Saturday, March 6, 2010

Perubahan Memakan Masa





Firman Allah :

وكان الإنسان عجولاً

“ dan adalah manusia bersifat dengan gopoh “Surah Isra ‘: 11,

Nabi SAW bersabda :

التأني من الله ، والعجلة من الشيطان

Bertenang-tenang itu daripada Allah dan gopoh itu adalah daripada syaitan .[1]

Nabi SAW memulakan dakwahnya dengan berusaha menghancurkan berhala kufur dan syirik yang terbeku dalam diri rakyat Makkah selama 13th, untuk mendidik umat supaya beriman kepada Allah, bukan memulakan dengan perlaksanaan syariah.

Setelah berhijrah ke Madinah, baginda SAW bukan terus melaksanakan segala hukum Islam, tetapi Nabi SAW membina kesatuan fikrah sesama rakyat madinah, bermula dengan pembinaan masjid dan pasar, demi meningkatkan kuasa ekonomi rakyat berasaskan Islam dalam menjatuhkan kekuatan ekonomi Yahudi yang menguasai madinah, sehinggalah sedikit demi sedikit hukum Allah berjaya dilaksanakan dengan begitu jayanya.

Setelah berhala kufur berjaya dileburkan dalam diri rakyat, sudah pasti segala kandungan syariah akan mudah diterima. Inilah strategi Nabi SAW dalam menjayakan usaha dakwahnya sebagai Khalifah fi Al-Ard, melaksanakan agama dan mentadbir bumi dengan agama.

Perubahan memakan masa yang panjang, kita bukan orang yang baru bermula, tetapi kita hanya meneruskan mata rantai yang dibawa oleh Nabi SAW. Islam menawan dunia bukan pada zaman Rasulullah SAW, tetapi pada zaman khalifah Saidina Umar Al-Khattab iaitu 2/3 dunia dalam masa tidak sampai satu kurun atau 100 th.

Antara kisah-kisah yang masyhur yang berkait rapat dengan konsep beransur- ansur ialah kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang dikenali sebagai khalifah Islam yang kelima, kata beliau kepada Abdul al-Malik yang menjadi khalifah ketika itu ;


لا تَعْجَلْ يا بُنَيَّ، فإن الله ذَمَّ الخمر في القرآن مرتين، وحرَّمها في الثالثة، وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya;
”Jangan kamu gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang bahawa aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu rakyat menolaknya secara total. Sudah pasti, ia merupakan fitnah. [2]

Di dalam sejarah masyarakat cina sebagai contoh, mereka menanam pokok kana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat makan buah tersebut ini kerana pokok kana memakan masa yang lama untuk berbuah , tetapi mereka tanam sebagai persiapan untuk anak cucu yang datang kemudian.

Dalam kehidupan kita secara fitrah kita lihat tidak ada bayi yang baru dilahirkan terus pandai berjalan, tidak ada pelajar yang baru mula belajar membaca terus pandai membaca. Yang pastinya, semuanya bermula secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit.

Perubahan Bermula Dengan Sikap

Manusia mengalah dengan sikap. Apabila mereka tidak mempunyai sikap mahu berubah, sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah.

Firman Allah;


إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, hinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar-Ra’d : 11)

Ramai yang meneliti ayat ini dengan sekali imbas. Mereka tidak meneliti penggunaan kalimah ما dalam firman Allah ini. ekoran itu, mereka menerjemah firman Allah ini seakan-akan Allah menyebut;

إن الله لا يغير قوما

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum”

Ustaz wan ji , menyebut bahawa terjemahan yang paling tepat dari ayat ini adalah, “sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum”. Ini kerana ia menggunakkan kalimah ما "

Persoalannya, apakah perkara yang ada pada sesuatu kaum?

Tidak lain dan tidak bukan, ia bermula dengan sikap, kehendak, motif dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya;
“hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat-niat. Hanyasanya setiap seseorang itu (melakukan amalan) seperti apa yang dia niatkan

Dengan kata lain, sebelum perubahan berlaku dalam sesebuah Negara, daripada sekular kepada Islam, hendaklah diusahakan terlebih dahulu pembentukan sikap rakyat, kehendak rakyat, azam rakyat dan sebagainya.

Perkongsian : ahmad syahin


[1] “ hadith Hasan gharib riwayat Tirmizi.

[2] Al-Muwafaqat : 2/94.

No comments:

Post a Comment