Sunday, April 24, 2011

BERFIKIR TENTANG KEJADIAN MANUSIA






وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَانَ مِن سُلالَةٍ مِّن طِينٍ. ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ. ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ . ثُمَّ إِنَّكُمْ بَعْدَ ذَلِكَ لَمَيِّتُونَ . ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ .


Dan Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. 13. Kemudian kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). 14. Kemudian air mani itu kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik. 15. Kemudian, sesudah itu, Sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. 16. Kemudian, Sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat. ( Al-Mu’minun : 12-16 )


Penciptaan manusia begitu unik, ia melalui proses bertingkat-tingkat. Di dalam Al-Quran jelas disebutkan hal ini kira-kira 1400 tahun yang lalu. Manusia di zaman itu tidak berfikir lagi untuk mengkaji tentang kebesaran tuhan ini, pun begitu setiap apa yang datang kepada mereka, mereka beriman, dengar dan taat. Kemudian pada zaman modern datanglah saintis mengkaji perkara ini. Hasilnya ia tidak bercanggah dengan sains di zaman modern. Lihatlah betapa besarnya ciptaan Allah swt yang menjadi keajaiban bagi orang yang mahu berfikir. Oleh demikian tuhan sangat mengkritik keras mereka yang tidak mahu berfikir, firman Allah :


وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ


“ Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai. ( Al-A’raf “ : 179 )


Pertama Allah swt menciptakan mansuia dari tanah, Allah tidak menciptakan manusia dari emas , berlian, perak dan lain-lain. Begitu hebat ciptaan Allah terselit seribu satu erti bahawa manusia adalah makhluk yang sangat hina, malah kemudian manusia juga diciptakan daripada setitis air mani, begitulah ungkapan Allah swt yang maha pencipta. Kemudian Allah jadikan manusia berkembang hebat di dalah rahim Ibu sehingga cukup sembilan bulan maka lahirlah insan yang bernama manusia. Akhirnya manusia dilahirkan di dunia, di diberikan kelebihan berbanding makhluk yang lain, bahkan di antara manusia sendiri terdapat kelebihan-kelebihan masing-masing. Firman Allah :


وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً


“ Dan Sesungguhnya Telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang Sempurna atas kebanyakan makhluk yang Telah kami ciptakan. ( Al-Isra’ Ayat : 70 )


Ramai yang mempercayai kejadian manusia yang bertingkat-tingkat tersebut, bahkan semua saintis samada yang muslim atau non-muslim, mereka menyetujui dan tidak bercanggah dengan realiti kajian sains modern. Apa yang perlu diperhatikan, ayat tersebut (surah al-mu’minun 12-16) tidak terheti setakat itu sahaja. Di akhir ayat tersebut tuhan meyakinkan kita bahwa selepas kematian, kita akan dibangkitkan semula di hari Akhirat. Jika ayat tentang kejadian manusia ramai yang percaya tentang kenyataan tuhan, maka tidak ada alasan untuk tidak percaya akan bangkit di hari Kiamat, firman Allah swt :


ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ


“ Kemudian, Sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” ( Al-Mu’minun : 16 )


catatan, ahmad syahin

Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?

Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?

Dr Maszlee Malik*

Apa pun perkembangan terkini pasca-thawrah (revolusi) yang telah berlaku di Mesir, sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah peranan yang bakal dimainkan oleh pertubuhan Ikhwanul Muslimin (IM) di dalam lanskap baru politik Mesir. Walaupun mereka menolak untuk bertanding di dalam pemilihan presiden dan juga menolak kemungkinan untuk mendapatkan majoriti di dalam parlimen Mesir menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan, sesuatu yang hampir pasti, sesiapa pun yang akan memerintah Mesir nanti, IM hampir pasti menjadi sebahagian darinya. Memandangkan kebanyakan parti politik di Mesir mempunyai keterbatasan masing-masing dari segi saiz dan sokongan rakyat, tidak dapat tidak, kerajaan baru yang akan dibentuk pasti merupakan kerajaan koalisi. Apapun koalisinya, sesuatu yang pasti IM pasti akan menjadi sebahagian daripada koalisi tersebut. Ibarat perumpamaan Inggeris, IM pasti akan menjadi ‘sausage in the hotdog’ atau ‘beef in the plate’. Demi menempuh realiti yang bakal menjelang nanti, IM perlu belajar dari pengalaman gerakan Islam lain, terutamanya di dalam hal berkoalisi, mentadbir dan juga hubungan dengan non-Muslim. Meskipun sesetengah tokoh IM sibuk merujuk kepada pengalaman Turki, namun sebuah lagi gerakan Islam yang tidak kurang dinamisme dan pengalaman di dalam persada politik yang tidak patut diketepikan, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Walaupun usia IM di dalam persada dakwah lebih lama dari PAS, dan IM juga pernah menyertai politik dan parlimen Mesir sebagai blok pembangkang, namun hakikatnya ialah IM masih kurang dar segi pengalaman berkoalisi untuk memerintah, apatah lagi mentadbir sebuah kerajaan berbanding dengan PAS. Di sinilah terletak kekuatan PAS yang perlu dikongsikan kepada ‘senior’ mereka untuk IM menempuh hari-hari mendatang di bumi Mesir. Realiti di dalam persada politik ialah, IM perlu belajar dari PAS yang lebih banyak makan garam dan telah merasakan jatuh bangun di dalam arena politik kebangsaan.

