maksiat terhadapNya. Akhirnya baginda memilih penjara daripada melakukan perkara yang keji dan mengiklankan pendiriannya dengan penuh kemuliaan sebagai seorang mukmin dan sifat meninggi diri terhadap perkara yang hina.


قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلاَّ تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuanperempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripada aku tipu daya mereka mungkin aku akan cenderung kepada mereka dan aku menjadi daripada orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya. ( Surah Yusuf: 33)


Fitnah itu berada di antara hati mukmin yang hidup dan takut kepada Tuhan dan antara godaan-godaan kekejian dan dorongan keinginan nafsu... lalu terbenamlah godaan-godaan itu dan menanglah keimanan seorang pemuda yang bernama Yusuf a.s.


Oleh : Ahmad Syahin


Rujukan:
- Abdullah Nasih Ulwan

Monday, June 11, 2012

HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN


Hikmatul Tasyrik (hikmah pensyariatan) atau dalam bahasa moden dikenali dengan “Falsafah Hukum Islam”. Sebagaimana yang kita ketahui kejadian Allah swt ini penuh dengan hikmat. Allah swt tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia tanpa tujuan. Apabila kita masuk bab yang berkaitan dengan syariat Allah, tentu sekali pensyariatan yang Allah lakukan ini tidak sia-sia. Kesemua yang datang daripada syariat ini membawa kepada kebaikan bagi manusia. Firman Allah swt:

“ Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main (Ad Dukhaan: 38)”

Allah swt tidak menjadikan lagit, bumi dan antara keduanya sia-sia, lebih–lebih lagi dia juga tidak menjadikan syariat Islam ini sia-sia. Jika maslahah itu yang dijelaskan di dalam nas Al-Quran dan Hadith, ia diiktiraf dan dipanggil dengan maslahah al-mu’tabarah. Namun jika sebab dan maslahah itu tidak terdapat di dalam Nas ia perlu dikaji untuk mengetahui hikmah disebaliknya. Hikmah yang terkandung dalam syariat Islam juga, seharusnya perlu diambil perhatian oleh ilmuan sehingga ia boleh diterima oleh akal dan membuat hati menjadi tenang. Firman Allah swt yang bermaksud :

“ (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (Ali-Imran :191)”

Membincangkan hikmatul tasrik’ ini bukanlah suatu yang baru, ia telah disebut dan dikaji oleh ulama -ulama sejak dahulu lagi. Karya ulama yang  banyak mengungkapkan hikmat tasyrik ialah seperti karya Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin, Tahir Ibnu Asyur, Sayyid Sabiq, Syekh Ali Ahmad Jurjawi dan lain-lain. Mereka bukan sahaja terpaku dengan Nas-nas tetapi mencari hikmat disebalik Nas tersebut.

Hikmat pensyariatan ini juga boleh diketahui dengan bantuan berbagai ilmu lain, seperti ilmu psikologi, ilmu sains dan lain-lain. Seharusnya kita dapat memanfaatkan apa yang ditulis oleh pakar-pakar seperti dokter  yang menjelaskan bahayanya  arak, makan daging babi, perbagai penyakit disebabkan zina, homoseksual, lesbian dan sebagainya. Kita juga mesti memanfaatkan ilmu psikologi. Sebagai contoh mengenai pengaruh solat dalam membentuk keperibadian yang kuat.

Dengan bantuan berbagai ilmu, secara tidak langsung kita dapat memahami rahsia dan keindahan Islam yang begitu hebat. Oleh demikian bukan suatu yang mustahil kenapa saintis-saintis Barat yang banyak mengkaji tentang kauniyyat(alam) akan menemui Islam. Ia adalah disebabkan hujjah pensyariatan dalam Islam bersesuaian dengan fitrah dan logik akal manusia.

Bagi para pendakwah, ilmu ini sangat penting, terutama untuk membuktikan dan mengukuhkan lagi tentang kebenaran firman Allah swt. Dengan kemampuan pendakwah menerangkan hikmat ini akan menarik minat pendengar terhadap kebenaran Al-Quran.

Saya kagum dengan kehebatan seorang tokoh tanah air seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang di dalam tazkirahnya banyak menyebut hikmatul tasyrik bagi membolehkan orang memahami syariat dengan mendalam. Tok Guru banyak mengambilnya dalam kitab Imam Al-Ghazali. Pentingnya Ilmu ini di Mesir satu ketika dahulu diwajibkan kitab Hikmatul Tasyri’ Wal Falsafah untuk diajarkan di Al-Azhar yang ditulis oleh Syeikh Ali Ahmad Al-Jurjawi, disebabkan pentingnya mempelajari ilmu ini.

Oleh : Ahmad Syahin  


Tuesday, June 5, 2012

BEZA ISRAIL, YAHUDI DAN ZIONIS



Perkataan Israil adalah perkataan dalam bahasa ibrani yang maksudnya sama seperti Abdullah  yaitu “hamba Allah”. Perkataan Israil digunakan juga untuk menunjukkan salah satu nama bagi Nabi Ya’qob. Dalam surah Al-Imran 93, Allah berfirman :


كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلاًّ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ إِلاَّ مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ قُلْ فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ


“ Semua makanan adalah halal bagi Bani Israil melainkan makanan yang diharamkan oleh Israil (Ya'qub) untuk dirinya sendiri sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah: "(Jika kamu mengatakan ada makanan yang diharamkan sebelum turun Taurat), maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kamu orang-orang yang benar."

Perkataan Israil yang kedua di dalam ayat ini adalah salah satu nama daripada nama Nabi Ya’qub. Oleh  Sebab itulah dipanggil Bani Israil.

