Monday, August 17, 2009

Seruan memakmurkan Masjid Allah

Alhamdulillah kita telah selesai daripada melakukan aktiviti bergotong-royong pada hari Sabtu 8.8.09 yang dihadiri oleh sebahagian ahli Persatuan Badan Dakwah dan Masjid. Saya begitu kagum apabila melihat kerjasama di antara ahli persatuan yang begitu bersungguh -sungguh bergotong-royong membersihkan masjid pada hari tersebut. Komitmen yang telah diberikan oleh ahli persatuan tidak mempunyai maksud lain kecuali untuk melihat Masjid Kampus Ibnu Sina KIST terus-menerus menarik perhatian para mahasiswa untuk menjadikan Masjid sebagai tempat yang paling disukai.

Komitmen yang telah ditunjukkan pada gotong-royong kali ini juga merupakan tanda kerjasama antara ahli persatuan di dalam membangunkan persatuan terus terserlah. Ianya tidak lain kecuali di sebabkan tarbiah yang telah lama diterapkan sebelum ini, terutama daripada Persatuan Badan Dakwah dan Masjid yang telah banyak menganjurkan program-program yang menjadi asas yang dapat menyatukan hati-hati kita dalam melaksanakan kerja-kerja secara berjemaah.

Ingin saya ingatkan bahawa usaha kita didalam melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini dapat menguatkan lagi semangat dan istiqomah kita untuk terus melakukan kerja-kerja kebajikan. Walaubagaimanapun keletihan, kepayahan, kecemuhan terkadang terukir di wajah kita yang bersifat lemah ini di dalam melaksanakan kebajikan dan dakwah. Sesungguhnya keletihan, kesakitan, kepahitan dan kepayahan yang kita hadapi bukanlah sia-sia bahkan ianya menjadi tanda bahawa kita bekerja untuk hari yang mendatang dan akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Swt.



Di dalam al-Quran Allah Swt mengiktiraf dan memperakui bahawa orang yang sebenar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat ialah mereka yang memakmurkan masjidnya, Allah Swt berfirman :



إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَ‌ۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ


" Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, serta tetap mendirikan shalat, emnunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah Al-Taubah Ayat 18).



Oleh demikian ahli Badan Dakwah dan Masjid perlulah bergerak dan terus bergerak membuat perubahan demi perubahan di kampus. Ingatlah bahawa ianya merupakan satu persatuan yang menjadi harapan semua. Semoga kitalah di antara mereka yang memakmurkan masjid Allah dan terus mendapat petunjuk dan orang yang betul-betul beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

No comments:

Post a Comment