Sebagai contoh, PAS mempunyai pengalaman yang banyak dalam berkoalisi dengan pihak lain, hatta dengan seteru politik sekalipun semenjak ia ditubuhkan. Dari sudut yang lain pula, sejarah Malaysia telah menyaksikan bahawa PAS pernah berkoalisi dengan Perikatan di dalam kerajaan yang memerintah. Di dalam blok pembangkang pula, PAS pernah melalui zaman Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk berkoalisi dengan golongan nasionalis Semangat 46 dan beberapa parti lain pada era-90’an. PAS juga pernah berkoalisi dengan Parti keADILan dan juga DAP di dalam Barisan Alternatif (BA) pasca-reformasi 1998. Terkini, PAS merupakan rakan koalisi aktif di dalam blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang telah menyebabkan tsunami politik yang melanda tanahair pada PRU ke-12, 2008, dan kini sedang mempersiapkan diri untuk memenangi PRU ke-13 sekaligus memerintah Malaysia.

Dari segi pengalaman memerintah dan mentadbir pula, walaupun PAS belum pernah memerintah Malaysia, namun PAS mempunyai pengalaman yang lama di dalam mentadbir dan memerintah negeri Kelantan. Di dalam waktu yang sama, kejayaan PAS memerintah Terengganu dan kegagalan mempertahankannya merupakan pengalaman berharga yang wajib dijadikan iktibar bagi IM. Kini, kemampuan dan juga keunikan PAS di dalam mentadbir negeri Kedah dan memajukannya berbanding tahun-tahun malap Kedah di bawah pemerintahan BN juga merupakan kajian kes yang perlu dipelajari oleh IM di Mesir.

Selain dari kekuatan serta pengalaman PAS yang telah disebutkan, PAS juga berpengalaman di dalam merangka manifesto dan belanjawan negara bersama yang lebih realistik untuk sebuah negara dalam kerangka politik jamak budaya, jamak agama seperti Manifesto BA, belanjawan alternatif dan mutakhir ini, Buku Jingga. Kemampuan PAS ini jika dinilai secara objektif, adalah jauh lebih komprehensif daripada manifesto politik IM tahun 2007 yang pernah menimbulkan kontroversi.

PAS juga dewasa ini telah menunjukkan sikap yang luar biasa di dalam pengupayaan wanita serta isu kepimpinan wanita. Selain daripada itu, PAS juga mempunyai ahli professional yang berpengalaman di luar dan dalam negara di kalangan para pimpinan professional, serta mempunyai jaringan hubungan dengan pihak non-Islamis yang berminat dengan pendekatan sederhana beberapa tokoh PAS. Sesetengah calon PAS juga telah membuktikan kredebiliti dan kemampuan mereka untuk meraih keyakinan non-Muslim di dalam PRU ke-12 (2008) yang lalu dengan memenangi kerusi di kawasan ramai non-Muslim seperti Dato Seri Nizar, YB Dr Mariah, YB Dr Dzulkifli, YB Dr Halimah dan lain-lain lagi. Keberadaan golongan ‘mualaf’ (saudara kita) sebagai wakil PAS seperti YB Khalil Idham Lim dan Anuar Tan juga merupakan satu pendekatan yang boleh dipelajari oleh ramai pihak.

IM perlu mempelajari ini semua dan disesuaikan dengan situasi baru di Mesir kini. IM perlu menerima hakikat, mereka tidak dapat tidak, akan bekerjasama dengan golongan minoriti Kristian Koptik yang membentuk sebahagian dari opulasi rakyat Mesir. Jika sebelum thawrah, rejim Mubarak sentiasa mewujudkan perasaan curiga dan juga permusuhan di antara IM dan juga golongan gereja Koptik, realiti yang baru menuntut satu kerangka yang baru di dalam hubungan tersebut, terutamanya di dalam ruang sosio-politik ekonomi. Pengalaman PAS di dalam ruang ini amat-amat berharga untuk dipelajari dan dikaji oleh IM. Konsep ‘PAS For All’ yang telah Berjaya melenyapkan prejudis sesetengah non-Muslim terhadap perjuangan PAS perlu dicontohi oleh IM.

Tidak pastilah samada perkara-perkara yang telah disebutkan ini disedari oleh PAS, namun mereka perlu bersikap pro-aktif di dalam hal tersebut. PAS perlu melihat semula diri mereka dengan sudut pandangan yang berbeza. PAS juga perlu membuang sindrom rendah diri di hadapan Syeikh-Syeikh Arab, terutamanya IM, semata-mata kerana mereka Arab atau semata-mata kerana mereka adalah ‘Ikhwan’. PAS perlu keluar kepompong rendah diri ini, dan mula berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah untuk saling belajar dan bertukar-tukar pengalaman. Tidak keterlaluan juga jika dicadangkan bahawa sudah tiba masanya untuk PAS menjadi fasilitator kepada IM, malah juga kepada gerakan-gerakan Islam di dunia Arab yang bakal mengisikan ruang pasca-thawrah di Negara masing-masing.