Bani Israil ialah nama bagi bangsa, sama seperti Melayu, Cina, India dll. Kita marah kepada mereka ialah disebabkan agama mereka yahudi atau fahaman zionis yang mereka pegang. Adapun nama bangsa mereka. itu tidak menjadi masalah.

Di luar negara, banyak orang yang bernama Israil. Dalam Sunan Abu Aaud ada perawi yang bernama  Israil. Cuma di Malaysia jarang orang bernama Israil. Boleh jadi kerana tidak memahami maksud kalimah tersebut. 

Kesimpulanya Israil ialah nama yang elok, dan merupakan nama kepada Nabi Ya’qob. Yang yang salah ialah yahudi dan fahaman zionis yang dipegang oleh mereka.

Oleh : Ahmad Syahin


Saturday, June 2, 2012

SALAF DAN KHALAF KESEMUANYA BETUL




Akidah ialah pegangan, ikatan dan kepercayaan kita kepada Allah swt. Dalam perbincangan akidah ini, tidak dapat tidak ia mesti berasal daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Semua dikalangan ahli sunnah wal jamaah sepakat samada aliran khalaf atau salaf ia mesti bersumberkan kedua dalil ini. Dalil yang dipakai juga mestiah adillah qatiyyah, ini kerana ia melibatkan persoalan keyakinan yang mesti jazam(putus).

Dalam memahami akidah Islam, ulama’ memperkenalkan berbagai metodologi. Antaranya metodologi pembelajaran akidah secara salaf dan metodologi secara khalaf. Metodologi secara salaf ialah mengambil terus daripada Al-Quran dan Sunnah manakala cara khalaf ialah menggunakan Al-Quran, Al-Sunnah dan menambah logik akal.

Akidah yang difahami oleh golongn salaf ialah akidah yang tidak bercampur dengan unsur-unsur falsafah atau mantiq. Cara mereka mengenal Allah swt adalah dengan berpandukan sepenuhnya kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Cara inilah yang terbaik seperti yang ditunjukkkan oleh Nabi saw dan para sahabat. Golongan salaf ini juga dikatakan orang  yang hidup sebelum abad ke 3 atau ke 5 selepas hijrah. Ulama-ulama besar yang mengamalkan  metode akidah seperti ini ialah Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal.

Kemudian apabila Islam berkembang luas ke seluruh dunia, banyak bangsa yang memeluk Islam. Kepercayaan atau pegangan lama turut mempengaruhi sesetengah bangsa yang baru memeluk Islam. Dengan demikian wujudlah cara memahami akidah dengan kaedah yang tidak betul, natijahnya wujudlah sekte–sekte seperti Jabariyyah, Jahmiyyah, Syiah, Qadariah dan lain-lain.  Ada juga yang terlebih menggunakan logik akal dalam memahami akidah seperti muktazilah.

Apabila wujud golongan yang menyelewing ini, ulama’ Islam tidak berdiam diri, mereka berusaha untuk membendung mereka yang tersesat. Mereka seperti imam Ahmad bin Hambal menentang muktazilah yang mengatakan Kalam Allah adalah makhluk. Imam Abu Hassan Al-Asyaari, yang dikenal juga dengan aliran Al-Sya’airah yang banyak menggunakan nas dan logik akal untuk melawan golongn muktazilah. 

Ini kerana dalil akal adalah wasilah dan alat untuk menolak balik hujjah mereka, secara tidak langsung ia adalah salah satu cara untuk radd kelompok muktazilah yang mendewakan akal ini. Imam Abu Hassan Al-Asyaari mengasaskan metodologi memahami sifat Allah dengn memperkenalkan sifat 13, iaitu sifat Nafsiyyah, Salbiyyah dan Maani. Selepas Imam Abu Hassan Al-Asyaari datang pula anak muridnya iaitu Abu Mansur Al-Maturidi yang juga menggunakan Nas Al-Quran dan Sunnah dan menambah dengan logik akal. Al-Maturidi menambah sifat yang 13, menjadi 20 sifat yang penting dipelajari.

Kedua-dua aliran iaitu Al-Asyaairah dan Al-Maturidiyyah ini adalah betul dan termasuk kumpulan Ahlul sunnah wal jamaah. Sebahagin besar umat Islam di dunia hari ini mengikut metodologi ini, bahkan tidak tertinggal imam-imam besar seperti Imam An-Nawawi, Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu Battol, Imam Haramain al-Juwaini dan ramai lagi yang mengikut aliran Al-Syaairah. Kita di kepulaun Nusantara boleh dikatakan semuanya Asyaairah. Begitu juga aliran maturidi keduanya betul, mereka hanya khilaf perkara-perkara yang berkaitan dengn furu’ akidah bukan usul akidah.

Furu akidah ialah perkara yang berkaitan dengan cabang-cabang untuk memahami akidah dan ianya masih boleh diperselisihkan lagi oleh ulama'. Oleh demikian sama ada kita mahu memakai aliran salaf iaitu Al-Quran dan Sunnah  atau aliran al-syaairah iaitu sifat 13 atau aliran al-maturidiyyah sifat 20 silakan. Semuanya betul, matlamatnya sama mahu mengesakan zat dan sifat Allah dari menyerupai makhluk dan baharu. Kesemua mereka meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan akidah. Kesemuanya mempunyai hujjah yang kuat dan Imam-imam yang besar. Oleh demikian kita jangan ta’sub, berpecah-belah dan kafir-mengkafir disebabkan perkara seperti ini.  

Oleh : Ahmad Syahin