Demi menjayakan proposal di atas, PAS perlu mempromosikan diri mereka dengan memperbanyakkan literasi dan lontaran ide mereka di dalam media global berbahasa Arab, seperti laman web al-Jazeera, al-Quds al-Arabi, akhbar al-Ahram, majalah al-Mujtama’, dan lain-lain media baru. Di samping itu, PAS juga perlu bersikap pro-aktif di dalam membuktikan kewujudan mereka dengan mengetengahkan berita, fikrah dan juga pandangan kritis mereka kepada dunia Arab dengan menerokai ruang forum bagi para pimpinan parti di stesyen-stesyen televisyen antarabangsa berbahasa Arab yang popular seperti al-Jazeera, al-Hiwar, al-Arabiyah, Iqra TV dan al-Risalah. Banyak pengalaman PAS yang berharga perlu diketahui dan dipelajari oleh gerakan Islam yang lain di bumi Arab.

Untuk tujuan tersebut, para pemimpin PAS perlulah mempunyai kemampuan untuk berbahasa Arab yang ‘standard’ dan mampu untuk mengetengahkan ide-ide PAS untuk audien antarabangsa dan lebih global. Di dalam hal ini, para pimpinan PAS, terutamanya para ulama harus melepasi zon ‘jaguh kampung’ untuk muncul sebagai ‘tokoh antarabangsa’ dan ‘para ideolog’ wacana gerakan Islam. Mungkin sudah tiba masa bagi para pimpinan ulama PAS kini untuk meneroka ruang yang serba mencabar ini dan meninggalkan zon selesa berceramah dan hanya menulis untuk ahli semata-mata. Para pimpinan ulama PAS perlu berani untuk meneroka pasaran global dan pengkajian luaran demi menempatkan diri mereka dan juga PAS di persada antarabangsa. Kualiti para pimpinan ‘ulama’ PAS seperti ini penting, agar mereka benar-benar bukan sahaja dilihat berkaliber, tetapi juga substantif dan berkualiti.

Demi menyikapi cabaran baru yang telah disebutkan itu, PAS perlu mempunyai sebuah pusat kajian yang khusus atau think tank untuk memasarkan PAS di rantau Arab dan juga dunia. Tugas ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Arab yang mantap, pengetahuan mengenai politik timur tengah, budaya Arab dan juga jaringan yang kukuh dengan pihak media, akademik, serta aktor politik di timur tengah. Pusat kajian ini juga perlu terlibat aktif di dalam menterjemahkan literasi-literasi PAS dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan Arab untuk edaran antarabangsa. Sudah tentunya bukan sekadar IM yang berhak belajar dari PAS, malah gerakan-gerakan Islam lain juga. Sudah sampai juga masanya pengalaman-pengalaman PAS berkoalisi, mentadbir dan berpencak di dalam suasana politik Malaysia dihidangkan kepada warga dunia. Hanya dengan cara ini sahaja PAS boleh menyumbang kepada IM, gerakan Islam lain dan juga perjuangan Islam di dalam perubahan lanskap politik di rantau Arab. PAS perlu berjiwa lebih besar untuk bersama membawa perubahan bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa…


* Penulis adalah pensyarah di UIAM, merupakan mantan tenaga pengajar di Durham University (2009), UK dan juga mantan penceramah subjek ‘Political Islam in ASEAN’ di SOAS, London (2009-2010).


Saturday, April 23, 2011

SYARIAT MENGATASI RASIONAL AKAL





Tentang posisi akal atau rasional di dalam doktrin Islam, al-Quran telah memberikan satu arfirmasi bahkan perintah kepada manusia supaya selalu menggunakan akal fikiran yang rasional. Dalam hubungan ini, H.M Rasjidi menegaskan bahwa ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi kata “ fikir” atau “akal” lebih dari 50, antara lain firman Allah dalam surah al-mulk :

وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala."( Al-Mulk: 67:10 )

Meskipun Islam menempatkan akal pada posisi yang sangat dihargai, namun kebenaran yang dihasilkan akal tidak bersifat mutlak, kerana manusia diberi ilmu pengetahuan oleh Allah hanya sedikit.

وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً

“ Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit". ( Surah al-isra 17:85 )

Maka kerana itulah, hukum yang hanya semata-mata bersumber hasil dari pemikiran manusia tidak mungkin menjamin keadilan yang hakiki atau the real justice dan semua konsep keadilan yang diciptakan oleh manusia selalu bersifat nisbi. Oleh demikian ia perlu dipandu oleh syariat. Apabila syariat telah menetapkan sesutau hukum , maka manusia tidak ada hak untuk memilih yang lain selain daripada apa yang telah diputuskan. Firman Allah yang bermaksud :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُّبِينًا

“ Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata. ( Al-Ahzab 36 )

Catatan , Ahmad Syahin